Home Novel Thriller/Aksi MARIONETTE
MARIONETTE
Irse Mayra
27/5/2018 14:25:29
9,203
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 9

Kuala Lumpur

“Wah … Adam, tengok bangunan tu, tinggi betul!” Madina bersuara teruja, jari telunjuk diarah pada dua buah menara tinggi tidak jauh di hadapan. “Bangunan apa tu, Adam?”

“Itu Menara Berkembar Petronas. Dibina lebih dua ratus tahun lalu.” Adam menjawab. Orang ramai yang lalu-lalang di Taman KLCC dipandangnya dengan rasa bosan. Sesekali beberapa orang yang melintasi dia dan Madina melontar pandangan jelik kepadanya. Dan Adam tahu benar mengapa.

Kerana dia anak seorang imigran.

Warna rambutnya sahaja sudah cukup memberitahu semua orang yang dia bukannya anak jati Malaysia.

Biarpun begitu, Adam tidak ambil hati. Dia sudah lali dengan pandangan orang lain kepadanya. Bagi Adam, mana-mana orang atau perkara yang tiada kaitan dengan Milana adalah tidak penting.

Melihat ekspresi kosong Adam membuat Madina tidak puas hati. Dia ingin Adam turut sama menikmati ‘jalan-jalan’ mereka.

“Adam, jom! Kita pergi ke menara berkembar tu!” Madina menarik lengan Adam. Pemuda itu mengeluh perlahan. Langkah pantas Madina dia turuti tanpa bantahan.

Madina membawa Adam masuk ke dalam pusat membeli-belah Suria KLCC. Berkaca-kaca mata gadis itu melihat barisan butik-butik mewah yang disinari dengan cahaya lampu yang berkilauan.

“Hebatnya!” Madina melepaskan tangan Adam lalu berlari-lari anak di laluan pejalan kaki. Satu-persatu butik-butik mewah dilintasinya.

Adam menggeleng kepala. “Macam budak-budak,” keluhnya lagi. Adam mengingatkan dirinya untuk membawa gari jika mereka berdua singgah ke pusat membeli-belah lagi lain hari. Madina akhirnya berhenti di depan sebuah butik jam. Jam-jam mewah yang tersusun di pameran kaca diamatinya lama.

“Madina.” Adam memanggil. Namun Madina langsung tidak menoleh ke arahnya. Mata Madina masih tidak lepas daripada menilik jam berwarna perak di pameran kaca.

Budak ni nak jam ke?” desis hati Adam. Dia menanggalkan jam yang dipakai, lalu menghulurkannya pada Madina. “Ambil ni.”

Madina menoleh, jam yang diberikan Adam, diambil. “Untuk saya ke?” soalnya.

“Ya,” pendek jawapan Adam.

“Habis tu awak macam mana?”

Adam menayangkan sekeping kad kepada Madina. Dia menekan kad tersebut hingga muncul hologram yang memaparkan tarikh dan waktu di atas kad. “Aku ada jam di sini,” ujarnya sebelum berjalan melintasi Madina. “Jom!”

“Tunggu, kad apa tu? Saya pun nak kad tu, Adam!” Madina berlari mengejar Adam.

Tanpa mereka berdua sedari, sepasang anak mata berwarna hijau sedang ralit memerhatikan mereka berdua dari jauh.

“Akhirnya ... dapat juga aku jumpa kau, Teja.”

*****

Ibu Pejabat Polis Bukit Aman

Zariq dan Dayana melangkah keluar dari bilik ketua mereka. Hati masing-masing sakit memikirkan kes kebakaran makmal tentera yang sepatutnya diselesaikan oleh mereka, kini diberikan kepada Overrank A-Team. Memasuki bilik unit penyiasatan, Zariq menghempas pintu dengan kuat, ingin melepaskan rasa ketidak puasan hatinya. Dayana mengeluh perlahan melihat kelakuan Zariq. Bukannya dia tidak tahu yang rakan sekerjanya itu memiliki baran yang sukar dikawal.

Turut berada di bilik unit penyiasatan ialah Frederic Emil, rakan sepasukan mereka yang berasal dari Sarawak. Lelaki 28 tahun itu bangun dari kerusi sebelum menuju ke arah meja panjang yang memaparkan hologram kes-kes yang kini dalam siasatan unit mereka.

“Kes kebakaran makmal tentera dah dikeluarkan dari senarai kita.” Frederic memberitahu. Wajah dipaling ke arah Zariq. Zariq mendengus geram.

“Aku syak kebakaran tu ada kaitan dengan anjing tentera.” Zariq menanggalkan kedua-dua kanta lekap yang dipakai, dan memasukkannya ke dalam sebuah kotak kecil di hujung meja panjang tersebut. Beberapa gambar bahan bukti yang berjaya diambil oleh kanta lekap tersebut kini muncul dalam bentuk hologram di atas meja. Frederic bersiul gembira.

“Ada orang tak dapat terima kekalahan,” usik Frederic sambil memusing-musingkan hologram gambar bahan bukti untuk melihat daripada pelbagai sudut.

“Aku belum kalah,” tegas Zariq.

Dayana memeluk tubuh. “Jadi, kau rancang nak selesaikan kes ni tanpa pengetahuan Tuan Liew?”

“Aku tak nak libatkan dia.” Zariq menjawab. Ayat marionette yang ditemuinya tadi benar-benar membakar hati.

“Ketua? Atau orang tua yang hanya tahu menjilat tuannya?”

Zariq mengepal penumbuk. Tuan Liew bukannya seorang pengecut yang membiarkan dirinya tunduk pada desakan ahli politik yang korup. Walaupun kelihatan seperti telah kehilangan taring, Zariq yakin yang Tuan Liew sebenarnya sedang menunggu peluang terbaik untuk menggigit ‘Tuannya’. Kata-kata Tuan Liew di biliknya tadi juga bukan sesuatu yang diucapkan oleh seseorang yang kalah dengan Overrank A-Team.

“Kes kebakaran makmal tentera akan diambil alih oleh Overrank A-Team. Unit kita akan berundur dari penyiasatan ini.”

Itulah yang dikatakan oleh Tuan Liew.

“Hanya unit kita yang berundur dari siasatan. Kita tak boleh dapatkan waran dan simpan bahan bukti, tapi tak bermakna aku tak boleh teruskan siasatan.” Zariq memandang Frederic dan Dayana silih berganti.

“Semua fail yang simpan blueprint makmal tentera, dokumen keluar masuk makmal, dan senarai pekerja makmal dah dipadam dari server PDRM. Kita dah tak ada tempat untuk dapatkan bahan rujukan,” ujar Frederic.

“Kau tak ada buat salinan?”

“Segala fail dari pihak Jeneral Lutfi akan terpadam sendiri jika kita cuba buat salinan. Aku dah dapat pengajaran daripada kes sebelum ni.” Frederic memberitahu. Dia menyambung lagi “Dan juga terima amaran daripada mereka.”

Zariq menggaru-garu kepalanya. “Aku lupa pula nak ambil gambar isi dokumen lain. Cuma ambil gambar blueprint makmal tentera je tadi.” Raut wajah Zariq bertukar kecewa.

“Aku ada salin beberapa nama pekerja makmal tentera. Mungkin boleh dapat maklumat daripada mereka.” Frederic memberi cadangan.

Zariq menggeleng. “Mereka tak akan buka mulut. Mereka lebih takutkan marionette berbanding kita.”

“Aku ada kawan yang kerja di makmal tentera lain.” Dayana yang sejak tadi diam, kini bersuara.

“Kawan?” Serentak Zariq dan Frederic menyoal.

“Ya, kawan universiti. Dia penyelidik makmal tentera lain. Bukan yang terbakar tu. Mungkin dia boleh tolong kita akses maklumat.”

“Kau rapat ke dengan dia?” tanya Zariq.

“Taklah rapat sangat. Kami keluar sebulan sekali untuk makan buffet manisan di hotel. Dia sama macam aku, suka makanan manis.” Dayana tersengih.

“Bila temujanji yang seterusnya?” Zariq kelihatan tidak sabar. Mindanya kini mencipta pelbagai soalan untuk ditanyakan pada rakan Dayana itu.

“Lusa, di Hotel Taming Sari.”

“Bagus, aku ikut!”

“Boleh. Tapi ....” Ayat Dayana termati di situ. Wajahnya bertukar serius. “Kau tahu, kan? Kalau kita teruskan juga, tak ada peluang untuk kita patah balik lagi.”

Zariq tersenyum lebar. Dengan penuh yakin, dia menjawab, “Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan.”



Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Irse Mayra