2,565
Kategori:
Genre:
Senarai Bab
RUMAH REHAT

 Rintik-rintik hujan semakin lebat.  Aku memegang stereng kereta dengan kejap dan  memfokuskan kepada pemanduan.  Esok, satu mesyuarat agung tahunan  syarikat akan diadakan.  Aku diwajibkan hadir ke mesyuarat tersebut selaku pembantu peribadi En. Zahar, iaitu pemegang terbesar syer syarikat ZV Holdings.

         Selalunya kami akan pergi bersama-sama, tetapi kali ini aku terpaksa menunda perjalanan kerana tertinggal fail penting di pejabat.  Jenuh juga terpaksa menahan telinga mendengar leteran bos sendiri.  Salah aku juga bila difikirkan kembali.

“Musim hujan begini pun masih juga memilih pantai timur sebagai lokasi mesyuarat,” aku membebel.

      Hembusan alat penghawa dingin terasa sejuk sehingga ke tulang hitam.  Terus saja aku rasa seperti ingin demam.  Tambahan pula hari siang hampir merangkak ke senja.  Deringan telefon pintar yang tertera nama En. Zahar diskrin aku lirik sekilas.  Lantas fon telinga yang sedia terpasang aku dekatkan ke bibir.

     “Assalamualaikum, En. Zahar”

     “Waalaikumsalam… awak kat mana dah Tina?”

   “Dalam perjalanan lagi.  Hujan lebat sangat ni.  Tak nampak apa-apa,” jelasku.

      “Hmmm… macam ni sajalah, Tina.  Awak bermalam dulu kat mana-mana.  Di sini pun cuaca agak buruk.  Hari pun dah nak malam.  Bahaya awak memandu seorang diri.  Esok pagi-pagi, awak baru bergerak ke sini.  Jangan risau, waktu mesyuarat akan ditunda”  kata-kata En. Zahar melegakan sedikit hatiku yang dilanda kegusaran sejak tadi.

     “Kalau En. Zahar dah kata begitu… baiklah.  Terima kasih.” 

         “Sama-sama.”

     Talian diputuskan.  Aku menarik nafas lega.  Sekurang-kurangnya, aku tidak perlu tergesa-gesa untuk sampai ke sana.  Hujan yang semakin lebat memaksa aku untuk berhenti di bahu jalan.  Lampu dan wiper kereta tetap terpasang.

     “Kat mana nak bermalam ni?  Kalau nak cari memang aku tak tahu di mana?” aku mengeluh lagi.  Menyesal juga rasanya tidak melalui lebuh raya.  Kononnya ingin menikmati suasana alam semulajadi, akhirnya aku sendiri yang terperangkap di sini.

     Telefon pintar diambil.  Mujurlah isyarat telefon dan juga internet masih lagi berfungsi dengan baik.  Aku menaip nama rumah rehat yang berdekatan dilaman sesawang.  Dalam beberapa saat, terpapar satu laman web ‘Rumah Rehat Kampung Manis’.  Hanya itu sahaja pilihan yang aku ada.  Jaraknya cuma lima kilometer dari sini.  Rumah rehat yang lain agak jauh juga.

     Aku meneliti segala keterangan dan gambar Rumah Rehat Kampung Manis.  Rumah rehat tersebut hanya menyediakan kemudahan asas.  Cukuplah untuk aku merehatkan badan satu malam.  Tanpa membuang masa, aku cuba mencari sebarang nombor telefon untuk dihubungi.  Malangnya urusan tempahan rumah rehat  hanya boleh dibuat  secara online sahaja.

      “Hmmm… cuba sajalah.”
      
Setelah urusan pembayaran berjaya, aku memberi isyarat untuk masuk semula ke jalan raya utama.  Tiada satupun kenderaan yang melalui jalan raya tersebut ketika ini. Hujan juga masih belum reda.   Berpandukan peta dan koordinat yang diberikan, aku  terus saja ke rumah rehat yang dimaksudkan. 

    Radio yang memutarkan lagu-lagu terkini beralih ke siaran yang lain pula.  Aku tidak ambil peduli tentang itu kerana kebiasaan siaran radio akan tertukar dengan sendirinya jika berada diluar kawasan liputan sedia ada.

     Suasana diluar yang gelap akibat monsun bertambah kelam apabila tibanya malam.  Aku tersentak tatkala siaran radio memainkan lagu lama sewaktu zaman ibu dahulu.  Sekali lagi aku tidak mengambil peduli.

   Aku mula menyusuri jalan kecil sebaik saja stereng diputar ke kanan.  Hujan semakin reda memudahkan aku melihat laluan yang betul.  Dalam lima belas minit perjalanan, aku menemui satu papan tanda bertulisan jawi yang bertulis ‘Rumah Rehat Kampung Manis.’

     “Sampai jugak akhirnya.” 

     Anehnya, aku tidak melihat sebarang bangunan ataupun rumah tatkala menyusuri jalan tersebut.  Mungkin pemiliknya sengaja memilih lokasi terpencil seperti itu untuk mencipta ketenangan bagi penghuninya

     Selang sepuluh minit kemudian, aku menemui beberapa buah rumah kayu bersaiz sederhana seakan sebuah chalet.  Hanya ada dua buah rumah yang diterangi oleh cahaya lampu.  Yang selebihnya gelap gelita.

     “Mana satu bahagian pendaftaran?  Di sana kut?”  aku memberhentikan kereta di hadapan salah sebuah rumah yang bertulis ‘lobi.’  Aku keluar daripada kereta lalu mengatur langkah ke kaunter.  Keadaan ketika itu sunyi sepi.

    “Eh, takde orang?” aku kehairanan.  Aku melilaukan pandangan mencari kelibat kakitangan di situ.

      “Selamat datang ke Rumah Rehat Kampung Manis.  Cik nak buat tempahan?”

    “Opocot!”  hampir terlompat aku kerana terkejut dengan kehadiran seorang gadis cantik yang tiba-tiba saja tegak berdiri dikaunter pendaftaran.  Aku mengurut dada yang berdebar hebat.

     “Assalamualaikum.  Ya, sebenarnya saya dah buat tempahan melalui online siang tadi.  Boleh cik semak?”

     Gadis tersebut memakai baju  kebaya tradisional  lama.  Sekuntum bunga kemboja putih terselit dirambutnya yang panjang mengurai. Apa yang menarik perhatianku, ialah tag nama yang tersemat didadanya.

     “Kemboja,” bacaku perlahan.

     “Ya, nama saya Kemboja.  Jangan tanya kenapa.  Ibu saya memang suka nama klasik.  Maafkan kami, cik.  Sebenarnya komputer kami mengalami kerosakan akibat ribut siang tadi.  Tapi tak mengapa.  Bilik masih banyak yang kosong.   Cik boleh pilih yang mana cik suka,” jelas Kemboja.

    “Ahh, begitu.   Bagilah bilik mana-mana.  Saya tak kisah.  Hanya untuk malam ini saja.”  Timbul juga rasa pelik.  Nampaknya seperti aku seorang saja yang berada di sini.  Mungkin tempat ini penuh pada hujung minggu.  Aku cuba menyedapkan hati sendiri.

     Aku baru perasan, kulit Kemboja begitu pucat.  Mungkin kerana pantulan cahaya lampu atau warna kulitnya memang begitu.  Kemboja mengukir senyum.  Senyuman itu tampak cantik tetapi agak menyeramkan bagi aku. 

    ‘Tak baik berprasangka,’ aku memujuk hati sendiri.

     Kemboja mengeluarkan sebuah buku berkulit tebal dari dalam laci.  Helaian demi helaian diselak.  Sebatang pen yang terselit dicelahan jari telah bersedia untuk menulis.

     “Nama cik?” Kemboja bertanya. 

     “Qartina binti Qassim,” jawab aku.

   Apa yang menariknya, Kemboja menulis nama ku dalam tulisan jawi.  Soalan demi soalan mula berlegar-legar didalam kepala.

     “Cik dah buat bayaran melalui online kan?” tanya Kemboja lagi.

    “Ya… ya sudah.”  Pelik juga bagaimana dia tahu?

    Kemboja memusingkan badannya ke belakang.  Salah satu anak kunci yang yang tergantung di situ diambil.

    “Ini kunci bilik.  Rumah rehat cik Tina tak jauh dari sini.  Cik jalan terus saja, kemudian belok kiri.”

     Anak kunci bertukar tangan.  Tanpa sengaja, aku tersentuh kulit tangannya ketika mengambil kunci.  Sejuk seperti ais!  Aku menilik rantai kunci yang bertulis ‘Kemboja.’

    “Kemboja?” berkerut dahiku ketika membaca nama itu.

     “Ye.  Nama rumah rehat cik Tina ialah Kemboja.  Cik ada bagasi?,” tanya Kemboja lagi.  Senyuman masih tersungging dibibir.

     “Ada, tapi tak banyak.  Takpe, saya boleh bawa sendiri,” aku menjawab sopan. 

     Aku meminta diri sebelum mengambil beg sandang di dalam kereta.  Dalam sekelip mata sahaja, kelibat Kemboja hilang dari pandangan.

    “Pelik betul.”

     Klakk...

    Tombol pintu dipulas.  Keadaan bilik agak bersih.  Kesemua hiasan cadar dan langsir juga berwarna putih.  Lebih menarik lagi,  barang-barang hiasan di dalam bilik tersebut boleh dikatakan lama dan antik.  Termasuklah katilnya juga.  Aku merebahkan badan ke katil.  Walaupun hari hujan, keringat tetap membasahi tubuh.

     Aku bangun dan tercari-cari alat kawalan penghawa dingin ataupun suis kipas.  Tetapi hampa.  Kedua-duanya tidak disediakan.  Aku mengeluh. 

     “Susahlah begini.  Hmmm… .”

     Langsir yang menutupi jendela ku tarik ke sisi.  Hajat dihati ingin membiarkan saja angin malam yang menerobos masuk melalui tingkap.  Namun, sebatang pokok besar yang berhadapan dengan tingkap membuatkan aku menukar fikiran.

     Kilat yang memancar sekilas, sudah cukup membuatkan dada ku seakan ingin pecah. 

     “Kemboja?  Apa yang dia buat kat situ?”  
     Kemboja sedang duduk di atas buaian  didahan pokok besar tersebut.  Buaian dihayunkan ke depan dan ke belakang beberapa kali.  Rambut panjang milik Kemboja menutupi keseluruhan wajahnya yang tertunduk.

     Tidak semena-mena hayunan buaian terhenti.  Pantas Kemboja mengangkat wajahnya.  Belum sempat aku melihat dengan jelas, langsir putih ku tarik menutupi tingkap.  Tidak sanggup ingin menyaksikan wajah pucat yang tidak berdarah itu. 

     “Astaghfirullahaladzim.  Aku ni penat sangat agaknya.”

     Setelah mengeluarkan barang-barang peribadi, aku bawa langkah ke bilik air yang bersaiz agak kecil.  Puas aku mencari kepala paip.  Apa yang ada hanyalah sebuah tempayan besar yang ditutup dengan papan.  Di atas penutup tersebut terdapat gayung yang diperbuat daripada tempurung kelapa yang diikat dengan sebatang kayu.

     “Ini pun bolehlah.”

     Penutupnya ku buka.  Terkejut melihat  pelbagai jenis bunga yang terapung-apung dipermukaan air.  Dengan teragak-agak, aku menjiruskan kaki ku terlebih dahulu.  Dingin sungguh!  Tanpa membuang masa aku membersihkan diri.

     Usai mandi dan bersolat aku duduk berteleku di atas katil.  Telefon pintar ku sambungkan kepada alat pengecas.  Mata terasa segar.  Mungkin penangan mandi air bunga barangkali.  Perut pula berbunyi minta diisi.

    “Aduhh… lapar pulak rasanya.  Mana tak laparnya, aku cuma sempat bersarapan saja tadi.”

     Aku mencapai plastik putih yang berisi roti dan air mineral.  Malangnya, yang tinggal hanyalah pembalut plastik roti yang kosong!  Mujurlah ada mi cawan segera yang aku beli tadi. 

     “Nak kena masak air panas dulu.  Cerek pun takde ni.  Macam mana nak makan mi?”  Pening pula memikirkan.

     “Aku takde jalan lain.  Kena jumpa Kemboja sekali lagi.” 

     Tudung bawal ku sarungkan ke kepala seringkas mungkin.  Lupa akan peristiwa ‘Kemboja’ dibuaian sebentar tadi.  Mi cawan aku bawa bersama.  Sebaik saja pintu bilik dibuka, angin sejuk menampar ke wajah.  Seperti ada tangan yang membelai wajah ku tatkala angin sejuk itu menyapa.

     Aku menyarung kasut lantas segera ke bahagian pendaftaran.   Suasana tetap sunyi seperti tadi.

     “Assalamualaikum” aku memberi salam.

     “Apa yang saya boleh tolong Cik Tina?”

     Aku mengurut dada sekali lagi.  Boleh terkena serangan jantung jika selalu begini.  Suka saja muncul dengan tiba-tiba.  Derapan tapak kaki pun langsung tidak kedengaran.  Alih-alih sudah terpacak di belakangku.

     “Ada air panas tak?  Saya nak air panas sikit untuk mi segera ni,” aku menerangkan.  Mi cawan segera aku tunjukkan kepadanya. 

    “Ada.  Tapi cik Tina kena tunggu lama sikit.  Maklumlah, perkakas elektrik kami tidak secanggih  mana,” jawab Kemboja.

     “Takpe, saya boleh tunggu.”

    “Sebentar ye, saya masak air dulu” Kemboja berlalu pergi.  Langkahnya laju seperti tidak memijak lantai. 

     Aku duduk di ruang menunggu.  Terdapat sebuah meja bulat dan dua buah kerusi rotan yang terletak bersebelahan kaunter.  Helaian akhbar Merdeka aku selak satu persatu.

     “Eh, macam akhbar lama saja ni?  Laaa… patutlah!  Tahun 1968 rupanya.”

    Sedang leka aku membaca tarikh diakhbar, radio lama yang terletak dipenjuru kaunter berbunyi.  Ianya memainkan sebuah lagu dendangan biduanita tersohor iaitu Saloma.

“Bia larut malam
Suasana sepi
Tiada pun insan
Yang ku lihat lagi

Mengapa hatiku
Merasa terharu
Dimalam ini
Terasa sunyi”

    Aku menggosok lengan.  Bulu roma menegak tanpa dipinta.  Lain macam pula bila mendengar lagu itu pada waktu-waktu begini.

     “Cik Tina, air panas dah siap,” ujar Kemboja.

     Aku menoleh.  Kemboja menghulurkan termos berwarna merah berisi air panas kepada ku.  Entah mengapa kuku tangan Kemboja kelihatan lebih panjang daripada tadi.  Aku berpura-pura tidak nampak.

     “Terima kasih”

     “Sama-sama.  Hihihihi.”

     Langkah ku hayunkan selajunya.  Ketawa Kemboja tidak ubah seperti hilaian pontianak didalam filem-filem melayu.   Untuk kembali ke rumah rehat, aku perlu melalui satu lagi rumah yang diterangi oleh lampu.  Rongga pernafasan sesak dengan bauan yang amat busuk dan memualkan sebaik saja melintasi rumah itu.  Pada masa yang sama, bagaikan ada seseorang yang memerhatikanku dari dalam rumah tersebut.

     Jantung yang berdegup kencang ini pula tidak mahu reda.  Aku menikmati mi segera secepat mungkin.  Tidak pasti sama ada kerana aku terlalu lapar, ataupun terlalu takut.  Jam ditelefon sudah menunjukkan angka 11.00 malam. 

     Badan yang lesu membuatkan aku mulai rasa mengantuk.  Baru saja merebahkan badan dikatil, hujan turun dengan lebatnya.  Titisan hujan yang menimpa atap zink menghasilkan bunyi bising.

    Kedinginan mulai terasa.  Aku menarik selimut hingga ke paras dada.  Kelopak mata dipejamkan rapat dan doa tidur dibaca disamping surah-surah lazim yang lain.  Kemudian aku terlena dibuai mimpi.

     Aku terjaga kerana bunyi tangisan bayi yang nyaring.  Terkebil-kebil aku melihat siling.  Dalam keadaan mamai yang masih bersisa, aku cuba mengamati dari mana datangnya bunyi tangisan bayi tesebut.  Kibaran langsir akibat ditiup angin membuatkan aku sedikit tersentak.

    “Ala… lupa nak tutup tingkap tadi.”

    Walaupun malas, aku bangun juga.  Langsir diselak sebelum pemegang tingkap ku tarik.  Tangisan bayi senyap begitu saja.  Mata ku halakan ke luar.  Terlihat satu bayang-bayang putih melintasi di luar sana.  Ku picingkan pandangan agar lebih jelas.  Ternyata memang ada satu susuk tubuh berwarna putih yang tegak berdiri berhampiran pokok besar tersebut.

    “Takkanlah Kemboja lagi?” aku tertanya-tanya. 

     Sejak tiba di sini, bermacam-macam kejadian pelik yang menimpa.  Susuk itu semakin dekat.  Peliknya susuk tersebut tidak berjalan seperti manusia biasa. 

  “Arghhhh… pocong!”

     Segera pemegang tingkap ku tarik dan menutupnya rapat-rapat.  Aku bersembunyi didalam selimut.  Kaki mengerekot seperti bayi.  Segala ayat-ayat suci Al-Quran ku baca.  Dalam situasi sebegitu sudah pasti bacaan menjadi tidak lancar.

    Bum… ktakk… ktakkk
    Sretttt… sretttt...

    “Bunyi apa lagi ni?,” tanyaku gementar.

      Ada sesuatu yang menghentam bumbung.  Cakaran demi cakaran diatap zink membuatkan aku berasa ngilu.  Keringat semakin membasahi sehingga baju yang dipakai lencun.  Di dalam kepala sudah terbayang yang bukan-bukan.

     Bunyi cakaran berhenti juga akhirnya.  Aku menghela nafas.  Tetapi masih tidak tahu hendak berbuat apa.  Malam juga semakin larut.  Sedang leka berfikir, pintu bilik air tiba-tiba saja terbuka.  Peluh yang hampir kering semakin merembes keluar.

     Semerbak haruman kemboja menyelubungi bilik.  Aku sudah tidak sanggup lagi menghadapi segala gangguan seperti ini. 

     “Hihihihihihi”

     Suara hilaian bergema disegenap penjuru bilik.  Bingit dan menyakitkan telinga!  Aku menekup kedua-dua belah telinga dengan tapak tangan.  Ingin menjerit tetapi suara tersekat dikerongkong.  Badan tidak henti-henti menggigil.  Lama kelamaan hilaian itu juga lenyap.  Aku membuka kelopak mata.  Cahaya lampu yang suram menambahkan keseraman yang sedia ada.  Tempat apakah ini? 

         Aku mengambil keputusan untuk keluar dari situ pada malam itu juga.  Apa nak jadi pun jadilah.  Semua barangan aku sumbatkan ke dalam beg sandang dengan tergopoh-gapah.  Kunci kereta telah siap sedia berada ditangan.

       “Kunci bilik?  Ahhhh, biarkan saja!”

        Aku memberanikan diri.  Ayatul Qursi dibaca tanpa henti sebagai pelindung diri.  Aku berlari sepantas kilat tanpa menoleh sedikitpun ke belakang.  Pintu bilik ku biarkan ternganga seluasnya tanpa sempat ditutup.  Sepasang mata yang kemerahan galak mengintaiku dari rumah rehat yang ku lalui tadi.  Terasa longlai dan lemah segala sendi lutut.  Apalah nasib.  Aku terperangkap di sebuah kawasan rumah rehat yang menyeramkan!

         Disaat-saat getir begini, kunci kereta pula terjatuh ke tanah.  Suasana bertukar menjadi gelap gelita apabila tiba-tiba saja lampu yang menerangi rumah rehat terpadam.  Aku meraba-raba kunci kereta didalam kegelapan.  Akhirnya hujung jariku tersentuh anak kunci tersebut lalu alarm terus saja ditekan.  Beg sandang dicampakkan ke tempat duduk belakang.  Tanpa membuang masa, aku hidupkan enjin kereta. 

    Mujurlah hanya dengan sekali cuba saja.  Jika didalam kisah-kisah seram lain yang pernah aku baca dan tontoni, sudah pastinya enjin kereta sukar dihidupkan pada waktu genting sebegini.  Aku membuka lampu kereta sebelum mengundur ke belakang.

    “Arhhhh…!”  Spontan aku menjerit melihat si Kemboja yang sedang berdiri tegak betul-betul didepan kereta.  Matanya menyorot tajam ke arahku.  Penampilannya juga sudah tidak secantik seperti sebelumnya.  Wajah Kemboja buruk dengan kulitnya yang kehitaman.  Rambut dibiarkan menggerbang dan tubuhnya membongkok.

  Aku tidak betah menatap wajah hodoh dan menyakitkan mata itu lama-lama.  Secara drastik keberanian ku datang.  Pedal minyak ditekan setelah stereng diputar.  Aku menyusuri jalan dengan laju hanya bertemankan lampu kereta semata-mata. 

     Didalam keberanian terselit juga rasa takut.  Sesekali, aku melihat cermin pandang belakang.  Lega apabila tiada apa-apa yang menumpang sekaki.  Semput akibat berlari masih lagi terasa.

    “Alhamdulillah.”

Aku mengucapkan syukur setelah berjaya keluar daripada perkarangan rumah rehat berpuaka tersebut.  Dalam setengah jam perjalanan, barulah aku menemui beberapa buah rumah di Kampung Manis.  Hairan juga petang tadi langsung tidak kelihatan deretan rumah mereka.  Mungkin inilah permainan syaitan dan iblis yang ingin menyesatkan manusia seperti aku.

       Aku tiba juga di hotel tempat kami bakal bersidang sebentar lagi.  Masa masih terlalu awal ketika ini.  Aku mengambil keputusan untuk menunggu azan subuh berkumandang.  Setelah apa yang ku lalui tadi, adalah mustahil bagi aku untuk tinggal di dalam bilik seorang diri.

***

    “Terima kasih kepada tuan-tuan dan puan-puan yang hadir pada mesyuarat kali ini.  Saya berharap, anda semua dapat melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan demi masa depan syarikat kita bersama.  Mesyuarat ditangguhkan.”  En. Zahar berdiri dan bersalaman dengan para lembaga pengarah yang turut hadir.  Ahli-ahli mesyuarat yang lainnya telah membawa haluan masing-masing sebaik saja  bersurai.

    Lega rasanya apabila mesyuarat telahpun berakhir.  Dapatlah aku berehat seketika.  Ketika menaiki lif, aku disapa oleh Pak Deraman, pemandu kepada En. Zahar.  Pak Deraman merupakan anak jati negeri pantai timur ini dan dia amat gembira apabila dapat pulang ke kampung halamannya sendiri.

    “Cik Tina tidur di mana semalam?” tanya Pak Deraman.  Rambutnya yang memutih terselindung disebalik kopiah yang bersulam cantik.

    Aku teragak-agak untuk menjawab.  Kasihan melihat Pak Deraman yang masih setia menunggu  jawapan dari ku akhirnya aku membuka mulut juga.

    “Rumah Rehat Kampung Manis,” jawabku mendatar.  Mulut Pak Deraman terlopong.  Matanya terbuntang seakan tidak mempercayai kata-kata ku tadi.

    “Biar betul?” soal Pak Deraman lagi.

    “Betul la tu.  Puas saya cari rumah rehat yang lain, tapi itu saja yang saya jumpa dalam internet,” aku menerangkan.  Pak Deraman menggeleng dan beristighfar berkali-kali.

    “Nasib baik Cik Tina tak apa-apa.” 

Aku tersenyum.  Kalaulah Pak Deraman tahu apa yang telah terjadi, sudah pasti orang tua tersebut tidak akan percaya.  Aku menggamit Pak Deraman untuk pergi ke tempat yang lebih privasi.  Segala perjalanan dan gangguan yang aku alami aku ceritakan kepada Pak Deraman.  Tanpa ada satu pun yang tertinggal.  Pak Deraman teranggung-angguk sambil mengusap janggutnya yang sejemput.

Setelah habis bercerita, otot pipinya bergerak-gerak seakan ingin mengatakan sesuatu.

“Sebenarnya… Cik Tina bukanlah orang pertama yang diganggu,” ujarnya.

“Maksud Pak Deraman?”

“Rumah rehat tu dulu memang wujud.  Tetapi lama dulu sebelum Cik Tina lahir lagi.  Kawasan tersebut sebenarnya berpenunggu.  Setelah pembahagian harta pusaka selesai oleh sebuah keluarga kaya, tanah tersebut dijadikan tempat bercucuk tanam.  Tapi semuanya tak menjadi.  Sehinggalah mereka dinasihatkan untuk melakukan upacara acak. 

Upacara itu dilakukan sebagai habuan kepada jin tanah yang menghuni di situ berkurun lamanya.  Setelah itu, hasil tanaman mereka mula membuahkan hasil. Lama-kelamaan, tanah tersebut diwariskan kepada anak lelaki sulung mereka. Anak sulungnya ingin membuka rumah rehat ataupun rumah tumpangan kerana tidak berminat dengan aktiviti bercucuk tanam.  Iyalah,  orang muda kan.  Selama pembinaan rumah rehat tersebut dijalankan, berlaku banyak halangan dan gangguan.  Kadang-kadang langsung tidak boleh diterima akal. 

Rumah rehat tersebut akhirnya siap juga walaupun mengambil masa selama dua tahun setengah.  Sambutan agak menggalakkan.  Tetapi hanya untuk sementara.  Para penyewa sering diganggu dengan kejadian-kejadian mistik.  Perkara tersebut dijaja dari mulut ke mulut sehinggalah pemiliknya terpaksa menutup rumah rehat tersebut kerana asyik menanggung kerugian.”  Kali ini, aku pula yang terlopong.  Berdiri bulu roma mendengar penerangan daripada Pak Deraman.

“Jadinya, tempat tu terbiar macam tu saja?” aku meminta kepastian.

“Ya.  Pemiliknya tidak mempercayai perkara tahyul dan khurafat.  Oleh kerana upacara acak tersebut dihentikan, maka mereka diganggu.  Begitulah ceritanya Cik Tina.  Saya memang tidak mereka cerita.  Apa yang saya dengar, itulah yang saya beritahu.”

“Sejak bila tempat tu ditutup?”

“Sejak tahun 1970 an.”

Seriau pula mendengarnya walaupun disiang hari begini.  Aku meminta diri untuk ke bilik.  Badan terlalu penat dan tidak cukup tidur.  Aku buang jauh-jauh kenangan yang agak menyeramkan bagiku.  Aku tidak mahu memberatkan kepala dengan segala permasalahan yang menimpa.

Daun pintu ditolak setelah kad ku sentuhkan disensor.  Kasut tumit tinggi ku hanya lemparkan dibelakang pintu.  Beg tangan dan fail ku letakkan sahaja di atas meja solek.  Tidak sabar rasanya untuk merebahkan diri di atas katil empuk.  Langsir yang terbuka ku tarik sehingga tiada sejalur cahaya yang menembusi ke dalam bilik.

“Bagus.  Redup sikit.” 

Tanpa membuang masa, aku hempaskan badan ke katil.  Kelopak mata mula bertaut rapat.  Aku hampir terlena disaat jari ku tersentuh sesuatu.  Pada mulanya aku mengabaikan saja.  Namun bauan yang menusuk hidung menyebabkan aku membuka kelopak mata seluas-luasnya.  Aku memeriksa benda yang ku sentuh tadi.

“Kemboja?”

                             TAMAT

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh