1,574
Kategori:
Genre:
Senarai Bab

MEREKA saling tolak menolak antara satu sama lain sambil menghantar isyarat mata. Masing-masing malu untuk menegur budak lelaki yang sedang bermain buaian di taman. Mereka mengintai dari celah pokok-pokok bunga yang ditanam penduduk kampung itu. Budak lelaki yang sedang ralit termenung itu masih belum menyedari kehadiran mereka.

“Mina, kaulah yang pergi tegur.” Canang Lat sambil menyiku perut Mina yang paling pedek di kalangan mereka. Mina menayang muka cemberut.

“Apasal aku pulak?” soal Mina dalam nada tidak puas hati.

Leen yang sedang tersengih di sisi Lat dijeling sekilas. Kalau dia mengejek mengatakan Leen dan Lat tu saling suka, pasti mereka mengejar dia dan marah-marah. Tapi tengoklah tu, sentiasa bersepakat dan satu hati dalam membuli dia. Mentang-mentanglah dia yang paling pendek sekali. Huh. Mina mencebik.

“Alah, kaukan budak baik. Nanti mesti dia setuju nak main dengan kita kalau kau yang pujuk dia.” Tambah Lat lagi. Mulutnya tidak habis-habis mengunyah gula-gula getah Bubble Pop.

Sudahlah memaksa orang, siap tolak dia ke depan pula tu. terpaksalah dia bersetuju dengan cadangan mereka. Mahu tak mahu Mina melangkah setapak demi setapak ke hadapan. Budak lelaki yang berbaju biru itu segera memanggung kepala. Dia melompat turun dari buaian.

“Awak.. Err.. awak nak main dengan kita orang tak?” soal Mina tergagap-gagap.

Johan merenung wajah budak perempuan berbaju merah jambu di hadapannya. Rambutnya diikat ekor kuda dan diselit sehelai riben biru muda. Johan kira budak perempuan ini pasti sebaya dia atau mungkin lebih muda dari dia. Dia memanjangkan leher. Patutlah budak perempuan ini menyebut ‘kita orang’ rupanya dia ada geng.

“Tapi saya budak nakal. Tak ada orang sudi kawan dengan saya.” Polos sahaja Johan menuturkan kata-katanya. Dia tidak mahu mereka menyesal sekiranya berlaku apa-apa nanti. Jadi, dia harus mengingatkan mereka.

Mina segera mendapatkan Leen dan Lat yang sedari tadi memerhatikan mereka. Johan memerhati sahaja dari jauh. Entah apa yang mereka bincangkan, dia malas mahu ambil tahu. Pasti mereka tak sudi untuk berkawan dengannya. Fikirnya, mereka akan meninggalkan dia sendirian namun lain pula yang terjadi.

Johan melirik lengannya yang digenggam erat Mina. Mereka berlari bersama-sama sambil tertawa. Dia tidak tahu ke mana mereka mahu pergi, yang dia tahu dia sangat gembira kerana ada yang sudi berkawan dengannya. Tanpa sedar Johan turut sama tertawa riang.

Mereka memanjat kayu yang dipaku pada pokok yang berfungsi sebagai tangga. Johan mendongak ke atas. Mina, Lat dan Leen sudah selamat masuk ke dalam rumah pokok yang dibina daripada kayu itu. Cantik sekali rumah pokok yang terletak berhampiran kawasan perumahan itu.

“Jo, naiklah. Tunggu apa lagi tu?” suara Lat mencelah masuk ke dalam gegendang telinganya.

Johan tersengih seraya memanjat ke atas. Masuk sahaja ke dalam rumah pokok itu, dia terus sahaja mendapatkan tingkap. Dari atas dia nampak pantai bersih yang tidak jauh dari rumah pokok ini. Nun di tengah laut, ada sebuah pulau yang kelihatan seperti ikan paus. Cantik sekali pemandangan dari sini.

“Mulai hari ini kau adalah geng Rumah Pokok.” Ujar Lat bersama tepukan dan sorakan dari Leen dan Mina.


“KENAPA keluarga Johan pindah sini?” soal Mina sewaktu mereka berdua di dalam rumah pokok.

Sepatutnya Lat dan Leen turut sama bermain batu seremban hari ini, namun mereka tidak juga muncul. Sudah setengah jam dia dan Mina menunggu, usah dikatakan orang bahkan bayang pun tidak kelihatan.

“sebab Johan budak nakal.” Balas Johan sambil mencebik. Dia menabur batu-batu itu ke lantai. Sekarang giliran dia pula untuk bermain memandangkan Mina tidak berjaya menyambut batu-batu yang dilambung ke udara.

“Kenapa pula sebab Johan?” berkerut dahinya mendengar bicara Johan.

“Ayah malu dengan orang kampung sebab Johan pukul anak ketua kampung sampai berdarah hidung. Jadi kami berpindah lah ke sini.” Otaknya memutar kembali peristiwa empat bulan yang lalu.

Sewaktu itu Johan ke kedai untuk membeli gula-gula. Dia nampak dengan mata kepala dia sendiri Din anak ketua kampung itu mencuri duit kedai ketika tuan kedai masuk ke dalam untuk menunaikan solat asar. Niat untuk membeli gula-gula dia simpan di dalam hati sahaja. Dia menunggu Din keluar dari kedai.

“Kau mencuri duit Pak Cik Harun kan ?” sergah Johan sambil bercekak pinggang. Din yang sedang berdiri di hadapannya dipandang dari atas ke bawah. Lagaknya tidak ubah seperti polis yang sedang menyoal siasat seorang penjenayah.

“Tak payah nak sibuk hal aku. Baik kau berambus dari sini.” Din menjegilkan mata. Wajah budak lelaki yang muda dua tahun darinya itu direnung tajam.

“Kau tahu tak mencuri tu berdosa? Nanti kau masuk neraka.” Balas Johan berani. Dia menolak tubuh gempal Din.

“Habis kau tu masuk syurga sangatlah? Entah-entah satu keluarga kau masuk neraka.” Ejek Din dengan senyuman mengejek. Tubuh Johan yang lebih kecil darinya ditolak kasar sehingga terdorong ke belakang.

Buntang mata Johan mendengar bicara Din yang menghina keluarganya. Tanpa sedar dia sudah meluru ke arah Din. Sebiji penumbuk dilayang ke batang hidung Din. Terus sahaja budak lelaki itu mengaduh sakit. Tangannya menekup hidung yang terasa sengal. Menyedari hidungnya mengeluarkan cecair pekat berwarna merah, Din berlari pulang sambil menjerit memaki hamun Johan.

Malam itu ayah Din, Haji Tahir datang ke rumah dan marah-marah. Dia cuba menerangkan kejadian sebenar namun Haji Tahir langsung tidak mahu mendengar bahkan lelaki itu seperti sengaja menutup kesalahan anaknya. Selepas Haji Tahir pulang dia dirotan ayah. Dan seminggu selepas kejadian itu mereka sekeluarga terus berpindah ke Kampung Pulau Lambaian ini.

Bunyi guruh berdentum mengejutkan Johan dan Mina. Tingkap rumah pokok yang terbuka dan berlaga sesama sendiri segera ditutup. Niat untuk segera pulang ke rumah dibatalkan apabila hujan terus turun mencurah-curah. Kilat dan guruh saling sabung-menyabung. Mina awal-awal lagi sudah menekup telinganya.

“Jangan tutup telinga, nanti Mina jadi pekak.” Jerit Johan cuba menyaingi bunyi hujan yang semakin menggila. Tangannya menarik kedua belah tangan Mina.

Mina panggung kepala. Dia sangat takut dengan kilat dan guruh. Air mata sudah menderu laju menuruni pipinya. Bunyi kilat yang seakan terlalu hampir dengan mereka mengejutkan Mina. Terus dia memeluk kejap tubuh Johan.

“Jangan takut, abang Johan ada kat sini.” Kepala Mina diusap lembut sambil tertawa.


KENANGAN zaman kecil sewaktu mereka berusia tujuh tahun bertebar ke udara sebaik sahaja mendengar suara anak-anak saudaranya bergaduh. Johan tersenyum mendengar celoteh anak-anak saudaranya yang sedang bermain di ruang tamu. Selipar kecil berwarna merah jambu dan terikat dengan riben biru itu dimasukkan kembali ke dalam kotak. Kotak itu kemudiannya disimpan di bawah katil.

Langkahnya diatur ke ruang tamu, meninggalkan segala kenangan manis dan pahit di bilik. Dia tidak mahu terbawa-bawa dengan kenangan lalu setiap kali meluangkan masa dengan keluarga. Biarlah kenangan kekal sebagai kenangan,. Dia yang hidup harus meneruskan kehidupan yang penuh dengan cabaran ini.

Aisha yang sedang duduk di atas lantai itu diriba. Pipi gebu bayi berusia 11 bulan itu dielus lembut. Maryam sudah merengek melihat Pak Ngahnya meriba Aisha. Cemburu melihat adiknya sahaja yang menjadi perhatian Pak Ngah. Lengan Johan ditarik lembut.

“Amboi, bukan main manja bila dengan Pak Ngah dia ya.” Tegur Jahari yang sedang menggoncang botol susu.

Aisha yang berada di atas riba Johan didukung sebelum di baringkan ke atas tilam bayi yang sengaja dihampar disitu. Melihat adiknya sedang menyusu, Maryam segera mengambil peluang untuk bermanja dengan Pak Ngahnya.

“Biasalah bang, dia orang jarang berjumpa dengan Pak Ngah dia yang hensem ni. Sekali sekala biarlah dia orang lepas rindu dekat saya.” Rambut Maryam yang melepasi bahu itu diikat ekor kuda. Jahari tergelak besar mendengar bicara adiknya.

“Hensemlah sangat kan? Sebab tu sampai sekarang tak ada girlfriend.” Sekali sekala dapat berjumppa dengan adiknya ini, best juga kalau dapat mengusik.

Johan tersenyum tawar. Betullah kata abang Jahari, sampai sekarang dia tiada girlfriend. Entah kenapa dia bagai tiada hati lagi untuk bercinta. Cinta sejenis? Tidak. Dia yakin dia masih lurus, tidak terpesong ke jalan yang dikeji Islam. Tipulah kalau dia kata dia tak terasa mahu bekeluarga namun hatinya masih belum terbuka untuk mana-mana perempuan. Kalaulah dia masih ada. Menyedari dia tersilap menutur kata, Johan mengurut dadanya sambil membisikkan istighfar.

“Nak buat macam mana bang, belum jumpa jodoh.” Balas Johan sekadar melayan bicara abangnya. Sejujurnya kalau boleh dia mahu mengelak dari berbicara soal jodoh. Dia belum bersedia walaupun umurnya sudah mencecah 27 tahun. Mak selalu juga membebel menyuruhnya mencari girlfriend untuk dibuat isteri namun dia pekakkan sahaja telingannya ini.

“Sembang tu sambung lepas ni ajelah. Jom makan. Makanan dah siap hidang.” Celah Karmila yang muncul dari dapur. Dia menayang sengih di hadapan suami dan adik iparnya.


KANAK-KANAK yang sedang bermain layang-layang berhampiran pantai itu diperhatikan dari jauh. Dia melabuhkan duduk di atas kerusi batu sambil berpeluk tubuh. Tenang sedikit fikirannya yang bercelaru bila keluar bersiar. Leen mengeluh perlahan.

Dua hari lagi dia sekeluarga akan ke Filipina untuk menghadiri majlis kahwin Paan. Untung betul lelaki itu, berjodoh dengan gadis Filipina yang putih melepak dan cantik. Bila difikir tentang Paan, dia terasa cemburu pula dengan lelaki itu. Kalaulah dia dan Lat boleh bersatu dengan ikatan perkahwinan juga kan bagus. Tak cukup cantikkah dia sehingga lelaki itu langsung tidak ada hati padanya?

Kalau rupa yang menjadi ukuran sedalam manakah cinta, pasti Sandra Az-Zahra awal-awal lagi tidak memilih Paan yang hitam manis itu. Bila mereka bergandingan, nampak seperti langit dan bumi.

Leen sedar, bukan rupa sebenarnya yang menjadi persoalan dalam bercinta tapi hati. Ya, hati. Walau macam mana cantiknya seseorang, belum tentu lelaki yang dia cintai memilih dia, bahkan lelaki itu mungkin memilih gadis yang sederhana dalam serba serbi. Cinta itu pinjaman dari Allah, jadi siapalah dia untuk mempersoalkan pilihan Lat. Lelaki itu sudah lapan bulan bertunang. Sepatutnya pada hari pertunangan lelaki itu, dia sudah membuang jauh-jauh perasaan cintanya pada Lat.

Diam-diam Leen menitipkan doa di dalam hatinya. Semoga dia dapat melupakan Lat secepat mungkin. Dia berharap sebaik sahaja dia pulang dari Filipina dia sudah tidak punya perasaan cinta lagi pada Lat.

Leen bangun dari duduknya. Dia mahu pulang dan menyiapkan manuskrip yang hanya tinggal beberapa bab lagi. Langkah yang diatur perlahan terus sahaja berhenti. Leen merenung susuk tubuh lelaki yang berdiri di hadapannya. Bibirnya sudah menguntum senyum.

“Bila kau balik?” soal Leen sambil menghulur not lima ringgit kepada wanita tua yang menjual air kelapa. Matanya masih fokus pada Johan yang sedang menghirup air kelapa.

“Simpan bakinya ya mak cik.” Tangannya menolak duit baki yang dihulur sambil mengukir senyum ikhlas.

“Semalam. Dah dua bulan aku tak balik, rindu dengan kampung ni. Itu yang aku cuti seminggu terus.” Tangannya mengacau air kelapa menggunakan straw.

Terasa sejuk sehingga ke hati saat air kelapa itu masuk ke anak tekak. Waktu petang macam ini memang sesuai kalau minum air kelapa. Ditemani pula angin pantai yang berhembus lembut ke muka. Syukur Tuhan masih memanjangkan umurnya.

“Rindu dengan kampung atau..” Leen tidak berani menghabiskan kata-katanya sebaik sahaja dia sedar dia sudah terlanjur berbicara. Tangannya menepuk mulut yang dirasakan celupar. Sudahlah mereka jarang berjumpa. Bila dapat berjumpa, dia mahu menyakiti hati lelaki ini pula. Kejamnya dia.

Johan menjeling sekilas gadis bertudung hijau disisnya. Dia tidak tahu harus memberi reaksi bagaimana. Mungkin berdiam lebih baik.


RIBEN biru yang terikat di lengan Johan menarik perhatian Lat. Setahu dia, itu adalah riben yang sering terikat pada rambut Mina. Kenapa riben tu ada pada Johan pula? Lat menjeling Leen yang sedang bersila disisi Mina. Masing-masing saling tersengih dan saling menghantar isyarat mata. Misi mereka mahu mengusik Mina dan Johan sudah dirangka di dalam kepala sejak kelmarin lagi.

“Rapat betul kau dengan Mina.” Mukadimah Lat seraya tangannya cekap membetulkan senapang kayu yang direka sendiri itu.

Johan yang sedang menyusun daun terup mengangkat kepala. Keningnya terjongket sedikit mendengar kata-kata Lat yang sedang berpura-pura sibuk. Dia menjeling Mina yang ayu berbaju kurung.

“Kau suka Mina ek?” soal Leen pula. Tangannya menyiku perut Mina.

“Leen! Apa ni?” pipi Mina sudah merah. Buku yang dibaca separuh itu ditutup dan diletakkan ke atas rak kecil yang diletak di sudut rumah pokok. Dia menunduk menekur lantai.

“Mengarutlah korang ni.” Tingkah Johan pula. Dia bingkas bangun seraya merenung Leen dan Lat silih berganti. Mina pula dibuat seperti tidak wujud sahaja di situ. Entah kenapa dia berasa malu dengan pertanyaan Leen.

“Eleh, mengaku ajelah Johan. Kau nak kahwin dengan Mina kan?” Lat ketawa besar.

“Mana ada. Aku tak suka Mina lah. Siapa nak kahwin dengan perempuan tak cantik macam Mina ni?” sergah Johan tanpa diduga. Mukanya merah menahan malu yang membuak-buak di dalam dada.

Dia memandang wajah terkejut Lat dan Leen. Dia menoleh ke arah Mina yang masih berdiri bersebelah rak buku. Gadis itu tersenyum melihatnya. Sedikit sebanyak dia berasa bersalah kerana berbicara melulu. Dia langsung tak berniat untuk menyakiti Mina.

“Mina.” Seru Johan.


MINA menghayun laju langkah kakinya. Pasir pantai yang lembut menyukarkan dia untuk bergerak dengan lebih laju. Tergolek tubuh kecilnya saat kaki yang sedang berlari itu tersadung akar kayu pokok rhu. Air mata yang dari tadi merembes laju diseka kasar. Sampai hati Johan.

Dia memandang kiri kanan. Tiada siapa disitu waktu tengah hari begini. Cahaya matahari yang panas terik terpancar tepat ke wajahnya. Dia mengalihkan pandangannya ke gigi air. Ombak besar sekali hari ini. Perlahan-lahan dia melangkah masuk ke dalam air laut. Dia mahu ke pulau kecil yang terletak di tengah laut itu. Biar Johan sudah tidak dapat bertemu dengannya lagi.


MEREKA berlari laju sambil menjerit memanggil nama Mina. Peluh yang merenik di dahi diseka kasar. Di dalam hati Johan menyumpah dirinya kerana terlanjur berbicara. Sudah sejam mereka mencari namun mereka masih belum menjumpai Mina.

“Ni selipar Mina kan?” soal Leen sambil tangannya mengangkat selipar berwarna merah jambu itu. Matanya sudah berkaca-kaca.

Johan menoleh ke belakang. Selipar yang berada dalam genggaman Leen dirampas kasar. dia memandang Lat yang sedang melepaskan lelah di bawah pokok rhu.


SELIPAR kecil yang sudah lusuh itu dipandang lama. Mungkin dia harus melepaskan Mina hari ini. Kata-kata Lat yang menghubunginya melalui panggilan telefon malam tadi kembali terngiang-ngiang di telinganya.

“Kau patut buka pintu hati kau untuk orang lain Jo. Terimalah hakikat yang kau tak akan bersama Mina. Dia dah 20 tahun meninggal Muhammad Johan !” tutur Lat lembut sebelum mereka memutuskan panggilan.

Mina. Seru Johan di dalam hati. Tak pernah dia sangka rasa suka yang dia fikir akan menghilang ditelan waktu rupanya bertukar menjadi cinta yang sangat mendalam. Dia cintakan Mina. Kalaulah dia boleh mengundurkan masa, pasti dia akan mengatakan pada Mina bahawa dia terlalu sukakan gadis kecil itu.

Semoga kau tenang di sana. Tangannya diangkat tinggi-tinggi. Dalam kiraan tiga dia melempar selipar itu jauh-jauh ke dalam laut. Dari jarak empat meter, matanya menangkap imej selipar yang dilambung ombak itu.

Kenapa ya dia berasa gelisah? Sepatutnya dia berasa lebih tenang selepas melepaskan Mina.

Tak! Dia masih belum boleh melupakan Mina. Dia tak boleh melupakan Mina.

Tanpa berfikir panjang terus sahaja dia berlari ke gigi air. Seluar jeans itu dilipat hingga ke paras betis. Ah, buat apa aku sibuk melipat kaki seluar ni? Menyedari selipar itu sudah makin menjauh, Johan memanjangkan langkahnya. Semakin lama semakin dalam.

Tangannya dipanjangkan untuk mencapai selipar. Dia menarik nafas lega sebaik sahaja selipar itu selamat berada dalam genggamannya. Baru dia teringat dia tidak tahu berenang. Ya Tuhan, selamatkan aku. Terus sahaja tubuhnya tenggelam timbul. Tangannya terkapai-kapai manakala kakinya menyepak air, mengharapkan dirinya tidak tenggelam.


UDARA segar itu dihirup dalam-dalam. Tenang hatinya dapat kembali ke kampung ini, sudah terlalu lama dia menetap di Kuala Lumpur. Cuma satu perkara sahaja yang membuatkan dirinya resah setiap kali terfikirkannya. Tenang Nurjannah. Jangan fikirkan soal itu buat masa sekarang.

Kakinya dihayun secara melulu sahaja. Sedar-sedar dia sudah jauh dari kawasan pantai yang dipenuhi orang ramai dan gerai jualan. Dia tersenyum seketika. Kadang-kadang bersendirian lebih baik, dia punya banyak ruang untuk bertenang dan berfikir. Laut yang luas terbentang menyapa pandangannya. Samar-samar dia melihat seperti ada seseorang yang terkapai-kapai di dalam air.

Oh, ada orang lemas! Gumam Nurjannah di dalam hati.

“Ya Allah.” Seperti tersedar dari pukau, dia terus sahaja mencampakkan beg tangan ke pasir pantai. Dia berlari laju mendapatkan lelaki itu yang semakin ke tengah laut gara-gara di lambung ombak. Syukurlah dia dihantar ke kelas berenang sewaktu berumur lapan tahun.

Tangannya menarik tubuh lelaki itu sambil kakinya dihayun laju. Dalam beberapa minit dia Berjaya mengheret tubuh lelaki itu ke darat. Huh, harapkan tubuh je tegap. Tak reti berenang rupanya. Tak macho langsung. Kutuk Nurjannah di dalam hati.

Dia menepuk perlahan pipi lelaki itu namun tiada reaksi darinya. Mata Nurjannah meliar meneliti tubuh lelaki itu. Nak dikatakan tidak waras, lelaki itu kelihatan seperti orang normal sahaja dengan berbaju t-shirt Polo dan berseluar jeans. Di tangan pula ada selipar kanak-kanak yang sudah buruk. Kali ni sah tak waras!

“Waras atau tidak itu bukan persoalannya Doktor Jannah. Kau harus selamatkan dia.” Tutur Nurjannah pada diri sendiri supaya dia tidak terlupa dengan tanggungjawabnya sebagai manusia yang bertamadun dan juga sebagai doktor.

Dia meletakkan tangannya ke atas dada lelaki itu. Badannya ditegakkan sebelum dia mula menekan dada itu beberapa kali. Masih tiada tindak balas. Oh Tuhan, aku tak nak buat yang tu. Nurjannah memejamkan mata beberapa saat sambil mulutnya melepaskan keluhan.

“Aku terpaksa okey!” kepala lelaki itu dibetulkan. Satu dua tiga! Bibir bertemu bibir. CPR okey, CPR ! Jangan fikir bukan-bukan.

“Uhuk. Uhuk. Uhuk.” Terbatuk-batuk Johan sambil mulutnya bersembur dengan air laut yang masin. Imej perempuan yang sedang memandangnya dipandang. Lama. “Mina?” itu sahaja yang terluah dibibirnya sebelum semuanya menjadi kabur dan gelap.


“DOKTOR Jannah orang sini ke? Tak pernah tengok pun sebelum ni.” Suara lelaki tua menjengah masuk ke gegendang telinga Johan. Kepala yang terasa pusing dipegang sambil dia menggagahkan tubuhnya untuk bangun dari pembaringan.

“Saya pernah tinggal kat sini dulu. Sekarang stay kat Kuala Lumpur. Ni pun datang sebab nak lawat kubur arwah nenek. Dan dekat 20 tahun kut saya tak jenguk.” Tutur Nurjannah mesra. Entah kenapa dia jadi banyak mulut pula dengan lelaki separuh abad yang secara kebetulan lalu di jalan kampung dekat-dekat kawasan dia dan lelaki lemas tadi duduk. Mujur Pak Cik Meor ringan tulang menawarkan diri untuk menghantar lelaki lemas itu ke klinik desa.

“Habis tu doktor kenal ke si Johan anak Pak Salleh ni?” soal Pak Cik Meor lagi. Tangannya cekap menggerakkan stereng kereta.

“Johan ke nama dia pak cik? Saya tak kenal pun. Kebetulan nampak dia lemas, tu yang saya tolong tu. Terima kasihlah pak cik sebab tolong bawa kami ke klinik.” Balas Nurjannah pula.

Johan mengerutkan dahi. Doktor Jannah? Sejak bila Mina tukar nama? Kenapa dia tak kenal aku? Dia menghidap amnesia macam dalam drama melayu tu ke? Macam-macam persoalan terlintas di benaknya. Sedikit sebanyak dia berasa kecewa juga dengan Mina. Sampai hati Mina tak kenal dia.

“Tak payah ke klinik Pak Cik Meor. Saya okey ni.” Sampuk Johan dengan suara serak. Hidungnya sudah kemerah-merahan. Ah, sudah! Ni kalau selsema ni, mahu berjangkit dengan anak-anak saudara dia nanti.

“Okey apanya. Hidung dah merah macam badut. Entah berapa banyaklah air yang masuk dalam kepala awak tu.” Nada suara Nurjannah sudah berubah. Entah kenapa dia rasa geram pula dengan si Johan ni. tak bersyukur langsung ! Mujur dia dan Pak Cik Meor mahu menolong, kalau tidak entah apa yang jadi padanya tadi.

Johan sudah terdiam. Garangnya Mina sekarang.


SUARA ketawa abang Jahari yang masih belum ada tanda mahu berhenti itu membingitkan rumah Pak Salleh. Aisha dan Maryam sudah menutup kedua belah telinga. Karmila cuma menggeleng melihat perangai tidak matang suaminya. Mahu menegur takut merajuk pula lelaki itu.

Wajah Johan sudah cemberut. Entah apa yang kelakar dia sendiri tidak tahu. Makin sakit pula dia rasa dengan sikap abangnya yang sorang ini. Sudahlah malam ini dia selsema gara-gara kejadian lemas petang tadi. Kalau bukan kerana Pak Cik Meor yang memaklumkan kejadian petang tadi pada keluarganya pasti keluarganya tidak akan tahu.

“Harap badan aje besar. Rupanya tak reti berenang. Buat malu kaum aje kau ni dik.” Tambah Jahari setelah menghabiskan sisa tawanya. Perut yang terasa sneak gara-gara terlalu banyak ketawa dipegang.

Mak dan ayahnya bagai tidak berminat untuk mengetawakan Johan. Pasangan veteran itu elok sahaja dengan kerja masing-masing. Sorang sedang khusyuk melipat kain. Sorang lagi sedang melayan cucu-cucu sambil sesekali menjerit ‘gol’ apabila pasukan kegemarannya berjaya menjaringkan gol.

“Abang ni, tak baik cakap macam tu dekat Johan.” Lengan suaminya ditampar lembut.

“Eh, awak ni! saya cuma bergurau aje.” Balas Jahari pula.

Malas mahu mendengar suami isteri itu berbalah mulut, Johan mengangkat kaki dari ruang tamu. Dia memboloskan diri ke dalam bilik. Pintu bilik ditutup sebelum dia menghempaskan tubuhnya ke atas katil. Dia menarik selimut tebal ke dada sambil meletakkan lengan ke dahi.

Apa yang sudah jadi sebenarnya? Bukankah Mina kesayangannya sudah meninggal 20 tahu yang lepas? Siapa pula Doktor Jannah yang selamatkan dia petang tadi?

“Mina dah mati lemas.” Suara Paan yang sedang bermain guli dengan rakan-rakan seusianya menjengah masuk ke dalam lubang telinga.

“Paan!” jerit Leen seraya menolak tubuh Paan yang lebih tua darinya. Sepupunya yang seorang ini memang nakal.

“Betul. Tadi aku tengok Pak Abas dengan Abang Anas bawa mayat Mina balik. Aku dengar dia orang cakap Mina lemas kat laut.” Balas Paan kali ini dengan lebih bersungguh. Muka Leen, Lat dan Johan dipandang silih berganti.

“Kau tipu kan?” Leen sudah menangis. Dada Paan dipukul geram sambil air matanya merembes laju. Johan dan Lat hanya diam. Tidak berani bersuara.

Keesokkan harinya mereka ke rumah Mina namun tiada sesiapa di rumah. Johan cuba bertanya pada mak namun jawapan mak bagai mengiyakan segalanya. Mak, apa dah jadi dengan Mina?

“Mina lemas petang kelmarin. Kesian Mak Cik Rasidah. Mak tengok dia asyik menangis aje.” Balas mak sambil tangannya cekap mengupas bawang merah.

Hari seterusnya pula mereka melihat Mak Cik Rasidah dan Pak Akhbar ke kubur. Untuk bertanya pada mak ayah Mina, mereka langsung tidak berani. Mereka takut dimarahi sebab bagi Lat dan Leen, semua yang berlaku adalah salah mereka dan bagi Johan, Mina mati kerana dia.

Selepas kejadian itu, Mina langsung tidak muncul. Mereka menanti Mina disekolah namun penantian mereka sia-sia sahaja. Paan dan kawan-kawannya pula tidak habis-habis mengatakan bahawa Mina sudah mati. Selepas Leen bertindak menampar sepupunya itu, Paan sudah tidak berani bersuara soal Mina.

Apabila mereka mahu ke rumah Mina, papan tanda ‘Untuk dijual’ menyambut kedatangan mereka. Kata mak, mereka sekeluarga berpindah kerana tidak mahu mengenangkan kejadian hitam itu. Lama-kelamaan mereka mula percaya bahawa Mina sudah meninggal. Setiap kali papan tanda ‘untuk dijual’ digantung pada rumah Mina, pasti dia akan membuang papan tanda itu. Akhirnya, rumah itu tidak jadi dijual dan kemudiannya dijadikan homestay. Niatnya cuma satu, dia mahu menanti kepulangan Mina. Namun setelah berpuluh tahun menunggu, Mina tidak juga pulang.


“MINA!” panggil Johan apabila melihat kelibat Nurjannah yang sedang membeli sate ikan di gerai. Dia berlari anak mendapatkan Nurjannah yang sudah masam mencuka.

“Berapa kali saya perlu bagitahu awak yang saya bukan Mina? Sejuta kali? Ke dua juta?” Soal Nurjannah dalam nada marah. Pantas dia berjalan menjauhi Johan.

“Tapi awak mengingatkan saya pada Mina. Salah ke kalau saya panggil awak macam tu?” tubuh Nurjannah yang membelakanginya dipandang.

Wajah Nurjannah mirip sekali dengan Mina cuma bezanya lebih cantik dan manis berbanding dulu. Kalau betul Nurjannah adalah Mina, maknanya gadis itu sudah berumur 27 tahun. Sudah berpunya atau masih single?

“Salah sebab saya bukan Mina. Saya Nurjannah!” badannya sudah dipusing 180̊ menghadap Johan yang sedang menggaru kepala. Seleranya untuk menikmati sate ikan habis punah. Terasa serabut hidupnya sejak lelaki bernama Johan ini muncul.

“Penting sangat ke Mina tu? siapa dia sebenarnya?” Nurjannah menjongketkan kening. Sudah berpuluh kali dia mendengar Johan menyebut nama Mina sejak mereka berjumpa. Sedikit sebanyak dia berasa tertarik untuk menyoal lelaki itu.

Johan merenung wajah Nurjannah dalam-dalam. Cuba mencari keikhlasan pada wajah itu. Sengaja bertanya atau dia memang ingin tahu? Nurjannah dan Mina. Sifat mereka bagai langit dan bumi namun wajah mereka mirip. Sebahagian hati Johan masih berharap mereka adalah orang yang sama.

“Penting sangat. 20 tahun saya hidup menanggung rindu pada dia. Dia satu-satunya perempuan yang hidup dalam hati saya. Sukar untuk saya percaya bahawa rasa suka yang saya fikir akan menghilang ditelan waktu akan bertukar menjadi cinta yang sentiasa mekar. Tapi itulah kenyataannya.” Bibirnya mengukir senyum. Rasa lega pula dapat meluahkan semua ini pada Nurjannah.

Nurjannah tergelak besar. Sinis sekali.

“Lelaki memang suka tanam tebu di tepi bibir. Huh! Cinta konon. Bukan ke Mina tu hodoh?” dia mendongak. Dari celah-celah ranting pokok, cahaya matahari yang semakin redup terpancar ke wajahnya.

Wait, saya tak pernah pun cakap Mina hodoh. Tapi..” berkerut keningnya memikirkan kembali kata-kata yang pernah dia ucapkan sepanjang berbual dengan Nurjannah.

“..saya pernah cakap pada Lat, Leen dan Mina.” Sambung Johan. Wajah terkejut Nurjannah direnung dengan kening terangkat. Bingo!

“Suka hati awaklah.” Balas Nurjannah pendek seraya berlari anak mendapatkan kereta Honda Jazz yang diparkir tidak jauh dari situ. Johan yang masih merenung tindak tanduknya dibuat tidak endah sahaja.


TALI kasut yang terlerai itu diikat kemas sebelum dia kembali berlari anak menyusuri jalan kampung. Selepas bersarapan tadi tiba-tiba sahaja dia rajin keluar jogging seawal pukul 9 pagi. Maklumlah tadi dia bersarapan dengan nasi lemak. Tak mahulah kalau-kalau dia pula yang bertambah lemak. Lagipun bukan selalu dia dapat meluangkan masa begini di Kuala Lumpur. Jadual harian dia padat dengan kerjanya di klinik.

Sebatang pokok sederhana besar menarik perhatian Nurjannah. Di atas pokok itu terdapat sebuah rumah pokok. Pasti rumah pokok itu sudah dibina semula sebab itu nampak lebih cantik. Siap bercat warna coklat lagi.

Kakinya diatur beberapa tapak ke hadapan menghampiri rumah pokok. Tingkap dan pintu tertutup. Pasti tiada sesiapa dalam rumah pokok waktu pagi-pagi macam ni. Perlahan-lahan dia memanjat tangga ke atas. Sebaik sahaja kakinya memijak lantai, pintu rumah kecil itu ditolak perlahan.

Johan tersengih. Epal yang dipegang digigit sambil matanya tidak lepas memandang wajah cemberut Nurjannah yang sedang terbongkok di hadapan pintu. Sebetulnya dia berada di sini sejak pukul 8 pagi lagi. Sewaktu dia mahu membuka tingkap dia melihat kelibat Nurjannah yang sedang mengikat tali kasut. Betul tekaannya, gadis itu akan datang ke sini. Bingo!

“Eh, nak kemana tu? Masuklah, alang-alang dah naik kan.” Sapa Johan sebaik sahaja melihat Nurjannah mahu menutup pintu. Dia bingkas bangun seraya membuka tingkap.

Dia mahu turun tapi hatinya melonjak mahu masuk menjenguk rumah pokok ini. Nurjannah mengetap bibir. Lambat-lambat dia masuk ke dalam. Matanya meliar memerhati susun atur rumah pokok yang bersaiz lebih kurang 1.5 m X 1.0 m. Disudut bilik itu ada rak buku. Kebanyakkan buku yang disusun di situ adalah novel English dan Melayu. Di sebelah rak buku pula ada sebuah kotak yang dipenuhi bermacam permainan lama.

“Boleh saya tanya?” soal Johan bersama senyuman yang tidak lekang di bibir.

Nurjannah menjeling sekilas sebelum melabuhkan duduk berhampiran rak buku. Tangannya ringan sahaja mencapai novel bertajuk Whisper. Synopsis yang tertulis dibahagian belakang dibaca sekilas sebelum kembali meletakkan buku itu ke atas rak.

“Awak kerja kat mana ya?” malas mahu menunggu jawapan Nurjannah, mulutnya terus menyoal lagi.

“Klinik Akhbar, Kuala Lumpur.” Balas Nurjannah tanpa menoleh.

“Kenapa stay dekat homestay Akhbar?” wajah Nurjannah dipandang lama.

“Suka hati sayalah nak stay kat mana pun?” Wajah Johan langsung tidak dipandang. Dia berpura-pura sibuk membaca sinopsis buku yang tersusun kemas di atas rak.

“Awak kenal mak saya tak?”

“Siapa tak kenal Mak Cik Norma yang terer buat roti jala tu. Satu kampung kenal kot.” Balas Nurjannah bersahaja. Dia mengangkat muka. Alamak.

Nurjannah bingkas bangun. Dia sudah tidak sanggup berlama disitu. Namun belum sempat dia membuka pintu, hujan tiba-tiba sahaja turun dengan lebat. Terus dia terduduk di situ. Johan pula cepat-cepat menutup tingkap yang saling berlaga.

“Mak.” Jerit Nurjannah sewaktu guruh berdentum. Telingannya ditekup dengan telapak tangan.

“Jangan tutup telinga. Nanti Jannah jadi pekak.” Gumam Johan bersama senyum lebar. Bagai kenangan 20 tahun dahulu diputar kembali tapi dalam versi dia dan Mina sudah dewasa. Johan mengengsot mendekati Nurjannah yang sedang bersila di hadapan pintu.

“Jangan dekat!” jerit Jannah dengan mata terjegil.

I said don’t close! Jangan nak peluk orang sesuka hati. Awak tak ada hak untuk sentuh saya.” Marah Nurjannah lagi. Meledak tawa Johan melihat reaksi Nurjannah yang tiba-tiba.

See. Awak still ingat kenangan hari tu Mina. Jadi, don’t pretend that you’re someone else.” Tutur Johan lebih lembut bersama senyuman yang lebih tenang. Mina.

Nurjannah menggeleng perlahan. Matanya sudah berkaca-kaca. Sampai hati Johan. Sudahlah lelaki itu terang-terang menolak dia 20 tahun yang lalu. Kelmarin mengaku cintakan dia pula. Dan hari ini membongkar identiti dia pula. Terasa panas wajahnya apabila air mata yang dari tadi ditahan mengalir perlahan menuruni pipinya.

Yes. Saya Mina yang awak sebut-sebut tu. Saya Mina yang awak kata hodoh tu. puas hati?” wajah Johan direnung garang. Kalau boleh dia mahu telan hidup-hidup. Baru puas hati dia.


TAK pernah dia sangka salah faham sewaktu zaman kanak-kanak akhirnya melarat sampai 20 tahun. Betullah kata orang, kadang-kadang apa yang kita dengar dan lihat tak semestinya betul. Kita tak sepatutnya mempercayai sesuatu perkara secara membuta tuli dan melulu. Jadi, lebih baik siasat dahulu sebelum menuduh yang bukan-bukan.

Nurjannah tersenyum simpul. Kelakar pula bila teringat kejadian bulan lepas.

What? Mati? Nonsense. Tak logik langsung.” Balas Nurjannah apabila Johan sungguh-sungguh mengatakan yang dia, Leen dan Lat fikir Mina sudah mati.

“Memang tak logik tapi itulah yang berlaku. We were kids at that time Mina. Too young too dumb to realize.” Balas Johan pula dengan wajah serius. Aduh, lirik lagu Bruno Mars pula yang keluar! Tapi betullah apa yang dia katakan. Waktu itu mereka berusia 7 tahun. Terlalu muda dan mentah. Jadi mereka percaya apa yang mereka dengar dan lihat tanpa menyiasat terlebih dahulu. Nurjannah terdiam seketika.

“Habis tu kenapa tak tanya mak dan ayah saya aje ?” soal Nurjannah lagi, tidak mahu kalah. Huh, tak logik betul si Johan ni reka alasan.

Your parents tak ada kat rumah waktu kami pergi ke sana. Then hari berikutnya kami terserempak dia orang dekat kubur. So, kami ingat dia orang lawat kubur awak. Kami tak berani bertanya sebab semua yang berlaku berpunca daripada kesilapan kami bertiga.” Tenang sahaja dia menjawab soalan Nurjannah. Dia tenang dapat menatap wajah Mina. Syukurlah gadis ini tidak meninggal seperti yang dia fikirkan.

“Dia orang melawat kubur nenek bukan kubur saya.” Nurjannah memegang kepalanya yang terasa pening. Salah faham apa ni? Macam tak logik sahaja.

“Kenapa tak periksa kawasan kubur ? Kenapa tak cari batu nisan yang tercatat nama saya? Okey, yang ini saya tahu kenapa. Sebab korang takut dengan Pak Cik Nasir si penggali kubur tu kan?” soal Nurjannah sambil otaknya cuba mengingati Pak Cik Nasir yang berwajah bengis dan sentiasa membawa cangkul serta parang panjang.

Johan mengangguk perlahan.

“Tapi kenapa dah besar panjang pun korang tak pergi periksa kubur tu? Takkan still takut kut?” dia masih tidak berpuas hati. Jawapan Johan masih belum cukup untuk meyakinkan dia.

“Sebab kami tak sanggup menatap kubur awak. You know that we love you right?” Hujan yang tadinya lebat beransur reda. Matahari pula kembali memancarkan cahaya.

Tanpa dipinta Johan mendail nombor telefon Leen lantas menghulurkannya kepada Nurjannah. Gadis itu berbual dengan air mata yang bersememeh dipipi. Kemudian dia mendail nombor Lat pula. Pun sama, berbual dengan air mata yang bersememeh.

“Tapi kenapa Mina menyamar jadi doktor Jannah?” soal Johan dengan kening berkerut.

“Nama saya Amina Nurjannah binti Akhbar. Tu pun tak tahu ke?” pantas lengan Johan dicubit geram.


JARINYA yang tersarung cincin itu ditatap buat kali yang entah keberapa dengan senyuman meleret. Sudah dua minggu dia mengikat tali pertunangan dengan Johan, cinta hatinya. Sebut tentang Johan, terasa rindu pula dia pada lelaki itu. Pantas tangannya mendail nombor telefon Johan. Beberapa saat menunggu, akhirnya talian bersambung.

“Assalamualaikum. Sibuk ke?” soal Nurjannah dengan suara ceria.

“Tak. Saya tak sibuk. Saya tengah sakit ni awak. Tolong saya awak.” Balas Johan dengan suara terketar-ketar.

“Hah? Sakit apa awak? Awak okey tak?” Nurjannah sudah cemas. Tangannya mencapai beg tangan yang disimpan di dalam laci meja. Bersedia untuk bergegas ke tempat kerja Johan yang tidak jauh dari kliniknya.

“Saya sakit rindu. Saya tak okey awak. Tak okey sangat-sangat. Sebab tu saya dah terpacak depan klinik awak. Nak ajak awak keluar makan lepas tu pergi fitting baju kahwin. Saya half day hari ni..” Balas Johan sambil ketawa. Tubuhnya disandar pada badan kereta Honda City miliknya yang berwarna hitam.

“Ish, awak ni. Main-main pula. Tunggu sekejap, saya keluar sekarang.” Nurjannah melepaskan nafas lega. Ada-ada sahaja Johan ni. Pantas dia mengatur langkah mendapatkan Johan yang sedang menantinya dengan senyuman semanis madu.

Pelik kan kisah cinta mereka? Sepelik salah faham yang berlaku di antara mereka.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh