Home Cerpen Cinta RIANA Bab 5 & 6
RIANA Bab 5 & 6
Ai Em
5/5/2020 12:18:33
130
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta

Bab 5

"Riana Ailin." getus satu suara dibelakangku. Tangan yang sedang menyapu berhenti dari bergerak. Aku berpaling. Melihat lelaki tadi berdiri dibelakangku. Kali ini penampilannya lebih kemas. Tidak lagi berkaki ayam mahupun tidak berbaju. Rambutnya masih diikat separuh. Separuh lagi dibiar lepas. Aku mengangkat kening. Aku tidak kenal siapa lelaki ini. Namun, dia tahu nama aku.

"Han.. Saya, Han." ujar lelaki itu memperkenalkan diri. Aku mengangguk. Tapi aku masih tidak tahu siapa lelaki ini.

"Awak ni siapa sebenarnya?" tanyaku sambil membetulkan hujung selendang yang melorot jatuh. Aku libas kebelakang bahu.

"Awak tak kenal saya?" soalnya dengan perasaan curiga. Sepatutnya aku yang curiga. Hadir macam hantu. Tiba-tiba aje ada depan mata. Aku menggeleng sahaja. 

"Anak Ah Hor yang bongsu." jelasnya. Aku terdiam. Benakku mengimbau memori silam jikalau ada terpalit sama kehadiran lelaki ini dalam transisi kenangan. Kosong. Wajahnya juga pertama kali aku lihat. Apa yang aku tahu tentang keluarga Ah Hor, anak bongsunya itu semenjak dahulu dihantar ke sekolah berasrama. Memang patut aku tak mengenalinya.

"Takpelah. Ada apa boleh saya tolong?" tanyanya lagi. Wah, sopan santun betul anak tokey ni. Patutnya aku yang tanya dia. Aku menggeleng lagi.

"Erm, Mek dah okay ke?" soalku. Sudah tiga jam sejak pemergian Ah Hor. Mek pula langsung tidak turun. Walau macam mana sikap Mek, aku tetap sedikit bimbang dengan keadaannya. Orang tua itu jarang sekali aku dengar tidak sihat. Tetapi, apabila jatuh sakit memang agak teruk keadaannya.

"Dah. Dia dah makan. Jangan bimbang." jawab Han sambil tersenyum sedikit.

"Ah! Kalau awak nak tolong, awak pergi jaga kaunter. Saya nak siapkan kerja-kerja membungkus." Aku melontarkan cadangan secara tiba-tiba. Yelah. Dia yang pelawa, kan? Lagipun, sejak tadi aku nak habiskan kerja membungkus bawang dan kekacang. Selepas itu mengira stok yang disuruh oleh Lau pula. Kerja-kerja kira stok itu sebenarnya kerja Lau. Tetapi, disebabkan dia perlu menjadi pemandu untuk membawa Ah Hor ke pekan, kerja-kerjanya juga turut terbantut.

"Takpe. Kita buat sama-sama." kata Han seraya membuat aku terpana.

"Eh, takpe, takpe.. You boss, bukan kerja you pun." Aku membantah. Sengaja menekan perkataan bos supaya anak tokey itu sedar aku cuma seorang pekerja yang diupah dengan tugas-tugas yang tersedia maklum. Lelaki dihadapanku sudah bercekak pinggang. 

"Saya lebih suka jadi bos yang buat kerja." tuturnya lantas mematikan alasan lain yang baru hendak diciptakan. Aku tersenyum kelat. Perlahan-lahan aku melangkah ke sudut cerok tempat penimbang disediakan. Sekarung kacang hijau yang belum dibuka aku jeling. Guni bawang sudah makin berkurang. Tinggal lagi tiga jam sebelum waktu kerja aku tamat. Aku membuat kira-kira. Jikalau berdua, aku pasti kerja-kerja menimbang dan membungkus dapat aku siapkan dalam masa dua jam. Kami mengagihkan kerja. Han akan menimbang. Aku pula membungkus dengan cara mengikat dengan getah. 

"Dah lama balik kampung?" soal Han ketika menghulurkan seplastik bawang yang beratnya kira-kira setengah kilo kepadaku. Aku menyambut huluran itu dengan berhati-hati. Tidak mahu tangan kami bersentuhan antara satu sama lain. 

"Dah sebulan. Sejak abah meninggal." sahutku. Kesedihan kehilangan abah masih dalam berbekas. Namun, aku enggan membiarkan kehilangan itu meruntuhkan jiwa. Sesekali aku mencuri momen sendirian mengingati kehilangan insan yang dikasihi itu. Tak pernah sekali air mata tidak tumpah. Siapa tidak bersedih dengan kehilangan orang tua. Jasad abah jelas tiada lagi di atas muka bumi ini. Tetapi, semangatnya sentiasa berada di dalam diri kami. Lagipun kami berpisah sementara sahaja sementelah menanti hari akhir yang bakal menentukan sama ada kami akan hidup bersama-sama sekali lagi di kampung akhirat atau terpisah dek jurang kekhilafan. Jauh di dasar hati, aku mendoakan kami sekeluarga akan bertemu kembali di kampung sejahtera milik Ilahi. 

"Oh, saya ada dengar. Takziah." ucap Han kedengaran ikhlas sekali. 

"Awak tahu takziah?" soalku. Kemudian aku menggigit bibirku sendiri. Bodoh punya soalan! Mestilah dia tahu. Dah hidup dalam masyarakat berbilang kaum, tak kanlah dia tak tahu ucapan begitu. Aku menundukkan wajah. Pura-pura sibuk mengikat. Padahal aku malu dengan ketelanjuran mulutku sebentar tadi. Dari ekor mata aku menangkap sejuring senyuman diwajah Han. Geli hatilah tu dengan soalan aku tadi. 

"Dari dulu lagi awak memang comel, Riana." tutur Han membuatkan diriku diserbu dengan perasaan malu. Barangkali pipiku merona ketika ini. Aku tidak mampu mengangkat wajah lagi. Hanya tertunduk ke bawah sahaja. Dulu? Getus fikiranku. Belum sempat aku bertanya, Han sudah bangun dari kerusi kecil yang menjadi bangku kami membuat kerja. Aku mengekori langkahnya dengan ekor mata. Kehadiran pembeli membuatkan pertanyaan yang ingin aku tanyakan terpaksa dipendam. Ah, sengajalah tu mengusik. 



Bab 6

Aku menyidai kain-kain yang sudah siap dibasuh dan dikeringkan oleh mesin basuh di ampaian. Berguna betul alatan di zaman sekarang. Memudahkan kerja dan menjimatkan masa. Teringat ketika aku kecil dahulu. Membasuh baju di perigi bersama dua orang kakakku dan abang ngah. Sebelum basuh, air perigi perlu ditimba sehingga penuh besen panjang yang muatannya tak pernah kurang dengan pakaian kami sekeluarga. Kami akan membahagi tugas masing-masing. Menimba air. Memberus baju dan membilas. Oleh kerana aku adik yang kecil, kerja membilas dilakukan oleh kak chik dan aku. Kak long memberus dan akan membilas lagi sekali. Kain yang masih basah kami bertiga akan sidai di ampain bersama-sama. Abang ngah diperlukan untuk menimba air sahaja. 

"Mak long tanya tentang kau, Nana." ujar emak yang sedang menggali ubi kayu di kawasan kebun kecil dibelakang rumah. Di dalam kawasan itu juga tempat sidaian kain dibuat. 

"Tanya apa?" soalku pula sambil menoleh sekilas dan kembali menyidai pakaian. 

"Tanya apa lagi.. Tanya bila nak kahwin, lah." kata emak seraya membuatkan aku menghentikan sebentar kerja-kerja menyidai. Ya. Aku tak dapat lari dari dipersoal dengan soalan begini. Usahkan orang tua, teman yang muda juga ada yang bertanya. Soalan cepumas ini sudah menjadi norma masyarakat. Jikalau yang satu itu memahami, sepuluh yang lain belum tentu faham. Soal jodoh bukanlah soal yang pasti dalam genggamanku. Bukan aku tidak berusaha. Bukan juga aku menutup pintu hati. Dulu, aku pernah punyai seorang teman lelaki. Bukan setahun  kami menyulam cinta. Tiga tahun kami membina hubungan. Akhirnya, dia melangkah pergi setelah jodoh yang tertulis untuknya ternyata lebih baik dariku. Aku redha. Tak kecewa meski ada rasa terkilan. Mungkin kerana hubungan kami panjang tempohnya, jadi, perasaan yang mendatar mengganti diri. Kami berbincang secara baik dan sama-sama membuat keputusan untuk putuskan sahaja perhubungan ini.

"Kata dekat Mak Long, InsyaAllah, hujung tahun Nana nikah." sahutku tanpa berfikir panjang. 

"Eh, dengan siapa? Mak tak tahu pun." kata emak. Hairan agaknya mendengar jawapan selamba dariku. Aku ketawa kecil. Mak ni, orang gurau pun tak dapat tangkap. 

"Anak jutawan. Nanti dia masuk meminang mak terima ajelah, eh. Nana malas nak fikir panjang-panjang." kataku dengan nada bergurau. 

"Isy, main-main rupanya." ujar emak setelah menyedari keadaan sebenar. Aku ketawa lagi. Melihat emak turut ketawa aku tahu aku telah mengambil keputusan yang tepat dengan berhenti kerja. 

"Ahh, mak ada dengar anak Ah Hor yang bongsu dah balik. Lama tak jumpa anak dia tu. Tapi, mak ingat, budaknya hensem. Muka dia macam mendiang datuk dia. Itu pasal lain dari muka Ah Hor dan Mek." cerita emak. Kerja-kerja menyidai yang telah habis membuatkan aku segera mendekati emak dan duduk di sisinya diatas tanah. Tak perlu lapik dengan selipar atau beralas. Kami sudah biasa begitu. Cerita emak tentang Han menarik minatku. Manakan tidak. Aku langsung tidak kenal lelaki itu. Tiba-tiba sahaja kewujudannya aku sedari. Memang misteri untukku. 

"Berapa umur dia, mak?" tanyaku. 

"Entah. Tapi kalau Li Lian sebaya kak chik, dia tu lebih kurang Abang Li kot." kata emak pula. Aku memikir-mikir. Abang Li berusia di awal tiga puluhan. Erm, boleh jadi juga. Wajah Han yang serabai dengan jambang dan misai berlegar sebentar dimindaku. Jelas usianya berbeza dariku hampir sepuluh tahun. Patutlah aku tak kenal dia. Waktu aku kecil dulu dia pun dah besar panjang orangnya. 

"Baik orangnya." getusku. 

"Kalau dia nak ke Nana, mak terima je." kata emak sambil ketawa kecil. Aku tergelak. Eh, emak ni sempat lagi usik-mengusik. Gurauan emak aku sambut dengan senang hati. Tidak sedikit pun aku menyimpan perkara itu ke dalam benak. Aku fikir mungkin Han lebih mengenali aku kerana beza usia kami yang ketara. Jadi, tak hairan jika dia pernah jumpa aku sewaktu aku kecil dan membeli di kedainya. Cuma, aku hairan, mengapa nama dan wajahnya langsung tiada dalam simpanan memoriku sendiri. 


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.