Semalam…
seorang lelaki berdiri di muka pintu,
kacak dan segak,
dengan wajah muda tersenyum manis
di tangannya buku menebal,
di jarinya kapur tulis kesan tertinggal.
Anak-anak datang menggalas buku sebeban,
dengan harapan mewarisi pengetahuan,
dari lelaki yang berdiri di muka pintu,
mengutip ilmu yang tercurah,
bercinta dengan buku,berkasih dengan ilmu
walau beribu helaian mukasurat sanggup ditumpu,
dengan payah,
dengan susah,
menewaskan jahil sengsara
tekad mahu menjadi cendiakiawan bahagia
Masa berlalu…
Hari ini lelaki itu tetap jua tersenyum di muka pintu,
Tali pinggang diperutnya sudah melangkau lubang terakhir,
Uban di kepalanya sudah merebak memenuhi setiap rambut hitamnya
Wajah tampan kacak mudanya sudah dijamah kedut yang menimbul
Tetapi ditangannya kapur tulis memutih tiada lagi kesan,
Didakapnya pemacu pena dan cakera keras bergiga memori mengganti tebal buku rujukan.
Anak-anak yang datang juga sudah ringan beban di belakang,
sudah tiada timbunan buku yang jenuh disandang,
Semuanya tersimpan dalam komputer riba yang semakin nipis dan mengecil.
Sungguh… cara menyuburkan ilmu sudah jauh berganti,
lelaki ini tetap jua berdiri,
di muka pintu di hadapan kelasnya,
melihat anak-anaknya datang dan pergi berkali-kali
tetap datang kosong minda kosong jiwa,
minta diisi sebelum mereka melangkah pergi…
Walau dunia sudah berubah,
masa menelan kehidupan mudanya
Dengan kedut di dahi, dengan uban memutih
tetap jua lelaki ini menanti
tanpa jemu, tanpa ragu dan patah hati,
mahu mencurah ilmu menabur bakti
agar terdidik waris bangsanya dengan pendidikan dan budi pekerti.
Biarlah dunia berubah berkali-kali lagi,
masih…
Tetap jua lelaki ini berdiri di muka pintu kelasnya…
Menanti.