Home Novelet Seram/Misteri ANTOLOGI SERAM NOVELET - PERMAINAN MAUT (Nenek, Tolong Keluar..!)
ANTOLOGI SERAM NOVELET - PERMAINAN MAUT (Nenek, Tolong Keluar..!)
Aida Adia
31/5/2016 23:49:24
8,187
Kategori: Novelet
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
Kerana kasih, rela kuturutkan...

KAMPUNG Aman yang bersebelahan dengan Kampung Permai itu terletak di pinggir Pekan Sari dan hanya dipisahkan sebatang sungai dan muara. Malam itu, bagaikan memberi kerjasama kepada Andika kerana cahaya bulan mengambang setia meneranginya sepanjang kawasan sungai yang disusurinya.

Andika mendayung sampan perlahan-lahan. Memikirkan dia sudah sejauh ini melarikan diri, ada rasa sedikit kelegaan di hatinya. Dia pasti, penduduk Kampung Permai tidak akan dapat menjejakinya lagi.

“Andika!” panggil satu suara.

Andika terkejut seraya menoleh ke arah sipemanggil. Baru dia menyedari bahawa dia bukan berseorangan melarikan diri, tetapi ditemani sidara pujaan hatinya, Embun Murni.

“Apa yang Andika sedang fikirkan? Andika menyesalkah membawa Embun lari dari Kampung Permai?” soal Embun Murni

“Eh, tidak, Embun! Masakan sudah sejauh ini Andika membawa Embun lari, Andika bisa menyesal. Tidak sekali-kali. Andika berjanji sampai kita di Tanah Naning nanti, kita bina hidup baru. Tapi...” Kata-kata Andika terhenti di situ.

“Tapi, mengapa Andika?” tanya Embun Murni.

“Sanggupkah Embun hidup bersama Andika dalam serba kekurangan? Andika takut Embun tidak betah hidup bersama Andika. Bukankah Embun sudah biasa hidup di atas dulang emas,” ujar Andika merendah diri.

Sumpah, ini yang ditakutinya. Andika amat risau kalau Embun Murni tidak biasa hidup merempat dan dalam serba kekurangan begitu. Maklumlah segala kerja rumah, dibereskan ibunya dan juga pembantunya. Selepas ini, segalanya harus dilakukan sendiri. Selama manakah Embun Murni bisa bertahan?

“Andika, usah bimbang. Embun sudah nekad membuat keputusan untuk berkorban dengan meninggalkan segala-galanya. Tinggalkan kemewahan dan jugak keluarga. Embun yang membuat pilihan. Makanya, Embun jugaklah yang harus bertanggungjawab dengan segala apa yang Embun lakukan. Cuma, Embun berharap, Andika berjanji akan menjaga dan menyayangi Embun sehingga akhir hayat Andika. Embun sudah tiada siapa-siapa lagi,” ujar Embun Murni sebak.

“Embun, kasih dan cinta Andika kepada Embun tidak berbelah bagi. Kerana kasihkan Embunlah, maka Andika jugak korbankan segalanya. Tinggalkan ibu yang keseorangan. Sanggup bergadai nyawa membawa lari anak dara Orang Kaya Darus. Kita berdua sama sahaja. Kita sudah tiada saudara-mara.

Sampai kita di Tanah Naning nanti, kita akan nikah dan bina hidup baru. Andika berjanji, selagi hayat dikandung badan, Andika akan menjaga dan mempertahankan keselamatan Embun dan bakal anak-anak kita nanti.”

Lega rasa di hati setelah mendengar pengakuan dan sumpah setia Andika kepadanya. Bagi Embun Murni, dia tidak silap memilih Andika sebagai bakal nakhoda hidupnya.

Dari dahulu lagi, Embun Murni menyimpan rasa cintanya kepada Andika. Peribadi Andika sangat memikat hatinya. Namun, dek keterbatasan pergaulan dan tebalnya adat Melayu yang dipertahankan, Embun Murni sekadar menyimpan perasaan itu dalam hati.

Dari lirik mata dan sinar mata Andika apabila memandangnya setiap kali mereka terserempak sama ada di rumahnya sendiri atau di majlis-majlis keraian, Embun Murni tahu bahawa dia tidak bertepuk sebelah tangan.

Setiap hari dia berdoa agar Tuhan menggerakkan hati Andika agar bersuara dan meluahkan isihatinya. Namun, Andika berlagak seperti tiada apa-apa perasaan. Sehinggalah bila ayahnya membuat keputusan untuk menerima pinangan Arjuna, Embun Murni hidup penuh kebimbangan.

Embun Murni amat tidak berkenan langsung dengan peribadi Arjuna yang sombong dan angkuh. Dia tidak dapat membayangkan bagaimana dia bisa hidup bersama dengan orang yang tidak dia cintai dan yang sangat menjengkelkan.

Embun Murni tahu ayahnya memilih Arjuna di atas kepentingan kuasa dan darjat. Sedangkan dia tidak betah hidup begitu. Justeru itu, Embun Murni nekad untuk melarikan diri. Suatu kebetulan yang indah,bilamana dia terlihat Andika sedang keseorangan di belakang rumahnya.

Bagi Andika pula, sehingga waktu itu, dia masih belum sepenuhnya mempercayai bahawa dia sudah melarikan anak dara orang dan sedang dalam perjalanan untuk memperisterikan sidara pujaan hatinya.

Teringat Andika akan perbualannya dengan Embun Murni malam semalam.

“Andika, mahukah Andika menolong Embun lari keluar dari Kampung Permai ini?” tanya Embun Murni.

“Ha? Embun Murni mahu lari keluar ke mana?” tanya Andika, terkejut.

“Ke mana-mana sahaja asalkan keluar dari Kampung Permai ini. Embun tidak rela menjadi isteri Arjuna. Tolonglah Andika. Bawa Embun pergi. Embun tidak cintakan Arjuna!” rayu Embun Murni.

Andika sudah tergaru-garu kepalanya. Bingung, terkejut dan tidak percaya. Dalam masa yang sama, sempat memikirkan bagaimanakah caranya dia mahu membawa Embun Murni keluar dari Kampung Permai. Hati juga sudah berbunga-bunga kerana tidak menyangka bahawa selama ini dia tidak bertepuk sebelah tangan!

Dalam pada itu, Andika sudah mendapat akal bagaimana mahu membawa Embun Murni lari.

“Apakata, Embun tunggu Andika di sempadan masuk Kampung Aman sebaik sahaja purnama menunjuk muka. Andika akan tunggu di sana. Pandai-pandailah Embun membuat helah untuk keluar dari rumah. Apa pun, berhati-hati dan jaga diri ya, Embun,” cadang Andika.

Embun Murni hanya mengangguk sambil tersenyum. Malam itu, di saat penduduk kampung sedang sibuk dengan pembahagian kerja masing-masing, perlahan-lahan Embun Murni menyusup keluar dari rumahnya menerusi pintu belakang.

Dengan sekuat tenaganya, Embun Murni berlari menuju simpang masuk ke Kampung Aman. Dia pasti, Andika ada di sana menantinya. Dia tidak mahu keluarga dan orang kampungnya menyedari ketiadaannya di dalam rumahnya itu. Pasti ayahnya akan mengarahkan penduduk kampung mencarinya di pelosok kampung.

Jika sudah melepasi sempadan Kampung Aman, dia tidak perlu bimbang kerana jaraknya dari rumah agak jauh dan mungkin dapat melambatkan gerakan mencarinya.

Embun Murni hanya membawa beberapa pasang baju dalam bungkusan kain dan barang-barang kemas miliknya sebagai simpanan atau boleh digunakan di waktu terdesak nanti.

Tiba di sempadan Kampung Aman, dari jauh Embun Murni nampak kelibat Andika sedang menunggunya. Andika memberi isyarat agar Embun Murni berlari tanpa mengeluarkan banyak bunyi.

“Kita ke muara Kampung Aman yang berdekatan. Di sana, kita boleh naiki sampan. Cepat, kita bergerak sekarang sebelum orang kampung dapat menjejaki kita!” beritahu Andika.

Embun Murni hanya menurut sahaja apa yang diarahkan Andika. Dia sudah tidak peduli lagi apa yang bakal berlaku di kemudian hari. Baginya, dia rela hidup susah dengan Andika daripada hidup makan hati dan terseksa jika dia mengahwini Arjuna kelak.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.