Home Novelet Seram/Misteri Projek seram WAD Hospital Melorsari
Projek seram WAD Hospital Melorsari
19/3/2016 14:49:56
13,095
Kategori: Novelet
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
BAB 8

BAB 8

TEPAT pukul 5.45 petang Sufi dan Erina tiba di hospital dengan wajah kepenatan. Namun senyuman manis masih lagi terukir di wajah masing-masing. Sufi menjinjit sebuah beg yang sederhana besar manakala Erina membawa buah-buahan dan makanan.

“Hai Awin! Kesian kau, tunggu si Julia tu sorang-sorang. Tentu kau penatkan? Kau dah makan? Kalau belum aku ada bawakan makanan untuk kau. Aku bungkus dari kafe kita tadi,” beritahu Erina.

“Terima kasih Rina. Kaulah sahabatku dunia akhirat,” ujar Zawin, begitu teruja dengan sikap prihatin Erina terhadap dirinya.

“Lah, apa gunanya kawan. Kalau tak dapat tolong,” jawab Erina sambil meletakkan bungkusan makanan dan buah-buahan di atas meja di tepi tingkap.

“Oh! Sebelum aku lupa. Tadi ada pelanggan lelaki tanya pasal kau. Hensem giler mamat tu. Namanya Ikram. Dia kata, dia kenal kau. Nak jumpa kau esok di kafe,” sampuk Sufi pula.

“Apa? Pelanggan lelaki? Ikram?” tanya Zawin, hairan.

“Haah, Ikram! Kenapa? Kau tak kenal dia ke?” soal Sufi, pelik melihat wajah bingung Zawin.

Bila masa dia kenal dengan lelaki bernama Ikram? Dan bila masa pula lelaki hensem boleh kenal sama dia? Setahunya, memang dia tak ada kenal mana-mana lelaki setakat ni. Zawin cuba menyelak-nyelak helaian memori untuk dua, tiga hari yang sudah dilaluinya.

“Mungkin kau tak ingat kot?” celah Erina, menyokong kata-kata Sufi.

“Lagi satu, dia kata, dia ada urusan penting dengan kau yang belum selesai,” sambung Sufi lagi dengan keningnya terjungkit, penuh makna tersirat.Anak mata mereka bertaut.

“Huh?” keluh Zawin, turut menjungkitkan keningnya.

Memang Zawin langsung tak ingat lelaki bernama Ikram. Tentang pembeli lukisannya pagi tadi pun, dia tak ingat. Hanya kisah Julia sakit perut dan dimasukkan ke hospital masih kuat melekat diingatan Zawin.

“Err... aku tak ingatlah,” jawab Zawin sambil menggaru-garu pipinya yang tak gatal. Dahinya berkerut-kerut cuba mengingati.

“Alah rupa lelaki tu macam hero yang berlakon cerita Rindu Awak 200% tu. Apa namanya, Zul Ariffin!” sampuk Sufi tiba-tiba.

Sufi teruja bila teringatkan wajah jejakatampanyang hendak berjumpa dengan Zawin itu. Zawin masih terpinga-pinga. Masih mencari-cari rupa paras lelaki itu.

“Tak apalah Sufi, Rina. Aku balik dulu ya. Giliran kau orang pulak jaga Julia,” ujar Zawin sambil melangkah meninggalkan wad lantas menuju ke arah lif.

Dia harus balik dengan segera. Badannya sudah melengas. Sudah tak selesa lagi kalau tak mandi. Kemudian dia harus menyiapkan beberapa buah lukisan lagi untuk diserahkan kepada Encik Taufik. Ketika Zawin hendak menolak pintu kaca yang memisahkan ruang wad dan lif, kelihatan seorang lelaki memakai baju hijau sedang berbual-bual dengan seorang doktor. Keadaan mereka nampak agak tegang namun Zawin cuba tidak menghiraukan perbualan mereka.

Zawin melangkah lambat-lambat ke arah pintu lif dengan perasaan yang kurang selesa. Dia berasa terganggu dengan situasi itu. Perbualan mereka begitu kuat hingga Zawin boleh dengar setiap butir perkataan yang keluar dari mulut mereka berdua.

“Doktor, takkan tak tahu langsung ke mana isteri saya pergi. Pelik ni!”

“Maaf encik, memang saya tak tahu ke mana isteri encik pergi. Sepatutnya, enciklah yang lebih tahu,” jawab doktor itu dengan selamba.

“Doktor yang merawat isteri saya, takkan dia tak cakap apa-apa pun dengan doktor?” ujar lelaki berbaju hijau itu, masih tidak puas hati.

Bulat matanya memandang doktor itu. Dia masih tidak dapat menerima hakikat yang doktor itu tidak tahu ke mana isterinya pergi. Mustahil doktor itu tak tahu.

“Encik, saya cuma merawat isteri encik aje. Tak tanya lebih dari itu,” terang doktor itu mula berasa tersinggung dengan pertanyaan yang tak berasas dari suami pesakit itu.

Lelaki itu terus naik angin. Kolar baju doktor itu digenggam erat. Ditolaknya tubuh doktor itu santak ke dinding. Tidak bernafas doktor itu seketika. Lelaki itu seolah-olah sudah hilang pertimbangan. Fikirannya kusut memikirkan isterinya hilang secara tiba-tiba.

Zawin jadi kecut-perut menyaksikan kelakuan lelaki itu.

Baik aku lakukan sesuatu sebelum berlakunya perkara yang tidak diingini, getus Zawin.

Zawin melangkah ke arah mereka untuk meleraikan namun belum sempat buat apa-apa, tiba-tiba lelaki berbaju hijau itu melepaskan kolar baju doktor itu. Serta-merta emosinya berubah.

“Ma...maafkan saya, doktor. Sa...saya tak sepatutnya bertindak sedemikan. Sebenarnya, saya hairan ke mana isteri saya hilang secara tiba-tiba,” terang lelaki itu, benar-benar kesal dengan tindaknya tadi.

Dari jauh Zawin menarik nafas lega. Bimbang juga sekiranya berlaku sebarang pergelutan tadi. Kecoh satu hospital nanti.

“Isteri encik sepatutnya ada satu lagi sesi rawatan. Tak sepatutnya dia pulang. Walaupun dia sudah semakin sembuh namun selagi saya tak benarkan pulang, diatidakboleh keluar wad sesuka hati. Jururawat takkan benarkan,” tegas doktor itu sebelum meninggalkan lelaki berbaju hijau yang sedang tunduk memandang lantai.

Lelaki itu hanya mengangguk-angguk.

Pintu lif terbuka dan lantas Zawin melangkah masuk. Semasa dia hendak menekan butang ‘G’, tiba-tiba lelaki berbaju hijau itu terus menyelit masuk. Terus menyandar ke dinding lif bertentangan dengan Zawin. Kedengaran esakkan halus dari lelaki itu.

Sayu hati Zawin. Dia juga berasa simpati walaupun tidak tahu hujung pangkal ceritanya. Zawin hanya membisu. Membiarkan sahaja lelaki itu melayani perasaannya sendiri. Tentu lelaki itu sayang sangat kepada isterinya.

Siapa yang tak sayang bini, hoi? Kalau aku pun kalau sudah berkahwin, pasti sayang sangat dengan suami aku, getus Zawin.

Tapi yang peliknya kenapa isteri dia hilang tiba-tiba? Betul ke isteri dia hilang dari hospital? Entahlah, hanya dia yang boleh jawab. Akhirnya Zawin mendiamkan diri. Pertanyaan yang banyak tanpa sebarang jawapan membuatkan hati Zawin resah tak bertempat.

Ting! Pintu lif terbuka lalu Zawin melangkah meninggalkan Hospital Melorsari dengan lelaki berbaju hijau dan kisah sedihnya.

ZAWIN sampai di rumah sewanya waktu langit sedang rembang menyebarkan warna merah di kaki langit. Lekas-lekas Zawin berjalan menaiki anak tangga menuju ke bilik.Zawin menoleh ke belakang sekali-sekala bila terasa macam ada orang mengekori langkahnya. Tapi bila dia menoleh, tiada siapa pula yang ada di belakang. Pelik!

Terbayang-bayang pula di mindanya sesuatu yang menyeramkan. Terasa-rasa macam ada kepala berambut panjang melayang lalu menyentuh rambutnya. Hisy! Usah diikutkan sangat perasaan tu, marah Zawin kepada dirinya sendiri.

Langkah Zawin semakin laju. Terus memulas tombol pintu sebaik sahaja sampai di depan pintu bilik sewanya. Jantungnya berdetak laju diulit dengan rasa cemas tiba-tiba. Terasa macam dirinya dikejar sesuatu.Di bilik,Zawin terus mengambil cermin mukanya yang terletak di tepi meja solek dan menghalakan tubuhnya membelakangkan tingkap. Cermin dihalakan ke arah luar tingkap yang terselak langsirnya.

Melalui biasan cermin itu, dia nampak kelibat seseorang di sebalik pokok besar sedang mengintai ke arahnya! Wajah kelibat itu tidak jelas sebab keadaan sekeliling semakin suram. Siapakah itu?

Aduh! Hampir nak gugur jantungZawin. Terpaku di tempat dia berdiri.Seketika kelibat itu hilang bersama malam yang menjengah alam. Zawin walaupun dalam berdebar-debar, dia meneruskanjugaaktiviti malamnya seperti biasa dengan menyambung lukisan yang terbengkalai.

Penuh tekun dia melukis. Aktiviti yang telah menjadi hobinya sejak kecil. Akhirnya Zawin berhenti melukis pada pukul 2.30 pagi dengan satu lukisan yang menggambarkan seorang wanita memeluk anak kecilnya.

ESOKNYA, Ikram pagi-pagi lagi sudah berada di Kafe Milenia. Dia tidak mahu terlepas lagi. Semalam dia cuba mengikuti jejak Zawin yang baru pulang dari hospital namun tidak berjaya. Tiba-tiba dia hilang jejak Zawin. Seperti dihalang sesuatu tanpa disedari.

Ikram hanya dapat mengikuti jejak Zawin sampai di Dewan Metro Damai. Tiba-tiba Zawin ghaib begitu sahaja. Tidak kelihatan di mana-mana dalam dewan itu. Itu yang merisaukan Ikram. Ikram risau kalau lembaga hitam itu membuat onar pada Zawin. Keselamatan gadis itu perlu diutamakan.

Dari jauhZawin sudah perasan kelibat seseorang sedang menunggu di hadapan Kafe Milenia.

Alamak! Mamat ni lagi. Apalah yang mamat ni nak dari aku lagi? Nak kata pasal lukisan, semalamkan dah hantar semua? Apa lagi yang tak kena? Rungut Zawin sorang-sorang sambil mengayuh basikal dalam kadar perlahan.

Kemudian dia berhenti dan meletakkan basikalnya di tempat khas yang disediakan.

Hah? Tu pun dia. Baik aku melangkah ke sana. Tak nak hilang jejak lagi, ujar Ikram dalam hati dan terus melangkah mendapatkan Zawin.

“Assalamualaikum,” tegur Ikram dengan mesra.

Dalam hati penuh mengharap agar gadis itu sudi membalas tegurannya.

“Waalaikumussalam,” jawab Zawin pendek namun dia tidak menoleh langsung ke arah Ikram.

Hati Zawin berdebar-debar, gementar. Lelaki ini memang tampan. Zawin tak mahu terpedaya dengan kekacakan lelaki itu. Lelaki kacak macam itu mesti ada muslihat yang dia tak tahu. Zawin harus berhati-hati.

Ikram terus mengekori langkah Zawin memasuki kafe itu. Zawin mula rasa tak sedap hati.

Eh, kenapa mamat ni ikut aku masuk.

Tiba-tiba Zawin berpusing. Langkah Ikram terus terhenti. Hampir sahaja dia hendak berlaga dengan Zawin.

“Kenapa dengan awak ni? Tak ada kerja ke? Ikut saya sampai ke sini?” soal Zawin, tidak puas hati.

Ikram tidak segera menjawab. Haruman tubuh Zawin membuat Ikram leka seketika. Hanya orang seperti Ikram yang memiliki pancaindera keenam sahaja yang tahu siapa pemilik tubuh yang harum itu.

“Maafkan saya, Cik Zawin. Saya tak ada niat jahat. Cuma saya nak berkawan dengan Cik Zawin, tu aje. Lagipun saya kagum dengan bakat melukis cik ni,” terang Ikram dengan nada suara seikhlas mungkin.

Dia harus meraih kepercayaan Zawin. Itu azamnya.

“Maaf, saya tak terpengaruh dengan kata-kata manis awak tu,” tukas Zawin sambil menjeling.

Kemudian dia berlalu meninggalkan Ikram terkebil-kebil di situ. Zawin terus memasuki bilik staf untuk menukar pakaian kerjanya. Sementara Ikram pula melangkah ke arah meja-meja di kafe itu. Tidak mudah putus asa.

Ya ALLAH! Berikan aku kekuatan. Sensitif betul gadis ni, bisik Ikram.

Tidak jauh dari kafe itu kelihatan lembaga hitam yang berkelubung sedang menyeringai marah dengan jari-jemarinya yang berkuku tajam menuding ke arah Ikram.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.