2,216
Kategori:
Genre:
Senarai Bab
RIANA

Bab 1


"Nana!"

"Yer, mek!!" sahutku kuat sebaik mendengar pekikan bini tokey kedai yang aku panggil Mek. Bukan saja-saja aku gelarkan dia begitu. Satu kampung memanggilnya Mek. Barangkali mewujudkan perasaan mesra agaknya. Aku selaku pewaris anak kampung mengikut sahajalah tingkah orang tua. Sudah satu jam aku duduk di sudut agak ceruk yang terletak dibahagian stor. Menimbang gula merah lalu dibungkus kecil untuk dijual dengan harga dua ringgit sebungkus. Aku bingkas berdiri. Terasa lega apabila sendi dan urat yang kendur berqiam akhirnya diregangkan. Langkah besar aku ambil menuju kearah Mek yang berada di bahagian peralatan mandian. Bila Mek panggil jangan sengaja berlengah. Setelah dua minggu aku berkerja di mini market ini, sikap Mek yang lantang menegur tak kira tempat dah lali dengan halwa telingaku. Aku memandang Mek yang sedang tercegat berdiri berdekatan dengan rak ubat gigi. Wajahnya sentiasa mencuka. Aku menghentikan langkah. Terasa segar sedikit lubang hidung apabila berada disitu tatkala haruman dan bauan sabun menyanggah deria. 

"Kenapa harga ni semua ada lima sen? Mana ada barang dalam kedai ni harga macam ni!" Bentak Mek dengan mata yang sepet sengaja dibulatkan. Mahu ketawa atau mahu berasa gentar? Aku tidak membuat pilihan. Dari kecil Mek sudah kenal aku dan aku juga mengenalinya. Malah, setiap musim perayaan kami akan bertukar juadah. Jikalau Hari Raya, emak akan menyuruh aku menghantar sepinggan rendang dan ketupat, raya Cina pula seplastik limau mandarin kami akan dapat. Mek yang berusia hampir tujuh puluh tahun itu tersangat rapat dengan keluarga kami. Sudahlah tua. Kudratnya juga tidak kuat mana. Bila berjalan mesti terbongkok sedikit. Meski wanita itu garang aku tetap hormati. Mana mungkin aku lupakan budi keluarga ini yang tidak berkira ketika kami menjalani kehidupan serba daif suatu ketika dahulu. 

"Eh, itu harga Ah Hor yang buat. Tanya dialah, Mek." ujarku membela diri sambil merujuk kepada suami Mek. Mek mendengus tanda tidak puas hati. Tanpa berkata sepatah pun dia berlalu. Aku turut berlalu dan kembali ke sudut yang tersorok sebentar tadi. Belum sempat aku duduk, telingaku menangkap suara Mek yang agak tinggi bercakap dalam bahasa ibundanya. Agaknya tengah bergaduh dengan suaminya tentang harga ubat gigi itu tadi. Aku menggeleng. Berasa sedikit lucu mengenangkan drama yang terpaksa aku lalui saban hari di mini market ini. Tak apalah. Selagi aku boleh bersabar akan aku tabahkan diriku menjalani rutin yang tidak mudah ini. Demi sejumlah wang akan aku tahankan diriku dari berhenti kerja. Mengenang impian yang satu itu sahajalah yang mampu buatkan hatiku bulat. Niatku tekad. Pantang beralah sebelum mengerah. 


Bab 2


Nada dering Hanging By A Moment nyanyian Lifehouse bergema di ruang tamu. Emak memandangku yang duduk bertentangannya sekilas, lantas meneruskan kembali kerja-kerja menyiang ikan. Aku yang sedang memetik satu persatu pucuk paku segera menerjah ke ruang tamu mencapai telefon pintar yang sedang di cas. Ikon hijau aku sentuh. Gajet itu aku bawa ke telinga. 

"Hoi!! Apa khabar?" sapa Shakira dihujung talian dengan suara yang ceria. 

"Erm.. Waalaikumussalam." sahutku berbaur sindiran. Shakira tergelak kecil. 

"Yelah.. Assalamualaikum." ucapnya pula. Kali ini aku tersengih dan menyahut salamnya itu. 

"Ada apa?" tanyaku. 

"Dah apply link yang aku beri tu?" tanya Shakira. Walaupun gadis itu tidak berada dihadapanku ketika ini, mimik muka ragu-ragunya dapat aku bayangkan dengan jelas. 

"Erm.. Tak..." sahutku lantas bergerak ke arah tingkap kayu dan bersandar pada jenang tingkap. 

"Apa?? Kau ni..," Aku dah agak. Memang Shakira dah dapat agak apa yang akan aku lakukan. 

"Macam nilah.. Aku dah buat keputusan. Aku nak berkerja sendiri." ucapku tanpa menunggu bebelan demi bebelan dari gadis yang berasal dari Negeri Sembilan itu. Kami bersahabat ketika bertemu di kolej. Kemudian, menjadi sahabat karib apabila tinggal serumah dirumah sewa dan mengambil jurusan yang sama.

"Wah, banyak modal kau. Kau apply loan ke?" soal Shakira yang baru dua bulan berkerja di sebuah syarikat swasta di Klang.

"Bila masa pulak aku cakap aku dah start bisnes. Aku tengah kumpul duit lagilah." jelasku disambut dengan ketawa kecil dari Shakira. 

"Loan tak naklah. Aku tak mau berhutang."

"Yelah. Tapi, kalau kerja macam tu sampai bila baru cukup modal? Nak tak nak kau kena jugak buat pinjaman. Weh, nak berniaga kena berani ambil risiko. Lagipun, tak perlulah berhutang sampai puluh ribu." tutur Shakira pula. Mujurlah kami cuma bercakap melalui telefon sahaja. Jikalau berdepan, pasti dicepuknya kepala aku. Tetapi, meski sikap Shakira agak kasar aku tetap sayangkan dia kerana dialah kawan baik yang pernah sama-sama mengharungi susah senang sewaktu belajar di kolej dahulu. 

"Nanti aku fikirkan, okay. Kau macam mana?" tanyaku pula bagi mengalih perhatian gadis itu dari terus-terusan menghurung aku dengan persoalan yang aku sendiri tidak punyai jawapan. 


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh