Home Cerpen Seram/Misteri BATU BERDARAH
BATU BERDARAH
Hanamori
28/7/2016 07:09:22
2,049
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri
     Bulan mengambang, pantulan rembang bulan terlihat di permukaan sungai. Bayu bertiup lembut membawa pergi asap rokok yang dihembuskan Pak Uteh(bukan nama sebenar).Malam itu cuaca sangat baik untuk Pak Uteh turun ke sungai menangkap ikan. Pak Uteh turun ke jeti selepas solat isyak. Dia memeriksa segala kelengkapannya, semuanya sudah dibawa.

      “Dali ooo Dali, cepatlah kau buat apa lagi tu?” Teriak Pak Uteh

      “Sekejap ayah, saya turun ni.” Sahut Dali (bukan nama sebenar) tekocoh-kocoh menuruni bukit menghala ke jeti. Pak Uteh hanya mengeleng-gelengkan kepala melihat karenah anak tunggalnya itu.

      “Kau naik dulu, biar aku yang hurai tali pengikat perahu ni”arah Pak Uteh. Dali hanya menuruti perintah ayahnya. Dia segera masuk ke dalam perut perahu. Sebaik sahaja Dali duduk di dalam perahu Pak Uteh segera menghurai tali perahu yang diikatnya pada pokok di tebing sungai itu. Pak uteh melangkah masuk sedikit kedalam air dan menolak perahunya supaya tidak lagi menyetuh dasar sungai yang cetek. Apabila perahunya sudah mengapung,Pak Uteh segera melompat masuk ke dalam perahu. Kakinya penuh dengan lumpur yang melekat lalu dibasuhnya dengan air sungai agar lumpur itu tidak lagi berada di kakinya.

      “Ayah, kita nak tangkap ikan sampai pukul berapa ni ayah?”suara Dali memecah keheningan malam. Pak Uteh tidak menjawab soalan itu dengan segera. Dia mengeluarkan rokok lalu dia letakkan dibibirnya dahulu. Dia menghidupkan rokok itu. Asap berkepul-kepul keluar dari mulutnya.

      “Tengoklah, kalau banyak ikan nanti..kite baliklah”ujar Pak Uteh, namun jawapan itu tidak digemari Dali kerana tiada kepastian yang diperolehinya dari jawapan sedemikian.

      Pak Uteh mencapai pendayung kayu lalu dia cecahkannya kedalam air. Tangan Pak Uteh cekap mengayuh pendayung sementara otaknya pula ligat mencari lokasi untuk dia menebarkan jala menangkap ikan.

       Dali hanya diam membisu, hatinya masih tertinggal di rumah. Ikutkan hatinya dia tidak ingin pergi mengikut ayahnya menjala ikan tetapi kalau dilawan kehendak ayahnya bimbang pula dia dimarahi. Sekali sekala Dali mengigil apabila bayu dingin menyapa tubuhnya.

      Pak Uteh membiarkan sahaja perahunya hanyut mengikut arus sungai yang mengalir tenang. Bunyi air sungai memberikan ketenangan buat Pak Uteh namun tidak bagi Dali. Dali kelihatan begitu resah tatkala perahu mereka naiki semakin hampir dengan kawasan batu besar di tepi sungai. Batu itu sangat sinonim dengan nama berdarah dan sering dikatakan berpuaka.

      Tiba-tiba di saat perahu mereka melewati batu itu, kedengaran bunyi sesuatu jatuh ke dalam air serentak dengan itu perahu mereka berhenti bergerak seperti tersekat pada sesuatu. Puas juga Pak Uteh mengerah kudrat untuk mengayuh, namun perahu mereka tetap tidak bergerak.

      “Dali kau tunggu sini, aku terjun nak tengok kalau2 ada kayu ke apa”beritahu Pak Uteh kepada Dali

       “Jangan ayah, Dali rasa ada buaya, tadi Dali dengar ada bunyi sesuatu terjun”

      “Ish! Celupar mulut kau ni Dali” Pak Uteh meneruskan hasratnya untuk terjun ke dalam air sungai. Kalau tidak mereka berdua akan terus tersekat di situ. Dali hanya membisu dan memerhati perilaku Pak Uteh, dia tidak mampu lagi menahan kemahuan ayahnya itu.

      Pak Uteh terjun ke dalam sungai, dia segera menyelam ke bawah perut perahunya mencari punca yang menyebabkan perahunya terkandas. Pak Uteh hanya mampu meraba-raba di bahagian bawah perut perahunya dek kerana keadaan penglihatannya di dalam air sungai sangat terhad di waktu malam. Ditambah pula keadaan air sungai yang keruh.

      Setelah beberapa ketika Pak Uteh memeriksa di bawah perut perahunya, Pak Uteh naik kembali ke dalam perahu. Tiada apa yang mengekang perahunya dari terus bergerak. Pak Uteh mula bingung. Dia mengaru-garu pipinya, tubuhnya basah. Dali segera menghulurkan tuala kepada ayahnya itu.

      “Ayah, macam mana?”Tanya Dali sebaik sahaja melihat ayahnya selesai mengeringkan tubuh badannya.

      “Ayah rasa bukan sebab kayu ke ranting ni” Pak Uteh melontarkan pandangannya ke arah batu besar itu. Dia mengurut dagunya beberapa kali. Dali menelan air liur melihat perlakuan ayahnya. Dia bagai dapat meneka apa yang menyekat mereka dari terus bergerak.

      “Kau tengok atas batu besar tu Dali” ujar Pak Uteh seraya telunjuknya diarahkan kepada batu besar itu. Dali hanya menurut apa yang dikatakan Pak Uteh. Di dalam samar-samar sinar rembulan, dali dapat juga melihat sosok tubuh manusia tanpa kepala sedang berdiri di atas batu besar itu. Degup jantung Dali mula berdebar, tenyata cerita yang menjadi buah mulut orang kampung memang benar.

      “Kau nak apa ganggu kami” teriak Pak Uteh seraya tangannya menghalakan lampu suluh ke arah lembaga tanpa kepala itu. Lembaga itu mengangkat tangannya seoalah-olah menunjuk sesuatu ke arah tepi perahu mereka. Dali segera menjenguk dari birai perahu ke sungai di tempat yang di tunjukkan lembaga itu.

      “Allah! kepala!” Dali menjerit tatkala melihat kepala manusia terapung di tepi perahu mereka. Dengan tidak semena-mena tubuhnya terasa lemah. Kepalanya terasa begitu berat. Di saat Dali seperti mahu tersembam ke dalam air sungai Pak Uteh tangkas menahannya dari terus terjatuh.

      “Syaitan nak bermain dengan aku” Pak Uteh mengetap gigi. Dia sandarkan Dali yang sudah tidak sedarkan diri di dinding perahu. Pak Uteh kembali duduk ditempat asalnya. Dia memperkemaskan silanya. Bibirnya terkumat-kamit membaca ayat suci Al Quran. Pak Uteh merenung tepat ke arah lembaga tanpa kepala yang masih berdiri utuh di atas batu itu.

      Sebaik sahaja Pak Uteh selesai membaca ayat suci Al Quran. Sungai yang tadinya tenang kini mula berkocak dan berombak. Serentak dengan itu, lembaga tanpa kepala itu kian menghilang menjadi kabus dibawa oleh angin malam yang bertiup.

      Sungai Pahang kembali tenang, Pak Uteh membatalkan hasratnya untuk terus pergi menangkap ikan pada malam itu. Dia terus mendayung pulang. Dali hanya sedarkan diri apabila tiba di jeti Pak Uteh.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Hanamori