Home Alternatif Alternatif Menganggur Bukan Alasan Untuk Tidak Berwang
Menganggur Bukan Alasan Untuk Tidak Berwang
Atie Atiya
28/6/2015 11:15:14
8,380
Kategori: Alternatif
Genre: Alternatif
Senarai Bab
-3-
 

                                                                 {Pepatah Melayu}

                                                         Sediakan payung sebelum hujan

                                          Maksudnya: Bersiap sedia sebelum melakukan sesuatu.



Apa yang boleh anda buat dengan baki wang pinjaman yang ada?

Pertama, anda bahagikan kepada dua. Jika anda ada RM600, maka setelah dibahagi menjadi dua, ia menjadi RM300 setiap satu. Satu bahagian, anda harus kekalkan di dalam bank tanpa diusik.

Kenapa tak boleh diusik?

Ini adalah salah satu persediaan untuk anda jika surat hutang sudah menjelma ketika anda masih tidak memperolehi pekerjaan. Kebiasaaannya, hutang pinjaman pelajaran perlu dibayar sebanyak RM100 setiap bulan. Jadi, anda sudah mampu membayar hutang untuk tempoh selama tiga bulan. Anda tidak perlu pening kepala untuk membayar hutang untuk tempoh itu keranaa duit sudah sedia ada.

Apa nak buat dengan duit RM300 lagi tu? Anda rasa apa yang perlu anda buat? Fikirkan sebentar..

Dapat fikir tak? Fikir betul-betul. Jujur dengan diri anda. Fikir..

Pepatah Melayu

Berjagung-jagung dahulu sementara menantikan padi masak

Maksudnya: Membuat kerja sambilan sementara mendapat pekerjaan yang tetap.

Bagaimana untuk menjadi penganggur berwang?

1

Jika anda tidak mempunyai baki pinjaman anda harus berusaha untuk mencari wang sampingan bagi membolehkan anda mempunyai wang. Ada beberapa perkara mudah yang boleh anda lakukan. Antaranya ialah:



* Menjual barangan terpakai

Langkah pertama, cuba selongkar barang-barang lama anda yang sudah disimpan rapi di dalam kotak atau stor. Asingkan ia satu persatu kepada beberapa bahagian seperti barang sudah rosak, terpakai, sudah tidak mahu atau anda masih mahukan barangan itu.

Sesudah itu, ambillah bahagian yang telah ditempatkan barangan terpakai. Teliti ia satu persatu bagi memastikan ia sesuai untuk dijual dan digunakan kembali oleh orang yang membelinya.

Antara barangan yang boleh dijual kembali adalah seperti barangan koleksi peribadi anda seperti alat permainan, pakaian, CD/DVD,buku-buku lama dan barang hiasan. Anda boleh menjualnya secara atas talian atau anda menyerahkan koleksi anda kepada orang yang menjual barangan terpakai. Melalui cara ini anda boleh mendapatkan wang tanpa mengeluarkan modal. Mudah bukan?

Cara ini juga dapat mengosongkan rumah anda daripada barang-barang lama. Secara tidak langsung rumah anda akan bersih dan lapang. Tapi,ingat.. Dapatkan kebenaran ahli-ahli keluarga lain juga sebelum anda menjual barang-barang tersebut. Manalah tahu jika mereka mahu menggunakan barang-barang itu lagi.

Selain itu, ketika belajar sudah tentu anda mempunyai nota ringkas yang anda buat sendiri. Jika anda tidak segan, anda boleh fotostat nota yang anda buat dan menjualnya kepada junior-junior yang masih lagi menuntut ilmu. Sudah pasti mereka akan berminat untuk membeli nota-nota ini kerana mereka sangat dahagakan ilmu dan ada diantara mereka yang malas membuat nota ringkas. Oppss.. Malas ke? Ok, kita gunakan istilah tidak sempat, bukan malas. Nanti ada orang marah pula.

Dengan menjual nota-nota ringkas yang anda buat, anda turut dapat membantu mereka disamping anda memperolehi wang. Bukankah ilmu patut dikongsi? Sebelum menjualnya, anda wajib memastikan nota yang anda tulis itu betul dan benar. Kalau tersilap menyampaikan ilmu, maka silaplah info yang diterima oleh mereka. Ini akan memberi kesan kepada keputusan peperiksaan mereka dan mungkin akan menyebabkan mereka gagal di dalam subjek itu. Jadi, juallah dengan rasa penuh tanggungjawab dan bukan hanya sekadar mahu mengaut keuntungan.



                                                                     {Pepatah Melayu}

                                                  Mahu seribu daya, tak mahu seribu dalih

         Maksudnya: Jika hendakkan sesuatu, seseorang akan mencuba untuk mendapatkan dengan           sedaya upayanya tetapi jika dia tidak mahu, pelbagai alasan akan diberikan.




                                  Bagaimana untuk menjadi penganggur berwang?

                                                                   2

* Mencari Pekerjaan

Setelah memperolehi wang, bolehlah anda cuba mencari pekerjaan yang sesuai mengikut kehendak anda seperti bekerja di butik pakaian, restoren dan sebagainya. Duit yang anda dapat hasil daripada jualan barangan terpakai bolehlah digunakan sebagai duit belanja ketika anda mencari pekerjaan-pekerjaan ini.

Ketika berjalan dari sebuah premis ke sebuah premis sudah tentu penat akan terasa dan memerlukan anda mengisi perut. Duit inilah yang dapat membantu anda ketika ini. Selain itu, sudah pasti anda memerlukan duit ini untuk mengisi minyak kenderaan atau dijadikan sebagai duit tambang. Jadi, anda harus menggunakan ia secara cermat sehinggalah anda sudah diterima untuk bekerja sambilan di premis peniagaan yang anda mohon.

Jika anda bertekad untuk mencari pekerjaan, carilah pekerjaan yang berdekatan dengan dengan rumah anda. Buat masa ini, elakkan daripada mencari pekerjaan yang jauh. Ini bertujuan agar anda boleh menjimatkan kos.

Andai kata anda mencari pekerjaan yang jauh daripada rumah anda, sudah tentu anda perlu mengeluarkan duit untuk membayar duit minyak, tol, tambang, sewa rumah dan sebagainya. Bukankah masa sekarang anda masih kekurangan wang? Jika anda bekerja dekat dengan rumah anda, sudah tentu anda akan tinggal bersama keluarga. Sekurang-kurangnya bil air, bil elektrik dan makan minum sudah ditanggung ahli keluarga. Anda bukan mahu mengambil kesempatan, tetapi untuk masa ini anda masih perlukan bantuan ahli keluarga yang lain. Mereka tentu memahami. Cuma mungkin anda berasa tidak selesa apabila terpaksa menyusahkan mereka.

Apabila anda sudah mendapat pekerjaan, sesekali belilah barang keperluan dapur yang diperlukan seperti beras dan gula. Walaupun tidak banyak, ini sudah cukup untuk menggembirakan hati ahli keluarga dan insya-Allah rezeki yang anda kongsikan bertambah berkat.

Ketika mencari pekerjaan carilah pekerjaan yang sesuai dengan diri anda dan yang penting ia halal. Jangan sesekali anda mendapatkan pekerjaan yang boleh menjerumuskan anda ke arah kemaksiatan seperti mengambil upah menyanyi di kelab malam, menjadi pelayan kelab, mengambil upah mengurut di rumah urut tidak berlesen dan sebagainya. Pekerjaan-pekerjaan ini mungkin memberikan gaji yang agak lumayan tetapi sedarkah anda Allah sedang memerhatikan anda. Janganlah sampai Allah murka kepada anda. Jika pihak berkuasa membuat serbuan dan didapati anda bersalah, ini akan menyebabkan nama baik keluarga tercalar. Dimanakah ahli keluarga anda mahu meletakkan muka apabila berhadapan dengan masyarakat sekeliling yang sudah tentunya bersikap ingin mengambil tahu.

Carilah pekerjaan yang mendapat keredhaan daripada-Nya walaupun ia dipandang rendah oleh masyarakat. Pujuklah hati anda, bahawa ini hanyalah pekerjaan sementara kerana anda mempunyai perancangan yang lebih bagus daripada ini. Pekerjaan ini merupakah langkah pertama anda untuk membolehkan anda terus menapak satu persatu agar anda boleh berlari menuju kejayaan selepas ini.

Lihatlah bayi yang baru lahir. Mereka lahir tidak terus berjalan bukan? Mereka perlu melalui beberapa peringkat sebelum mereka boleh berlari dengan pantas. Walaupun beberapa kali mereka jatuh ketika cuba melangkah untuk berjalan, mereka tidak berputus asa walaupun sesekali mereka terpaksa menangis. Mereka terus berusaha sehinggalah mereka kini boleh berlari sepantas yang mungkin. Siapa bayi itu? Andalah bayi itu.

Ketika kecil dan tidak tahu apa-apa tentang erti kehidupan, anda terus berusaha untuk mencapai apa yang diinginkan iaitu mahu berjalan seperti ibu dan ayah. Ketika sudah dewasa, takkanlah anda mahu berputus asa begitu sahaja? Bangkitlah.. Tengoklah kanak-kanak sekeliling anda. Ambil aura semangat daripada mereka.

Anda sudah semangat? Kalau sudah semangat mari kita pergi kepada bicara yang seterusnya.

Di dalam sesuatu perkara, kita perlu membuat perbandingan. Andaikata anda memperolehi banyak peluang pekerjaan diluar kelulusan pelajaran anda, buatlah perbandingan diantara pekerjaan itu.

Lihatlah tawaran gaji yang telah ditetapkan.

Ø Pekerjaan A= RM900 sebulan

Ø Pekerjaan B = RM1000 sebulan

Ø Pekerjaan C = RM 700 sebulan

Pekerjaan manakah yang menjadi pilihan anda?

“Eh, sudah tentulah perkerjaan B.. RM1000 sebulan siapa yang tak nak..”

Tunggu! Jangan terburu-buru. Anda masih belum membuat perbandingan lagi.

Ø Perkerjaan A - RM 900 sebulan bertempat di pekan

- Duit tambang/duit minyak RM150 sebulan

- Duit makan dan minum RM 250 sebulan

Baki yang tinggal - RM 500

Ø Pekerjaan B - RM 1000 sebulanbertempat di bandar

- Duit minyak kenderaan RM300 sebulan

- Duit tol RM150 sebulan

- Duit makan dan minum RM 250 sebulan

Baki yang tinggal - RM 300

Ø Pekerjaan C - RM 700 sebulanbertempat di kampung.

- Tidak perlukan duit tambang atau minyak kenderaan kerana boleh berjalan kaki atau berbasikal. (Berjimat)

- Mungkin tidak perlukan duit belanja makan disebabkan makanan sudah disediakan dirumah. Jika perlu mungkin hanya RM50 sebulan untuk minum kopi bersama kawan-kawan.

Baki yang tinggal - RM 650

Setelah membuat perbandingan, pekerjaan mana yang menjadi pilihan anda? Sudah tentulah pekerjaan C bukan? Walaupun ia bertempat di kampung, ia mampu memberikan gaji yang banyak kepada anda tanpa anda membuang wang anda kepada keperluan yang mungkin boleh anda elakkan seperti minyak kenderaan, tol, tambang dan sebagainya.

Di kampung, anda boleh bekerja dengan tenang tanpa anda membazirkan wang. Jika anda bekerja di bandar, mungkin anda akan tergoda untuk membeli-belah, berjalan-jalan dan melawat tempat yang menarik. Sedarkah ini adalah era pengangguran buat anda? Jadi, beringatlah ketika menggunakan wang.

Jika anda tetap mahu meninggalkan kampung halaman dan mahu bekerja di bandar, anda mestilah berjimat menggunakan wang. Anda perlu bijak mengatur perjalanan anda untuk ke tempat kerja sama ada mahu menggunakan kenderaan awam atau kenderaan sendiri. Buatlah perbandingan dari segi masa dan kos yang anda perlukan untuk sampai ke tempat kerja. Apa yang anda perlu tahu hidup dibandar memerlukan anda bijak mengatur kadar kewangan anda. Sepertimana yang kita tahu kos hidup di bandar lebih tinggi berbanding di kampung. Jadi, anda perlu memastikan status kewangan anda stabil sepanjang masa.

Contoh yang diberikan diatas, hanyalah contoh semata-mata. Anda yang lalui semua ini pasti lebih arif tentang kadar perbelanjaan untuk tol,minyak kenderaan, tambang dan makan minum. Jadi anda kiralah apa yang sedang atau bakal anda lalui bagi membolehkan anda memperolehi gaji yang tebaik dan menjadikan hidup anda lebih selesa.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.