AKu Dibunuh Bukan Terbunuh

1. AKU DIBUNUH BUKAN TERBUNUH


Apa salah aku?

Aku bukan makhluk bersayap itu


Mereka

Mengejiku dengan bangga

Menilaiku seperti ilmuwan

Menghakimku seperti Tuhan!


Keluarga

Dekat namun tidak terjangkau

Rapat namun sukar mengerti

Akhirnya aku tinggal sendiri


Aku takut

Rasa Marah

Sedih dan hiba

Hampir terfikir tuhan tidak adil 


Tidak ada dahan untuk berpaut

Tidak ada awan untuk berteduh

Malam tanpa bulan

Siang tanpa cahaya

Dunia gelap gelita


Apa ertinya lagi?

Tujuan hidup?

Aku tidak punya itu


Semakin hari luka semakin dalam

Hati ini sudah tidak tertanggung

Dalam terpaksa segalanya aku akhiri

Menjadi hakim tanpa akal


Dalam peperangan ini

Akulah yang dibunuh oleh 'mereka'

Bukannya terbunuh!





2. Di celah-celah kehidupan

 

Di situ ada tawa dan canda

Di situ terselit sendu dan tangis

Bila bergabung menjadi satu irama

Mengalun indah menerbitkan pelbagai rasa

 

Di celah-celah kehidupan

Bila bahagia hilangnya kesyukuran

Bila derita mula haus dengan kasih sayang

Bukan kehendak hati tapi takdir Ilahi

 

Di celah -celah kehidupan

Ada yang setia dengan harapan yang menggunung

Ada yang telah lama redha tanpa keluhan

Ada juga yang melupakan mereka yang mengharapkan

 

Di celah-celah kehidupan

Andai ada secebis harapan

Andai saja diberi peluang

Semuanya pasti akan baik-baik saja

Redha dengan ketentuan NYA

 




3. LELAKI TANPA NAMA

 

Ketika itu aku tergamam seketika

Walaupun tanpa secebis senyuman

Kau melepasi tempatku

 

Aku masih memandangmu dikala bayangmu semakin pudar

Kau menghilang tanpa jejak

Aku galau sendiri

 

Pada malam itu

Sempat terselit dalam doaku

Andai bertemu dengan dirimu

Sekali lagi

Aku akan cuba memandangmu dengan lebih lama

Wahai lelaki tanpa nama...,

 



4. Lelaki Tanpa Nama (2)

Hari ini ianya seperti mimpi

Aku melihatmu lagi

Kelmarin kau langsung tidak membalas pandanganku

 

Kali ini aku terkesima

Walau hanya beberapa saat mata bertentangan

Perasaan itu seperti rama-rama

 

Aku dan kau berbicara melalui pandangan

Tanpa kata

Tanpa senyuman tanda perkenalan

 

Saat gadis lain memeluk lenganmu

Aku yang ralit mula sedar

Mungkin bukan aku yang layak

Tapi dia

 

Lelaki tanpa nama,

Tanpa sedar kau telah mewarnai hari-hariku




5. LELAKI TANPA NAMA L.P

RIndu ini tidak diundang

Hadir tanpa dipinta

 

Separuh diri mula menyerah

Gigih membuang bayang wajahmu

 

Semakin kuat mencuba

Semakin dalam luka tercipta

 

Lelaki tanpa nama,

Saat aku mula melepaskanmu

Tiba-tiba kau menghulurkan tangan

 

Lantas aku harus bagaimana?

 

LELAKI TANPA NAMA

MAWA

 


 

 

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.