Home Novel Cinta MEMORI
MEMORI
Black Velvet
21/4/2022 23:48:19
7,402
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 24
“ALONGGG...!!!” Nyaring suara seorang perempuan menjerit selepas dia menghayunkan penumbuk tepat mengenai muka musuhnya. Dan tendangan dihalakan mengenai perut lelaki sasa itu. Kemudian dia menarik rambut lelaki itu dan dihentakkan pada tingkap cermin kereta di situ sehingga berderai. Setelah itu, datang pula lelaki kedua yang cuba menyerangnya menggunakan batang besi karat berjaya ditangkis apabila dengan mudah dia merampas batang besi itu dan lututnya mendarat pada kemaluan lelaki itu menyebabkan dia menggelupur kesakitan. Batang besi buruk yang berada di tangannya dihayunkan sekuat hati tepat ke arah kepala lelaki itu berkali-kali sehingga dia terkulai di tanah itu bersama darah yang mengalir keluar deras seperti air. 

Perempuan itu berlari sekuat hati ke arah abangnya bersama batang besi karat di tangan untuk memberikan pertolongan. 5 orang lelaki sasa sedang menyerang abangnya tanpa henti. 

Tangkas lelaki itu mematahkan setiap serangan ke atas dirinya apabila adiknya itu datang memberikan pertolongan. Dia mengunci pergerakan salah seorang daripada mereka dan tepat pada itu adiknya merodok perut lelaki itu menggunakan batang besi karat di tangannya dan dia bersama-sama menyertai dalam pertarungan itu. Peluh yang mengalir di pipinya dilap kasar bersama rambutnya sedikit kusut. 

Empat orang lelaki sasa yang masih tersisa itu mula rasa gentar apabila satu persatu rakan sekutu mereka mula tumbang tetapi mereka tetap meneruskan serangan untuk menamatkan misi mereka. 

Tetapi malangnya, setiap serangan mereka langsung tidak berhasil ke atas dua beradik itu apabila mereka berdua sangat lincah menangkis serangan demi serangan yang mereka lakukan.

Itu tidak lama apabila empat buat van masuk ke dalam kawasan tempat pelupusan sampah itu memaksa kedua beradik itu melarikan diri bersembunyi apabila lebih ramai musuh mereka sampai di situ.

Musuh mereka yang lengkap bersenjata itu mula memburu mereka. Beberapa das tembakan yang dilepas membuatkan mereka semakin laju melarikan diri. 

Sampai di satu selekoh tersebunyi mereka mula berhenti. “Kamu sembunyi dekat sini.” Dia berkata begitu apabila melihat adik perempuannya itu jelas keletihan. Dirinya juga termengah-mengah.

 “Along?” cepat-cepat perempuan itu memaut lengan abangnya bersama nafas yang deras. Membulat matanya. Tidak mungkin dia hanya akan membiarkan abangnya seorang diri berlawan dengan mereka semua.

 “Along tak akan apa-apa.” Lelaki itu menyakinkan adik perempuannya yang memaut lengannya semakin kuat tidak membenarkan dia pergi. Mereka tidak boleh selamanya bersembunyi di sini. Lambat laun pasti akan ditemui. 

Perempuan itu menggelengkan kepalanya laju. 

“Berjanji dengan Along. Walau apapun yang terjadi nanti, jangan pernah keluar dari sini. Kamu faham!” keras amaran yang diberikan kepada adik perempuannya. Kedua-dua bahu adiknya itu dipegang. Mereka semuanya hanya inginkan dirinya. Jadi perlawanan ini tiada kena mengena dengan adiknya. 

“Along... tak... tak... kita boleh cari jalan lain. Kita cuba fikirkan...” 

“Kamu faham!” lelaki itu memintas percakapan adiknya membuatkan adik perempuannya mengangguk dalam keterpaksaan. 

“Hati-hati.” Itu sahaja yang mampu diperkata kepada abangnya yang sudah nekad itu. 

Lelaki itu mengangguk dan keluar dari tempat persembunyian mereka melalui arah yang bertentangan. Dia bersiul untuk menarik perhatian mereka yang sedang sibuk menggeladah tempat perlupusan sampah di mana adiknya sedang bersembunyi. 

Sejurus melihat lelaki itu, tanpa berlengah lagi mereka terus menyerang.Laju kaki lelaki itu berlari laju sambil mengelak daripada terkena das tembakan yang dilepaskan. Dia hanya perlu berlari menuju ke arah hutan yang terletak disebalik pintu pagar besi di bahagian belakang tempat pelupusan sampah itu untuk bersembunyi. Dirinya sangat mahir dengan selok belok hutan itu jadi tiada masalah untuknya mengelirukan pihak lawan. Peluh yang masuk ke dalam matanya langsung tidak dihiraukan.

 Tetapi sayang seribu kali sayang sebutir peluru terbang tepat mengenai paha kananya sewaktu tangannya sudah hampir mencapai tombol pintu pagar itu. Dia mengaduh kesakitan di atas tanah.

 Lawannya melepaskan amarah dengan memijak perut dan paha kanannya yang terluka itu berkali-kali untuk melepaskan kemarahan mereka. “Liat betul kau ni!” bengis ketua kumpulan itu berkata sebengis wajahnya. 

Jeritan kesakitan lelaki itu makin kuat membuatkan musuhnya ketawa kepuasan sebelum dirinya diheret untuk mengikuti mereka semua.

 Lelaki itu cuba mencari jalan untuk melarikan diri tetapi sudah mustahil untuknya kerana kesakitan pada paha kanannya semakin mencucuk-cucuknya. Darah sudah lencun membasahi seluarnya. Dalam pada itu, matanya tertala pada satu tempat di dalam tempat longgokan sampah itu. Senyuman kecil terukir di bibirnya. 

Dia tahu adiknya di situ... dia tahu adiknya meronta untuk keluar dari situ... perlahan dia menggelengkan kepalanya menghantar isyarat sebelum dirinya dicampak masuk ke dalam perut van itu. 

Di sebalik longgokan sampah itu, perempuan itu mencuba sedaya upaya untuk tidak menjerit memanggil abangnya. Dia menekup sendiri mulutnya kuat bersama linangan air mata. Dirinya bergelut sendiri... Along... Along... Along... 




 “ALONG!”Jeritan kecil dari Puan Sri Hidayah mengejutkan Pak Idrus yang berada di tempat duduk pemandu. Pantas dia menoleh kebelakang melihat Puan Sri Hidayah yang sudah dibasahi peluh itu. Tepat pada itu azan maghrib sedang berkumandang di radio.

 “Yah... kenapa?” risau dia bertanya. 

Puan Sri Hidayah mengangkat tangannya. Nafasnya yang deras itu menyukarkan dia untuk mengeluarkan kata-kata. Ditarik nafasnya sedalam yang boleh lalu dihembus... proses itu dilakukan berkali-kali sehingga pernafasannya kembali stabil. Sapu tangan diambil dari dalam tas tangannya untuk mengelap peluh di dahinya. 

Setitik air mata jatuh jua di pipinya yang mulus itu. Memori yang sentiasa menghantui dirinya kerap datang menjengah di dalam lenanya sejak kebelakangan ini... dia beristighfar di dalam hati. Badannya disandar lemah pada kerusi kereta sambil dia melihat ke luar tingkap merenung jauh. 

“Aku terfikir Idrus, kalaulah... kalaulah... aku halang Along pergi ke tapak pelupusan hari tu mesti sekarang dia... dia...” Puan Sri Hidayah tidak dapat menghabiskan ayat itu kerana getaran yang semakin kuat di bibirnya. Dadanya sangat sebak. Tidak sepatutnya dia menyokong tindakan abangnya pergi ke situ... itu salahnya! Dia yang bersalah! 

Pak Idrus tertunduk sebelum berkata perlahan. “Yah... semua yang terjadi dah tertulis. Ada hikmahNya. Aku percaya yang Hakim pun tak mintak semua ni berlaku. Jadi kau tak perlu salahkan diri kau.” Pujuk Pak Idrus apabila mendengar tangisan halus di belakang kerusinya. 

Dia membiarkan Puan Sri Hidayah hanyut di dalam tangisannya. Biarlah sahabatnya itu melepaskan apa yang terpendam di lubuk hatinya. Sekurangnya dia akan lega seketika. Tetapi tidak lama dia bersuara kembali. “Yah... Phar.” Matanya menjeling ke arah Tan Sri Tengku Mustaphar yang baru keluar daripada stesen minyak Petronas sambil menjinjit beg plastik kecil. 

Pantas Puan Sri Hidayah mengelap air matanya dan membetulkan tudung bawal dan bajunya yang sedikit berkedut. Dia berdehem sambil nafasnya sekali lagi ditarik. Isyarat mata diberikan kepada Pak Idrus.

 Tan Sri Tengku Mustaphar masuk ke dalam perut kereta dengan senyuman. “Sayang... kenapa ni? Bengkak-bengkak mata...” Beg plastik di letakkan dan dia mengelus lembut pipi isterinya. 

Puan Sri Hidayah menepis lembut sambil bersuara. “Tak ada apa.” 

Pak Idrus mula menekan pedal perlahan keluar daripada perkarangan stesen minyak itu. 

Tan Sri Tengku Mustaphar mengeluh. “Sayang marah abang lagi ke?” Dia mencuit sedikit dagu isteri kesayangannya. Puan Sri Hidayah terus memasamkan wajahnya. Badannya dikeraskan.

 “Yang abang susah-susah nak tengok adik abang yang tak guna tu kenapa? Bila dah susah baru nak cari kita. Masa kita susah dulu... apa dia buat? Dicemuhnya kita.” Puan Sri Hidayah menghamburkan rasa ketidakpuasan hatinya. Wajahnya ditalakan ke luar tingkap kereta mewah itu.

 Puan Sri Hidayah dan Tan Sri Tengku Mustaphar dalam perjalanan ke lapangan terbang menuju ke London bagi menziarahi adik Tan Sri Tengku Mustaphar yang kononnya sakit! Hati Puan Sri Hidayah beribu kali ganda sakit. 

“Sayang...” Keluhan dilepaskan sekali lagi. “Abang faham perasaan sayang. Mungkin ini masanya kita dapat mengeratkan silaturahim yang dah lama terlerai. Walaupun parut tu masih ada di dalam hati ni, tapi sakit tu dah hilang sayang.” Panjang lebar Tan Sri Tengku Mustaphar meluahkan isi hatinya kepada isteri kesayangannya. 

“Kita pun bukan makin muda sayang. Jadi abang harap sangat di hujung-hujung nyawa abang ni kita semua dapat berkumpul bersama. Keluarga kita...” ada getar di hujung suara Tan Sri Tengku Mustaphar. 

Giliran Puan Sri Hidayah pula mengeluh. “Yah bukan apa abang. Yah tak dapat nak lupakan semua tu lagi. Apa yang mereka buat pada keluarga kita... pada abang... apa yang abang terpaksa lalui... hati Yah masih tak kuat untuk memaafkan.” Air mata kembali deras mengalir. Tegak dia duduk memandang ke arah suaminya. “Mungkin jugak Yah tak akan dapat maafkan sampai Yah ma...” 

Terus Tan Sri Tengku Mustaphar meletakkan jari telunjuknya di bibir isterinya untuk menhalangnya dari mengakhiri ayat itu. Dia menarik isterinya ke dalam dakapan bagi menenangkannya. Lembut tangannya mengusap bahagian belakang isteri kesayangannya.

Pak Idrus hanya meneruskan pemanduannya sambil memperlahankan radio yang menjadi penemannya untuk memberi ruang kepada Tan Sri Tengku Mustaphar menenangkan Puan Sri Hidayah. Dia tahu air mata yang jatuh ke pipi sahabatnya itu adalah air mata keramat penuh dendam. Dendam lama yang bersarang hampir dua dekat lamanya menunggu untuk dilepaskan... 




 “Thia... boleh Kak tanya?” takut-takut Nur Farissha bertanya kepada Nur Fathia yang sedang kusyuk menonton televisyen di ruang tamu.

 “Tanya apa Kak?” Nur Fathia mengedipkan matanya. 

“Kamu ada masalah?”

 Pertanyaan itu membuatkan Nur Fathia menyengetkan sedikit kepalanya untuk berfikir. Setahunya dia tidak mempunyai apa-apa masalah. Keningnya dijongketkan.

 “Kak dengar kamu asyik menangis dalam tidur beberapa hari ni.” Nur Farissha berterus terang tanpa tapis lagi. Melihatkan mata Nur Fathia membulat memandangnya dia cepat-cepat bersuara. “Kak tak paksa kalau kamu tak nak cerita.” Dia memegang bahu Nur Fathia. “Cuma Kak nak kamu tahu... yang Kak sudi mendengar.” Lembut dia berpesan kepada Nur Fathia sambil bangun dari sofa dengan senyuman dia berjalan menuju ke dapur untuk melihat masakannya di atas dapur. 

Kosong pandangan mata Nur Fathia melihat ke arah dapur. Sejak dua menjak ini dia terasa dirinya sangat takut. Bahkan untuk melangkah keluar dari rumah pun dia tidak mahu. Mimpi ngeri... jangan cakaplah. Semakin menjadi-jadi... 

Cermin mata besarkan dibetulkan sambil melepaskan keluhan.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Black Velvet