Home Novel Thriller/Aksi Kisah Dua Beradik - IBRIM & TOWA - CINTA GADIS ULAR
Kisah Dua Beradik - IBRIM & TOWA - CINTA GADIS ULAR
Amiene Rev
15/8/2015 22:07:19
5,221
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
BAB 1: PEMBUNUHAN SERAM
Kisah Dua Beradik - IBRIM & TOWA – Cinta Gadis Ular

Penulis: AMIENE REV

Blog: http://dukeamienerev.blogspot.com

400 tahun selepas kejatuhan Empayar Keyla. Pelbagai manusia mutasi telah menguasai bumi. Manusia mutasi mempunyai pelbagai keupayaan. Sesetengahnya boleh hidup lama di dalam air. Golongan ini memilih untuk tinggal di dalam lautan, dan membina kerajaan mereka di sana. Mereka sangka, mereka boleh hidup aman damai di dalam lautan, tetapi semakin lama, manusia di dalam lautan semakin ramai, dan peperangan kembali tercetus. Manusia laut, terpaksa kembali ke daratan. Seorang puteri dari Lautan Jati, melarikan diri daripada pembunuh keluarganya, dan di darat, dia bertemu dengan Ibrim dan Towa, dua putera dari Puak Habil.


BAB 1: PEMBUNUHAN SERAM DI LAUTAN JATI

Istana Erabu, Lautan Jati. Tengah malam.

Ketika itu, Puteri Akavia sedang lena di kamar beradunya. Tidurnya tidak seperti manusia di muka bumi. Dia tidur seperti bayi yang sedang bermimpi di dalam rahim ibunya. Katilnya, tidak seperti katil manusia, sebaliknya cuma beberapa helai kain yang membalut tubuhnya. Cahaya bulan memancar, menembusi permukaan laut, menjadikan suasana di dalam kamar tidur Puteri Akavia indah, dengan batu-batu karang yang bersinar-sinar.

Namun begitu, mimpi indah Puteri Akavia akan tamat tidak lama lagi. Pada saat Puteri Akavia lena dibuai mimpi, darah beberapa orang pengawal Istana Erabu, telah bercampur dengan air laut. Seorang penceroboh misteri telah muncul dan membunuh ramai pengawal istana.

-o-

“Penceroboh! Penceroboh!” Seorang pengawal memekik menggunakan gelombang bunyi, menyampaikan perkhabaran tidak baik kepada pengawal-pengawal yang lain.

Sang pembunuh, menutup wajahnya dengan kain berjaring. Cuma dua biji matanya yang tersembul keluar. Jaluran anak matanya tipis sekali, terbeliak ganas memerhati setiap pengawal yang menjaga Istana Lautan Jati.

Para pengawal semakin ramai, berenang dan mula mengepung si penceroboh.

“Siapa kau, penceroboh?” Seorang pengawal memberanikan diri menyoal si penceroboh.

“Hah! Aku tak perlu menyebut nama aku. Kau kenal ini?” Si penceroboh mengeluarkan sekeping medalion berukiran naga laut berbelang-belang. Dia lantas menayangkan medal tersebut kepada kesemua pengawal yang ada di situ.

“Apa, Medalion Raja Thalas?” Melopong mulut sekalian pengawal, menyaksikan medalion milik salah seorang kerabat Raja Laut yang mentadbir kerajaan mereka di tangan penceroboh tersebut.

“Kamu semua bangsa Erabu, harus melepaskan aku pergi!”

“Tunggu, mustahil Tuanku Thalas membenarkan tindakan sebegini!”

“Tidak ada yang mustahil, bagi Beta!” Penceroboh itu membuka jaringan yang menutup mukanya, maka terpaparlah wajarnya yang sebenar!

“Tuanku Thalas?!” Bertambah terkejutlah sekalian pengawal. Rupa-rupanya Raja Thalas yang juga dikenali sebagai Raja Lautan Selatan sendiri yang telah menceroboh Istana Erabu.

“Kenapa Tuanku? Kenapa?”

“Kamu semua bangsa Erabu telah melampau. Berani kamu semua menakluk Muara Ophis Tenggara tanpa pengetahuan Beta.

“Ini satu pembelotan!” laung pengawal tersebut.

“Kamu semua yang mengkhianati Beta!” Raja Thalas mengetap bibir, menahan geram.

Pengawal-pengawal Istana Erabu tidak ada pilihan, mereka lantas bertukar rupa menjadi ular gergasi putih berbelang hitam. Kesemua ular-ular gergasi itu menggeliat di dasar lautan sambil membuka rahang seluas-luasnya, memperlihatkan taring yang tajam, dan lidah bercabang yang terjulur ke luar.

Raja Thalas sedar, bahaya yang dihadapinya, lalu dia pun bertukar rupa menjadi seekor ular gergasi yang jauh lebih besar berbanding ular-ular gergasi tersebut. Raja Thalas menganga luas, memandang garang kepada semua pengawal yang telah bertukar bentuk menjadi ular gergasi itu.

Seekor demi seekor ular gergasi berbelang hitam putih itu menyerbu ke arah Raja Thalas. Dia pun tangkas mengelak terpaan demi terpaan dan pada masa yang sama dia mensasarkan leher ular-ular gergasi tersebut. Satu demi satu ular gergasi telah digigitnya. Kemudian Raja Thalas meluncur menjauhi pengawal-pengawal berupa ular gergasi itu. Ular-ular gergasi telah dilemahkan oleh racun dari taring Raja Thalas. Darah-darah merah meresapi air laut, suasana menyeramkan pantas menyelubungi Istana Erabu. Beberapa pengawal telah menjadi korban, bangkai-bangkai ular gergasi mula tenggelam ke dasar lautan. Mata-mata bangkai kesemua ular gergasi itu terbeliak, tidak percaya, begitu mudah mereka menjadi korban, biarpun bilangan mereka lebih ramai, dan lawan mereka cuma satu.

“Lebih baik kalian semua berundur atau lebih ramai yang menjadi korban!” Raja Thalas mula berani mengugut sekalian pengawal yang masih bernyawa.


Kamar Tidur Puteri Akavia, Istana Erabu, Lautan Jati.

Satu lembaga merapati Puteri Akavia yang sedang lena. Tangannya menyentuh bahu puteri bangsa Erabu itu. Puteri Erabu terjaga, dia hendak menjerit tetapi satu telapak tangan pantas menutup mulutnya!

“Tuan Puteri, jangan takut! Ini patik. Baginda Tuanku telah terbunuh! Tuan Puteri mesti ikut patik lari ke daratan sekarang!”

“Apa? Ayahanda sudah terbunuh! Apakah ini benar atau Beta sedang bermimpi?” Ternyata, Puteri Akavia tidak dapat menerima perkhabaran sedih itu.

“Tuanku, maafkan hamba, tetapi kita sememangnya tidak sempat untuk berkabung pada saat ini. Pembunuh sedang menuju ke mari. Pengawal-pengawal istana sedang cuba memperlahankan pergerakannya!” Wanita muda yang juga merupakan pengawal peribadi Puteri Akavia cuba meringkaskan penjelasan tentang situasi cemas pada ketika itu.

“Siapakah pembunuh itu, Qenda?”

“Bapa saudara Tuanku sendiri!”

Terbeliak mata Puteri Akavia. Tidak disangkanya bapa saudaranya sanggup bertindak sedemikian, membunuh saudara iparnya sendiri.

“Ini mustahil!”

“Tuanku, kita tidak ada masa lagi. Cepat, kita harus beredar sekarang, Tuanku!” Suara Qenda semakin cemas. Dia menarik bahu Puteri Akavia beberapa kali.

Air mata Puteri Akavia mengalir laju, bercampur terus dengan air laut. Dengan lemah longlai, dia menurut sahaja pergerakan Qenda, meninggalkan kamar beradunya menerusi tingkap yang terbuka. Bau hanyir darah mula terasa menyentuh deria hidungnya, menandakan pembunuh semakin hampir dengannya.

“Pembunuh sudah sampai, Tuanku... kita mesti cepat!” Wajah Qenda tampak cemas.

Puteri Akavia sedar, dia tidak boleh berlengah lagi. Biar pun pada saat itu dia kebingungan, tetapi dia sedar dia akan menjadi beban kepada Qenda, orang suruhan merangkap pengawal peribadi yang disayanginya itu. Dia tahu, Qenda pasti akan mengorbankan diri, jika dia melambat-lambatkan lagi pergerakannya. Puteri Akavia pun mengangguk dan meluncur laju di dasar lautan itu.

“Ingat Tuanku, daratan adalah tempat yang paling selamat!”

Pada saat itu, Raja Thalas dan pengikut-pengikutnya telah memunculkan diri. Nampaknya, Raja Thalas tidak datang bersendirian. Dia begitu berani menjadikan dirinya sebagai pemecah kekebalan kubu pertahanan Istana Erabu, menimbulkan huru-hara di dalam istana. Dia mengumpan ramai pengawal istana tersebut mengejar dirinya, menyebabkan Istana Erabu tidak dikawal supaya pengikut-pengikutnya dapat menembusi kubu Istana Erabu dengan mudah. Tindakan yang sangat berani mati.

“Kamu ingat kamu boleh lepas, Puteri Erabu?”

“Pakcik, kenapa kamu buat begini?” Terselit nada kecewa dalam teriakan sang puteri.

“Ha! Ha! Ha! Aku bukan lagi pakcik kamu. Selepas bonda kamu terbunuh, dan Muara Ophis Tenggara ditakluk oleh ayahanda kamu, kau bukan lagi sesiapa buatku.” Mata Raja Thalas menyorot ganas, memandang ke arah Puteri Akavia, seolah-olah dia bukan lagi anak saudaranya. Nampaknya kuasa dan tanah lebih utama berbanding pertalian darah.

“Tuanku, beredar sekarang!” Tiba-tiba Nagtius memunculkan diri. Nagtius adalah salah seorang pahlawan handalan Kerajaan Erabu yang masih hidup.

“Nagtius!” Qenda kelihatan gembira. Kekasih hatinya, Nagtius telah memunculkan diri.

“Qenda, cepat bawa Tuan Puteri beredar! Kita bertemu kemudian.”

“Tapi, Kanda mesti jaga keselamatan diri!” Qenda keberatan untuk meninggalkan Nagtius, tetapi demi kesetiaannya kepada Tuan Puteri Erabu, dia harus mengorbankan perasaan peribadinya terhadap Nagtius pada saat ini. Begitu besar pengorbanan seorang srikandi Kerajaan Erabu.

Nagtius dan beberapa pahlawan kerajaan Erabu mula menyekat kemaraan Raja Thalas. Keselamatan Tuan Puteri Akavia lebih penting berbanding nyawa sendiri.

“Ah, serang saja!” Raja Thalas dan pengikut-pengikutnya menyerbu ke arah Nagtius dan pengikut-pengikutnya. Pertarungan sengit pun tercetus.

Qenda memimpin tangan Tuan Puteri Akavia dengan hati yang berdebar-debar. Dia tidak yakin dia mampu untuk menemui kekasih hatinya lagi. Nagtius mungkin terkorban dalam pertempuran itu. Air matanya mengalir pada saat bayangnya semakin menghilang daripada pandangan Nagtius. Puteri Akavia menyedari kesedihan Qenda. Namun apa dayanya pada saat ini?


LAIN-LAIN KARYA AMIENE REV (sehingga karya ini ditulis):

05 JUN 2015: Cerpen Jin Galah

06 JUN 2015: Cerpen Jin Galah 0.1: SPESIES

18 JUN 2015: Cerpen Jin Galah 0.2: SUAMI

20 JUN 2015: Cerpen Jin Galah 0.3: RINDU

21 JUN 2015: Cerpen Jin Galah 0.4: SRIKANDI

23 JUN 2015: Cerpen Jin Galah 0.5: MUTASI

28 JUN 2015: Cerpen Anak Kecil Di Tengah Malam

3 JULAI 2015: Cerpen Jin Galah 0.6: REKRUT

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.