1,309
Kategori:
Genre:
Senarai Bab
           Lutfi melabuhkan punggungnya di atas bahu palong yang berperut kosong, langsung tidak berair. Dilihatnya lumpur nipis yang bertakung di dalamnya sudah kelihatan keras merekah. Begitu juga tanah-tanah sawah penduduk kampung yang kelihatan hampir gersang, menandakan musim kering sedang bertamu. Ini bermakna ada lebih kurang sebulan dua lagi tanah sawah itu ‘berehat’ sebelum diairi semula. Sekarang belum boleh dikerjakan lagi. Masing-masing sedang menunggu musim hujan tiba.

           Palong konkrit hasil kerja jurutera dan pekerja teknikal yang dahulunya didatangkan khusus dari Korea sudah begitu banyak jasanya kepada penduduk kampung untuk mengairi sawah padi. Palong membantu sistem pengairan dengan lebih baik. Ditambah pula dengan penggunaan benih padi yang cepat matang, tahan penyakit dan berkualiti serta penggunaan mesin berteknologi, hasil tanaman padi dapat ditingkatkan. Sawah padi boleh dikerjakan lima kali dalam dua tahun. Jika dibandingkan zaman kanak-kanaknya dahulu penanaman padi hanya dapat di usahakan dua kali dalam setahun. Kini musim kering akibat cuaca yang ekstrem sedikit merencatkan musim tanaman padi.

           Lutfi melepaskan penyangkut tali gandar tong racun yang sudah lama melekap di bahunya. Kerja meracun rumput yang tumbuh meliar di hujung batas petak sawah sudah selesai. Dia mengelap peluh yang bergenang di dahi sambil matanya menyorot ke sebuah rumah berloteng di tepi sawah. Beberapa orang kanak-kanak yang hadir waktu musim cuti sekolah bersorak riang, cuba menaikkan sebuah layang-layang kertas. Mereka berlari-lari hingga ke tengah sawah, memijak tungul-tunggul rumpun padi yang semakin rapuh dimamah cuaca.

           “Hoi budak!, jangan main dekat rumah lama tu, ada hantu. Laung seorang pemuda yang sedang menunggang motorsikal, cuba menakut-nakutkan kanak-kanak tersebut.

           “Eleh, tipu. Mana ada hantu. Kami tak takut pun. Kalau ada mana, mana? mari, kami nak berselfie dengan dia.” Jawab seorang budak lelaki berwajah bulat, rakan-rakan yang lain tertawa.

           “Eh, abang!, kami tidur kat sinilah, best tau!. Sejukkk. Angin pun kuat.” sahut seorang kanak-kanak perempuan berambut kontot berwajah polos.

           Lutfi tersenyum sambil menggeleng-gelengkan kepala. Dia maklum, di zaman ledakan teknologi maklumat ini kanak-kanak tidak takut lagi pada hantu walau mereka biasa menontonnya di kaca televisyen. Filem hantu yang dipertontonkan bukan dalam bentuk seram sahaja tetapi juga dalam bentuk kelakar dan lucu. Berbeza benar dengan zaman kanak-kanaknya dahulu. Hantu kini lebih dikenali sebagai entiti yang kabur. Malah, ketika ini pelbagai spesis hantu giat diburu oleh pemburu yang ‘lebih hantu’ dari hantu sebenar dengan menggunakan teknologi audio visual yang canggih. Hantu dan makhluk halus sekarang semakin sukar menyembunyikan diri!.

           Seperkara lagi yang membuatnya teruja ialah tentang rumah kosong tinggalan pemiliknya gemulah Lek Jamuri, guru yang mengajarnya mengaji. Rumah sawah yang dahulunya langsung tidak mahu diambil berat oleh anak-anaknya kini semakin ‘bernyawa’. Malah rumah yang sudah diubahsuai itu menjadi rebutan pula di kalangan penyewa. Bukan itu sahaja rumah itu semakin menjadi buah mulut orang kampungnya. Ada juga yang cemburu dengan usaha yang dilakukannya. Itulah rumah yang diinap oleh kumpulan kanak-kanak tadi bersama keluarga mereka.

           Bola mata Lutfi tertancap ke sebatang tali air sawah yang mengarah terus ke sungai kecil. Di situlah dia dan Masiron, seorang anak keturunan jawa pernah berlanyau lumpur ketika musim mengeringkan sawah, ketika kelongsong padi muda sudah kencang berisi susu. Mereka berdua tidak mahu melepaskan peluang menggagau sepat, haruan dan puyu. Mereka berdua akan merendamkan diri menyusuri alur tali air dengan hanya kelihatan kepala dan bahu. Mereka kelihatan seperti sepasang memerang yang sedang meranduk di celahan rumpun padi sambil menghirup wanginya aroma rerumpun padi yang tumbuh segar merimbun. Batang dan tangkai padi yang sudah mula melentuk melindungi tubuh mereka dari panahan cahaya matahari.

           Di sawah itu juga tempatnya bersama Masiron, Kasrin dan beberapa orang kanak-kanak lagi pernah menangkap katak di tepian batas sawah untuk mengunjun induk haruan. Bila tiba musim menuai dia dan Masiron serta Kasrin akan menyerbu lopak-lopak air sawah untuk menangkap keli dan haruan yang bersaiz L dan XL. Mereka bertiga akan bertempiaran lari bila salah seorang dari mereka menjerit bila terpegang ular air. Di waktu malam, jika mandi tidak bersih ditenyeh sabun, tubuh mereka akan berbau hapak lumpur.

           Kini semuanya tinggal kenangan. Masiron dan adiknya Kasrin sudah berhijrah ke Kuala Lumpur, meninggalkan kampung halaman dan rakan-rakan yang setia meneruskan kelangsungan hidup. Seperti pemuda pemudi yang lain mereka tidak mahu melepaskan peluang untuk bekerja di kota raya. Malah Lutfi juga pernah meninggalkan kampung untuk sama-sama merasai nikmat hidup di kota. Dia hanya sempat bertahan selama sebulan. Kehidupan di kota dirasakan tidak sesuai untuk dirinya. Lagi pun dia tidak sampai hati untuk meninggalkan kedua orang tuanya yang semakin uzur.

           Riuh rendah suara kanak-kanak yang bersorak mematikan lamunannya. Angin yang bertiup kencang mengangkat lelayang naik tinggi ke udara. Matahari sudah semakin tegak. Lutfi segera mengemas barang-barangnya untuk bergerak pulang. Kenangan lalu berlegar di minda seiring dengan gerak langkah kakinya.

           “Lutfi, kau sungguh beruntung dapat hidup di kampung. Aku rasa hidup di kampung lebih baik. Semuanya tersedia. Ikan darat, pucuk paku, keladi, pisang, ubi kayu, kelapa semuanya ada. Tak perlu beli. Semuanya segar-segar belaka. Kalau rajin, cari saja. Berbeza dengan kehidupanku di Kuala Lumpur sana, bergerak sahaja dah pasti mengeluarkan duit. Duit petrol, tol, parking. Itu belum dicampur dengan kos belanja dapur yang semakin tinggi, duit potongan pinjaman perumahan, duit ansuran kereta, belanja dan tambang bas anak sekolah dan macam-macam lagi. Kadang-kadang belum sampai hujung bulan duit aku dah licin. Hidup di kota kena ikut cara mereka. Aku kerja kena ikut arahan bos. Kerja kau kurang tekanan. Kaulah kuli, kaulah bos. Hidup di kota segalanya serba pantas. Siang dan malam terasa begitu cepat berlalu.” Luah Masiron pada suatu hari.

           “Usahlah difikirkan sangat. Rezeki, jodoh pertemuan, ajal dan maut kita semuanya telah ditentukan. Bersyukurlah kau sudah mempunyai keluarga dan kehidupan kau yang baik di sana.”

           “Lutfi, aku nak juallah tanah sawah dan rumah tu sekali. Kalau ada sesiapa nak beli beritahulah aku.” Luah Masiron pada suatu hari.

           “Kenapa pula?. Itu kan tanah pusaka keluarga kau?

           “Betul tu. Tanah tu tak ada orang nak jaga. Aku dan adik beradikku semua dah tinggal di bandar.”

           “Kau tinggallah di sini. Kau boleh kerjakan sawah ini semula.”

           “Adik beradikku ramai. Nanti apa pula kata mereka.”

           “Kalau begitu kau sewakan aja. Duit sewa tu pandai-pandailah kau agih-agihkan. Kalau kau setuju, sewakan pada aku. Sayang dijual. Tanah sawah dan rumah tu seperti tanah dan rumahku juga. Dahulu di situlah tempat kita bermain dan mengaji bersama rakan-rakan yang lain.”

           “Adik beradikku semua tak setuju. Mereka nak pakai duit.”

           “Beginilah, kalau kau benar-benar ingin menjualnya aku sedia membelinya. Beri aku sedikit masa.” Pinta Lutfi. Masiron mengangguk setuju.

           Tiba di rumah, Lutfi mula berbincang dengan isterinya. Isterinya tidak menolak malah menyokong rancangannya.

           “Kita belilah bang. Kata orang tak rugi beli harta tanah. Harganya pun makin lama makin meningkat. Malah boleh dilaburkan.”

           “Ya Mah, betul tu. Tak sama macam beli kereta baharu. Keluar showroom sahaja dah jatuh harga RM dua tiga ribu. Tapi mahal juga harga tanah tu Mah sebab nak dijual dengan rumahnya sekali. Tak cukup duit simpanan kita tu.”

           “Tak mengapa bang. Mah akan cuba buat pinjaman bank. Mah rasa Mah layak memohon”, ujar Asmah yang bertugas sebagai guru sekolah di kampung itu. “Tapi pandai ke abang mengerjakan sawah?”

           “Abang lahir dan membesar di kampung ini. Walaupun ibubapa abang tak mempunyai tanah sawah, abang sering mengikut mereka mengambil upah mengerjakan sawah orang. Lagipun kata orang sekarang ini, kerja sebagai pesawah tidaklah susah seperti dahulu. Menanam, membaja, meracun, menuai semuanya menggunakan mesin. Kalau malas sangat guna sahaja hujung jari telunjuk. Arah sahaja kepada anak-anak muda kampung ni. Yang penting ada duit upahnya.”

           “Kita nak duduk rumah tepi sawah tu ke bang?”

           “Kita tak perlu berpindah. Kita dah ada rumah yang kita duduk sekarang. Abang ingat rumah tu abang nak buat sedikit pengubahsuaian. Kayu dan papan yang reput perlu diganti. Abang nak tanam pokok jambu susu, jambu air, mempelam dan kelapa pandan di sekelilingnya. Halamannya Abang nak hias dengan rumput halus dan pelbagai bunga-bungaan kampung seperti bunga raya, bunga kertas dan bunga puding. Abang akan sediakan dapur gas, perkakas masakan dan pinggan mangkuk untuk kemudahan memasak. Kolam di belakang rumah tu abang nak bela ikan haruan, sepat, keli, puyu dan belut. Abang nak buat kolam memancing percuma sebagai tarikan kepada penyewa yang datang berjunjung.”

           “Maksud abang?”

           “Rumah tu abang nak buat homestay.”

           “Rumah inap desa? Serius ke bang?. Besar rancangan abang tu?”

           “Mah, di bandar kita ni ada sekolah berasrama penuh. Dah tentu bandar kita ni akan dikunjungi oleh ibubapa mereka. Mereka yang tinggal jauh pasti akan mencari penginapan yang unik dan selesa. Mereka ingin merasai suasana yang berbeza. Homestay di sawah padi adalah penginapan yang unik. Setahu abang, sekarang ni hanya ada beberapa buah homestay sahaja yang sedang beroperasi di daerah kita ni. Sambutan homestay di sini amat menggalakkan.

           “Bagus rancangan abang tu. Lokasi kampung kita ni pun strategik. Kedudukannya hampir dengan pantai, kebun kelapa dan sawah padi. Tentu pengunjung suka. Kita boleh iklan dan promosikan homestay kita tu di dalam internet.”

           “Ya Mah, sebenarnya perkara ini sudah lama abang fikirkan. Jika tak ada penyewa pun kita tidak akan rugi.”

           Lutfi sudah hampir tiba di jalan utama. Dilemparkan pandangannya ke bahagian loteng rumah, tidak jauh dari tempat dia berdiri. Dia tersenyum sendirian. Dahulu di situlah dia dan Masiron pernah membaca komik sambil melaungkan bunyi suara Tarzan atau belajar melaungkan azan. Laungan mereka bergema berlapis-lapis. Di situlah juga tempat mereka menelaah mata pelajaran hingga larut malam untuk menghadapi peperiksaan. Kadang-kadang mereka bermalam di situ. Di situlah juga dia merasakan dirinya paling hampir dengan bulan ketika ia mengambang penuh. Kini loteng itu menjadi tempat anak-anak penyewa bermain. Di situ juga dia menyediakan majalah dan buku cerita untuk mereka. Dia mahu kanak-kanak itu menikmati apa yang telah dirasai.

           Kanak-kanak masih berkejaran di batas sawah. Ibu bapa mereka pagi-pagi lagi dilihat sudah keluar ke bandar. Mungkin menghantar anak-anak yang lain ke asrama atau pergi mencari barangan keperluan. Bunyi burung tekukur di dahan kelapa begitu mengasyikkan. Dua tiga buah bangkai layang-layang yang sudah koyak tersangkut di pelepahnya. Layang-layang yang pernah diterbangkan oleh anak-anak penyewa sebelum ini.

           “Ya, hidup ini umpama layang-layang. Jika ingin terbang tinggi mesti melawan arah angin. Tapi jika tidak dikendali dengan baik layang-layang akan jatuh. Melenggang-lenggok terus jatuh menjunam ke bumi atau tersadai lesu tidak dihiraukan. Jika terlalu ghairah melepaskan tali di angin kencang, tali mungkin akan putus”, Lutfi bermonolog.

           Lutfi merasakan dirinya umpama layang-layang yang tersangkut itu. Kekal di tanah kenangan. Manakala layang-layang Masiron dan Kasrin telah hilang di bawa pergi oleh angin kencang. Dia tersenyum puas. Rezekinya ada di sini. Moga hamparan seluas mata memandang itu menjadi harapan yang berkekalan untuk zuriat dan keturunannya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh