5,106
Kategori:
Genre:
Senarai Bab
Bab

666

Kathy terjaga dari tidur. Nafas didengus. Jam di dinding dilihatnya sekilas. Hampir menunjukkan pukul 3.00 minit pagi.

Dum! Dum! Dum!

Bunyi ketukan itu kedengaran lagi. Kathy menolak tubuh dan duduk di birai katil. Lenanya serta merta hilang. Sejak hari pertama dia menyewa di situ hampir dua minggu yang lalu, bunyi itu kerap kali menganggu lenanya. Hampir setiap malam ketukan itu kedengaran. Bukan dari pintu biliknya sebaliknya datangnya dari bilik yang terletak di tingkat bawah. Dia sendiri tidak tahu, apa atau siapa yang berada di dalam bilik tersebut. Sejak dari awal dia duduk di situ, tuan rumah telah melarang dirinya dari membuka atau mendekati bilik tersebut. Bahkan menjelang lewat malam juga dia dilarang keluar dari bilik. Jika dia berada di luar rumah pula selepas waktu 12.00 tengah malam, dia dilarang untuk pulang.Walaupun syarat-syarat yang dikenakan dirasakan agak pelik dan aneh tetapi dia tiada pilihan lain. Hanya rumah itu satu-satunya yang berdekatan dengan tempat kerja barunya dan juga mengenakan sewa yang agak murah.

Hari ini kesabarannya terasa diuji. Sudahlah sejak akhir-akhir ini dia mengalami kesukaran untuk tidur. Baru sahaja mahu terlena, bunyi ketukan itu pula menganggu. Kathy membulat tekad. Larangan tuan rumah tidak dipedulikannya.

Tombol pintu bilik diputar. Dia melangkah keluar. Pintu bilik tuan rumah yang terletak bertentangan dengan biliknya kelihatan tertutup rapat. Bunyi ketukan itu masih kedengaran. Kathy menuruni tangga. Satu persatu anak tangga diinjak dengan berhati-hati. Sesekali dia mendongak melihat ke arah pintu bilik Vivian, tuan rumahnya. Kelihatan tertutup rapi.

Sebaik kaki menginjak anak tangga yang terakhir, deria pendengaran Kathy menangkap satu suara seakan-akan sedang meratib. Kedengaran tenggelam timbul dengan butir bicara yang langsung tidak difahami. Dahi Kathy berkerut. Aneh kian menghurung jiwa.

Perlahan-lahan dia menjengukkan kepala dari ruangan tangga. Retinanya lekap memandang ke arah bilik bawah yang terletak agak terbelakang. Jauh dari ruangan dapur tetapi masih mampu dijangkau dengan pandangan mata.

Satu susuk tubuh berpakaian serba hitam dilihat sedang duduk di hadapan pintu bilik tersebut. Tubuhnya terhingguk-hingguk. Ketukan dari dalam pintu bilik langsung tidak dipedulikannya. Sesekali kedua-dua belah tangannya diangkat dan memegang permukaan pintu. Sejurus itu dia mencantumkan kedua-dua telapak tangan dan disatukan ke dada. Sebatang lilin kelihatan terpacak di hadapannya.

Kening Kathy bertaut melihat perlakuan aneh mirip ritual penyembahan itu. Dari ruangan tangga itu dia hanya mampu melihat sisi tubuh berpakaian serba hitam itu. Dia cuba menjengukkan kepala untuk melihat dengan lebih jelas. Tidak semena-mena susuk tubuh itu memalingkan wajah melihat ke arahnya. Serta merta Kathy menarik semula wajahnya ke belakang. Jantungnya berdebar-debar. Liur ditelan terasa lambat melalui tekak. Berlama-lama Kathy begitu sebelum dia memberanikan diri untuk menjenguk semula ke arah bilik tersebut. Kelibat berpakaian serba hitam itu tidak lagi kelihatan di situ. Hilang sama sekali.

Bergegas Kathy mendaki tangga dan masuk ke dalam biliknya. Pintu bilik dikunci rapat. Dia berbaring di atas katil. Apa yang dilihatnya sebentar tadi berputar ligat di fikiran. Susuk tubuh berpakaian serba hitam itu kelihatan seperti tuan rumahnya. Tapi apa yang dibuat di hadapan bilik tersebut? Dan apa pula yang berada di sebalik pintu bilik tersebut? Persoalan demi persoalan mengasak minda. Dan akhirnya dia langsung terlelap.

***

Sekitar jam 8.30 minit pagi, Kathy telah siap untuk ke tempat kerjanya. Anak tangga dituruni satu persatu. Sebaik kaki menginjak anak tangga terakhir, kejadian semalam kembali berputar di fikiran. Dia menoleh ke kiri. Melihat ke arah bilik yang dilarang didekati oleh tuan rumah itu. Kelihatan tertutup rapat.

Sebaik dia mengalihkan wajah ke hadapan, satu susuk tubuh muncul dihadapannya secara mendadak. Kathy terperanjat bukan kepalang. Hampir-hampir dia jatuh terduduk di situ. Nafas dihembus kasar berulang kali sambil mengusap-usap dadanya sendiri.

“Kenapa? Ingat hantu?”soal Vivian sinis.

Kathy tidak menjawab persoalan tersebut. Dia melangkah melewati Vivian. Entah mengapa, kejadian semalam kian kuat berlegar-legar di dalam fikirannya. Kathy menoleh memandang tuan rumahnya itu.

“Boleh saya tanya something?”soal Kathy.

Vivian merenung wajah Kathy dalam-dalam. Kathy yang pada mulanya ingin menyoal tertelan semula kata-katanya. Jujurnya tuan rumahnya itu berperangai agak pelik. Tidak pernah Kathy melihat tuan rumahnya itu ketawa ataupun tersenyum. Wajahnya serius sepanjang masa. Dan renungannya juga adakalanya kelihat menakutkan.

Perlahan-lahan Kathy menggelengkan kepalanya semula.

“Tak apalah. Saya pergi kerja dulu.”ujar Kathy seraya terus berpaling.

“Kathy.”suara Vivian kedengaran memanggilnya.

Kathy berhenti dan menoleh. Vivian merenung dirinya lama sebelum bersuara.

“Rasa ingin tahu adakalanya boleh membunuh.”ujar Vivian.

Kathy terdiam mendengarnya. Liur ditelan terasa lambat melalui tekak. Segera kaki dihayun melangkah keluar dari rumah. Makin hari dia berasakan suasana di rumah itu semakin aneh.

***

Kathy tekun melakukan kerja. Selang sepuluh minit kemudian, dia menggeliat kecil meregangkan otot. Kerusi ditolak ke belakang. Dia melangoi. Fikirannya tidak putus-putus memikirkan perihal yang berlaku semalam. Sikap Vivian yang aneh juga mengundang rasa tidak selesa kepada dirinya.

“Jauh termenung nampak? Ada masalah ke?”tegur Shahrul, rakan sekerjanya.

Kathy menoleh. Shahrul dilihat sedang berdiri di sebelahnya. Dia melemparkan senyuman.

“Tak ada masalah apa sangat pun. Pasal bilik yang aku sewa sekarang ni. Tuan rumahnya tu perangai pelik sikit. Itu aje.”ujar Kathy.

“Biasalah tu. Tak semua manusia yang kita boleh masuk kepala. Kau menyewa rumah dekat mana?”soal Shahrul.

“Taman Mewangi.”balas Kathy ringkas.

Sejenak mata Shahrul membulat. Keningnya sedikit terangkat. Kathy menjungkitkan kening.

“Kenapa dengan kau ni? Terkejut semacam aje?”tegur Kathy kehairanan.

“Kau tak tahu kisah tentang taman tu?”soal Shahrul.

Kathy menggeleng.

“Aku bukannya orang sini. Jadi memang aku tahu menahu sangat pasal taman tu. Apesal?”

“Kau tak baca surat khabar ke?”soal Shahrul lagi.

“Tak minat. Banyak politik. Bosan. Boleh tak kau terus terang kenapa?”suara Kathy agak meninggi.

“Sebenarnya dekat kawasan taman kau duduk tu, kalau tak silap dah lima kali kes kematian berlaku. Setiap mangsa ditemui mati di dalam rumah dengan dada terobek dan kehilangan jantung. Sampai sekarang pembunuhnya masih tak dapat dikesan. Lebih baik kau hati-hati.”pesan Shahrul di hujung bicara.

Kathy terdiam mendengar berita yang disampaikan Shahrul. Hati kecilnya mula terasa menyesal menyewa di situ. Hendak mencari bilik sewa baru dalam tempoh terdekat, dia sudah tidak mempunyai wang. Mahu tidak mahu dia perlu tinggal juga di situ sebelum mendapat gaji. Sudahlah sikap tuan rumah dan persekitaran rumah itu yang aneh. Kini ditambah pula dengan berita menggerunkan dari Shahrul sebentar tadi. Satu keluhan terhembus. Entah mengapa tidak semena-mena kejadian semalam, sikap aneh Vivian dan berita pembunuhan itu bermain-main di fikiran. Lekas-lekas Kathy menggelengkan kepala. Dia tidak mahu membuat andaian yang bukan-bukan.

***

Sebaik pulang, kereta milik Vivian kelihatan tidak kelihatan olehnya di hadapan rumah. Jarang-jarang sekali dia keluar ke mana-mana. Kathy melangkah masuk ke dalam rumah. Matanya mengitari mencari-cari susuk tubuh Vivian. Tetapi tidak kelihatan di mana-mana. Langkah diatur menuju ke dapur sebelum kakinya terhenti tatkala melintas bilik yang terletak di ruangan bawah itu.

Matanya merenung pintu bilik yang terkunci rapat itu. Mata mengitari sekitar pintu tersebut. Benang berwarna kuning meliliti tombol pintu. Pintu bilik dikunci rapi dari luar. Mangga besar kelihatan tergantung di situ. Beberapa tulisan mirip aksara Siam tertera melatari permukaan pintu bilik. Dan di tengah-tengah pintu bilik kelihatan nombor 666.

Pandangan mata Kathy tersorot pula ke arah ruangan kecil yang menjarakkan antara pintu dan lantai. Perlahan-lahan dia merapati. Kathy merebahkan pipi di atas lantai. Matanya mengintai dalaman bilik itu menerusi ruang kecil tersebut. Tiada apa yang mampu dilihatnya dengan ruangan sekecil itu. Pandangannya terhad dan terbatas.

Sejenak pipinya terasa melekit. Bau hanyir melekat di rongga pernafasan. Dia mengangkat wajah. Pipinya dikesat. Telapak tangannya dilihat sekilas. Mata Kathy terbuntang melihat tapak tangannya berlumuran darah merah pekat. Pandangannya terhunjam ke arah lantai. Dari ruangan kecil itu, darah merah melimpah keluar. Membuak-buak hingga membentuk takungan di atas lantai.

Kathy terperanjat. Dia terbangun serta merta. Pipinya yang berlumuran darah dikesat-kesat. Sebaik melihat telapak tangannya, Kathy kaget. Tapak tangannya bersih dari sebarang darah. Matanya beralih ke arah lantai yang berlumuran darah. Liurnya terasa mengental di tekak. Lantai kelihatan bersih sama sekali.

Apa sebenarnya yang sedang berlaku?

Persoalan itu menghentak benak fikiran Kathy. Bulu romanya dirasakan merinding. Lekas-lekas dia mendaki tangga menuju ke tingkat atas.

Dia menggenggam tombol. Belum sempat dibuka, telinganya mendengar suara mendengus dan menderam. Kathy terdiam. Suara itu datangnya dari belakang tubuhnya. Lambat-lambat Kathy menoleh. Kosong. Suara garau itu masih terdengar lagi olehnya. Pandangan mata Kathy mati di pintu bilik Vivian. Suara itu datangnya dari situ.

Kathy berlibang libu. Hatinya mendesak untuk mengetahui tetapi akal melarang. Akhirnya Kathy tunduk pada kemahuan hati. Perlahan-lahan langkah diatur merapati bilik Vivian. Tombol pintu diramas lalu diputar. Tidak berkunci. Kathy menolaknya ke dalam. Bau hapak menyerbu rongga hidung hingga dia terbatuk-batuk. Persekitaran gelap dan kelam. Suis lampu ditekan. Serta merta lampu bernyala.

Bilik tersebut kelihatan bersepah dan tidak tersusun. Tidak kelihatan sesiapa di situ. Suara garau yang mendengus dan menderam tadi tidak lagi kedengaran. Mungkin apa yang didengari tadi hanyalah cetusan perasaannya semata-mata, fikir Kathy sendirian.

Matanya mengitari segenap inci bilik tersebut. Keningnya bertaut. Bagaimana Vivian boleh duduk dalam bilik yang berbau busuk dan kotor sebegitu rupa?

Dia mengitari bilik tersebut. Pandangan matanya tersorot ke arah kepingan kertas surat khabar di atas meja. Kathy menghampiri. Tatkala itu kakinya terpijak sesuatu yang bergaris-garis. Dia menundukkan kepala melihatnya. Ukiran bintang berbucu enam diukir atas lantai. Dahi Kathy berkerut melihatnya. Puas dia memikirkan tujuan apa bintang itu tetapi tiada jawapan yang muncul di fikiran.

Kathy mendapatkan meja yang bertimbun keratan surat khabar dia atasnya. Salah satu keratan surat khabar itu dicapai dan dibacanya sekilas. Isi kandungan memaparkan tentang penemuan mayat seorang lelaki yang terobek dadanya dan kehilangan jantung. Kepingan surat khabar lain dibeleknya. Isi berita yang hampir serupa tetapi kali ini mangsanya seorang wanita.

Kenapa Vivian begitu berminat dengan berita-berita tersebut?

Hati Kathy mula mendendangkan satu rasa yang tidak enak. Dia mengitari sekitar bilik tersebut. Sejenak pandangan matanya tersorot ke arah katil. Perlahan-lahan dia menunduk. Cadar yang menutupi katil diselaknya. Matanya terbuntang sebaik melihat di bawah katil Vivian.

Tengkorak kambing, batang liling berwarna hitam dan putih, semangkuk cecair merah pekat yang berbau hanyir, benang kuning dan pelbagai lagi barangan aneh berada di bawah katil itu. Tatkala itu telinganya bunyi deruman kereta. Kathy menolak tubuh dan bangun serta merta. Dia pasti Vivian telah pulang.

Tergesa-gesa Kathy melangkah keluar. Lampu dipadam dan pintu bilik ditutup rapat. Dia berlari masuk ke dalam biliknya sendiri. Kathy tersandar di pintu biliknya. Jantungnya berdetak kencang. Nafasnya menderu. Cerita Shahrul terngiang-ngiang di telinga. Apa yang dilihatnya di bilik Vivian membuatkan Kathy tidak betah.

Dia dapat berasakan Vivian mempunyai kaitan dengan lima penemuan mayat terobek dada di kawasan perumahan itu! Telefon bimbit dikeluarkan. Dia mendail 999. Jarinya terhenti sebaik ingin menekan butang dail. Apa bukti yang boleh dikaitkan Vivian dengan pembunuhan itu? Bagaimana kalau telahannya silap? Kathy membatalkan niat untuk membuat panggilan kepada pihak polis. Dia sendiri akan mencari bukti tersebut. Jika benar Vivian bersalah, wanita itu harus dihadap ke muka pengadilan!

***

Dum! Dum! Dum!

Dentuman itu kedengaran lagi olehnya. Kelopak mata Kathy terangkat. Jam di dinding menunjukkan 2.35 minit pagi. Perlahan-lahan Kathy bangun. Sedari tadi dia tidak tidur. Rasa kantuknya hilang dengan hambatan-hambatan persoalan di fikirannya. Rasa ingin tahu bergelojak di dalam hatinya. Dia nekad untuk mengetahui apa sebenarnya yang berada di sebalik bilik tersebut.

Dia melangkah keluar dari bilik. Perlahan-lahan bertapak menuruni tangga. Di anak tangga yang terakhir, Kathy menjengukkan kepalanya dari sebalik dinding. Mata merenung bilik tersebut. Kelihatan tertutup. Dentuman masih kedengaran. Tidak kelihatan sesiapa di hadapannya. Kathy menghela nafas lega.

Langkah terus diatur menuju ke arah bilik tersebut. Semakin dekat langkah diatur, semakin kuat kedengaran bunyi ketukan itu. Kathy berdiri di hadapan pintu bilik tersebut. Tombol pintu digenggam erat. Tidak semena-mena bulu romanya dirasakan merinding. Leher dan kepalanya terasa mengembang. Serta merta Kathy melepaskannya. Kathy mengepal genggaman. Teragak-agak untuk mengetuk.

Dum! Dum! Dum!

Dentuman kuat dari dalam membuatkan dia terperanjat sehingga terundur beberapa langkah ke belakang. Rasa ingin tahu yang mengasak jiwa membuatkan Kathy merapati semula pintu bilik tersebut. Baru sahaja tangan diangkat untuk mengetuk, tidak semena-mena satu bauan hanyir keras menusuk hidung. Isi perut terasa bergelodak. Bila-bila masa sahaja dia boleh termuntah di situ.

Kathy menekup hidung. Pintu diketuknya sekali dua. Dia berdiri di hadapan pintu itu menanti sebarang respons. Lama menanti tiada balasan yang diterima. Baru sahaja dia merancang untuk mengetuk sekali lagi, kedengaran satu suara sedang merintih. Kathy terlingas-lingas sekeliling sebelum pandangan mati ke arah pintu bilik di hadapannya itu. Suara rintihan itu datangnya dari dalam bilik tersebut.

“Siapa dalam sana?”soal Kathy separuh berbisik.

Suara itu masih kedengaran merintih. Hati Kathy mula mendendangkan rasa tidak enak. Dia seakan dapat menganggak ada sesuatu yang tidak kena sedang berlaku di dalam rumah itu.

“Tolong jawab? Siapa dalam sana?”soal Kathy lagi.

“To.long..sa..ya..”kedengaran suara seorang perempuan menjawab dengan bersusah payah.

Mangga itu dibelek. Dia merentap-rentap tetapi enggan terbuka. Fikiran Kathy mula berputar ligat untuk mencari jalan bagi melepaskan wanita yang terkurung di dalam bilik tersebut.

“Tunggu. Saya akan selamatkan awak.”

Kathy berlalu ke dapur. Setiap laci kabinet dapur dibukanya. Dia mencari sesuatu untuk memecahkan mangga yang memagari pintu bilik itu. Laci terakhir dikuak. Penukul kelihatan berada di dalamnya. Lekas-lekas Kathy mencapainya. Pantas meluru ke arah bilik itu semula.

Belum sempat dia menghentakkan penukul ke arah mangga tersebut, kedengaran bunyi tapak kaki seseorang sedang menuruni tangga. Kathy menoleh. Biasan cahaya memuntahkan bayang-bayang hitam sedang menuruni tangga.

Ah, sudah!

Kathy terkalih-kalih mencari ruang untuk menyembunyikan diri. Pandangan matanya terpaku ke arah meja makan yang dilapiki kain. Hanya di bawah meja itu satu-satunya ruang untuk dia bersembunyi. Kathy meluru pantas dan menyelitkan tubuhnya di bawah meja. Dia membongkokkan tubuh dan berdiam diri.

Selang beberapa saat, satu susuk tubuh berpakaian serba hitam menuruni tangga. Tidak sukar untuk Kathy mengecami wanita itu adalah Vivian. Matanya memerhati setiap pergerakan wanita itu.

Vivian dilihat merapati bilik yang terkunci itu. Berdiri lama di situ sebelum kelibatnya menghilang di sebalik ruangan dapur. Tidak lama kemudian kelibat itu muncul semula. Sepasang kaki itu mundar mandir di hadapan bilik tersebut sebelum perlahan-lahan bertapak menuju ke arah Kathy.

Jantung Kathy berdegup kencang. Penukul dalam genggaman dikepal erat. Dia bersedia menanti apa jua yang bakal berlaku. Sepasang kaki itu berdiri lama di hadapan meja. Perlahan-lahan kain yang mentabir meja makan disingkap ke atas.

Kathy menggenggam erat tukul. Jantungnya terasa seakan ingin melompat keluar dari kerangka dada. Tidak semena-mena kedengaran bunyi sesuatu jatuh berselerakan dari tingkat atas. Kain meja terhenti dari disingkap. Serta merta sepasang kaki itu berkalih. Selajur dia berlalu memanjat tangga menuju ke tingkat atas.

Kathy menghembuskan keluhan lega. Serta merta dia menyelit keluar dari bawah meja. Pantas dia menghampiri bilik tersebut. Tanpa menunggu lama, Kathy mengangkat tukul tinggi lalu menghentaknya ke arah mangga tersebut. Sekali hentakan, penyendal yang diskru ke papan pintu mula terkopak. Kathy menghayun untuk kali kedua. Belum sempat dia menghentak untuk kali kedua, kepalanya terasa diketuk dengan sesuatu yang bersifat keras dan tumpul.

Tukul terlepas dari genggaman. Kathy terhuyung hayang menapak. Pandangan matanya berbalam-balam. Vivian dilihat sedang berdiri di hadapannya sambil menggenggam sebatang kayu.

“Kau…perempuan setan!”Kathy mencemuh.

Satu hentaman singgah lagi di kepalanya. Kathy rebah di atas lantai. Kepalanya berpinar. Vivian mencengkam pergelangan kakinya. Lalu tubuh Kathy diseret. Tukul yang tergeletak di atas lantai sempat dicapainya. Diselitkan ke dalam baju. Kathy hanya membiarkan tubuhnya diseret sehingga ke tengah ruang tamu.

“Sifat manusia..semakin dilarang semakin ingin dia ingin lakukan perkara yang dilarang itu. Hingga tanpa sedar perkara itu membawa dirinya sendiri ke pintu kematian.”ujar Vivian.

Dia menghampiri kabinet televisyen. Sebilah pisau berukuran 9 inci dikeluarkan dari dalam laci. Berderau darah Kathy melihatnya. Vivian menghampirinya. Pisau berada kemas dalam genggamannya. Wanita itu duduk di atas badan Kathy. Merenung Kathy dalam-dalam tanpa sekelumit rasa simpati. Dia mendongakkan kepala ke atas. Pisau dijulang tinggi. Bibirnya terkumat kamit membacakan sesuatu dalam bahasa yang tidak difahami.

“Nyawa perempuan ini, aku serahkan kepada kau Lucifer sebagai syarat pertukaran nyawa.”gumam Vivian di hujung ayatnya.

Dia menarik nafas dalam-dalam. Selajur membenam mata pisau itu tepat ke jantung Kathy. Sepantas itu juga, Kathy mengeluarkan penukul dari sebalik bajunya. Dihentak tepat ke hidung Vivian. Vivian terhumban ke belakang. Tulang hidungnya patah serta merta. Darah merah menyeruak. Dia terguling-guling di atas lantai meraung kesakitan. Pisau terlepas dari genggaman.

Pantas Kathy mencapai pisau itu. Diselitkan celah pinggang. Matanya tertancap ke arah batang kayu yang digunakan oleh Vivian untuk memukulnya sebentar tadi. Tergeletak di hujung sofa. Dia menunduk dan mencapainya.

“Ini untuk apa yang kau lakukan pada aku tadi.”

Satu hentaman singgah di kepala Vivian. Wajahnya terpaling ke kiri menerima impak. Kulit kepalanya terkoyak serta merta. Darah merah menyeruak.

“Ini pula untuk lima pembunuhan yang dah kau lakukan.”

Satu lagi hentaman hinggap pula di bahagian kanan kepalanya. Vivian terkulai lemah di atas lantai. Kathy mencampakkan kayu dalam genggamannya.

“Puas hati aku. Mampus kau perempuan setan!”

Dia mencapai tukul selajur berlalu ke bilik belakang.

***

Tukul dihentak. Penyendal yang diskru ke pintu terkopak serta merta. Tombol pintu diramas lalu diputar. Pintu terkuak. Satu hembusan angin dingin menerpa tubuhnya. Bau hapak menyeruak. Persekitaran bilik itu agak kelam.

Pandangan Kathy terhunjam ke arah satu susuk tubuh yang duduk di atas kerusi. Pantas dia menghampiri. Seorang perempuan dengan kedua belah pergelangan tangan dan kakinya terikat. Mulutnya turut diikat dengan sehelai kain. Di dahi wanita itu terconteng aksara-aksara aneh.

Pantas Kathy menanggalkan kain yang mengikat mulut wanita itu. Wajahnya pucat pasi. Tubuhnya lemah longlai.

“Jangan risau. Saya akan selamatkan awak dari perempuan setan tu.”gumam Kathy.

Kathy menanggalkan kesemua ikatan yang membelenggu tubuh wanita itu. Lantas dia memapah wanita itu keluar dari bilik. Sebaik tiba di ruang tamu, Kathy tergamam sejenak. Tubuh Vivian tidak kelihatan di situ.

“Kita kena keluar dari sini cepat!”getus Kathy.

Beberapa langkah bertapak, satu hentaman hinggap di kepala Kathy. Tubuhnya terdorong ke hadapan. Baru sahaja dia mengalihkan tubuh, satu tumbukan singgah pula di mukanya. Kathy rebah di lantai. Vivian menerpa. Tumbukan dilayangkan bertali arus ke wajah Khaty. Satu pun gagal disanggahnya. Bibirnya pecah mengalirkan darah.

Tiada pilihan lain yang dapat diambil. Pisau yang terselit di pinggang dicapainya. Tumbukan terakhir Vivian berjaya disanggahnya. Pisau berukuran 9 inci itu ditebak tepat ke dada kanan Vivian. Mulut Vivian terlopong. Matanya terbuntang luas. Wanita itu rebah ke lantai. Menggelupur menahan sakitnya saat maut menjemput. Beberapa saat kemudian Vivian terkedang kaku. Tidak lagi bernyawa.

Khaty menolak tubuh. Berdiri perlahan-lahan. Darah berjabeh di mulut disekanya. Nafasnya termengah-mengah.

“Mari kita keluar dari sini. Kita buat laporan polis atas apa yang dah berlaku.”ujar Kathy.

Wanita itu tidak berganjak. Dia menghampiri mayat Vivian dan duduk mencangkung di sebelahnya. Pisau yang tertusuk di dada kanan Vivian dicabut. Dia menjulang tinggi lalu menebak dada kiri Vivian. Dia membelah dada Vivian dengan penuh bernafsu sebelum menyeluk tangannya masuk ke dalam.

Seketul daging dikeluarkannya. Tidak sukar untuk Khaty mengenali ianya adalah jantung. Wanita itu mengangakan mulut seraya melahap jantung itu. Hampir-hampir termuntah Kathy melihatnya. Liur bercampur darah merah menjelejeh di bibir wanita itu. Dia kelihatan begitu bernafsu melahap jantung Vivian. Persoalan besar menghentak benak fikiran Khaty.

Siapa sebenarnya perempuan yang dia selamatkan itu?

Selesai meratah jantung Vivian, wanita itu merenung Khaty. Bibirnya menyeringai senyuman. Kelihatan cukup menyeramkan.

“Sudah lama aku tidak memakan jantung manusia. Sejak kakak keparat aku ini mengurung aku di dalam bilik itu.”gumam wanita itu. Matanya mengerling ke arah mayat Vivian yang telah terburai dadanya.

Liur terasa mengental di kerongkong Kathy. Dia terundur selangkah dua ke belakang.

“Siapa sebenarnya kau?”tergugup gagap Kathy menyoal.

Soalan Kathy disambut dengan ilai tawa. Sejenak dia merenung Kathy tajam.

“Terima kasih sebab bebaskan aku yang telah lama dibelenggu oleh kakak aku sendiri. Aku Christine. Aku dikurung di dalam bilik itu setelah melakukan lima pembunuhan di kawasan taman ini. Vivian tidak mahu aku ditangkap oleh pihak polis. Dia menganggap aku sakit dan perlu diubati.”ujar Christine. Dia mencangkung sebelah mayat kakaknya itu. Dibelai rambut penuh mesra sebelum menjilat tangannya yang berlumuran darah.

“Dan akhirnya dia sedar kenapa aku membunuh dan meratah jantung manusia. Aku telah mengikat sumpah dengan Lucifer untuk menjadi hambanya. Dan syaratnya, aku perlu memakan tujuh jantung manusia. Jika aku berjaya, maka aku akan menjadi hambanya yang paling mulia dan manusia paling berkuasa di atas muka bumi. Tetapi jika gagal maka nyawa aku menjadi galang gantinya. Vivian berusaha untuk meleraikan ikatan sumpah antara aku dan Lucifer. Maka pelbagai pemujaan dan persembahan diserahkan kepada Lucifer dengan menggunakan aku sebagai perantaranya tetapi semuanya gagal. Sehinggalah Lucifer meminta satu nyawa korban sebagai ganti diri ku. Dan dia telah memilih diri kau untuk dipersembahkan kepada Lucifer. Tetapi sayangnya, dirinya yang mati dahulu.”lanjut Christine lagi. Tertawa di hujung bicara.

Berderau darah Kathy mendengarnya. Ketakutan mula merasuk jiwa. Kakinya terundur-undur ke belakang sehingga tubuhnya tersandar di dinding. Tidak menyangka sama sekali wujud manusia yang mengamalkan ritual sesat sedemikian rupa.

“Enam nyawa telah aku persembahkan kepada Lucifer. Hanya satu nyawa lagi yang tinggal. Dan aku memilih kau untuk melengkapinya.”getus Christine.

Serta merta dia meluru ke arah Kathy dengan pisau yang terhunus di tangan. Pisau ditebak. Kathy pantas mengelak. Sekali lagi pisau dihayun ke dadanya. Kathy mengundur ke belakang. Kekalutan itu membuatkan kakinya tersalah memijak. Kathy jatuh terbaring. Dia menyeringai kesakitan.

Christine menggenggam pergelangan kakinya. Kathy menggelepar cuba meloloskan diri. Jari jemarinya mencengkam permukaan lantai. Kayu sebesar lengan berada di sebelah mayat Vivian. Dia berusaha untuk mendapatkannya. Tidak semena-mena tubuhnya terseret ke belakang.

Christine menerpa tubuh Kathy. Pisau ditebak. Pantas Kathy menghadang. Kedua belah tangan Kathy menggenggam erat pergelangan tangan kanan yang menghunus pisau. Christine mengerah kekuatan. Mata pisau ditolak mendekati dada Kathy.

Kathy mengetap rahangnya erat. Dia tidak akan sesekali mengalah dengan mudah. Nyawa nan satu itu akan dipertahankan dengan apa cara sekalipun. Sisa kekuatannya dikerah. Tubuh Christine ditolaknya hingga rebah ke sisi. Bingkas Kathy bangun untuk melarikan diri.

Pergelangan kakinya dipaut. Kathy rebah tertiarap. Dia menyeringai kesakitan. Sebaik mengangkat wajah, kayu sebesar lengan berada atas lantai di hadapannya. Pantas Kathy mencapai. Dia mengalihkan tubuh pantas. Serentak, kayu itu dihayunkan tepat ke wajah Christine. Wanita syaitan itu rebah di atas lantai. Khaty bingkas bangun menuju ke pintu keluar.

Dia cuba membuka malangnya berkunci. Kathy panik. Dia meraba-raba poket seluarnya. Malang kuncinya tertinggal di bilik. Kathy tercari-cari kunci di sekitar ruang tamu tetapi tidak dijumpai. Christine masih terbaring di atas lantai. Satu persatu daun tingkap cuba ditolak malangnya tidak berjaya. Khaty berlari ke dapur. Pintu di ruangan dapur cuba dibukanya tetapi ianya juga berkunci. Dia menampar-nampar daun pintu geram. Nafasnya menderu kencang. Otaknya berputar ligat memikirkan cara untuk keluar dari rumah tersebut.

Sebaik dia berkalih, Christine dilihat sedang berdiri di belakangnya. Wajahnya berlumuran darah. Mulutnya menyeringai. Pisau tergenggam kemas di tangannya.

“Kau tak akan boleh larikan diri dari aku.”gumam Christine.

Selangkah demi selangkah dia merapati. Kathy terundur-undur sehingga belakang tubuhnya tersandar di dinding. Jantungnya berdegup kencang.

“Christine tolong sedarkan diri kau sendiri. Apa yang kau lakukan ini salah! Kau hanya mengikut jalan syaitan!”Kathy cuba menyedarkan Christine biarpun harapannya terasa tipis.

Christine menyeringai. Pisau dihayun tepat ke wajah Kathy. Lengannya diangkat menghadang wajah.

Zas!

Kulit lengannya terkoyak. Darah menyeruak. Sekali lagi wanita syaitan itu melancarkan serangan. Kathy mengelak pantas. Mata pisau terbenam di kabinet dapur. Tubuh Christine dirempuhnya sehingga jatuh terlentang. Bersusah payah Kathy berlari mendaki tangga masuk ke dalam biliknya sendiri. Darah merah menitis-nitis jatuh di lantai.

***

Pintu bilik berkeriut terbuka. Kelibat Christine dilihat melangkah masuk. Pisau melekap dalam genggamannya. Dia bersiul sambil mengitari bilik itu mencari Kathy. Siulannya kedengaran seperti seruling yang menjemput kematian. Cukup menyeramkan!

Jantung Christine berdegup kencang. Keringat membasahi tubuh. Sepasang matanya melihat pergerakan Chrisitine. Saat itu dia enggan bernafas sekalipun. Ketakutan benar-benar merasuk jiwa. Hampir-hampir dia menangis di situ juga.

“Munculkan diri kau. Aku berjanji akan mencabut nyawa kau dengan penuh halus kalau kau tak menyusahkan aku.”ujar Christine.

Dia terpusing-pusing sekitar bilik tersebut. Darah Kathy menitis di serata arah lantai bilik itu. Hingga sukar sekali untuk dia mengesan di mana wanita itu bersembunyi. Christine membongkokkan tubuh. Cadar yang menutup katil diselak. Kelibat Kathy dilihat tiada di situ. Dia berdiri lurus. Mata terhunjam ke arah almari yang tertutup rapi. Bibirnya menguntum senyuman.

Langkah demi langkah diatur menuju ke arah almari pakaian itu. Jantung Kathy kian berdegup kencang. Dia menekup mulutnya sendiri. Liur ditelan terasa lambat melalui tekak.

Pintu almari dikuak. Wajah Christine berubah riak sebaik melihat almari itu hanya dipenuh pakaian. Kelibat Kathy tidak kelihatan di situ. Sebaik dia memutarkan tubuh, sebuah pasu menghentam kepalanya.

Kathy yang bersembunyi di sebalik kabinet kecil berdekatan katil sememangnya menantikan saat tersebut. Pasu kaca pecah berderai. Christine bertapak terhuyung hayang. Tendangan padu tepat dihayun ke perut Christine. Wanita itu rebah ke lantai. Kathy mengerah kekuatan sedaya upaya. Almari pakaian itu ditolak sepenuh tenaga sehingga terbalik menyembam tubuh Christine. Berdentum kuat bunyinya. Suara Christine kedengaran meraung kesakitan sebelum perlahan-lahan bertukar sepi.

Nafas Kathy termengah-mengah. Keringat membasahi wajah dikesat. Selajur dia melangkah keluar dari bilik tersebut. Dia terkocoh-kocoh menuruni tangga menuju ke arah pintu keluar. Anak kunci yang sempat diambil dari dalam biliknya tadi dikeluarkan. Dicucuk ke dalam tombol lalu pemegang pintu ditolak ke bawah. Serta merta ia terbuka. Kathy melangkah keluar mendapatkan kereta yang diparkir di luar rumah.

Alarm ditekan. Tatkala itu telinganya menangkap satu suara garau mendengus dan menderam. Kathy terkalih-kalih mencari arah suara itu. Matanya meliar. Tiada sebarang figura yang tertancap di retinanya. Pantas Kathy mendapatkan keretanya.

Enjin kereta dihidupkan. Gear ditolak. Pedal minyak diinjak. Kereta menderu laju meninggalkan kawasan perumahan itu. Selagi dia berasa di situ, bahaya terasa berlegar-legar di sekelilingnya.

Sebaik kian menjauh, Kathy mula menghembuskan nafas kelegaan. Kereta yang dipandu laju sebentar tadi mula diperlahankan. Hatinya benar-benar bersyukur terlepas daripada menjadi mangsa perempuan syaitan itu. Dia menyeluk poket mencari telefon bimbit. Tiada di dalam poket seluarnya. Dan dia tersedar, dia terlupa untuk mencapainya sewaktu berlari keluar dari rumah itu.

Pandangan mata dihunjam semula ke arah jalan raya. Tidak semena-mena sepasang tangan memaut batang lehernya. Kathy bernafas tercungap-cungap. Kereta hilang kawalan. Hampir-hampir merempuh pembahagi jalan tetapi Kathy pantas mengawal stereng. Dalam kekalutan itu matanya sempat melihat refleksi menerusi cermin pandang belakang.

Christine dilihat bersungguh-sungguh sedang memaut batang lehernya. Kathy meronta cuba meloloskan diri tetapi gagal.

“Sesekali aku tidak akan lepaskan kau!”gumam Christine. Tangannya semakin kejap memaut leher Kathy. Sebelah tangannya lagi kejap menggenggam pisau.

Nafas Kathy kian pendek. Tangan yang menggenggam stereng terasa semakin lemah. Tatkala itu pandangan matanya tertancap ke arah penghadang jalan. Jalan yang digunakan itu dibina merentasi sebatang sungai yang mempunyai keluasan yang cukup lebar dan dalam. Kathy bertindak nekad. Pedal minyak diinjak sehingga rapat.

Kereta meluru laju ke arah penghadang jalan. Tali pinggang ditanggal. Siku dihentak kuat ke muka Christine. Pautan terlepas. Pisau terlepas dari genggaman. Kathy pantas mencapainya. Sebaik Christine menerpa untuk menyerang sekali lagi, Kathy mengilas tangan wanita itu hingga rapat ke kusyen. Serta merta dia membenamkan mata pisau tepat ke belakang tapak tangan Christine. Pisau berukuran 9 inci itu menembusi daging telapak tangannya sehingga menyebabkan tangannya melekat di seat. Christine meraung kesakitan. Darah merah menyeruak setiap kali ia meronta keras. Pintu kereta dibuka serta merta. Kathy melompat keluar. Jatuh terguling-guling di atas jalan raya.

Kereta merempuh penghadang jalan. Dentuman kuat meletus. Besi penghadang jalan tercabut. Kereta melayang dan terjunam masuk ke dalam sungai.

Kathy terbaring di atas jalan raya. Nafas tercungap-cungap. Tubuh calar balar. Perlahan-lahan dia menolak tubuh dan bangun. Terhincut-hincut melangkah menghampiri penghadang jalan. Kereta miliknya itu perlahan-lahan tenggelam membawa bersama jasad perempuan penyembah syaitan di dalamnya. Kathy menghembuskan nafas kelegaaan. Segala-galanya sudah berakhir.


EPILOG

Kathy merehatkan tubuhnya di atas katil. Seorang jururawat melangkah masuk dan memeriksa keadaannya. Catatan dilakukan dalam laporan perubatan.

Sejenak, mata Kathy tertancap ke arah kaca televisyen. Liputan berita sedang dilakukan ke atas kawasan kemalangan yang berlaku beberapa jam yang lalu. Kereta miliknya yang terbenam di dasar laut telah berjaya dibawa keluar. Wartawan berjaya merakamkan beberapa kepingan gambar. Salah satunya membuatkan jantung Kathy terasa direntap keras. Sebilah pisau tercacak di seat pemandu. Mayat Christine tidak kelihatan di situ.

Nurse,boleh tolong kuatkan volum sedikit?”pinta Kathy.

Jururawat itu akur. Dia menghampiri peti televisyen dan meningkatkan volum.

“Sehingga sekarang, mayat Christine yang menjadi dalang pembunuhan ngeri di Taman Mewangi masih belum dijumpai. Pihak polis masih giat menjalankan usaha pencarian.”

Berita yang disampaikan oleh pembaca berita itu membuatkan rahang Kathy terasa longgar. Hatinya mula menyenandungkan rasa yang tidak enak. Imej pisau yang tercacak di seat pemandu melayang-layang di kotak fikirannya. Satu persoalan mendesak benak fikirannya kala itu.

Apakah Christine masih hidup?


TAMAT

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.