Home Novel Cinta TERBAIK UNTUKMU
TERBAIK UNTUKMU
Yatie Atiqa Mohamad
19/5/2016 21:43:01
64,819
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Senarai Bab
BAB 63

Hasrul mahu cepat sampai ke rumah. Sudah pasti Kak Jah sedang menunggu kepulangan mereka dengan tidak sabar. Dia mengayuh basikal dengan sepenuh tenaga dan sekuat hati supaya segera sampai. Juita nampak saja kecil orangnya, tapi beratnya boleh tahan. Berat dosa gamaknya. Kata-kata usikan itu sekadar terlintas dalam hati Hasrul saja. Bukan dia tidak berani untuk menyuarakannya tapi perasaan simpati terhadap Juita masih bersisa. Maka biarlah kata-kata gurauan berupa itu disimpan saja dalam hati.

Pengakuan Juita mengenai kehilangannya menjadi tanda tanya kepada Hasrul. Apa sebenarnya yang berlaku? Mengapa Juita memberitahu pihak polis yang dia bukan diculik tapi dia dengan rela hati mengikut Faiz dan Jenal melepak hingga tidak pulang ke rumah malam tadi. Hasrul tidak percaya, dia yakin Juita sengaja mereka-reka cerita. Kakaknya itu sangat dia kenali. Tidak mungkin dia berani mengikut lelaki. Dia syak ada sesuatu berlaku yang cuba disembunyikan.

Dari jauh sudah kelihatan van buruk berwarna merah milik Kak Jah. Juita berasa lega tatkala ternampak van itu yang masih tersadai di bawah pohon ketapang. Mujur tidak ada apa-apa yang hilang. Di kampung itu sering berlaku kecurian. Bimbang juga kalau-kalau ada yang berkenan dengan tayar van itu yang masih baru. Seperti biasa, setelah beberapa kali mencuba barulah enjinnya mahu hidup. Perlahan-lahan Juita mengekor Hasrul dari belakang.

“Juita pergi mana sampai tak balik rumah, ha? Tak tau ke orang kat rumah ni tak senang hati perut?” tanya Kak Jah sejurus Juita dan Hasrul melangkah masuk ke dalam rumah.

Belum sempat Juita membuka mulut dia telah di tembak dengan soalan yang bertalu-talu. Juita tidak menjawab sebaliknya tangan emaknya diraih. Kemudian tangan itu dikucup lalu tubuh wanita yang sudah separuh abad itu didakap erat. Air mata terasa hangat mengalir ke pipi gebu Juita. Sayangnya kepada Kak Jah tidak terungkap dengan kata-kata. Sebaik meleraikan pelukan dia memimpin Kak Jah ke sofa.

Juita duduk melutut di hadapan Kak Jah yang duduk di sofa. Tangan emaknya digenggam kuat. Matanya berkaca. Dia tahu dia telah menyusahkan emaknya. Kasihan dia melihat Kak Jah. Dia rasa bersalah dan berdosa terhadap wanita itu.

“Maafkan Juita, mak.” Juita tunduk sambil mencium tangan Kak Jah. Air matanya berjurai-jurai membasahi tangan Kak Jah.

Hasrul hanya memerhati saja gelagat dua beranak itu. Reaksi mereka sama seperti drama melayu yang sering ditonton di kaca televisyen. Wanita dan air mata memang sangat sinonim. Menangis itu sudah menjadi satu kemestian. Tidak bolehkah masalah diselesaikan tanpa air mata?

“Mak maafkan dah. Cuma mak nak tau, Juita ke mana malam tadi?” Kak Jah mengulang tanya. Hendak marah pun tidak berguna. Yang penting, Juita sudah pulang ke pangkuannya dengan selamat. Dia bersyukur.

Juita hanya mampu menangis di pangkuan Kak Jah. Sukar untuk dia menceritakan kisah sebenar yang berlaku. Dia, Faiz dan Jenal telah sepakat untuk menyatakan cerita yang sama kepada pegawai polis yang bertanya. Kisah yang sebenarnya terpaksa dirahsiakan demi menyelamatkan Faiz dan Jenal dari dikenakan tindakan undang-undang. Tapi Kak Jah itu emaknya, tergamakkah dia menipu ibunya sendiri?

“Mak janganlah risau. Juita okey. Tak ada apa-apa yang berlaku pun,” jelas Juita dalam sedu sedan yang kian mereda.

“Tau tak malam tadi semalaman mak tak boleh tidur?” jelas Kak Jah bersulamkan air mata.

“Minta maaf mak. Juita janji tak buat lagi,” pinta Juita bersungguh-sungguh.

“Cuba cakap betul-betul. Juita pergi mana sebenarnya?” desak Kak Jah. Sebagai ibu dia berhak tahu ke mana dia berada sehingga tidak pulang ke rumah.

Juita berat untuk berterus terang. Dia mengerling ke arah Hasrul yang duduk tidak jauh darinya.

“Cakaplah betul-betul kak. Kan mak tanya tu?” celah Hasrul. Dia juga ingin tahu tentang cerita sebenar. Dia yakin apa yang Juita beritahu kepada pegawai polis di balai tadi tidak benar.

Juita terkebil-kebil. “Mak, sebenarnya..” Kata-kata Juita terhenti di situ. Perlahan-lahan dia mendongak memandang wajah emaknya. Dia melepaskan keluhan berat. Sebentar kemudian dia menyambung ceritanya. “Sebenarnya Faiz dengan Jenal yang culik Juita.”

“Apa? Culik?” Kak Jah terpempan. Dia seakan-akan tidak percaya. Faiz itu anak Tok Penghulu kampung yang baik budi bahasa, tidak mungkin dia akan melakukan perkara itu. “Faiz culik Juita?” ulang Kak Jah tergagap-gagap.

Juita mengangguk. “Ya mak. Kenapa, mak tak percayake?” tanyanya. Dahinya berkerut.

“Abang Faiz tu culik akak?” tanya Hasrul pula.

Juita mengangguk lalu tunduk.

“Kenapa akak tipu? Akak tau tak, tak pasal-pasal Abang Kebeng tidur kat balai malam tadi. Ayah tuduh dia larikan akak. Rupa-rupanya Abang Faiz tu yang culik akak? Apasal akak tak berterus terang aje dekat balai tadi?” marah Hasrul. Dia tidak berpuas hati dengan tindakan Juita yang menyembunyikan kisah sebenar. Ini tidak adil! Orang lain yang makan nangka, orang lain pula yang terkena getahnya.

“Ya Juita, kesian Kebeng,” tambah Kak Jah.

“Kenapa ayah tuduh dia? Ayah tu pun satu. Tak usul periksa, main tuduh orang tak tentu pasal.” Menyirap Juita apabila mendapat tahu yang Bakri membuat aduan polis tentang Kebeng. Mentang-mentanglah lelaki itu dibenci sehingga sanggup menuduh dia melakukan jenayah pula.

“Akak pun sama, yang akak bersekongkol dengan dia orang tu kenapa? Biar dia orang tu ditangkap. Biar dia orang rasa macam mana siksa tidur kat dalam bilik terkurung tu,” bentak Hasrul. Dia mahu kedua-dua Faiz dan Jenal ditangkap dan dihukum atas perbuatan mereka.

“Tapi kenapa Faiz culik Juita? Mak tak faham.”

“Dia marahkan Juita, mak. Mak taukan macam mana Juita benci dengan si Faiz tu. Dia tau yang Juita tak akan terima dia.”

“Ya ke? Sanggup dia buat macam tu? Faiz.. Faiz..” Kak Jah menggeleng-geleng.

“Tapi akak cakap kat polis yang dia keluar lepak malam tadi dengan dia orang tu mak,” adu Hasrul.

Seketika Kak Jah menoleh memandang Hasrul. “Kenapa pulak Juita cakap macam tu?” Kak Jah hairan mengapa Juita menyembunyikan cerita sebenar.

“Dia orang layan Juita dengan baik, mak. Lagi pun, Faiz dah insaf dan janji akan anggap Juita sebagai kawan sampai bila-bila. Juita tak tergamak nak biarkan dia orang tu ditangkap polis.”

“Tapi akak kena fikir tentang Abang Kebeng jugak. Adilke macam tu?”

“Kan akak dah bagitau polis tu yang Abang Kebeng tak bersalah. Akak bukan kena culik tapi akak keluar dengan Faiz dan Jenal. Itu aje. Lagi pun, polis tu kata yang dia orang akan lepaskan Abang Kebeng nanti.”

“Juita tak boleh bercakap bohong dengan polis. Kalaulah dia orang dapat tahu apa yang berlaku sebenarnya, lagi teruk. Lebih baik berterus terang aje. Kalau betul Faiz dengan Jenal tu dah insaf dan berjanji tak buat lagi, tentu pihak polis tak kenakan tindakan yang berat pada dia orang.”

Juita terdiam. Dia akui apa yang diperkatakan ada kebenarannya. Dia tidak sepatutnya membuat pengakuan palsu. Dia mesti ke balai semula. Dia mesti berkata benar.

“Juita takut mak.” Juita menyuarakan perasaannya.

“Nak takut apa? Jom mak temankan. Tapi kena bawa Faiz dan Jenal sekali. Dia orang kena buat akuan di balai. Bila semuanya selesai barulah kes ni boleh ditutup dan Kebeng boleh dibebaskan.”

“Yalah kak. Jom kita pergi sekarang.” Hasrul pantas bangun.

Mereka tiga beranak bergegas untuk ke balai semula. Di dalam perjalanan Juita menghubungi Faiz lantas memberitahu hasratnya. Walaupun pada mulanya Faiz keberatan namun akhirnya dia bersetuju. Kebetulan Faiz masih bersama Jenal. Mereka belum pulang ke rumah lagi. Faiz berjanji akan mengajak Jenal ke balai semula.

Kak Jah, Juita dan Hasrul sudah sampai ke balai dan berjumpa dengan Inspektor Polis yang bertanggung jawab mengendalikan kes tuduhan Kebeng. Juita ditemani Kak Jah telah menyatakan niatnya untuk berterus terang dan membetulkan keterangan yang telah diberi awal tadi. Beberapa minit kemudian, kelibat Faiz dan Jenal muncul. Riak wajah mereka jelas dalam ketakutan. Mereka tiada pilihan, mereka terpaksa demi menyelesaikan kes itu dengan segera.

“Saya mintak maaf encik kerana memberi keterangan yang tidak benar. Demi ALLAH! Saya tak berniat nak buat jahat terhadap Comel, eh Juita.” Faiz tersasul menyebut nama Comel namun cepat-cepat dia perbetulkan. “Saya cuma nak bagitau dia tentang perasaan hati saya, itu saja. Kawan saya Jenal, jadi saksi.” Sekilas Faiz menoleh ke arah Jenal yang berdiri di belakangnya.

“Ya.. ya.. encik. Betul. Dia ada bagitau saya yang dia nak meluahkan perasaan dia kepada Juita. Dan saya bersetuju untuk temankan dia,” jelas Jenal dengan suara terketar-ketar.

Mereka sudah berterus terang. Juita sudah membuat pengakuan, Faiz juga sudah dan diikuti oleh Jenal. Tetapi ada satu kejadian yang mereka rahsiakan. Mereka tidak menceritakan bagaimana Juita dimasukkan ke dalam kereta dan dibawa ke pondok. Mereka yakin kalau diceritakan kes Juita diserkup dengan kain guni pasti mereka akan dikatakan berkasar dan memaksa. Itu sudah dikira kes berat dan pihak polis boleh mengambil tindakan terhadap mereka.

Mereka takut masuk penjara. Yang penting Juita sudah memaafkan dan biarlah segalanya menjadi rahsia mereka bertiga. Inspektor Polis berkenaan telah memberi kata-kata nasihat dengan panjang berjela. Dan sekali gus mereka telah diberi amaran supaya tidak sekali-kali memberi keterangan palsu. Sekiranya berulang lagi, pihak polis tidak teragak-agak mengambil tindakan ke atas mereka. Jika bersabit kesalahan mereka boleh dikenakan denda atau dipenjarakan. Mereka bertiga mengakui kesilapan dan berjanji tidak akan melakukannya lagi.

Kemudian Inspektor tersebut mengarahkan salah seorang pegawai polis yang bertugas supaya membebaskan Kebeng kerana dia telah disahkan tidak bersalah. Sebaik saja kelibat Kebeng muncul, Hasrul menerpa ke arahnya. Tubuh Kebeng didakap mesra. Hasrul adalah orang yang paling gembira sekali menerima berita itu. Faiz dan Jenal juga segera mendapatkan Kebeng, menghulurkan tangan dan bersalam. Kak Jah hanya memerhati tingkah mereka. Dia menumpang gembira.

Bunga-bunga kasih yang sedang berkembang di dalam hati Juita semakin harum mewangi. Tatkala menatap wajah ceria Kebeng, cintanya kian mendalam terhadapnya. Sesekali Kebeng mengerling ke arah Juita yang manis dalam senyuman. Sebelum beredar, Kebeng sempat bersalaman dengan Inspektor Polis dan pegawai-pegawai yang bertugas hari itu sambil mengucapkan terima kasih kepada mereka.

Juita, Faiz dan Jenal berasa lega dan gembira, akhirnya kes itu selesai juga. Sebelum bersurai, Faiz menghampiri Kebeng. Dia menepuk-nepuk bahu lelaki itu. Sekali lagi tangan Kebeng digenggam.

“Kebeng, aku mintak maaf. Aku banyak buat salah dengan kau. Aku tak sepatutnya menghalang cinta kau dengan Comel. Kau bertuah kerana berjaya memiliki dia. Dan hanya kau yang layak untuk dia. Aku mengaku kalah.” Tubuh Kebeng didakap erat.

Kak Jah, Hasrul dan Jenal berasa senang hati menyaksikan pengakuan tulus ikhlas dari Faiz. Juita pula tertunduk malu. Hatinya tersentuh dan dia bersyukur, akhirnya Faiz dapat menerima kenyataan yang cinta Juita bukan untuknya. Tidak semena-mena timbul pula perasaan belas terhadap Faiz.

Jenal juga mengambil kesempatan untuk memohon maaf kepada Kebeng. Dia mengaku telah melakukan banyak kesalahan terhadap lelaki itu. Kebeng tercengang mendengar pengakuan Jenal. Dia tidak mengetahui kemalangan motosikal yang pernah dialami sehingga mengakibatkan tangannya patah adalah angkara Jenal. Kebeng enggan memberatkan fikiran maka dia menerima permohonan maaf dengan hati terbuka tanpa bersoal jawap. Dia mahu segera pergi dari tempat itu. Semalaman dia berbaring di atas lantai tanpa alas. Mata sukar untuk lelap. Dia mengantuk. Dia mahu mandi dan tidur di atas tilam empuk. Sebelum itu dia mahu menunaikan solat syukur kerana terlepas dari musibah itu.

Sebelum beredar Faiz dan Jenal bersalaman dengan Hasrul dan Kak Jah. Kak Jah berwajah tenang. Dia menarik nafas lega kerana semuanya telah selesai dengan baik.

“Mak Jah, saya mintak maaf. Saya tidak ada niat jahat terhadap Comel. Selepas ini nanti, saya harap Mak Jah anggaplah saya seperti anak Mak Jah ya?” Merah padam wajah Faiz. Dia memaksa diri untuk bertentangan mata dengan Kak Jah walaupun berasa amat malu. Senyuman yang terukir di bibirnya tampak seperti dibuat-buat.

“Baguslah Faiz, kalau buat silap berani mengaku dan mintak maaf. Jangan pulak tak menjenguk ke gerai, ya?” Kak Jah tersenyum lebar.

Faiz tersengih-sengih sambil mengangguk perlahan. Jenal juga tidak ketinggalan meminta maaf dari Kak Jah.

Faiz menghampiri Juita yang kelihatan sangat gembira tika itu. “Comel, baru ni aku sedar yang cinta itu hadir tanpa dipaksa tapi ia akan pergi apabila terpaksa,” kata Faiz perlahan. Ada nada kecewa di dalam kata-katanya namun berjaya disembunyikan.

“Lupakanlah semua yang dah berlaku. Mulai saat ini kita buka lembaran baru. Kau dan aku tetap kawan. Dan aku tak akan marah-marah kau lagi lepas ni,” jelas Juita ceria.

“Kau pasti akan rindukan usikan nakal aku,” gurau Faiz. Matanya tidak lepas mengerling Kebeng yang asyik memerhatikan perbualan antara dia dan Juita sejak tadi. Barangkali lelaki itu cemburu melihatnya.

Juita ketawa galak. “Ada-ada aje kau ni. Dahlah, jomlah kita balik. Panaslah kat sini.” Juita memimpin tangan Kak Jah menghala ke vannya.

Hasrul mengekor dari belakang sambil melambai tangan ke arah Kebeng, Faiz dan Jenal. Juita tersenyum malu tatkala matanya dan Kebeng bertemu. Sempat pula Kebeng mengenyitkan mata sebelum mereka berpisah.

Sinar matahari yang bersinar seakan turut menumpang gembira dan angin yang bertiup silir-semilir menandakan rahmat dan kasih sayang Allah yang begitu luas tidak terbatas.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Yatie Atiqa Mohamad