Home Novel Thriller/Aksi Hi, Encik Professor!
Hi, Encik Professor!
Angel_k20
29/7/2020 15:09:11
36,905
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 5b

Qarizh mendengus kasar lalu dia terus melangkah masuk ke dalam rumah tanpa diundang dan langkahnya itu juga diikuti oleh Amirul yang tanpa segan silu merayau di sekeliling ruang rumah. Mona cuba menghalang tetapi apabila melihatkan raut wajah Qarizh yang terasa sejuk menggigit sehingga ke tulang sum-sum, dia membatalkan hasratnya untuk bersuara.

Qarizh memerhatikan dekorasi ruang rumah banglo yang dilihat sangat kemas berbanding dengan luaran rumah yang nampak suram dan seram. Dalam diam, dia memuji kekemasan pejabat ini yang tidaklah nampak moden sangat tetapi penuh dengan nilai estetika yang dilihat agak menarik.

Dalam matanya memerhatikan sekeliling, pandangannya tertancap kepada figura manusia yang sedang enak terlentang di atas sofa dengan muka ditutup dengan bantal. Hatinya serta merta berdetik yakin bahawasanya figura itu adalah targetnya, Aralyn Awliya. Qarizh mencebik seraya mengorak langkah ke sofa tanpa menghiraukan pandangan Mona yang nampak gelabah dan tidak tentu arah.

"Hoi," kejut Qarizh kasar lalu mencucuk-cucuk lengan Aralyn dengan batang chopstick yang tersedia di atas meja.

"Hmm..." balas Aralyn lalu mengiring ke kiri.

'Memang sejenis tidur mati minah ni,' omel Qarizh dalam hati.

"Ehem," dehem Mona seraya menunjuk kepada pembesar suara yang terletak elok di bucu meja kopi. Dia tahu yang jika Aralyn ni dah tidur, cara terbaik untuk mengejutkannya ialah dengan bunyi yang kuat menerpa pendengaran. Qarizh pada mulanya memandang pelik isyarat Mona namun segera memahaminya apabila wanita itu mengangguk perlahan.

"Amirul," panggil Qarizh kepada Amirul yang masih sesuka hati membelek perhiasan antik di pejabat itu.

"Ya Prof," balas Amirul sambil matanya tidak lekang dari memandang arca patung manusia yang sedang memegang busur panah dalam posisi bersedia memanah. Sangat cool!

"Ke sini kejap," balas Qarizh lalu menyuruh Amirul berdiri tepat-tepat di hujung sofa. Amirul yang tidak fokus sepenuhnya hanya menurut sahaja arahan profesornya seperti lembu dicucuk hidung sambil matanya masih melilau ke serata ceruk sudut pejabat.

Qarizh menarik senyuman sinis melihatkan dua orang mangsanya. Amirul... kau ada hutang dengan aku dan kau pun sama juga perempuan gila, Aralyn. Qarizh ketawa jahat di dalam hati lantas merendahkan badannya di tepi hujung kepala Aralyn.

'Satu, dua tiga...' bisik hati Qarizh lalu dengan sekuat suara, dia memanggil nama Aralyn dengan menggunakan pembesar suara.

"Aralyn Awliya!" panggilnya dengan lantang.

Hiargh... dush!

"Aduh!" jerit Amirul lantang apabila kaki Aralyn selamat mendarat di pipinya lalu dia jatuh tertonggeng menyembam lantai.

"Apa? Apa yang berlaku? Mona! Gempa bumi ke? Riyad! Jacky! Korang lari selamatkan diri!" jerit Aralyn dalam mamai seraya bangun dari sofa lalu menggapai apa saja barang yang boleh digapainya sambil menjerit memanggil nama Mona, Riyad dan Jacky.

"Kahkahkah!" ketawa Qarizh galak sehingga terasa senak perut dan terkeluar air matanya melihatkan reaksi lucu Aralyn yang nampak sangat comel bila gelabah macam tu. Pempraktis seni bela diri Karate yang banyak memperoleh medal emas dalam pertandingan Karate pun boleh juga ya gelabah teruk macam tu? Wow... itu sesuatu yang menarik.

Qarizh menghalakan pula pandangannya kepada Amirul yang masih mengaduh kesakitan sambil tangannya laju menggosok pipi. Kesian, tapi itulah siapa suruh bual hal seorang Qarizh Zahwan? Nak balas sendiri tak boleh, jadi kenapa tidak dia gunakan saja khidmat petala si keras kepala Aralyn untuk melangsaikan hutang jahatnya itu. Paling tidak, tangannya tidak tercemar jadi dia pun tidak akan bersalah. Sekali lagi, Qarizh ketawa jahat di dalam hati mengenangkan plannya yang sangat genius itu.

"Qarizh Zahwan!" jerit Aralyn dengan jari tangan kanannya menuding ke arah Qarizh manakala tangan kirinya mencekak pinggang. Gelagatnya ini tidak ubah seperti mak-mak yang sedang marahkan anak-anaknya yang nakal tidak makan saman.

Qarizh berpeluk tubuh lalu bersandar di dinding. Wajahnya sengaja ditayang riak toya lalu dengan selamba dia menjongketkan kedua-dua bahunya sebagai tanda tidak bersalah.

Aralyn mengepal penumbuk lalu tanpa amaran, dia berlari laju ke arah Qarizh lalu melayang sepakan sisi tepat ke kepala jejaka itu. Namun, Qarizh lebih cepat dapat membaca langkah itu lalu dengan selamba dia menunduk ke bawah. Dengan perasaan semakin marah, Aralyn kemudiannya menghujani Qarizh dengan pelbagai jenis teknik sepakan dan tumbukan dalam Karate termasuklah pukulan lurus (choku-zuki), pukulan terjun (oi-zuki), pukulan terbalik (gyaku-zuki) dan pukulan jab (kisami-zuki) tetapi malangnya, satu pun tidak mengena!

"Kau tahu apa rahsia kemenangan seseorang dalam martial arts ni?" tanya Qarizh sambil dirinya galak mengelak dari pukulan dan juga sepakan dari Aralyn yang nampak semakin agresif.

"Ketenangan, Cik Tunang Abang Sayang," jawab Qarizh lantas menangkap tangan Aralyn lalu mengilasnya ke belakang dan membenamkan tubuh kecil itu ke permaidani tebal yang menghiasi lantai. Aralyn meronta-ronta namun pegangannya lebih kejap dan kemas sehingga memaksa gadis itu menghentak-hentakkan kakinya ke lantai sebagai tanda menyerah kalah.

Qarizh tersenyum lagi melihatkan ulah gadis itu. Dia... tidak menafikan bahawa memang ada sesuatu yang menarik pada diri gadis itu. Tanpa kata, Qarizh melepaskan pegangannya pada Aralyn lalu dia bangun dan berdiri sambil membetulkan sarung tangan hitam yang dipakainya. Sejak dari rumah lagi dia dapat mengagak benda ini akan terjadi memandangkan dia sudah membaca profil kejayaan Aralyn dalam Karate dan juga mengkhatamkan perangai tidak semenggah gadis itu. Dengan memakai sarung tangan, maka tangannya terselamat dari menyentuh Aralyn yang merupakan perempuan ajnabi (boleh dikahwini).  Para ulama' bersepakat mengatakan hukum menyentuh perempuan ajnabi adalah haram di sisi Islam.

Nak sentuh Aralyn boleh, tetapi lepas akad nikah la. Berani? Gerun Qarizh memikirkan hal itu!

Aralyn dengan muka cemberut kemudiannya turut bangun lalu membetulkan pakaiannya yang senget benget dan tidak terurus disebabkan 'pertempuran' tidak rasminya dengan Qarizh tadi. Sakit hatinya sekarang ni hanya Allah sahaja yang tahu. Lelaki tu... jejaka tu... si profesor tu... Qarizh Zahwan ni kenapa susah sangat nak dikalahkan? Aralyn bengang apabila semua sepakan dan tumbukan yang dilayangkannya tadi langsung tidak mengena!

"Dah puas mengata aku Cik Tunang Abang Sayang?" soal Qarizh dengan senyuman sinis masih tidak lekang dari bibir merahnya yang tidak pernah disentuh oleh rokok.

"Eii... sejak bila pula aku jadi tunang kau?" marah Aralyn sambil menjeling tajam kepada Qarizh.

"Sejak Cik Aralyn declare dalam kelas kita orang yang Prof Qarizh ni Encik Tunang Cik Aralyn," jawab Amirul secara tiba-tiba sambil tangannya masih setia mengusap pipi. Power betul tendangan Aralyn sampai sekarang berbekas merah di pipinya. Nasib baiklah esok hari Ahad dan tiada kuliah, kalau tidak mesti girlfriendnya si Darin sibuk bertanya kenapa pipinya lebam semacam.

Mendengarkan jawapan Amirul yang secara tiba-tiba berada di sisinya, Aralyn mengerutkan muka lalu otaknya ligat berfikir kembali ke peristiwa petang semalam. Encik Tunang? Encik Tunang? Encik Tunang?

Ya Allah, memang betul la dia declare si Qarizh ni tunang dia! Jadi, memang patut la Qarizh ni bengang semacam je dengan perangainya tu. Tiba-tiba, dia terasa malu dan mahu menyorok di bawah meja kopi je sekarang ini tetapi apabila difikirkan balik, Qarizh juga bersalah sebab memanggilnya dengan kasar. Apa hoi, hoi? Dia ada nama la!

"Kau nak apa datang sini?" tanya Aralyn acuh tak acuh menutup rasa hatinya yang semakin geram melihatkan wajah nakal Qarizh yang dari tadi memandangnya dengan senyuman terkulum di bibir. Hah, perasan menang la tu kan melihatkan dirinya terciduk sebegitu rupa? Alahai kau pun Aralyn, padan muka bila nak bercakap tu tak beli insuran dulu. Dalam diam, Aralyn memarahi dirinya sendiri namun riak wajahnya tetap dikekalkan seperti tidak bersalah. Kalau dah spesies muka tembok tu, memang tak la nak mengaku salah.

"Kes baru yang CGP Karim minta kau siasat, dah tengok ke belum?" soalan Aralyn dibiarkan sepi lalu dibalas dengan soalan lain.

"Ada kes baru ke? Alah..." jawab Aralyn lalu menyambar bantal sofa lantas merebahkan semula badannya di atas sofa.

Qarizh menggeleng kepala melihatkan telatah Aralyn yang sungguh macam kanak-kanak tidak matang. Tengok tu, boleh pula perempuan ni landing semula atas sofa bila tahu syarikatnya itu menerima satu lagi kes berat?

"Aralyn," tekan Qarizh.

"Ya, dengar," balas Aralyn dalam paksa rela.

Qarizh mengeluh mendengarkan jawapan Aralyn. Sungguh, penat betul dia nak hadap perempuan bernama Aralyn Awliya ni.

"Isteri ditekup muka dengan bantal lalu disembelih oleh si suami, suami kemudiannya menikam diri sendiri. Motif kejadian ialah dadah," kata Qarizh sepintas lalu lantas kakinya laju berjalan ke meja Riyad yang sedari tadi menonton drama sebabak antaranya dengan Aralyn.

"Kau Riyad kan? Cari informasi lebih lagi pasal pasangan suami isteri itu dari kawasan kejiranan tempat kediaman mereka. Kau kan, Neighborhood Hero. Aku yakin kau dapat lakukannya dalam masa satu hari. Esok aku nak laporan," arah Qarizh sambil menepuk bahu Riyad yang terpinga-pinga mendengarkan arahan laju dari jejaka yang tidak dikenali itu.

"Kau, primadona kebaya hijau. Mona kan? Aku nak kau bekerjasama dengan Riyad dan turun ke lapangan. Sekali sekala kau kena exercise juga untuk kekal fit. Dapatkan maklumat dari pihak polis mengenai perjalanan kes ini dan compare dengan laporan Riyad," arah Qarizh kepada Mona pula. Seperti Riyad, Mona juga terkejut dengan arahan dari Qarizh.

Qarizh kemudiannya mencapai pembesar suara lalu melaung memanggil Jacky turun ke bawah. Dengan terkocoh-kocoh, Jacky yang masih lagi memakai kot labuh putihnya berjalan laju menuruni anak tangga. Sesampainya dia di depan Qarizh, dia memandang atas bawah perawakan jejaka itu. Bukan ke ni Profesor Dr. Qarizh Zahwan?

"Jacky, turun ke lapangan esok dan dapatkan maklumat pembunuhan pasangan suami isteri tu dengan pihak paramedik dan hospital. Apa-apa hal kau tanya Mona dan Riyad," arah Qarizh kepada Jacky pula dengan selamba tanpa menghiraukan pandangan Jacky yang juga nampak keliru dan terpinga-pinga.

Aralyn yang mendengar seorang demi seorang anak buahnya sesedap rasa diarah oleh Qarizh terus melompat bangun dari sofa lalu berdiri mendepani jejaka itu dengan penuh rasa marah.

"Kau siapa nak arah anak buah aku?" soalnya garang.

"Aku The King, bos kau," jawab Qarizh sambil menarik senyuman sinis.

Aralyn terasa dunianya seakan berhenti. Bos? The King? Hero pujaan malamnya?

"Tidak!" jerit Aralyn sekuat hati.



> bersambung


P/s:
- Karya ini juga boleh dibaca di Wattpad: ID: Angel_k20
- Jika ada salah silap mohon dikomen agar Angel dapat memperbaiki lagi mutu penulisan.
- Kata-kata semangat amatlah Angel alu-alukan.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.