5,988
Kategori:
Genre:
Senarai Bab
Bab 10 (Akhir)

Berbelasan tahun kemudian...

RAJA ARIF menutup Yaasin yang digunakannya sebentar tadi. "Selamat ulang tahun, sayang." Dicium buku kecil itu sehingga menitiskan air matanya. "Saya rindukan awak. Sentiasa rindukan awak."

Satu keluhan berat dilepaskan. Setelah rasa sedikit tenang kerana meluahkan isi hatinya, sang raja bangun dan melipat sejadah yang digunakannya untuk Solat Hajat sebentar tadi.

Sang raja menoleh ke arah katil. Satu senyuman terukir di bibirnya. Langkah kaki diatur ke situ. Dilabuhkan punggungnya di sisi katil, bahagian isterinya sedang tidur.

'Pelik, kan? Cinta aku untuk perempuan ini... tetap ada. Meskipun dalam hati aku ada juga nama Syarina selain darinya. Cinta aku untuk dia, seiring dengan cinta aku untuk Syarina. Betapa kuatnya dia mengharungi semua ini. Beri semangat pada aku, sentiasa bersama aku dalam susah dan senang. Sentiasa menyenangkan hati aku.' Tangannya membelai mesra kepala Permaisuri Aida.

'Kerana dia, banyak yang aku pelajari dalam hidup aku. Lebih sabar. Itu yang paling banyak aku belajar. Terima kasih Ya Allah, kerana kurniakan aku isteri seperti dia... seperti Syarina. Aku sayang mereka. Jagalah mereka, dunia dan akhirat.'

"Kanda tak tidur lagi?" Permaisuri Aida membuka kelopak matanya.

Raja Arif tersenyum. "Dah tidur dah tadi."

"Ingat tak tidur." Peraisuri Aida bangun dari posisi baringnya. Satu senyuman diberikan untuk si suami. "You are crying, right?" Matanya merenung lama anak mata suaminya. Sudah menjadi kebiasaan untuknya melihat anak mata suaminya bila bangun dari tidur. Dan selalunya... anak mata lelaki itu menunjukkan dia baru lepas menangis. Pasti merindui arwah madunya.

"Mana tahu?"

"Because I'm your wife, Your Highness." Permaisuri Aida tersenyum.

Raja Arif membalas senyuman si isteri.

"Happy anniversary."

Berkerut dahi si suami mendengarnya.

"Hari ni... ulang tahun perkawinan kanda dengan arwah Dinda Syarina, kan?"

Raja Arif menitiskan air matanya.

"You miss her, right? Sebab tu... kanda menangis."

Raja Arif mengangguk. Menginyakan pertanyaan si isteri.

Meskipun perkahwinannya dengan Permaisuri Syarina hanya beberapa bulan sahaja, tapi rasa rindu dan cinta untuk arwah isterinya itu tetap ada dalam hatinya.

Permaisuri Aida turut menitiskan air matanya. Tangannya mengusap air mata si suami. "Dinda pun rindukan dia. Dia kan... kawan baik kita. Dia juga sebahagian dari rumah tangga kita."

Raja Arif diam. Tangannya bergerak menghapuskan air mata si isteri. "Kita doakan untuk dia, ye? Biar dia bahagia dekat sana."

Permaisuri Aida mengangguk. Memang Permaisuri Syarina ialah madunya, tapi pada masa yang sama itulah kawan baiknya. Kawan baiknya sejak dia menjadi permaisuri Negeri Kota. Kawan yang sentiasa ada untuknya di saat dia mengalami kesukaran untuk menyesuaikan diri untuk hidup di dalam istana.

Hubungan yang akrab antaranya dan Raja Arif dengan Permaisuri Syarina sebagai kawan baik, telah menyebabkan arwah permaisuri muda Raja Arif itu kehilangan benda yang paling berharga dalam hidupnya sebelum temannya itu menjadi madunya. Dia masih ingat semua itu. Sehingga sekarang meski perkara itu sudah terlalu lama berlalu.

Masih jelas dalam kotak memorinya dengan perangai dan sikap madunya dalam menerima Raja Arif sebagai suami. Dia tahu bukan senang temannya nak lalui hal itu. Temannya terlalu merendah diri dengan kekurangan yang ada pada dirinya. Mengandung anak luar nikah! Anak arwah abang kandung sendiri! Semua itu bukan senang untuk ditempuh.

Dia kagum dengan suami di depannya ketika ini. Sabar, dan terus sabar dalam menerima semuanya dengan rela hati. Berkat kesabaran itulah, akhirnya beberapa bulan terakhir di usia Permaisuri Syarina, dia akhirnya dapat melihat madunya itu tersenyum gembira. Tersenyum bahagia meskipun sedih dan sakit melawan penyakitnya.

Raja Arif pantas menarik tubuh isterinya. Dipeluk erat tubuh wanita itu. "Satu hari... kita pasti akan menyusul dia."

"Ketika kanda mahu pergi menyusul Dinda Syarina... bawalah dinda sekali. Dinda tak sanggup hidup tanpa kanda," balas Permaisuri Aida.

"Sudah tentu. Tapi ajal di tangan Allah. Tak dapat kita nak melawan."

Permaisuri Aida mengangguk dalam pelukan suaminya.

*****

RAJA ARIF menutup pintu kamar. Matanya meliar memandang sekeliling kamar tersebut. Kamarnya dengan Permaisuri Syarina. Senyuman pahit terukir di bibrnya saat dia memandang ke arah sofa yang ada di penjuru kamar itu.

Di sofa itu... dia dan Permaisuri Syarina pernah bersembang dan bergurau senda di situ. Di situ juga tempat mereka berbincang untuk meletak nama bagi anak dalam kandungan Permaisuri Syarina ketika itu. Air matanya mengalir perlahan.

Perhatiannya beralih ke arah katil. Disitulah dia menyuap dan memujuk isteri mudanya itu untuk makan saat isterinya itu sudah tiada semangat untuk teruskan hidup lagi. Di situ juga dia merawat tangan melecur isterinya.

Langkah kaki diatur ke arah bahagian tempat tidur yang arwah isterinya pernah beradu. Diambil bantal yang digunakan Permaisuri Syarina.

"Saya cintakan awak Arif. Sangat-sangat. Terima kasih terima saya yang dah tak sempurna ni. Yang dah nak mati ni." Bagai teriang suara arwah isteri yang telah pergi di pendengarannya.

Raja Arif menyembankan wajahnya di bantal itu. Menghidu bau yang ada. "I miss you so much."

Puteri Sarah menitiskan air matanya melihat ayahandanya begitu. Sering dia melihat dari jauh sikap ayahandanya itu bila tiba sahaja tarikh ini setiap tahun... pasti ayahandanya akan menghabiskan masa di bilik arwah ibu kandungnya. Kemudian Raja Arif akan ke kubur dan ke seterusnya ke masjid, membuat amal bagi pihak arwah ibunya.

Pada pandangan rakyat... ayahandanya ini antara raja yang hebat di Lafiya. Yang kuat dan kental hatinya dalam menempuh apa jua halangan dan dugaan. Tapi tiada orang dalam kalangan rakyat yang tahu bahawa hati Raja Arif itu juga mudah menangis. Lebih-lebih sekiranya melibatkan memori dengan arwah ibunya.

Langkah kaki diatur menghampiri si ayah. Tangannya menyentuh lembut bahu Raja Arif.

Raja Arif mengangkat wajahnya. Basah sudah wajahnya kerana air mata. Tangannya menarik Puteri Sarah untuk duduk di sisinya.

Puteri Sarah membuat gerakan tangan, bertanya adakah ayahandanya sedih merindui ibunya?

Ye, dia merupakan seorang anak yang kurang upaya. Sejak lahir, dia telah disahkan bisu dan pekak oleh doktor.

Raja Arif tersenyum pahit. Kepalanya diangguk perlahan. Menjawab pertanyaan anaknya itu.Puteri Sarah pantas memeluk tubuh si ayah.

'Anak kita... anak kita dah besar, Syarina. Dia cantik macam awak. Anak kita...' ujar hati kecil Raja Arif.

Kalau diikutkan, Puteri Sarah memang bukan anak dari benihnya. Tapi rasa sayang untuk anak itu ada dan wujud dalam hatinya sejak dia menikahi Permaisuri Syarina lagi. Kerana itu... dia tidak pernah walau sekali menganggap anak yang dipeluknya ini bukan anaknya.

Puteri Sarah... adalah anaknya dengan Permaisuri Syarina sampai bila-bila. Jangan dipersoalkan kehadiran dan kewujudan Puteri Sarah bagaimana, kerana tiada siapa mahu dilahirkan sebagai anak tidak sah taraf.

Puteri Sarah melepaskan pelukan. Satu senyuman diukir buat insan yang menjaganya hampir 18 tahun ini. Ibu jari tangan kanannya diletakkan dibawah kelopak mata si ayah. Ingin menghapuskan air mata itu.

Kemudian dia membuat gerakan tangan. Memberitahu bahawa dia juga merindui ibu kandungnya dan meminta ayahnya itu bercerita tentang kehidupan ibunya dengan ayahandanya semasa ibunya itu masih hidup. Dia ingin tahu dan kenal dengan ibu yang melahirkannya ke dunia ini.

Raja Arif mengangguk. Puteri Sarah memang sering memintanya bercerita tentang arwah isterinya. Tidak jemu dan bosan. Tangannya mula bergerak. Bercerita tentang kisahnya dan Permaisuri Syarina semasa mereka berkawan baik.

Puteri Sarah tersenyum lebar.

*****

'CANTIK makam awak, Syarina,' puji Raja Arif dalam hati. Dia tersenyum sambil mengusap tanah di pusara isterinya.

"Saya rindukan awak. Rindu nak masak, rindu nak bergurau, rindu nak bersembang dengan awak. Rindu semua pasal awak. Rindu... sangat." Raja Arif tetap tersenyum meskipun air matanya sudah mengalir.

"Tak apa, rindu ni sekejap je, kan? Sampai masanya nanti... kita pasti akan berjumpa semula. Kita akan jumpa lagi di alam sana. Ye la, saya dah makin tua dah. Sarah pun dah 18 tahun. Cantik dia sekarang ni tau. Dah boleh kahwin dah pun." Satu keluhan berat dilepaskan.

"Syarina, saya terfikir sesuatu. Macam mana agaknya hidup dia nanti kalau saya dan Aida dah tak ada? Macam mana dia nak berhadapan dengan orang? Ada ke lelaki nak terima dia? Sayang dia dan lindungi dia? Jaga dia baik-baik dan tak lukakan hati dia? Kesian anak kita, kan? Kalau hati dia terluka pada siapa dia nak luahkan? Siapa nak dengar luahan hati dia? Saya takut nak lepaskan dia."

"Menakutkan. Saya dalam dilema. Antara nak ikut awak dengan terus bersama dengan anak kita. Ye, saya tahu... sampai masa saya akan ikut awak tapi macam mana dengan anak kita? Kuat ke dia? Saya harap... dia kuat. Sekuat Sarah. Ingat tak soalan awak dulu? Kenapa nak letak nama 'Sarah' pada nama anak kita? Sebab... saya nak dia kuat. Kuat macam Sarah, isteri Nabi Ibrahim as."

"Hm... selamat ulang tahun, sayang. Awak tunggu saya ye? Saya akan datang nanti. Datang ke dunia yang awak berada sekarang. Saya nak balik dulu, esok saya datang lagi. Malam ni... Aida, saya dengan pekerja istana nak buat bacaan Yaasin untuk awak. Hadiah untuk ulang tahun perkahwinan kita. Harap awak suka dengan hadiah tu."

Raja Arif tersenyum. Tangannya mengelap air mata yang mengalir. "Saya sayang awak."

******

Bertahun-tahun kemudian...

RAJA ARIF memusingkan badannya, memandang kawasan sekeliling. Kawasan tersebut seperti taman yang indah. Cantik permandangannya. Penuh bunga-bunga yang mekar elok dan wangi harum semerbak.

'Pelik. Aku dekat mana ni?' Tangannya mengaru-garu kepalanya yang sudah beruban. Tanda sudah berusia. Dia sendiri sudah bercucu, mestilah sudah lanjut usianya.

"Tuai padi antara masak..."

Terkejut Raja Negeri Kota, Lafiya itu mendengar satu suara perempuan sedang bernyanyi. Sedap, merdu dan mendayu-dayu sahaja suara itu. Langkah kaki mula bergerak mencari suara asing itu. Dia seakan pernah mendengar suara itu. Suara yang sudah terlalu lama dia tidak dengar. Hampir berpuluh-tahun yang dahulu.

"Esok jangan layu-layuan."

Telinga ditajamkan ke arah suara.

"Intai kami antara nampak. Esok jangan rindu-rinduan..." sambung suara itu lagi.

Raja Arif memberhentikan langkahnya buat seketika. Letih.

"Anak cina pasang lukah..."

Dengar sahaja suara itu masih bernyanyi, langkah terhenti diteruskan semula.

"Lukah dipasang di Tanjung Jati... Di dalam hati tidak ku lupa... Sebagai rambut bersimpul mati..."

Tangan Raja Arif mula menolak daun-daun yang berjuntai di hadapannya. Mata dikecilkan tatkala cahaya dari kawasan itu terlampau terang. Matanya dipejam buat seketika. Setelah berasa sedikit selesa, dia membuka semula matanya.

"Batang selasih permainan budak... Daun sehelai dimakan kuda..."

Bulat matanya melihat seorang wanita cantik sedang bernyanyi dan mengayun buaian tidak jauh dari tempatnya berdiri. "Bercerai kasih talak tiada... Seribu tahun kembali juga..." Entah kenapa mulut sang raja menyambung nyanyian itu.

Wanita yang khusyuk bernyanyi menghentikan ayunan buaiannya. Dia menoleh ke arah sang raja. Senyuman manis diberikan. "Burung merpati terbang seribu..."

Terkejut Raja Arif melihat wajah itu.

"Hinggap seekor di tengah laman..."

Wajah yang teramat dirindunya berpuluh-puluh tahun ni. Raut wajah itu sangat cantik. Tidak. Sebenarnya lebih cantik dari dulu. "Syarina."

Permaisuri Syarina turun dari buaian dan menghampiri suaminya. "Hendak mati di hujung kuku..."

"Hendak berkubur di tapak tangan..." sambung Raja Arif.

Permaisuri Syarina menggengam kedua-dua tangan suaminya sebaik sahaja dia sudah berdiri tegak di hadapan suaminya yang semakin dimamah usia. "Kalau tuan mudik ke hulu... Carikan saya bunga kemboja..."

"Kalau tuan mati dahulu... Nantikan saya di pintu syurga..." serentak pasangan diraja itu menyanyi rangkap akhir.

Permaisuri Syarina tersenyum manis. Dicium hormat tangan suaminya.

Raja Arif mengusap kepala isterinya. Saat isterinya menunduk untuk mencium tangannya.

Kedua tangan Permaisuri Syarina menekap kedua-dua pipi suaminya. "Saya rindukan awak. Rindu sangat-sangat."

"Saya pun rindukan awak jugak."

"Awak dah semakin tua." Permaisuri Syarina ketawa kecil. "Banyak uban, badan... pulak makin kurus."

"Kita dah ada cucu sayang. Jadi saya ni dah dimamah usia. Tak kan makin hensem pulak."

"Tapi awak tetap kacak dalam hati saya, Arif."

"Awak pula masih cantik. Lagi cantik dari dulu." Tangan kanan sang raja mengulus lembut pipi isterinya. "Semasa awak masih berdiri di sisi saya dan Aida."

"Semuanya sebab hadiah yang awak kirim pada saya. Hari jadi saya, ulang tahun perkahwinan kita, hari lahir Sarah dan hari-hari yang awak sentiasa sedekahkan Al-Fatihah, Yaasin dan bacaan Al-Quran untuk saya." Badannya dipusingkan membelakangkan si suami.

Raja Arif memeluk tubuh isteri yang sangat dirinduinya itu dari belakang. "Tak Syarina. Semuanya kerana amalan awak sendiri. Amalan yang awak buat semasa awak masih hidup. Kesabaran awak meniti ujian. Ketabahan awak menempuh dugaan. Apa yang saya buat selama ni, adalah penyampaian rasa cinta dan rindu saya kepada awak selepas awak pergi. Saya teramat rindukan awak."

"Terima kasih suamiku untuk semuanya yang kau sudah lakukan. Saya suka semua hadiah-hadiah yang awak kirimkan untuk saya." Dilentokkan kepalanya pada dada suaminya. "Awak masih cintakan saya tak?"

Raja Arif mengangguk. "Saya sangat cintakan awak. Cinta tu tak berubah, meski awak dah tiada di sisi saya."

"Awak, jom ikut saya."

Raja Arif mengangguk.

*****

"KANDA... kanda..." Permaisuri Aida mengoncangkan tubuh suaminya. Dia melihat dada suaminya semakin lama semakin tinggi. Air mata mengalir perlahan. "Kanda..."

Raja Arif menarik nafas panjang. Kemudian dihembus perlahan-lahan. "Allah..."

Permaisuri Aida mengesat air matanya yang mengalir. Dikucup dahi si suami yang mengukir senyuman indah dan manis di bibirnya, meski rohnya sudah pun terpisah dari jasad.

"Pergilah kanda. Pergilah dengan tenang berjumpa Allah. Pergilah berjumpa dengan isteri yang tersangat kanda rindu sejak pemergiannya, iaitu Adinda Syarina."

Tangannya mengusap rambut suaminya. "Tunggu dinda ye, kanda. Dinda akan menyusul kanda dan Dinda Syarina nanti." Lantas dipeluk tubuh kaku si suami.

*****

"NANTI... kita jemput Kanda Aida pula ye?" Permaisuri Syarina tersenyum manis.

Raja Arif mengangguk.

Permaisuri Syarina merenung lama wajah suaminya. Wajah si suami yang tadi kelihatan tua seperti usia suaminya, kini sudah berubah menjadi wajah seorang lelaki yang muda. Kacak. "Dulu... kita cuma sempat hidup bersama selama beberapa bulan. Tapi sekarang..."

"Selama-lamanya," sambung Raja Arif. Ditarik tubuh isterinya dalam dakapan.

----- TAMAT -----

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh