Daftar   |      Log Masuk   |   Lupa Kata Laluan
Home Novelet Kisah Hidup Pedihkah Bahagia?
Pedihkah Bahagia?
Azlina Ismail
19/10/2018 15:55:07
2,694
Kategori: Novelet
Genre: Kisah Hidup
Bab 6

“Mak tak boleh buat macam ni!” Arfah tiada niat mahu kurang ajar tapi emak sudah melampau. Membuat keputusan tanpa berbincang dengannya terlebih dahulu.

“Kenapa pula tak boleh? Kau tu, anak aku. Suka akulah!”

“Mak, ni soal hidup Arfah. Mana boleh mak terima macam tu aje? Bukannya kita kenal sangat keluarga dia tu.”

Hei Arfah, tak kenal apa pula! Kau dengan dia, dah lama kenal, kan? Aku dah terima. Kau jangan banyak songeh. Telinga aku ni, naik bernanah tau bila dengar orang kampung ni kata macam-macam. Kau tak rasa malu ke?”

“Kenapa nak malu, mak? Arfah tak buat apa-apa pun.”

Hei, kau tahu tak, diorang tu kata, aku ni simpan anak dara tua.”

Hati Arfah pedih. Hinakah jika menjadi anak dara tua?

“Dah orang berkenan kat kau. Aku, okeykan ajelah. Nak tunggu putera raja mana datang pinang kau?”

“Arfah tak sedia nak kahwin lagi.”

“Kau jangan nak mengelak. Aku dah terima lamaran diorang. Jangan cari pasal!”

“Tapi mak...”

“Kau jangan bagi aku sumpah jadi anak derhaka. Aku kata ikut, ikut ajelah! Jangan nak panaskan hati aku ni.”

Hati Arfah, penuh dengan kepiluan. Bertindan-tindan rasa pilu di dalam hati, dilapisi pula dengan sedih. Dilayan bagai anak tiri sejak kecil hingga dia tertanya-tanya, adakah dia benar-benar anak kandung? Dengan lelehan air mata, dia berlalu pergi. Masuk sahaja ke dalam bilik, tangannya pantas mengemas pakaian. Dia mahu segera pergi dari rumah ini.

“Ingat, bulan depan jangan tak balik pula. Kau buat macam tu, aku report polis, kata kau lari rumah!”

Arfah semakin melajukan langkah. Dia tak sanggup mendengar kata-kata emak lagi. Hajat mahu bermalam di kampung, dibatal serta-merta. Sebaik dia menghumbankan diri ke atas kusyen Kereta Kancilnya, kepala terus diletak ke stereng dengan dahi berlapikkan kedua tangan. Tangisan, hanya bergema di dalam kereta itu. Berjuraian air matanya jatuh.

“Ayah, Arfah rindukan ayah.” Nama itu dirintih setelah lama dibisukan. Hanya lelaki itu yang sayang dirinya. Bagai tak tergalas beban yang perlu dipikul semenjak pemergian lelaki yang amat disayanginya.

 

***

 

“Kenapa kau tak bincang dengan aku dulu?” Kecil besar matanya memandang lelaki beriak selamba. Geramnya dia. Rasa macam nak dicakar muka itu.

“Kalau bincang, awak akan setuju ke?”

“Kau...” Arfah menarik nafas dalam-dalam. Gigi sudah diketap kuat. Geram, sudah mahu menguasai diri. Lahar marah pula, semakin membuak-buak. Lelaki itu... ikutkan hati ada juga kena tampar.

“Bertenang Arfah. Kita cakap elok-elok.”

“Cakap elok-elok! Dengan orang macam kau?” Matanya meluas.

“Duduk dulu Arfah.”

 Arfah merengus kemudian dia melabuhkan duduk juga. Aura berlainan lelaki itu hari ini berserta riak wajah yang jelas menampakkan serius bercampur tenang, tak seperti selalu, sedikit mencuit hatinya. Tapi bukan bererti dia sudah mengalah. Perang, tetap perang!

“Saya minta maaf sebab buat macam ni. Saya dah tak sanggup lagi Arfah. Setiap kali teringatkan awak, saya... Awak mungkin tak faham apa saya lalui.”

“Kenapa terus setuju? Awak tak tahu apa-apa pasal keluarga saya? Pasal mak...” Arfah menekup muka.

“Pertama kali saya jumpa mak awak hari tu, saya tahu mak awak macam mana?”

“Tapi tak ke awak rasa mak saya, macam jual anak? Kenapa awak tak boleh fikir, terima bulat-bulat?”

“Buruk baik dia, tetap mak awak Arfah.”

Arfah terkedu.

“Dua puluh ribu... duit hantaran mak saya letak. Kenapa awak main angguk aje?”

“Tak kira berapa dia letak, saya tetap akan setuju.”

“Apa kata orang tua awak nanti? Tarik balik. Saya bukan jual diri.”

“Saya dah buat keputusan Arfah.”

“Saya tak nak orang tua awak salah sangka.”

“Saya dah tak ada sesiapa. Saya... anak yatim piatu.”

Arfah tersentak. Ikram... yatim paitu? Selama ini, dia tak pernah ambil pusing hal mengenai Ikram. Dia tak pernah mahu tahu sejarah hidup lelaki itu. Matanya terlalu dikaburi dengan api kebencian hingga gagal membuat dia bertindak sebagai seorang insan yang punyai hemah. Tubir mata terasa hangat. Hatinya, dicuit rasa terharu.

“Sejujurnya, awaklah wanita idaman saya. Saya, sayangkan awak Arfah.”

Arfah terkesima.

“Saya ikhlas dengan awak.”

“Saya... saya takut tak mampu jadi yang terbaik untuk awak, Ikram.”

“Saya yakin, awak mampu jadi isteri yang baik. Dengan pengalaman hidup yang kita dah lalui, saya yakin dengan pilihan saya. Awak... sudi terima saya?”

Arfah tak mampu menggerakkan bibir. Bagai dikunci dengan rapat mulutnya dan anak kunci pula, terlempar entah ke mana? Air mata bergenang. Dengan sekelip mata,  Ikram, lelaki yang dibenci selama ini, membuka lembaran baru dalam hidupnya. Ikram, lelaki yang tak pernah dia dambakan, menjadi idolanya kini. Lelaki yatim piatu itu... tiba-tiba menguak pintu hatinya untuk menerima cinta yang menjengul.

 

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.