4,643
Kategori:
Genre:
Senarai Bab

“Kau jangan nak malukan aku, Bib! Belum pernah lagi terjadi dalam keturunan aku, orang perempuan bergelumang dengan segala mak nenek spanar bagai! Kau jangan degil, nanti aku sumbat mulut kau dengan skru-skru ni hah!” Bib menggaru-garu kepalanya. Tool box yang sudah berserakan dengan muntahan skru dan spanar sekadar menjadi santapan matanya sahaja. Amukan tsunami Mak Yam sebentar tadi menjadi penyumbang utama kepada kecamukan yang melanda kamar tidurnya saat itu.

Bib menyerigai. “Relakslah mak. Janganlah marah-marah, nanti cepat tua, muka pun berkedut seribu nanti.”

Mak Yam membentak. “Kepala hotak kau relaks! Cukup-cukuplah setakat ni aku mengadap perangai kau yang tak semenggah tu. Lama-lama boleh sakit otak aku di buatnya!” Mati kutu Bib. Buntu dia memikirkan cara-cara untuk melembutkan hati ibu tirinya itu agar menerima keputusannya dengan hati yang terbuka.

PON! PON! Skooter Modenas Karisma 125 berwarna merah hati muncul di halaman rumah. Bagaikan tidak cukup tanah Bib berlari-lari ke arah Ash yang sudah siap sedia menunggu di bawah.

“Hei Bib!! Dah berapa kali aku cakap, aku nak naik Camry, tak mainlah setakat skooter cabuk macam tu!” Tak semena-mena berasap kepala Bib. Pagi-pagi begini hatinya sudah mendidih dek mulut longkang ibu tirinya!

“Mak, kalau mak nak naik sangat Camry, mak jelah kahwin dengan mamat Camry tu! Tunggulah tak lama lagi Toyota Wish Bib sendiri akan menjalar di hadapan rumah kita ni.”

Mak Yam mencebik. “Wish konon! Kau jangan nak beranganlah! Kerja pun tak ada, ada hati nak pakai Wish. Nak muntah aku mendengarnya.” Pedih hati Bib. Hinaan Mak Yam terhadapnya tidak pernah berkesudahan. Laju sahaja mulutnya mahu menyembur semula namun hangatnya sentuhan Ash yang singgah di bahunya seakan menjadi penutup mukadimahnya untuk pagi ini.

Dengan tidak semena-mena sebuah kereta Toyota Camry berwarna kelabu menjulur masuk ke perkarangan rumah. Mak Yam tersenyum lebar sampai ke telinga. Seronok di hatinya tidak terkira apabila bakal menantu pilihannya sudah tersergam di hadapan mata. Bib terus angkat kaki. Malas pula dia nak bermesra-mesra dengan bakal suami tak jadinya itu!

“Hei Bib! Kau nak ke mana tu? Riz datang ni.” Nada suara Mak Yam sedikit kendur.

“Bib dah lambat nak masuk kerja ni. Mak jelah yang layan si Riz tu. Assalamualaikum.” Dengan selamba Bib terus membonceng skooter Ash. Di gesanya pemuda itu agar segera berlalu dari situ. Terbeliak bebola mata Mak Yam melihat gelagat anak tirinya. Ikutkan hati mahu sahaja di pasungnya kaki Bib ke tiang seri rumah. Biar dia tidak betah merayau ke sana ke mari lagi.

“Bib! Kau jangan kerja kat situ! Kau dengar tak apa yang aku cakap ni? Bib!!” Riz hanya menggeleng-gelengkan kepala. Sudah acap kali benar dia melihat perang di antara ibu dan anak ini sehinggakan dia lali dengan situasi sebegitu.

“Riz, makcik minta maaf, ya? Tadi makcik dah suruh Bib tunggu kedatangan Riz tapi dia tu memang keras kepala. Asyik nak membantah cakap orang tua sahaja.” Mak Yam melepaskan amarah di hati. Riz hanya tersenyum. Inilah peluang baginya untuk mengambil hati orang tua itu!

“Janganlah risau, makcik. Saya tak kisah. Sebenarnya saya datang ke sini nak ajak makcik pergi ke bandar. Ingat nak belikan barang-barang dapur sikit untuk makcik dua beranak.” Seperti di duga umpan Riz mengena.

“Oh, yeke? Molek juga tu, kebetulan beras memang dah habis kat dapur tu. Riz tunggu sekejap, makcik tukar baju dulu, ya?”

Riz hanya memerhatikan liuk lenggok tubuh Mak Yam yang berdedai masuk ke dalam rumah. Walaupun usia Mak Yam sudah menghampiri ke angka pertengahan abad namun kecantikannya masih terserlah. Dan kecantikan yang sama itu jugalah yang membaluti pujaan hatinya, Bib! Kerana kecantikan yang dimiliki oleh Bib itu jugalah membuatkan kakinya ringan sekali datang ke sini. Kedudukan Bib selaku gadis paling jelita di Kampung Pening Lalat tidak memungkinkan Riz berpaling kepada mana-mana perempuan lain. Memang benar Syasya sudah diratahnya, Rina pula sedia menyerah bila-bila masa sahaja yang diperlukan. Namun si empunya nama Bib @ Bibiana Raisya ini sukar sekali untuk ditawan. Hatinya seakan-akan kebal dengan wang ringgit dan kemewahan. Masih terngiang-ngiang di telinganya saat Din dan Hairul melemparkan cabaran buatnya untuk melembutkan hati batu si gadis.

“Kalau kau betul-betul jejaka idaman Malaya, aku cabar kau untuk dapatkan si Bib tu. Buat sampai dia tergila-gilakan kau.”

Riz tersenyum angkuh. “Itu perkara kecillah, Din. Sekali aku lempar duit kat muka dia, gerenti terus dia sembah aku punya.”

“Jangan cakap besarlah, bro. Kau tak kenal lagi si Bib tu. Dia tu perempuan yang paling liat sekali setakat ini yang pernah aku jumpa. Kau kenal Cikgu Man?”

Hairul mencelah. “Cikgu Man, anak orang kaya dari bandar tu, kan?”

“Haah, betul. Korang tahu tak, cinta Cikgu Man tu mentah-mentah je si Bib tu tolak, tau? Tu yang aku nak suruh kau test power pula. Kalau betul kau dapat pikat Bib tu, motor aku ni sah jadi milik kau.” Riz merenung wajah Din dengan rasa kurang percaya. Tak mungkin Din sanggup menyerahkan bulat-bulat motorsikalDucati 848 Evo yang baru dibelinya dengan harga RM 110,00!

“Kau jangan buat lawak antarabangsa dengan aku, Din. Aku seligi kau karang, baru tahu.” Din tersenyum sambil mempamerkan barisan gigi putihnya yang tersusun rapi.

“Alah Riz, sebenarnya kau tak berani nak sahut cabaran aku, bukan? Pigidah, jejaka idaman Malaya konon. Jejaka idaman taik kucing!”

Merah padam muka Riz. “Woi, cakap baik-baik sikit ya! Ini Rizman anak ketua kampung tau! Sedangkan Rina anak pegawai daerah tu pun senang-senang je jatuh dalam genggaman aku, ini pula setakat budak kampung macam Bib tu. Tunggulah, aku akan buktikan pada korang!”

KLUK! KLAK! KLUK! Bunyi mangga pintu rumah Mak Yam segera menyedarkan Riz dari lamunan panjang. Sejurus selepas itu Riz dan Mak Yam sudah pun berada di dalam perut Camry yang sedang meluncur laju menuju ke bandar.

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

“Bagi aku spanar nombor 3 tu.”

Bib terkebil-kebil. “Yang mana satu ni, Ash? Aku tengok sama je rupanya.”

“Kan ada tulis nombor dekat hujung spanar tu? Kalau nak kerja kat sini kenalah fokus, jangan asyik nak berangankan Wish je! Cuba kau buka mata tu besar-besar sikit. Lembab juga kau ni, kan?” Bib tersentak. Kata-kata Ash itu sedikit sebanyak mengguris hatinya. Mendung terus berarak di wajahnya.

“Hello, nama Wish jangan kau bawa masuk dalam ini cerita, hah! Cakap elok-elok sikit tak boleh ke? Tak apalah kalau kau rasa aku tak layak kerja di sini aku nak baliklah.” Bib terus bangkit. Pantas kakinya melangkah keluar dari bengkel itu.

Ash menampar-nampar mulutnya sendiri. Kenapalah mulutnya begitu celupar sekali memarahi gadis idaman hatinya itu? Ash terus mengejar Bib dari belakang. Tanpa sebarang amaran dipintasnya gadis jelita tersebut. Hampir-hampir sahaja muka mereka berlaga. Hembusan nafas kasar Bib memenuhi segenap ruangan wajah Ash. Mata bundar Bib pula menelanjangi setiap inci wajah kacak Ash. Hati masing-masing mula tidak keruan. Rona-rona bahagia sudah mula bercambah di dalam jiwa. Adakah ini yang dikatakan cinta?

“Ash! Tolong tengokkan kereta aku ni. Enjinnya tiba-tiba mati pula tadi.” Kemunculan Zaman secara tiba-tiba menamatkan kisah cinta yang baru sahaja berputik. Bingkas Ash menuju ke kereta Zaman.

Bib pula berbolak-balik. Hendak ditinggalkan Ash begitu sahaja, kasihan pula dia melihat Ash terkontang-kanting seorang diri. Sudahnya langkah kaki Bib terpacu semula ke bengkel kereta Ash. Terus dia menuju ke arah Ash dan Zaman. Rupa-rupanya kereta Zaman mengalami masalah dengan ‘fuel injection pump’. Bib tekun memerhatikan Ash yang sedang berhempas-pulas mengeluarkan ‘fuel injection pump’ yang telah rosak untuk digantikan dengan yang baru. Secebis kekaguman terbit di sudut hati Bib. Di kala begini serasanya kebanyakan jejaka seusia dengan Ash pasti lebih mendambakan sebuah pekerjaan di pejabat yang berhawa dingin. Namun nyata sekali Ash tidak kisah dengan pekerjaannya sekarang yang banyak bergelumang dengan kekotoran.

Ya, Ash yang dikenalinya sejak dari zaman persekolahan lagi memang seorang yang komited dalam apa jua pekerjaan yang dilakukannya. Masih segar lagi di minda Bib sewaktu mereka berdua masih lagi berada di alam persekolahan. Sebagai seorang pegawas Ash di tugaskan untuk mengawal pintu sekolah. Pada suatu hari dia sempat memperbaiki rantai basikal salah seorang pelajar yang datang lewat. Upah sebanyak 50 sen di bayar pelajar tersebut dengan harapan dia tidak akan didenda. Yang lucunya Ash tetap mencatat nama pelajar tersebut dalam buku kesalahan. Memang terbaik!!

“Hai, tadi beria-ria nak balik sangat. Kenapa patah sini semula? Nampak sangat dia tak boleh berpisah dengan kita.” Rupa-rupanya Bib tenggelam dalam lautan khayalan sehinggakan dia tidak sedar yang Zaman sudah beredar dari situ.

Bib mencebik. “Jangan perasanlah wei, siapa yang tunggu kau, hah? Dahlah hari pun dah lewat petang ni. Hantar aku balik kejap. Nanti bising pula mak aku tu nanti.”

Ash mengerling nakal. “Ala, dia takkan marah punyalah. Aku ni kan bakal menantu dia.”

“Woi! Statement kau tu jaga-jaga sikit. Pandai-pandai je kau upgrade diri sendiri sebagai bakal menantu merangkap bakal suami aku. Apa kau ingat aku ingin sangat ke nak berlakikan jejaka macam kau ni.” Berhamburan kutukan Bib di lemparkan ke arah Ash. Selalunya Ash menadah sahaja telinganya dengan hati terbuka. Entah mengapa hari ini hatinya rasa tersiat-siat dengan kata-kata Bib itu. Direnungnya wajah Bib yang putih bersih itu.

“Bib, teruk sangat ke aku ni? Memang aku ni tak layak ke jadi calon suami kau?” Bib terdiam. Tidak dijangkanya soalan sebegini akan terpacul dari mulut Ash.

“Bukan begitu maksud aku, Ash. Aku dah anggap kau macam kawan baik aku. Tidak pernah walau sebesar kuman sekalipun aku terfikir untuk menjadikan kau sebagai calon suami.” Ash tunduk. Wajahnya benar-benar suram. Terasa seperti dadanya di henyak dengan batu besar.

“Maknaya kau tak boleh terima aku sebab aku ni kawan baik kau? Andaikata kita dah tak jadi kawan baik, adakah kau akan terima aku?” Buntu seketika Bib. Pelbagai andaian mula bertandang di dalam hatinya. Mengapa pula Ash bertanyakan soalan sebegini kepadanya. Adakah Ash menyukainya?

“Kenapa kau tanya semua soalan pelik macam ni pada aku, Ash? Kita kan dah berkawan sejak dari alam persekolahan lagi. Tak mungkin kau sukakan aku, kan?” DUM!! Bergetar jiwa Ash apabila Bib bertanyakan soalan berani mati itu kepadanya. Ash cuba berdalih.

“Eh, tak adalah. Mana ada aku suka kat kau. Aku anggap kau macam kawan jelah.” Senyum kelat menghiasi bibir Ash. Punah jiwanya apabila bibir terpaksa mendustai hatinya sendiri.

“Sudahlah tu. Hantar aku balik sekarang. Nanti mengamuk mak aku karang.” Skuter itu pun membelah keredupan petang yang sudah semakin menjejaki senja. Namun suasana yang semakin kelam itu sama sekali tidak dapat menandingi kelamnya jiwa Ash di saat ini!

^^^^^^^^^^^^^

Din dan Hairul menunggu dengan tenang. Mereka yakin dengan perancangan teliti seperti ini, sudah pasti ianya akan membuahkan hasil yang menakjubkan! Dari kejauhan kelibat skooter berwarna merah hati semakin menunjukkan kelibatnya. Din dan Hairul bergegas turun dari motorsikal dengan wajah yang sugul.

“Hei! Apa yang korang berdua buat kat depan rumah aku ni, hah? Mak aku mana?” Bib melontar pertanyaan bertubi-tubi. Mereka berdua berpandangan dengan wajah serba-salah.

“Bib, aku harap kau jangan terkejut dengan berita ini. Mak kau pengsan kat bandar tadi. Riz dah hantar dia kat hospital.”

“APA? Korang berdua biar betul? Macam mana mak aku boleh pengsan? Kenapa tadi Riz tak telefon aku?” Menyirap darah Bib. Marahnya dia bukan kepalang pada Riz!

“Macam mana dia nak telefon, kau mana pernah bagi nombor telefon kau kat dia.” Gulp! Kata-kata Din itu tepat mengena batang hidung Bib.

Ash mencelah. “Bib, tak payahlah kecoh-kecoh kat sini. Sekarang ni baik kita pergi ke hospital dulu. Jom aku hantar kau.” Bib hanya akur. Dengan segera skooter Ash di boncengnya. Sebaik sahaja Ash dan Bib berlalu pergi, Din terus menghubungi Riz.

“Hello Riz. Semuanya berjalan lancar. Sekarang ni mereka berdua dalam perjalanan ke hospital.”

Riz tersenyum lebar. “Bagus! Bab pertama sudah selesai. Sekarang ni korang saksikan pula macam mana aku memainkan peranan dalam bab kedua.”

^^^^^^^^^^^^^^^

Masa di rasakan berlalu dengan amat perlahan sekali. Sebaik sahaja mereka sampai di hospital, Bib terus berlari ke kaunter pertanyaan

“Cik, tumpang tanya, di mana pesakit yang bernama Mariam binti Sood berada. Saya ni anak dia.”

“Sebentar ya.” Risaunya semakin membuak-buak. Walaupun Mak Yam itu bukan ibu kandungnya Bib tetap rasa bertanggungjawab ke atasnya. Sementalah semenjak ayahnya meninggal dunia lima tahun yang lepas, Mak Yam lah yang telah bersusah-payah membesarkannya.

“Cik, ibu cik ada di bilik rehat untuk pesakit luar. Biliknya di sebelah kiri hujung sekali.”

“Terima kasih.” Tanpa membuang masa Bib menghayunkan kaki dengan pantas menuju ke bilik rehat tersebut. Ash yang baru sahaja sampai di lobi hospital turut sama membontoti Bib. Sebaik sahaja bilik tersebut dihampiri gegendang telinga mereka berdua jelas dapat menangkap perbualan di antara doktor dan Riz.

“Doktor, betulkah Mak Yam tak ada apa-apa? Terima kasih doktor.”

“Sama-sama. Ini memang dah tugas saya. Saya lihat Encik Riz ni betul-betul ambil berat pasal Mak Yam. Encik Riz ni saudara dia ke?”

“Saya dan Mak Yam sekadar saudara seislam, doktor. Tapi saya dah anggap dan sayang dia macam mak saya sendiri.”

Bib terkedu seketika. Benarkah apa yang di dengarnya ini? Riz sayangkan ibu tirinya sampai ke tahap itu sekali? Tiba-tiba dia rasa berdosa yang amat sangat pada Riz. Selama ini dia tidak pernah melayan Riz dengan baik. Hatinya diundang perasaan bersalah yang tidak bertepian membuatkan laju sahaja kakinya meluru masuk.

“Mak, apa yang dah jadi ni? Doktor, kenapa dengan mak saya?”

“Jangan risau, cik. Dia tak apa-apa cuma kurang rehat saja. Jangan risau lepas dah makan ubat dan berehat secukupnya Insya Allah dia akan sembuh. Mujurlah Encik Riz cepat-cepat hantar dia ke mari. Kalau tidak tak tahulah apa akan jadi pada mak cik.”

Bib tertunduk menekur ke lantai. Malunya dia tidak terperi. Riz yang selama ini di anggap seteru ketat sudah berubah jadi sang pari-pari yang baik hati.

Isi hati Bib mudah sahaja di tangkap oleh Mak Yam. “Bib, mak tahu memang dari dulu kamu memang tak suka dengan si Riz ni. Tapi mak boleh jamin, Riz berupaya untuk membahagiakan kamu di sepanjang hayat kamu. Mak ni dah tua, Bib. Entah berapa kama lagi mak akan bernafas di bumi Allah ni. Sebelum mak menghembuskan nafas terakhir, teringin sangat mak nak tengok kamu di ijabkabulkan dengan Riz. Itulah impian mak yang terakhir.”

Bibi tersentak. Terus sahaja air matanya luruh bagaikan air terjun Niagara Falls kat Amerika Syarikat tu!

“Janganlah cakap macam tu, mak. Baiklah. Bib akan turut segala kemahuan mak.”

Jawapan Bibi yang langusng tidak terjangkau dek minda Mak Yam dan Riz itu terus sahaja membuahkan senyuman lebar di bibir masing-masing. Namun sebaliknya bagi Ash. Dadanya bagaikan di hempap batu berat. Nafasnya kian tersekat-sekat.

“Tidak! Kau tak boleh kahwin dengan Riz, Bib. Kau tak boleh kahwin dengan Riz sebab aku cintakan kau!”

Malangnya teriakan itu hanya mampu berlagu dalam hati Ash sahaja. Dia harus menerima hakikat, gadis idamannya akan menjadi milik orang lain!

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

Riz tersenyum riang. Sesekali dia mengerling ke arah Bib yang sudah di solek indah. Cantiknya dia! Terbetik perasaan bangga di jiwa Riz kerana berjaya memiliki gadis tercantik di Kampung Pening Lalat ini. Tidak sia-sialah dia menabur ubat tidur tempohari dalam minuman Mak Yam sehinggakan bakal ibu mertuanya terdampar seketika di hospital. Dek kerana itulah Bib terperangkap dalam lakonannya sehinggakan Bib terus sahaja menerima cintanya bulat-bulat.

“Dah sedia semua?” tebak Tok Kadi. Lamunan Riz segera menjauh. Pantas kepalanya di anggukkan berkali-kali. Jemari sasanya segera di raih oleh Tak Kadi dengan kemas.

“Rizman bin Razak, aku nikahkan dikau…”

Sebuah jeritan yang datang dari pintu terus sahaja menyentak sekalian hadirin yang hadir.

“Tunggu dulu, Tok Kadi. Pernikahan ini tak boleh berlangsung sebab saya tengah mengandungkan anak pengantin lelaki tu!”

Rina, anak pegawai daerah sudah berdiri di muka pintu. Perutnya yang memboyot sudah cukup untuk membuktikan segala-galanya.

Menyirap darah Bib di buatnya. “Apa semua ni, Riz? Apa sebenarnya niat kau, hah? Mak, kalau macam nilah perangai bakal menantu mak, Bib tak sanggup berkahwin dengan dia. Kita batalkan saja pernikahan ni.”

Riz sudah menggeletik keresahan. “Eh, mana boleh nak batalkan pernikahan kita macam tu je! Makcik, makcik percayakan saya, kan? Kan makcik minat sangat dengan kereta Camry saya tu? Saya janji, lepas saya bernikah dengan Bib, saya bagi terus kereta Camry tu kat makcik.”

Mak Yam tersenyum sinis. “Ya, memang aku minat sungguh dengan kereta Camry kamu tu. Tapi mintak maaflah, ya. Aku lebih rela naik skuter daripada naik kereta Camry buaya tembaga macam kamu ni! Sekarang ni berambus dari rumah aku! Berambus sekarang!”

Merah padam muka Riz di buatnya. “Ok, takpe. Makcik akan menyesal nanti sebab malukan saya macam ni.”

Riz bergegas turun. Pantas dia melangkah ke arah kereta Toyota Camrynya. Kemudian sengaja dia melanggar skuter kepunyaan Bib yang elok tersadai di bawah rumah.

“Hei makcik! Sekarang ni skuter Bibi saya dah jahanamkan. Lepas ni makcik jalan kaki jelah nampaknya!” selar Riz dengan wajah cemberut.

Dengan tidak semena-mena sebuah kereta Toyota Wish berwarna hitam metalik meluncur masuk ke perkarangan rumah Mak Yam. Semua yang berada di situ terpana. Seorang jejaka kacak melangkah turun dari kereta Toyota Wish tersebut dengan penuh bergaya.

“Siapa cakap Mak Yam akan jalan kaki lepas ni? Mulai dari hari ini Mak Yam dan Bib akan naik kereta Wish ni ke mana-mana sahaja mereka nak pergi.”

Ternganga mulut Riz mendengarnya. Silap-silap kereta Toyota Wish itu pun boleh muat ke dalam mulutnya!

Jejaka tersebut melangkah ke arah Bib dengan senyuman manis terukir di bibir. Kunci kereta Toyota Wish tersebut di unjurkan ke arah gadis idamannya itu. “Bib, sudi tak kau terima kereta Toyota Wish ini beserta dengan tuan punya kereta sekali?”

Bebola mata Bib mula berkaca-kaca. Wajah kacak Ash di renungnya dengan perasaan hiba. “Aku sudi, Ash. Aku sudi terima kau tapi dengan satu syarat. Boleh tak aku try bawak kereta idaman aku ni dulu?

Serentak itu semua hadirin yang berada di situ ketawa gembira. Ash sekadar menganggukkan kepalanya sahaja. Hatinya berbunga riang. Akhirnya impian si jelita idaman hatinya itu berjaya juga di penuhinya.

“Aku janji akan membahagiakan hidup kau buat selama-lamanya, Bib. Aku cintakan kau sepenuh hati,” bisik Ash dalam hati.

~ TAMAT ~

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.