Home Novel Cinta ~JODOHNYA~OH MY SWEET BURBERRY BRIT EDT
~JODOHNYA~OH MY SWEET BURBERRY BRIT EDT
usakoprincessz
15/5/2019 14:58:06
6,877
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 21

                Setelah menyalami ibu Das, aku meminta diri untuk pergi malam itu ke terminal bas Seremban. Tiket yang kubeli bersama-sama Das di terminal bas petang tadi dijadualkan bertolak jam 9.30 malam. Tugas ku sudah selesai di sini. Duit Kimi dan Farhan petang tadi telah berjaya kupindahkan ke akaun syarikat yang telah dinyatakan oleh Encik Shark walaupun prosesnya mengambil masa yang agak lama. Duit komisen hasil penjualan sebanyak RM1000 juga telah dikreditkan oleh Encik Shark kepadaku sebentar tadi. Duit tersebut juga aku telah pindahkan kembali ke akaun Datin Anita. Sekeping nota berbentuk pesanan ringkas telah ku hantar kepada wanita itu. Aku hanya mampu membayar sebanyak itu sahaja dahulu. Aku berjanji padanya bahawa aku tetap akan melunaskannya apabila mendapat gaji bulanan nanti secara ansuran. Amaun yang diminta sebanyak RM4000 itu terlalu banyak bagi diriku untuk dilunaskan sekaligus begitu. Itu juga aku sudah beruntung kerana RM2000 telah dipinjamkan oleh Das untuk mebayar sebahagian gantirugi kepada wanita itu. Harapan Datin Anita untuk mendapatkan RM4000 sekaligus sebelum majlis pertunangan anak-anaknya nanti nampaknya tidak berjaya aku laksanakan. Aku tidak berkemampuan untuk menjelaskannya sekarang.

     Kereta Persona milik Das meluncur laju menuju ke terminal bas Seremban. Kami sengaja keluar lebih awal. Kalau nak diikutkan jarak antara rumah Das dengan terminal bas Seremban tidaklah begitu jauh, namun kami sengaja keluar lebih awal untuk mengambil angin suasana di bandar itu. Lagipun, ini adalah malam terakhir aku berada di sini. Aku pasti akan rindu akan Das nanti. Leka berbual-bual kosong dengan Das, telefon Nokia C3 aku mula menjerit menandakan ada pesanan masuk. Mesej dari Lang Merah! Petang tadi aku sudah jelaskan padanya bahawa penjualan perfumes itu dibatalkan. Aku akan memulangkan semula wangnya pada hari esok, lantaran petang tadi adalah petang pada hari minggu. Kaunter bank tutup. Amaun yang banyak begitu sukar sekali untuk dipindahkan sekaligus. Tambahan pula, aku tak banyak akaun bank sepertinya.

      'Salam, awak buat apatu? Dah makan malam belum?' Lang Merah memulakan mesejnya dengan pertanyaan hariannya.

     'Wassalam. Dah makan tadi,' aku membalas pendek. Tak berminat untuk bertanya akan perihal dia dan makan malamnya pula.

     'Saya pun dah makan tadi. Makan bubur air. Sekarang baring atas katil sambil baca mesej awak..hehe' balas Lang Merah tanpa ditanya. Memang dia selalu macamtu. Ramah tak bertempat. Bajet macam kekasih aku saja. Tapi, bubur air? Haha.. bubur apa tu? Malam-malam menunya begitu pula.

     'Makan bubur air? Makanan jenis apa tu?' aku pula bertanya. Teringin juga untuk tahu bubur air yang dimaksudkan itu bagaimana. Bubur memang masakan yang ada kandungan air yang banyak. Tapi, bubur air yang macam mana pula ya? Ada yang aku tak tahu ni.

     'Bubur. Dalam tu ada air. Campuran air dengan gula dan garam, ada bawang. Mulut tak selera makan. Hidung ni asyik berair ja' ujar lelaki itu lagi. Laaa... menu bubur air itu agak mengerikan kedengarannya. Air campur gula, campur garam, dan tambah bawang pula. Tekak aku pasti tak dapat menerimanya.

     'Bestke? Awak selesemake? Makan bubur air tu rasa macam mana ya?' aku membalasnya lagi.

     'Terpaksalah makan. Nanti perut kebuluran pula. Memang demam selesema ni' lelaki itu menjawab pertanyaanku. Biasalah musim hujan dan panas yang tak menentu ni. Ramai orang yang terkena demam selesema ini.

     'Awak kat mana tu? Tengah tengok tv ke tu?' tanya lelaki itu lagi apabila aku lama tidak membalas pesanan ringkasnya agak lama dek berbual-bual dengan Das yang sedang fokus memandu keretanya.

     'Saya keluar. Jalan-jalan kat bandar. Lepastu, nanti nak naik bas..' balasku jujur.

     'Naik bas? Malam ni? Kenapa tak cakap awal-awal tadi' ujar lelaki itu lagi. Hairan aku dengan kata-kata Lang Merah. Untuk apa pula aku perlu beritahu dia yang aku mahu naik bas petang tadi?

     'Laa... Nak buat apa beritahu pada awak? Awak pemandu bas ke? Haha...' aku membalas pertanyaannya. Aku menunggu balasan darinya, tapi ternyata mesej yang aku sampaikan padanya itu tidak berjawab lagi. Agaknya dia dah malas nak melayan aku. Das pula telah memarkirkan keretanya di tapak parkir berhampiran terminal bas itu. Kemudian, kami beriringan keluar dari perut kereta menuju ke sebuah tempat duduk sementara menunggu bas sampai.

     "Das, terima kasih tau. Kau dah banyak tolong aku. Aku janji, duit kau tu aku akan bayar secepat mungkin ya," ujarku sebaik sahaja kami melabuhkan punggung di kerusi batu itu. Das tersenyum sambil membetulkan tudung Syria kesukaannya itu.

     "Tak apalah Ida. Kau jangan terburu-buru. Aku percayakan kau," aku tunduk tatkala terdengar ucapan yang keluar dari bibir Das itu. Aku sebak dan terharu dengan kata-kata tersebut.

     "Eh, kenapa kau nangis? Ida, aku ikhlas. Walaupun kita baru kenal, tapi aku dah rasa kau ni macam sahabat aku dah lama tau," ujar Das lagi. Aku menganguk-anggukkan kepalaku tanda mengiyakan perasaan yang sama juga terbit di dalam hatiku terhadap persahabatan antara aku dengannya. Aku memeluk erat Das. Syukur Tuhan menemukan insan yang begitu baik denganku di sini.

     "Walaupun banyak benda malang yang berlaku kepadaku di sini, tetapi aku gembira sebab dapat jumpa kau. Kalau tak ada kem mengarut ni, dah tentu aku tak dapat bertemu dengan sahabat yang baik macam kau ni Das," ujarku lagi seraya melepaskan pelukanku itu. Kami tertawa kemudiannya.

     "Hehe.. itulah kan Ida. Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnyakan. Mungkin pertemuan kau dengan Encik Kacak, Datin Anita dan terbaru dengan Datuk Pengarah tu pun pasti ada hikmahnya nanti," Das menyambung kata. Aku mengeluh. Hikmah apa ya? Satu keluaraga pula tu, dari kakaknya, lepastu adiknya. Kemudian, ibunya pula dan seterusnya ayahnya pula. Bakal tunang mereka pun dipertemukan sekali denganku. Huhuhuhu...

      "Sudah lah, Das. Aku malas dah nak dengar nama orang-orang bongkak tu lagi. Aku doakan semoga lepasni, aku tak bertemu lagi dengan dia orang. Setelah habis membayar ganti rugi tu, aku dah tak ada apa-apa urusan lagi dengan keluarga sombong tu lagi. Menyampah..." ujarku dengan nada yang cukup menjengkelkan.

    "Aku dah naik benci tengok muka Encik Kacak tu tadi. Dulu, suka juga tengok muka kacak dia. Sekarang, dengar nama pun dah naik muak apatah lagi tengok muka dia tu. Sedap betul dia menyindir kita tadi kan. Memang padanlah dia bernikah dengan Minah Ketak tu kan. Lawa dan hensem tapi, meaningless," ujarku lagi bersungguh-sungguh meluahkan kebencian terhadap mereka yang menebal dalam diriku.

     "Tapi, kesian pula dia masa kat kilang tadi. Jatuh terjelupuk kat jalan tar tu sebab aku tekan minyak untuk undur kereta tu," ujar Das dengan nada bersalah.

     "Ah, persetanlah dia Das. Siapa suruh dia yang tercegat dan tak mahu berganjak kat tepi kereta tu. Nak suruh aku melutut pada mak dia konon. Cakap aku egolah. Ciss... menyampah betul. Kau dengar tak tadi, masa ayah dia tanya sama ada dia kenal aku ke tak tu? Dia jawab pernah nampak je. Puii... bajet betul lelaki itu. Silaplah aku minat kat dia dulu, perangai macam haram," balasku lagi. Aku memandang ke arah Das yang tiba-tiba diam begitu. Kenapa pula?

     "Kau kenapa Das? Ada malaikat lalu ya? hehe.." aku tergelak mengusik apabila melihat Das yang terdiam tiba-tiba. Angin malam di terminal bas itu menusuk ke tulang sumsumku. Sejuk betul. Aku tercari-cari baju sejuk di dalam beg sandangku. Tiada pula di situ.

     "Das, baju sejuk aku tertinggal di dalam bilik kau gamaknya," aku bersuara kemudiannya. Nak berpatah balik ke rumah Das tidak mungkin pula. Jam hampir menunjukkan angka 9.20 malam. Nanti terlambat pula sampai ke sini. Alamatnya, kesejukanlah aku di dalam bas berhawa dingin itu malam ini.

     Perutku tiba-tiba mahu terkucil. Aku bangun seraya meminta diri untuk ke tandas sebentar. Beg sandang milikku itu, aku alihkan ke depan sedikit. Badan ku undurkan ke belakang sedikit untuk bangun. Badanku yang terdorong ke belakang itu menyebabkan bahuku tersentuh seseorang dari belakang. Aku berpaling. Seorang lelaki berjaket hitam berseluar jeans biru tercegat di situ. Lelaki itu berpeluk tubuh seakan menahan kesejukan dan matanya ditutupi oleh topi jaket tersebut.

     "Sorry bang, tak sengaja," aku meminta maaf kerana tidak sengaja melanggar bahunya. Namun, lelaki itu kelihatan hanya terdiam tidak memberikan sebarang reaksi. Aku memandang ke arah Das. Hairan juga dengan kelakuan lelaki ini. Sudah bahunya dilanggar orang, tapi tidak pula berganjak. Kata maaf aku juga tidak bersambut. Das juga masih membatu diri. Aku makin bertambah hairan. Ada apa ya? Siapa lelaki ini? Berdiri rapat denganku. Di tepinya tiada sesiapapun. Seingatku masa melabuhkan punggung ke sini, tiada pula kelibat lelaki ini.

     "Sorry, bang.. Ada apa ya? Abang berdiri dekat sangat dengan saya tadi, jadi sebabtu saya terlanggar. Maaf ya. Abang nak duduk, silakan," ujarku lagi sambil meneka tujuan dia berdiri rapat di sebelahku. Mungkin dia ingin duduk kerana tempat di sekitar kelihatan sudah penuh. Lelaki itu menggeleng-gelengkan kepalanya memberikan reaksi bahawa dia tidak mahu duduk di situ.

     "Abang minta maaf" terpacul perkataan itu di mulut lelaki tersebut. Kedengaran agak mendatar dan perlahan. Suara yang agak terbiasa ku dengari.

     "Tak apa. Saya yang patut minta maaf dengan abang sebab terlanggar bahu abang tadi," balasku lagi. Dia masih menggeleng-gelengkan kepalanya. Tangannya masih berpeluk tubuh seperti orang yang terlalu kedinginan. Namun rasa hangat badannya terasa dek jaraknya yang terlalu dekat denganku begitu. Mungkin orang ini sedang demam selesema kerana badannya yang hangat serta pergerakan tangannya yang menekan-nekan hidungnya itu.

     "Ida, abang minta maaf. Abang tak maksudkan macamtu. Ida jangan fikir yang bukan-bukan tentang abang. Abang sama sekali bukan yang macam Ida maksudkan tadi," lelaki itu menyambung kata sambil membuka topi jaket yang menutupi wajahnya tadi. Encik Kacak! Apa? jadi Encik Kacak berada di sini tatkala aku sedang asyik berbual denagn Das tadi. Jadi, dia telah mendengarkan segalanya dari mulutku tadi. Patutlah Das tiba-tiba terdiam begitu. Aduuuhh... Kantoi.. Pelbagai sumpah seranah yang telah keluar dari mulutku kepadanya serta keluarganya juga. Malu pula aku rasakan. Sudah terlepas pengakuan meminati akan dirinya sebentar tadi. Tidak mungkin. Mengapa takdir terlalu berpihak kepada lelaki ini ya? Tapi, persoalannya kenapa dia boleh berada di sini?

     "Ida, maafkan mama abang ya. Abang bukan suruh Ida sampai melutut. Ida jangan salah faham. Abang minta maaf kalau Ida terasa dengan.." lelaki itu masih ingin berkata-kata lagi. Aku sudah malas mahu mendengarkannya. Entah kenapa perasaan benciku meluap-luap jadinya terhadap lelaki ini. Aku tidak faham kenapa dia boleh berada di sini. Tidak ku undang pun dia ke sini. Aku cepat-cepat mengangkat beg sandangku. Hasrat ke tandas aku batalkan. Lebih baik aku cari bas sekarang. Tambahan pula, interkom telah memaklumkan basku telah sampai ke platformnya.

     "Ida..Ida.." lelaki itu masih memanggilku dari belakang. Masih cuba mengejarku walaupun lariannya agak lemah.

     "Ida... abang minta maaf ya. Ida nak balik Pasir Gudang ya malam ni? Hati-hati naik bas. Ada bawa baju sejuk tak?" lelaki itu bersuara tatakala berjaya menyaingiku dan Das. Menyibuk betul. Pasti dia sudah mendengarkan perihal baju sejukku yang tertinggal di bilik tidur milik Das. Suka hati akulah nak pakai baju sejuk ke tidak nanti. Lebih baik dia merawat dirinya sendiri sahaja sekarang yang kelihatan kurang bermaya itu. Ada hati nak menasihati orang lain.

     "Dalam bas sejuk nanti. Ida bawa baju sejuk tak? Nanti demam pula," tanyanya apabila aku tidak menjawab pertanyaannya.

     "Encik tak payah risaulah. Saya pandai jaga diri saya. Encik yang jaga diri encik dengan keluarga encik tu," aku menjawab pertanyaannya sambil melajukan langkahku sambil menarik pergelangan tangan Das. Malas aku nak menghiraukan lelaki penyibuk itu lagi.

     Setelah sampai di muka pintu bas, aku menghulurkan tiket bas ku kepada pemandu bas tersebut. Setelah menyalami dan berpelukan dengan Das, aku terus meluru masuk ke dalam perut bas. Sempat juga aku mengintai akan kelibat lelaki tersebut dari dalam bas. Kelihatan lelaki tersebut tercari-cari akan kelibat aku. Dari sebuah bas ke sebuah bas dia berhenti. Dengan lariannya yang terjengket-jengket itu aku dapat meneka bahawa pasti keadaan kesihatan badannya lemah. Kenapa mesti memaksa diri begitu. Timbul pula rasa belas melihatkan keadaan lelaki itu. Kadang-kadang nampak dia berhenti untuk bertanya sesuatu pada orang ramai yang berada di situ. Aku berdoa semoga bas ini berjalan dengan lebih cepat sebelum lelaki itu tidak menemukan bas yang aku naiki ini. Aku cepat-cepat menelefon Das yang masih berdiri mengadapku dari bawah. Talian bersambung. Panggilan tersebut cepat sekali dijawab oleh Das.

     "Das, thanks ya sebab dah hantar aku ke sini. Maaf aku terburu-buru naik bas tadi. Tak sempat berborak lama dengan kau. Kau fahamkan kenapa. Aku nampak dia dah menuju ke sini. Lebih baik kau cepat-cepat berlalu ke kereta. Nanti banyak pula pertanyaan dia pada kau," ujarku setelah memberikan ucapan salam kepada Das. Dari cermin tingkap, Das tersenyum sambil mengangguk-anggukkan kepalanya tanda memahami maksudku. Kelihatan Das terus berlalu.

     Penumpang kelihatannya sudah memenuhi semua tempat duduk di dalam bas ekspres itu. Salah seorang daripada pemandu bas tersebut berdiri sambil memastikan tiket setiap penumpang yang berada dalam bas itu. Setelah mengira semua penumpang yang patut menaiki bas tersebut kelihatan lelaki itu berpuas hati dengan bilangan penumpang. Syukurlah, ini bererti bas ini akan berjalan dengan lebih awal. Destinasi yang dituju juga akan menjadi lebih cepat. Yang penting Encik Kacak masih belum menemukan bas yang aku naiki ini. Pemandu yang berada di tempat pemandu bas tersebut memberikan arahan supaya semua penumpang bersedia kerana perjalanan akan dimulakan sekarang sambil menutup pintu bas. Namun, pergerakan pintu bas itu bagaikan dihalang apabila ada kelibat manusia yang datang tiba-tiba mengetuk dan memegang pemegang pintu bas tersebut. Seorang lelaki menaiki bas tersebut dan meminta izin sesuatu dengan pemandu tersebut. Tempat dudukku yang jauh di belakang membuatkan aku tidak dapat meneka akan kelibat siapa yang sedang bercakap-cakap dengan pemandu bas tersebut. Serentak kemudian, aku merasa ada seseorang yang menghampiri tempat dudukku. Aku berpaling. Encik Kacak! Mahu apa lagi dia? Bas sudah mahu memulakan perjalanan, kenapa dia perlu menyibuk ke sini?

     "Ida, ambil ni. Pakai ni nanti ya," ujar lelaki tersebut sambil menyerahkan jaket hitam bertopi yang ditanggalkan daripada badannya itu. Perilakunya itu betul-betul tidak masuk akal. Badan lelaki itu kini hanya dibaluti baju lengan panjang birunya sahaja. Kelihatan dia berpeluk tubuh menahan kedinginan. Kenapa mesti berikan baju panas ini kepadaku? Sedang dia lebih memerlukannya. Aku menolak perlahan. Segan pula dilihat orang kalau aku berlaku kasar padanya. Tambahan pula, semua penumpang bas hanya menunggu kelibat lelaki ini selesai urusannya denganku untuk memulakan perjalanan.

     "Ambillah Ida. Nanti kesejukan dalam bas. Esokkan dah mula kerja, nanti demam," ujar lelaki itu mendesak apabila aku menolak. Aku menjadi makin serba salah. Kelihatan pemandu bas yang mengira bilangan penumpang tadi, memberi isyarat supaya kepada Encik Kacak supaya lebih cepat meninggalkan bas sambil menunjukkan ke arah jam tangannya. Aku kebingungan seketika. Encik Kacak terburu-buru keluar dari perut bas. Aku tiada pilihan lain lagi selain menyambut huluran darinya. Seketika kemudian, bas meluncur laju meninggalkan terminal. Kelihatan Encik Kacak masih tercegat di situ sambil memberikan lambaian kepadaku. Perilaku lelaki itu kadang-kadang menghairankan aku. Apa maksudnya dengan berperilaku seperti itu padaku. Lagaknya seolah-olah terlalu mengambil berat terhadapku pula. Padahal, sebelum meninggalkan kem dulu, lelaki itu seperti tidak lagi berminat untuk berbual-bual denganku apatah lagi untuk berbaik-baik denganku seperti rakan-rakan lelaki yang lain. Jaket hitam pemberian Encik Kacak aku lipat perlahan-lahan. Bau haruman Burberry Brit menusuk hidungku. Ya, aku pasti dia memakai haruman itu kerana sudah berkali-kali aku mencium aroma tersebut apabila berdekatan dengannya. Mungkin dia merupakan salah seorang penggemar wangian tersebut. Sama seperti ibunya dan kakaknya juga. Aku sendiripun meminati haruman tersebut. Bagaimana rasa ini boleh menjadi sama dengan keluarga bongkak tersebut. Tapi, Kak Erra bukan seperti mereka. Perempuan itu penuh dengan kelembutan dan baik hati. Tak adil untuk aku membenci keseluruhan ahli keluarga mereka. Semoga pertunangan Kak Erra akan berjalan dengan lancar. Juga pertunangan lelaki itu dengan Minah Ketak. Perlukah aku berdoa untuk mereka berdua? Ah, sudahlah! Tidak perlu difikirkan.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh usakoprincessz