Daftar   |      Log Masuk   |   Terlupa password
Home Novel Thriller/Aksi Epidemik T
Bab 25 Memori

Jalan Emerald

3.30 Petang, 1 April 2012

Syamir sedang duduk di dalam sebuah kedai yang terletak di tepi Jalan Emerald. Izara pula setia mencuci luka di kakinya menggunakan barang-barang dari peti pertolongan cemas yang diambil dari farmasi yang berdekatan.

Izara merenung wajah Syamir yang kelihatan sangat muram. Dalam masa sehari, Syamir telah kehilangan semua ahli keluarganya. Malah, Syamir terpaksa membunuh kedua-dua ibu bapanya yang telah bertukar menjadi zombi menyelamatkan Izara.

“Jangan menjerit ya?” gumam Izara yang merupakan ahli PBSM di sekolah dahulu. Dia tahu serba sedikit untuk mencuci luka seseorang. Namun, Syamir langsung tidak bersuara. Jejaka itu telah larut dalam kesedihannya.

“Mmmm...”

Selepas kembali membalut luka di kaki Syamir. Izara mengambil tempat duduk di sebelah Syamir. Tapak tangan Syamir dicapai oleh Izara. Namun, Syamir tidak memberikan sebarang respon.

“Awak...” tutur Izara memanggil Syamir.

“Ya?” jawab Syamir pendek sambil menoleh ke arah Izara. Mata Syamir merah kerana dia baru saja menangisi pemergian ibu dan bapanya.

“Awak kena kuat ya? Awak masih ada saya dalam hidup awak,” tutur Izara.

Syamir sekadar tersenyum.

“Kalau sesuatu terjadi pada saya, awak kena ingat janji awak ya?” tutur Izara.

Syamir menjadi tertarik dengan ungkapan yang keluar dari mulur Izara tadi.

“Janji apa?” tanya Syamir.

Izara tersenyum.

Sembilan tahun lalu...

Syamir yang kelihatan comel waktu berumur 10 tahun baru sahaja pulang ke rumah selepas habis bermain bola sepak. Kelihatan ibunya sedang mundar-mandir di perkarangan ruang tamu membuatkan Syamir bertambah bingung.

“Kenapa mak?” tanya Syamir.

“Izara, kawan kau hilang. Dia ada tinggalkan nota sebelum lari dari rumah. Lepas mak solat asar, kau tolong mak cari dia,” jelas ibu Syamir. Syamir sekadar mengeluh berat. Dia menghempaskan tubuhnya di atas sofa yang empuk.

“Malaslah mak!” kata Syamir dingin. “Naruto dah nak start. Syamir nak tengok episod Naruto lawan Sasuke tu,” kata Syamir. Ibunya berang dengan sikap acuh tidak acuh Syamir. Telinga Syamir ditarik oleh ibunya membuatkan Syamir menjerit kesakitan.

Selepas dimarahi, Syamir berlari keluar dari rumahnya untuk mencari Izara. Namun, budak lelaki itu hanya sekadar mundar-mandir di tepi jalan raya kawasan perumahannya. Dia bengang bila waktu lapangnya diganggu.

“Syamir!” panggil satu suara membuatkan Syamir berhenti.

“Izara!” panggil Syamir namun kali ini tiada balasan. Kawasan perumahan rumah teres itu kosong, tiada langsung kelibat orang di sekelilingnya. Mata Syamir melekat pada satu tong sampah yang dikalihkan kedudukannya, terbalik. Syamir memberanikan dirinya mengangkat tong sampah kosong itu dan Izara sedang duduk bercangkung di dalamnya. Budak perempuan itu tersengih apabila Syamir menjumpainya.

“Apa yang kau buat kat sini?” tanya Syamir.

“Menyorok,” jawab Izara pendek.

“Dahlah tu Izara. Jom ikut aku balik?” ajak Syamir.

“Tak nak!” kata Izara sambil menjelirkan lidahnya sebelum berlari dari Syamir. “Kata kat mak yang Izara tak nak balik!”

Budak perempuan ni!

Syamir mengusutkan rambutnya sebelum berlari mengejar Izara dari belakang. Lama mereka berlari sehinggalah Izara kepenatan lalu berhenti di tepi jalan. Syamir juga kelihatan tercungap-cungap ketika berhenti.

“Kenapa kau nak lari dari rumah?” tanya Syamir.

“Ayah tak nak bawa Izara pergi Genting. Dia dah janji masa cuti ni dan Izara dapat nombor satu masa ujian, kita boleh pergi Genting Highland. Tapi... dia tipu Izara bila dia ada kerja hari ni,” kata Izara sedih.

“Hahahahhaah...” pecah ketawa Syamir. “Pasal tu pun kau nak merajuk? Sudah-sudahlah tu!”

“Kenapa Syamir cakap macam tu? Genting Highland tu best tau. Izara nak pergi sana. Kalau Syamir nak balik, Syamir pergilah,” kata Izara yang kemudian berjalan meninggalkan Syamir. Mereka sedang menuju ke arah padang bola.

Langkah kaki Izara dan Syamir terhenti apabila mereka terlihat terdapat sebuah kereta terbiar di atas padang bola yang agak jauh dari rumah mereka. Dua orang kanak-kanak kecil itu teruja melihat kereta itu. Mereka berlari dengan pantas ke arah kereta itu.

“Kereta ni boleh bukaklah,” kata Syamir yang memberanikan diri membuka kereta. Budak nakal itu terus masuk ke dalam kereta. Keadaan di dalam kereta itu masih baru. Izara masuk lalu melihat bahagian belakang kereta itu.

“Assalammualaikum puan,” tutur Syamir tiba-tiba di tempat duduk pemandu. Budak lelaki itu kelihatan sedang memakai topi yang kelihatan seperti khas untuk pemandu kenderaan. “Mana yang awak nak pergi? Saya boleh bawa awak.”

“Saya nak pergi ke Genting Highland. Saya nak main semua benda kat sana,” kata Izara.

Syamir dan Izara kelihatan kusyuk bermain. Ketawa dan gurauan menemani mereka berdua.

“Kenapa hujan pulak ni? Cepatnya hujan turun,” gumam Syamir sambil menekapkan wajahnya di cermin kereta itu. Ika pula sedang duduk di sebelahnya sambil berpeluk tubuh, air matanya bergenang.

“Saya takut... saya nak balik. Sebab saya, kita tak dapat balik hari ni,” tutur Izara yang sudah mula teresak-esak menangis. Tiba-tiba sahaja gadis itu membuka pintu kereta mahu melarikan diri, belum jauh dia berlari, guruh sekali lagi menyembar membuatkan Izara berpatah balik.

Syamir sempat menarik budak perempuan itu masuk ke dalam kereta. Wajah Izara basah serta rambutnya sedang menutupi wajahnya. Kedengaran suara rengekan Izara yang masih belum berhenti menangis. Syamir merenung sayu wajah budak perempuan itu.

“Izara... awak okey?” Itu detik pertama Syamir membahaskan Izara dengan panggilan awak. Rambut Izara yang panjang menutup wajahnya. Tangisan Izara makin kuat berdendang membuatkan Syamir berasa serba salah.

Apa yang aku nak buat ni?

Syamir ternampak seuntai reben yang panjang tidak terusik di sebelahnya. Syamir mengambilnya lalu tersenyum. Dia kemudian memandang wajah Izara lalu menyelak rambut yang sedang menutupi wajah budak perempuan itu lalu diikat sanggul di belakang.

“Kan comel awak macam ni?” puji Syamir.

“Terima kasih Syamir. Awak baik,” gumam Izara perlahan. Syamir tiba-tiba mengesat air mata budak perempuan itu yang masih berbekas membuatkan Izara semakin tergamam.

Malam itu, Syamir dan Izara menunggu hujan berhenti sehingga tertidur dalam kereta sehingga hari mencecah pagi. Pada pagi itu Syamir dan Izara teruk dimarahi oleh kedua-dua ibu-bapa mereka.

“Mak, Izara nak cakap dengan Syamir boleh tak? Sekejap aje?” pinta Izara.

“Okey-okey. Lima minit aje,” kata ibu Izara sambil bercekak pingang.

“Apa dia Izara?” tanya Syamir.

“Terima kasih untuk reben ni,” ucap Izara yang merah wajahnya. “Saya nak guna reben yang awak bagi ini mulai hari ini.”

“Okey,” jawab Syamir pendek. Tiba-tiba Izara menghampiri Syamir lalu membisikkan sesuatu di telinga budak lelaki itu.

“Awak nak jadi suami saya tak?” bisik Izara tiba-tiba. Wajah Syamir merah padam jadinya. Ibu-bapa mereka sekadar mengelengkan kepala melihat karenah budak yang berumur sepuluh tahun itu.

“Y...a,” balas Syamir pendek.

“Tapi, kalau sesuatu terjadi pada saya lagi, awak kena janji untuk melindungi saya?” tambah Izara lagi sambil menghulurkan jari kelingkingnya untuk disambut oleh Syamir.

“Janji,” jawab Syamir sambil menyambut jari kelingking Izara itu.

Jalan Emerald

3. 30 Petang, 1 April 2012

Tangan Izara sedang mengusap riben merah yang sedang tersarung pada rambutnya yang dikat sanggul itu. Dia tersenyum memandang wajah Syamir.

“Awak ingat tak lagi riben merah ini?” tanya Izara.

Syamir mengangguk.

“Jadi, awak mesti ingat janji awak dulu ya?”

“Er... yang saya mesti kahwin dengan awak tu?” tanya Syamir.

Izara pula yang mengangguk. Membuah ketawa Syamir.

“Itu janji masa budak-budak dulu. Dahlah... jangan mengarut. Benda itu tak akan berlaku pun,” kata Syamir.

“Kenapa?” tanya Izara sambil memasamkan wajahnya.

“Sebab awak akan kahwin dengan orang lain. Macam Azim...”

“Dia dah mula dah. Boleh tak awak jangan sebut nama dia?” rungut Izara.

“Okey-okey. Dah tak sebut dah,” ujar Syamir.

Izara membisu untuk beberapa minit sebelum kembali bersuara.

“Awak ingat lagi janji awak yang satu lagi?”

“Apa dia?” tanya Syamir.

“Yang awak akan melindungi saya tak kira apa bahaya yang datang kepada saya. Dan hari ini, awak dah tunaikan janji awak. Terima kasih tau,” tutur Izara sambil tersenyum. Syamir tiba-tiba tergamam. Senyuman itu...

“Kita kena bertolak sekarang. Mungkin kawan-kawan kita tengah tunggu di Balai Polis Eurasia,” kata Izara lalu menarik tangan Syamir, menyuruh jejaka itu berdiri.

Motorcross yang dinaiki oleh mereka berdua untuk sampai ke pusat bandar Eurasia itu sedang dihampiri oleh Izara. Syamir sekadar tersenyum melihat telatah Izara. Sekurang-kurangnya Izara telah menceriakan harinya.

Aku tak pernah lupa janji aku pada kau Izara...

Laluan Kereta Api Bawah Tanah

3.30 Petang, 1 April 2013

“Kau tahu banyak benda kan Jiwon?” tanya Azim ketika melihat dengan penuh kagum bagaimana Jiwon mengawal kereta api yang meluncur laju di atas landasannya. Tasha pula berdiri di sebelah Jiwon.

“Aku tak akan jadi aktress nombor satu Korea kalau aku tak tahu banyak benda,” seloroh Jiwon. Membuah ketawa Azim dan Alexa.

“Kuat perasan jugak kau ni ya?” usik Azim.

Well, sekali sekala,” jawab Jiwon lagi.

Tiba-tiba bahu Jiwon disentuh oleh Alexa. Pantas Jiwon memandang belakang.

“Ada kereta api terbalik kat depan tu,” tutur Alexa. Ketakutan jelas kelihatan pada raut wajahnya. Jiwon spontan bangkit. Kalau dibrek kereta api yang sedang bergerak laju itu pun kereta api itu tidak akan berhenti.

“Lari pergi belakang!” teriak Jiwon.

Azim cuba melangkah tetapi sakitnya pula menyerang pada waktu itu. Dia jatuh terduduk sambil memegang lengannya.

“Arghh...” teriak Azim. Urat kelihatan jelas pada dahinya.

Jiwon menggelengkan kepalanya. Dia mengepit tangannya di lengan Azim. Kemudian, dia memapah Azim untuk meninggalkan bahagian pemanduan kereta api tersebut. Mereka bertiga berlari ke bahagian paling belakang kereta api itu.

Bum! Kereta api itu bertembung dengan kereta api yang menghalang landasan kereta api itu. Kereta api itu terperosok ke arah dinding lalu meruntuhkan sebahagian daripada jalan kereta api bawah tanah. Azim, Jiwon dan Alexa yang berada di dalamnya terjatuh ketika kereta api bergolek. Kelihatan kaki Alexa tetikam oleh kaca yang pecah.

“Kau okey?” tanya Jiwon sambil mengesot menghampiri Alexa.

“Kaki aku berdarah...” tutur Alexa sambil melipat seluar jean.

“Kaca tertikam...” tutur Jiwon. “Tapi, nasib baik tak dalam.”

“Cabutkan untuk aku,” pinta Alexa.

“Kau kena tahan ya?”

Alexa mengangguk.

“Arghhh!” teriak Alexa sambil memejamkan matanya. Azim sekadar merenung simpati. Darah tidak berhenti meleleh daripada luka di kaki Alexa.

“Aku perlu kain. Darah tak henti-henti mengalir ni,” gumam Jiwon.

“Sekejap,” tutur Azim sambil mengoyakkan sebahagian daripada baju kemejanya.

“Guna ni untuk sementara waktu,” kata Azim.

“Terima kasih,” ucap Alexa dan Jiwon serentak.

“Jiwon, kita nak ke mana sekarang?” tanya Alexa ketika Jiwon sedang kusyuk mencuci luka Alexa itu.

“Kau nampak tak pintu kat dinding subway?” tanya Jiwon.

Azim cuba berdiri lalu melihat melalui tingkap yang pecah. Azim mengangguk.

“Situ pembentungan,” kata Azim.

“Pandai. Kita akan ikut sana. Lebih selamat kalau kita lalu bawah pembentungan daripada di atas jalan sana yang terdapat jutaan zombi,” ujar Jiwon sambil memapah Alexa untuk berdiri.

“Aku takut tikus,” gumam Alexa tiba-tiba membuatkan Jiwon dan Azim terdiam. Kemudian...

“Hahahahah...” Azim ketawa besar. “Kau ni nampak aje ganas...”

Satu cubitan hinggap di perut Azim.

“Auch,” kata Azim sambil memegang perutnya.

“Aku sakitlah...” marah Azim.

“Kau tak fikir aku sakit?” marah Alexa.

“Okey-okey. Aku mintak maaf,’ kata Azim yang merasakan tindakannya memulakan peperangan bukanlah satu tindakan yang bijak. “Kalau ada tikus, aku Ketua Pengawas SMK Dato’ Onn yang paling kacak akan melindungi kau.”

Alexa menjelirkan lidahnya.

Jiwon hanya tersenyum melihat tingkah Azim dan Alexa.

“Tak apa Jiwon. Aku masih boleh berjalan sendiri,” kata Alexa sambil menolak dengan sopan tangan Jiwon. Kemudian, Alexa menarik picu shotgunnya.

“Bersedia untuk sebuah pengembaraan yang paling... seram di bawah pembentungan,” usik Azim sambil mendahului yang lainnya keluar dari kereta api yang kini terdampar jauh dari landasannya.

“Azim!” seru Alexa bengang. 


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.