4,411
Kategori:
Genre:
Senarai Bab
BAB 1

Khamis. Minggu pertama dalam bulan Mac 2015.

Aku terjaga daripada tidur. Kepala terasa berat dan leher terasa lenguh. Aku menguap kecil dan menenyeh-nenyeh mata. Fikiran masih terasa bingung dan mamai. Mata terpisat-pisat tersorot ke arah rakan sebilik yang sibuk menghadap komputer riba.

Jam di dinding terpandang oleh aku. Serta merta sesuatu menjengah ruangan fikiran. Aku tergesa-gesa melompat turun dari katil mencapai tuala dan menuju ke bilik air.

Aku melingaskan jam yang terikat di tangan. Beberapa minit jarum bakal menunjukkan pukul 2.00 petang. Aku melihat refleksi diri di dalam cermin. T-shirt berkolar dan dipadankan dengan jeans sudah menjadi pakaian rasmi aku setiap hari. Tidak kira ingin keluar bersiar-siar atau ke kuliah. Rambut yang sederhana panjang aku sikat ke belakang.

112 For Men disembur secara ala kadar ke tubuh. Sekadar membangkitkan rasa senang mana-mana individu yang ingin berurusan dengan diri ku. Mungkin ada yang menganggap haruman itu bukan sesuatu yang wajib tetapi tidak bagi diriku. Haruman yang dipakai oleh seseorang boleh menggambarkan personaliti dirinya sendiri.

“Hai, nak jumpa awek ke hensem-hensem macam ni?”tegur Azrael yang merupakan rakan sebilikku.

Walaupun tinggal sebilik di desasiswa Cahaya Gemilang namun kami berbeza jurusan.

“Kau sindir ke apa? Mentang-mentang aku tak ada awek.”aku mencebik.

Sempat aku berkalih sekilas kepadanya. Azrael hanya tertawa kecil.

“Mana tahu kau dah jumpa calon yang memenuhi citarasa kau. Kau tu kan memilih sangat.”

“Bukan memilih tapi belum jumpa calon yang sesuai.”aku membela diri.

“Sama jelah tu. Jodoh ini perlu dicari. Tak boleh harap dia datang sendiri. Kalau kau harap jodoh datang sendiri sampai bila pun kau hidup single.”balas Azrael.

“Aku tak kisah pun pasal jodoh. Sebab aku percaya jodoh itu ketentuan Tuhan. Kalau bukan hari ini mungkin esok. Kalau bukan esok mungkin sebulan dari sekarang. Kalau tidak mungkin lima tahun atau sepuluh tahun lagi. Kalau tidak mungkin jodoh aku menanti di syurga sana. Itu pun kalau aku masuk syurgalah.”jawab aku selamba.

“Macam tak sure dapat masuk syurga aje cara kau cakap ni?”tingkah Azrael sambil tertawa kecil.

“Aku memang tak confirm masuk syurga, tapi aku juga belum confirm masuk neraka.”balas aku tanpa menoleh ke arahnya.

“Apa-apa jelah. Jangan nanti kau bujang sampai tua bangka sudah.”Azrael tertawa lagi terbahak-bahak.

Aku mendengus mendengar usikannya. Malas melayan karenahnya yang tidak habis-habis mengusik diriku. Lantas aku mencapai kunci kereta yang berada di atas meja belajar.

“Aku keluar kejap. Jumpa member-member aku. Mungkin balik lambat.”ucap aku sekadar memberitahu.

Tanpa menunggu respons daripada Azrael aku melangkah keluar dari pintu bilik menuruni tangga dari tingkat tiga bagi mendapatkan kereta yang diparkir di bahagian bawah asrama.

Waktu terus berarak pantas. Aku agak tergesa-gesa kerana menyedari bakal terlewat tiba di tempat yang dijanjikan. Falsafah hidup aku tidak suka kalah dengan masa. Sebab aku tahu masa tidak akan pernah berhenti berehat. Tetapi hari ini malangnya aku mungkin bakal tertewas dengan masa. Mungkin salahnya datang dari aku juga lantaran tertidur sebentar selepas tamat kuliah Dr. Ariffin.

Dalam hati berharap agar jalan raya tidak begitu sesak. Namun harapan itu aku dapat rasakan hanyalah satu angan-angan yang tidak akan tercapai. Pada waktu-waktu sebegitu setiap pelusuk jalan di kawasan Pulau Pinang pasti padat dengan pelbagai jenis kenderaan. Semuanya sibuk dengan bermacam-macam urusan. Yang pasti urusan dunia kerana jarang sekali manusia terkejar-kejar dalam urusan akhirat.

Aku menekan penggera yang terletak di anak kunci. Kepala didongakkan ke atas. Sekadar melihat awan. Tiada tanda-tanda hari akan hujan. Cuaca benar-benar berbahang sejak akhir-akhir ini. Jika masuk hari ini hampir seminggu lamanya bumi Pulau Mutiara ini tidak ditimpa hujan.

Aku memuatkan diri ke dalam kereta Saga FLX. Baru sahaja kunci dimasukkan ke leher stereng, telefon bimbit aku berbunyi. WhatsApp yang diterima daripada Muiz dibuka dan dibaca.

@Bro, kau ada mana?

Aku membalas pertanyaannya dan kemudian enjin dihidupkan. Klac dipijak lalu gear ditolak dan pedal minyak diimbangkan. Kereta bergerak perlahan-lahan sebelum dipecut laju menuju ke destinasi.



Sekitar 2.10 minit petang aku tiba di Starbucks Queensbay. Sebaik kaki bertapak masuk kedinginan penghawa dingin menyapa kulitku. Terasa nyaman lantaran cuaca di luar tadi agak hangat.

Mata aku merayapi setiap ceruk kafe mencari-cari kelibat Muiz. Pandangan aku tertancap ke arah seorang lelaki berambut ala-ala Wak Doyok, berbaju kemeja kotak bersegi kecil dan sibuk bermain I-Pad. Dia duduk di meja yang terletak di penjuru kafe tersebut. Tidak sukar untuk mengecam lelaki itu ialah Muiz.

Lantas aku mengorak langkah mendapatkannya.

“Mana yang lain?”soalan pertama yang terpacul dari bibirku sebelum melabuhkan punggung di hadapannya.

Sempat aku mendongak ke arah kaca televisyen yang sedang memaparkan siaran ulangan perlawanan bola sepak antara Chelsea menentang Manchester United. Sebagai peminat Chelsea, ianya agak menarik perhatian meskipun ia hanyalah sekadar tayangan ulangan. Dan dalam perlawanan itu menyaksikan Chelsea telah berjaya menumbangkan musuh tradisinya itu.

“Lisa dan Natasha cakap lagi sepuluh atau lima belas minit lagi diorang sampai. Sebab nak hantar assignment dekat lecture katanya.”balas Muiz.

“Adam pula?”soal aku lagi.

“Entah. Tadi cakap dah nak sampai. Tapi batang hidung pun belum nampak lagi.”ujar Muiz.

Aku hanya mengangguk-angguk kecil. Sekurang-kurangnya terasa lega kerana masih tergolong dalam kategori ‘awal’ memandangkan terdapat rakan-rakan aku yang lebih lewat tiba.

“Apahal yang kau set tempat nak jumpa sampai dekat sini? Dekat kafe asrama tak boleh jumpa ke?”tanya aku sambil menjungkitkan kedua-dua belah kening ke arahnya.

“Pergilah ambil air dulu sementara tunggu diorang yang lain sampai. Ada berita yang mengujakan yang akan diberitahu bila kelima-lima kita dah ada dekat sini.”kata Muiz sebelum kembali menatap I-Pad sambil menyedut green tea melalui straw.

Aku hanya menurut. Malas untuk membantah atau menyoal lebih lanjut kerana sudah maklum yang Muiz tetap akan berpegang teguh pada pendiriannya. Aku berlalu menuju ke kaunter memesan minuman. Terdapat beberapa orang pelanggan yang berbaris di hadapan aku menanti giliran untuk dilayan.

Sebaik tiba giliran, aku memesan cappuccino frappuccinokepada penjaga kaunter wanita dan kemudian membayar harga yang tertera. Penjaga kaunter itu tersenyum manis menerima bayaran. Salah satu strategi berkesan dalam menambat hati pelanggan.

Sementara menunggu minuman disediakan, aku mengalih perhatian ke arah ruangan dalaman kafe tersebut. Sekadar memerhati gelagat manusia yang kadangkalanya mencuit hati. Lalu pandanganku dihalakan ke arah luar kafe yang berdinding kaca.

Pandangan aku tembus ke luar. Tatkala itu aku perasan seorang lelaki tua berketinggian sederhana, berkepala botak, berjambang putih dan berpakaian compang camping sedang berdiri di luar kafe. Dia merenung aku dengan pandangan tajam. Mukanya tegang dan beraut serius.

Aku cuba mengukir senyuman kepadanya tetapi lelaki tua itu tetap serius merenung ke arah aku. Wajahnya kaku tanpa segaris senyuman. Pandangannya sukar untuk ditafsirkan sama ada berbaur kemarahan atau sebaliknya.

Aku segera mengalih pandangan ke arah lain. Jantung aku berdendang nada sumbang. Sebaik pelayan menyebut namaku, pantas aku mencapai cawan yang mengandungi kopi dan mengambil straw.

Sebelum berlalu aku sempat mengerling sekilas ke arah kawasan lelaki tua itu berdiri. Dan aku menarik nafas lega apabila lelaki tua itu tidak kelihatan berada di situ.

Mungkin dia sudah beredar, getus hati kecil ku.

“Hoi, tengok sapa tu!”

Sergahan tersebut membuatkan gelas plastik yang berada di dalam genggaman hampir terlepas. Jantung aku berdegup laju lantaran dihambat kejutan. Aku merenung ke arah Adam yang berdiri di hadapan aku dengan rasa tidak puas hati.

“Kau ni lain kali bagilah salam. Terkejut aku. Boleh mati sakit jantung tahu tak.”marah aku lantas terus berlalu menuju ke meja Muiz berada tadi.

“Aikk! Takkan macam tu pun nak marah?”Adam bersuara dari belakang.

Aku hanya berjalan tidak mengendahkannya.

Bayangan orang tua yang merenung tajam sebentar tadi aku cuba singkirkan dari fikiran. Aku sendiri pun tidak pasti mengapa kelibat orang tua tadi begitu mengganggu dan mengocak perasaan aku kala ini.

Aku melabuhkan punggung di tempat duduk asal. Kelihatan Marlisa dan Natasha berada di situ. Mereka berdua melambai ke arah aku. Aku hanya mencoretkan senyuman tawar di bibir. Minda masih tersorot mengingati lelaki tua tadi.

Muiz membuka topik perbualan dengan hanya sekadar berbasa basi bertanyakan tentang hari masing-masing. Kami berbual-bual kecil sebelum Adam tiba dengan segelas kopi mocha ais menyertai kami berempat.

“Korang tak minum?”tanya Muiz.

Marlisa dan Natasha hanya menggeleng.

“Kami dah lunch tadi kat kafe. So, perut masih rasa penuh lagi.”jawab Natasha.

Muiz hanya mengangguk-angguk kecil mendengar jawapan dari mereka berdua.

“Ada apa sebenarnya kau mesej kami suruh datang sini?”tanya Adam.

“Entah. Ada apa sebenarnya yang mengujakan sangat tu. Aku nak tahu juga.”aku bersuara sebelum menyedut air melalui straw. Sejalur rasa manis dan pahit melalui anak tekak.

Muiz hanya tersenyum simpul. Lalu bola matanya menjeling ke arah Marlisa sambil menjungkitkan kening berulang kali.

“Siapa yang nak cakap ni?”tanya Muiz kepada Marlisa.

Marlisa hanya tersenyum dan menaikkan kedua-dua belah bahunya.

Aku berkerut kening melihat komunikasi antara mereka berdua. Buat seketika aku, Adam dan Natasha saling berpandangan atas rasa ingin tahu. Tiba-tiba sesuatu menjengah ruang fikiranku. Bibirku tersenyum dan wajah bertukar ceria.

“Korang dah fall in love each other ke?”aku membuat telahan.

“Dan sekarang kau nak maklumkan dekat kami semua yang korang berdua nak langsungkan perkahwinan?”Adam bersuara girang menyokong telahan aku.

Muiz menepuk dahi. Marlisa membuat muka jijik dan menggeleng berulang kali.

“Aku kahwin dengan si Muiz ni? No way!

Muiz mencebik.

“Macamlah aku nak sangat kahwin dengan kau. Tapi kalau kau sudi tak salah kan?”di penghujung bicara Muiz tersengih-sengih.

Dia sememangnya menyimpan perasaan terhadap Marlisa tetapi wanita itu terlalu sukar untuk didekati. Sudah beberapa kali dia mencuba tetapi tiada hasil yang diperolehi.

“Tolonglah Muiz. Geli aku dengar. Kau terus terang jelah dekat diorang rancangan yang kita plan tempoh hari tu.”kata Marlisa cuba mengubah topik yang mereka digosipkan bercinta.

“Kalau korang tak bercinta habis apa yang mengujakan sangat tu?”tanya Natasha ingin tahu.

Muiz merenung wajah kami satu persatu. Lalu bibirnya menguntum senyuman.

“Cuti pertengahan semester bakal bermula tak lama lagi kan?”Muiz memulakan bicaranya.

Then?”celah Adam.

“Kita akan pergi bercuti ke sebuah tempat yang agak berbeza dari tempat yang selalu kita pergi.” Muiz masih berteka-teki.

“Tempat yang mungkin akan membawa ketenangan dan kedamaian yang kita kehendaki sekarang. Yelah, semuanya stress dengan assignment yang menggunung. Ini masanya untuk kita release tension.”sambung Muiz lagi.

“Macam menarik tempat yang kau bakal sebut ni. Dekat mana tu?”soal Adam ingin tahu.

Muiz mengalihkan pandangan ke arah Marlisa. Dia membuat isyarat wajah menyuruh wanita itu menyambung bicara.

“Sebenarnya aku baru teringat, family aku ada sebuah rumah yang terletak agak tersorok di dalam hutan di daerah Kulim, Kedah. So, aku fikir cuti kali ini kita back to nature. Bersatu dengan alam semula jadi.”ujar Marlisa.

Are you serious?”soal aku dengan kedua-dua belah mata yang terbuntang luas.

Aku sememangnya kurang gemar dengan suasana yang terpencil. Faktor kehidupan dibesarkan di bandar mungkin menjadi salah satu faktor penyebabnya.

“Kau biar betul Lisa nak bercuti dalam hutan. Entah dalam hutan tu ada ular kapak ke, harimau ke.”sanggah Natasha pula.

Marlisa tertawa kecil.

“Kau ni fikir ke situ pulak. Kita duduk dalam rumah dan bukan dalam khemah. Lagipun rumah tu milik mak ayah aku dulu. Tapi dah lama kami tak ke sana. So, aku jamin tempat tu selamat dan best. Lagipun dekat sana ada air terjun. Aku jamin korang mesti suka punya.”kata Marlisa lagi.

Aku terdiam memikirkan kata-kata Marlisa. Lagipun seumur hidup aku tidak pernah ke tempat sebegitu. Lokasi pelancongan aku lazimnya kota-kota besar mahupun luar negara. Kali ini tidak salah rasanya mencuba sesuatu yang berbeza.

“Macam menarik jugak idea kau Lisa.”akur aku.

Marlisa tersenyum. Pandangannya dihalakan ke arah Adam dan Natasha. Menantikan jawapan daripada mereka berdua. Muiz pula katanya telah terlebih dahulu memberi persetujuan tatkala mereka berdua berbual bersama tempoh hari.

“Aku setuju. Tapi dekat sana ada nyamuk tak? Nanti habislah kulit aku yang putih gebu ni.”ngomel Natasha dengan riak kerisauan. Dia mengelus-ngelus kedua-dua belah tangannya.

Serentak itu, ketawa meletus daripada kami berempat. Marlisa tertawa sebelum menggeleng-gelengkan kepala mendengar pertanyaan rakan baiknya itu.

“Dah nama pun hutan mesti banyak nyamuk. Tapi kau jangan risau. Nyamuk-nyamuk tu semua sama saiz saja dengan nyamuk dekat bandar. Tiada yang besar macam gajah ke. Badak ke.”usik Marlisa sambil tertawa lagi.

Natasha memuncungkan bibir. “Itu aku tahu lar. Tak payah lar perli.”

Masing-masing hanya tertawa melihat tingkahlaku Natasha yang agak keanak-anakan itu.

Lalu perbualan selepas itu menjurus kepada rancangan untuk bercuti yang bakal dilaksanakan pada minggu hadapan. Sesekali gelak tawa menghiasi perbualan kami berlima apabila terdapat perkara-perkara yang melucukan. Sedar tidak sedar hampir dua jam berada di Starbucks itu.

Aku melihat jam yang terikat di tangan. Pukul 4.05 minit petang. Tubuh aku mula terasa letih.

“Korang lepas ni balik terus atau lepak mana-mana lagi?”tanya aku.

“Kami dua maybe tengok wayang. Ada filem Jurassic Park. Trailer nampak macam gempak. Harap-harap bestlah.Kalau tak rugi duit aku.”jawab Natasha.

“Aku join boleh?”Muiz menawarkan diri.

“Boleh saja. Adam? Jomlah join sekali.”pelawa Natasha.

“Boleh jugak. Lagipun aku tak ada benda nak buat kalau balik USM awal pun.”balas Adam.

“Kau ikut tak?”Marlisa menyoal diriku.

Aku hanya menggeleng kepala lemah.

“Aku tak join korang kut hari ini. Badan aku rasa letih. Aku ingat nak nalik nak tidur kejap.”

“Okaylah. Kami tak paksa. Kau balik rehatlah dulu.”balas Marlisa.

Sebaik berbual ringkas, aku terus meminta diri untuk pulang ke USM semula. Entah mengapa sejak akhir-akhir ini aku berasa letih. Mungkin faktor cuaca yang agak panas membuatkan tubuh mengalami kekurangan air sehingga mengundang rasa letih.

Aku sendiri pun tidak pasti sama ada telahan aku itu benar mahupun tidak. Aku melangkah keluar daripada kafe menuju ke arah kereta yang diparkir tidak jauh dari situ.

Beberapa langkah kaki semakin hampir dengan kereta, tiba-tiba satu tangan asing memegang lengan aku. Cengkaman yang kuat dari arah belakang memaksa aku untuk berhenti melangkah dengan mendadak.

Aku berkalih pantas. Aku tersentak sebaik melihat lelaki tua yang dilihat sebentar tadi, sedang berdiri sambil mencengkam lengan aku. Aku cuba melepaskannya tetapi kekuatan orang tua itu dirasakan cukup luar biasa.

Renungan tajamnya menikam wajah aku. Pandangannya seakan-akan sarat dengan dendam dan amarah. Seolah-olah aku telah membuat satu kesalahan yang terlalu besar dan tidak mampu dimaafkan olehnya.

“Lepaskan saya pak cik.”aku bersuara.

Aku masih bersopan dan menghormatinya memandangkan lelaki itu lebih tua daripada diriku. Namun aku tidak teragak-agak untuk bertindak sekiranya menerima ancaman daripadanya.

Orang tua itu tidak berganjak. Wajahnya beraut serius. Bola matanya tajam merenung aku tanpa berkedip.

“Kematian. Aku menghidu kematian.”akhirnya lelaki tua itu bersuara.

Suaranya kedengaran garau dan kasar.

Aku bingung dengan perkara yang diperkatakan oleh lelaki itu. Tetapi aku enggan bersuara. Aku masih berhati-hati kerana bimbang akan diapa-apakan oleh lelaki tua itu.

“Kuasa gelap dekat dengan diri mu. Aku dapat rasakan kejahatan. Aku dapat hidu bau kematian.”lelaki tua itu bersuara lagi.

Aku menelan liur sendiri.

Apa sebenarnya yang cuba disampaikan oleh orang tua ini?

Soalan itu hanya menerawang dalam kotak minda tanpa terluah melalui aksara kata-kata.

Orang tua itu melepaskan cengkamannya. Aku tidak menunggu lama. Serta merta aku mengalihkan tubuh dan bertapak pantas meninggalkan dirinya.

Baru beberapa langkah, seakan-akan wajah aku ditarik-tarik supaya berkalih semula ke belakang.

Aku berperang dengan rasa aku sendiri. Akhirnya aku akur dan tunduk kepada kehendak diri.

Aku menoleh semula ke arah lelaki tua tadi. Satu hambatan kejutan melanda diri aku.

Lelaki tua tadi telah tiada!

Aku tercari-cari kelibatnya di sekitar kawasan parkir terbuka itu tetapi hampa. Kelibatnya langsung tidak kelihatan. Aku terdiam seketika.

Mustahil dalam masa tidak lebih daripada 10 saat lelaki tua itu berjaya melenyapkan diri dari pandangan matanya tanpa dapat dikesan. Sesuatu yang tidak enak bermain di hati.

Bulu roma aku terasa meremang tetapi aku cuba mengawal perasaan sebaik mungkin.

Aku bergerak pantas mendapatkan kereta dan memuatkan diri ke dalamnya. Aku mahu pulang semula ke asrama dan melupakan perkara tersebut dengan segera.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.