458
Kategori:
Genre:
Senarai Bab
Shasha - Bab 3

Mami ke office. Ada urgent meeting. Lunch Mami balik. Tak perlu masak OK.

Selembar Post It Note berwarna merah jambu yang melekap pada pintu peti sejuk aku baca sambil lalu. Sekotak jus buah-buahan campur aku keluarkan dari peti tersebut. Sambil menjamah nasi goreng aku melirik ke arah tingkap dapur. Matahari bersinar cemerlang pagi ini. Sebenarnya tidaklah pagi sangat. Sudah melewati jam sepuluh pagi. Usai solat Subuh aku kembali beradu. Malam tadi seperti dijangka tepat jam sebelas aku tiba dirumah. Mami masih belum pulang. Sementelah hari ini adalah hari Sabtu aku kembali sahaja menyambung tidur. Begitu, baru puas menikmati hari cuti agaknya. Siap bersarapan aku melangkah ke pintu dapur. Sudah lama pintu itu dibiar tertutup rapat. Tiada sesiapa mahu ke laman belakang. Bukan tidak mahu. Tetapi, tiada masa untuk ke situ. Alang-alang aku tidak mempunyai sebarang aktiviti pada pagi ini, ringan sahaja kaki aku melangkah ke laman belakang. Pilu hati melihat kebun dapur ini. Dahulu, Mami gemar mencuri waktu senggang dengan berada disitu. Menanam ulam-ulaman dan sayuran yang mudah ditanam. Disatu sudut dimana ulam raja subur membiak bagaikan hidup segan mati tak mahu. Hanya tinggal tanah lapang yang semak dengan dedaun kering yang dipagari oleh pecahan bata yang membentuk segi empat tepat. Pasu pelbagai saiz bertimpa tersusun ditepi dinding. Tapak semaian juga begitu. Sibuk sangatkah Mami? Aku mengerling sebuah beg berisi tanah hitam. Sebuah lagi beg bersaiz kecil berisi coco peat. Botol racun organik dan sebakul alatan berkebun. Daripada buka buku menelaah pelajaran sesekali apa salahnya mengerah keringat untuk berkebun. Pasti akan ada hasilnya juga. Aku menyelongkar kotak kayu disatu sudut. Melihat beberapa pek kecil biji benih pelbagai tanaman berada di dalamnya. Bibirku terjungkit sedikit. Puas kerana pelan berjalan lancar.
"Hana!" segera wajah dipalingkan ke arah laungan yang kudengar. Kak Nora terpacak berdiri dipagar berdawai besi yang menjadi penanda sempadan kawasan. Satu senyuman mesra dilemparkan kepadaku. Aku tersengih. Lantas mendekati wanita yang hampir sebaya usianya dengan Mami.
"Rajin anak dara berkebun. Terkejut Kak Nora tadi. Ingatkan pencuri nak pecah rumah." kata Kak Nora ramah. Wajah keibuan itu tampak lega.
"Pencuri akak, eh?" sahutku pula sambil tertawa geli hati.
"Tengah hari ni makan dirumah akak. Lily tak balik hujung minggu ni. Ada company trip." Kak Nora berkongsi cerita. Aku hanya tersenyum mendengarnya.
"Mami nak balik nanti. Dia pergi sekejap je tu." kataku pula tanpa perlu menjelaskan ke mana Mami pergi. Kak Nora, jiran sebelah rumahku. Sejak dari bersekolah rendah aku menetap di kejiranan ini. Sejak itu juga aku mengenali Kak Nora, janda beranak empat yang gigih membesarkan anak tanpa suami disisi. Apa sahaja yang berlaku di dalam keluargaku Kak Nora pasti tahu. Mungkin kerana hubungan Mami yang rapat dengan Kak Nora. Mungkin juga kerana nasib mereka berdua sama menyebabkan perhubungan itu lebih mudah dijalinkan.
"Oh, yeke? Tapi, Kak Nora masak lebih. Kalau Hana rasa nak makan percik ikan bagitahulah ye." ujarnya tanpa sedikit pun berasa terkilan. Aku senyum lagi sambil mengangguk kecil. Lebih dari sepuluh tahun kami berjiran. Susah senang kami sentiasa menjaga antara satu sama lain.
"Mari Kak Nora tolong." Aku tersentak sedikit sebelum pintu kecil dibahagian belakang dibuka untuk memberi laluan kepada Kak Nora masuk.
"Nak bertanam ni kena ada ilmu juga. Bukan sebarang je." kata Kak Nora lagi lantas menerpa kearah susunan pek biji benih yang sengaja aku pamerkan di atas lantai simen. Dia membelek bungkusan kecil tersebut sebelum mengambil salah satu darinya.
"Kacang buncis ni elok rendam dahulu semalaman sebelum semai." ujarnya sambil mencangkung ditepi longkang. Aku turut mengambil tempat disisinya. Seingat aku, sejak kecil tatkala Mami pulang hingga lewat malam atau perlu ke luar daerah, batang tubuh wanita itulah tempat aku menumpang kasih. Tak terkira berapa kali diribaan wanita itu aku terlelap. Tak terhitung juga air tangan wanita itu menjadi darah dagingku. Banyak pengorbanan Kak Nora meskipun dia sendiri sibuk dalam membesarkan anak-anak. Mujurlah mereka semua sudah dewasa ketika itu.
"Erm.. Kak Nora, Abang Didi tak balik?" soalku tidak semena-mena. Ya. Tanpa sengaja ingatanku teringatkan anak bongsu Kak Nora. Sewaktu kecil dahulu, aku, Kak Jojo dan Abang Didi kerap juga bermain bersama-sama. Kak Jojo itu ialah kakak kandungku yang bernama Jannah. Sejak kecil aku sudah terbiasa memanggilnya begitu. Hinggalah besar, nama panggilan itu melekat untuk mereka semua. Begitu juga Kak Nora. Kakakku menggelar wanita itu dengan panggilan Acik. Hanya aku yang memanggilnya Kak Nora. Pertama kali aku mendengar Mami memanggil Kak Nora, terus ianya menjadi ikutan dan sukar pula untuk membuangnya.
"Abang Didi macam tulah. Susah nak balik ke sini. Dia suka sangat duduk sana." ujar Kak Nora separuh hiba.
"Tapi, Abang Didi, kan anak lelaki. Patut dialah yang jaga Kak Nora." getusku tanpa sengaja. Aku menggigit lidah tidak bertulang ini. Sudah terlambat untuk berasa kesal.
"Tak apa. Kak Nora bukannya ibu yang uzur. Masih gagah lagi. Setiap minggu ada aje tempahan. Lagipun abang long dan kak ngah pun tiap-tiap bulan balik ke sini. Biarkanlah Abang Didi tu.. Darah muda ni lain macam semangat dia. Semua perkara nak dicuba." jelas Kak Nora panjang lebar. Aku terpaku. Mudah bagi Kak Nora menjalani situasi kehidupannya. Aku pula yang tidak senang padahal isu itu tidak langsung berkaitan dengan diriku.
"Kak Nora tak sunyi?" soalku ingin tahu. Kak Nora memandangku dengan senyuman yang melebar.
"Sunyi? Jadual Kak Nora sama macam Mami. Ada kala sampai malam Kak Nora dekat kelas lagi." jawab Kak Nora merujuk kepada kelas mengaji yang diadakan pada waktu malam di surau berhampiran.
"Taklah. Mami lagi sibuk. Sampaikan tak ada masa untuk anak-anak." tingkahku pula. Kedengaran lirih. Tapi begitulah apa yang aku rasakan setiap kali isu Mami dan kerjayanya diungkitkan. Aku tidak lagi bercangkung. Punggung menyentuh lantai simen sambil kaki dilunjurkan. Begitu juga Kak Nora. Ketika aku melayan sepi yang menebari jiwa, satu elusan kecil dibahu membuatkan aku menoleh. Satu senyuman kelat aku hadiahkan pada Kak Nora.
"Suatu masa dulu Kak Nora pun seperti Mami. Hana kena support Mami. Siapa lagi tulang belakang dia kalau bukan korang dua beradik." Ah! Kak Nora tak mungkin faham apa yang aku rasakan ini. Pada matanya Mami yang perlu diberikan perhatian. Yang harus dilebihkan. Yang sentiasa betul dalam setiap tindakan. Sedangkan aku tergapai-gapai berusaha mengimbangi diri dengan situasi. Sedaya upaya aku menutup rasa kecil hati membesar dalam keadaan diri sentiasa disisihkan. Aku bukan anak kesayangan. Itulah fakta. Sejak dulu aku perhatikan sahaja layanan istimewa yang diterima oleh Kak Jojo dari Mami. Sebab itulah aku memohon untuk tinggal diasrama sejak dari tingkatan satu. Daripada terbeban dengan rasa cemburu lebih baik aku mencari teman baru. Sama-sama bersusah senang di dunia budak hostel!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh