Home Novel Thriller/Aksi CATUR
CATUR
#mystrill
21/11/2019 21:23:18
34,049
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 7

ISABELLA menutup pintu rumah dengan tergesa-gesa, lalu dikunci dari dalam.Setelah agak yakin tiada sesiapa yang mengekorinya sehingga ke sini,perlahan-lahan dia menapak ke anak tangga. Satu persatu dia melangkah sehinggalah tiba ke anak tangga yang terakhir, langkahnya terus terhenti. Segaris senyuman mula terukir di bibirnya tatkala melihat kelibat adik lelaki kesayangannya sedang berdiri di hadapan pintu bilik utama.

“Kenapa tak tidur lagi? Tunggu akak balik ke?”

“Akak dah jumpa dengan Medina? Macam mana? Cantik tak bakal adik ipar akak,” ujar Shahrul bertalu-talu. Lambat-lambat dia melangkah menghampiri Isabella.

“Cantik sangat-sangat. Nanti bila adik akak dah sembuh, akak sendiri yang akan bawa Medina ke sini untuk berjumpa dengan Shah, ya,” tutur Isabella. Hujung jarinya mula menyentuh wajah Shahrul yang sedang berkerut seribu. Tangannya yang menggeletar mula terkaku di situ. Tanpa membuat sebarang pergerakan.

“Kenapa?Akak pun dah mula takut dengan Shah ke?” tanya Shahrul dengan nada yang sayu.

“Tak! Tak! Akak tak takut. Jom akak temankan Shah masuk ke dalam bilik semula. Hari dah lewat sangat ni,” pujuk Isabella perlahan.

Tangan Shahrul yang hanya disaluti daging-daging berwarna merah tanpa kulit itu disentuhnya dengan penuh berhati-hati. Ulat-ulat berwarna putih kelihatan jatuh bertaburan di atas lantai sepanjang langkah Isabella dan Shahrul menuju ke dalam bilik.

Ketika Isabella sedang membantu Shahrul untuk menutup tubuhnya dengan selimut tebal, tiba-tiba lengannya terus ditarik lalu dipaut erat oleh lelaki itu. Terus terangkat kedua-dua kening Isabella ke atas.

“Nak ke Medina terima Shah semula, kak? Shah dah lukakan hati dia. Shah pergi tanpa meninggalkan sebarang kata-kata untuk Medina,” luah Shahrul sambil menangis perlahan.

Isabella tidak berkata apa-apa. Lidahnya terasa kelu untuk menjawab persoalan tersebut. Perlahan-lahan dia menarik tubuh Shahrul ke dalam pelukannya. Bau hangit bercampur hamis semakin kuat menusuk-nusuk kelubang hidungnya.

“Akak ada, Shah. Akak akan pastikan Shah akan hidup bahagia macam orang lain. Akak kan dah berjanji dengan Shah,” ujar Isabella sambil memejam rapat matanya.

Setelah agak yakin yang Shahrul sudah terlena di atas katilnya, dengan begitu berhati-hati sekali dia menapak keluar dari bilik itu. Risau juga sekiranya Shahrul tiba-tiba sahaja tersedar semula daripada lenanya.

“Kau buat apa tu?” Sergah satu suara dari belakangnya.

Isabella tidak menunggu lama, dia terus berlari menuju ke tingkat bawah lalu melangkah ke bahagian dapur. Belum sempat pisau yang terletak di sebelah singki dicapai, rambut panjang Isabella terus direntap dengan kasar dari belakang.

“Kau nak buat apa, ha? Nak bunuh aku dengan pisau tu. Cubalah kalau berani,” tengking Dato’ Rushdi sambil menolak kasar kepala Isabella sehingga mengenai bucu meja.

Darah pekat mula mengalir keluar sehingga mengenai baju putih yang sedang dipakainya.

“A....ayah, tolong ampunkan Bella. Bella tak akan buat lagi,” rayu Isabella. Kaki Dato’ Rushdi dipeluknya erat bagi meminta simpati orang tua itu.

“Untung aku tak bunuh kau sama macam mama dan adik kau! Kau tu dahlah gila! Kenapalah sampai sekarang aku masih lagi nak simpan kau dalam rumah aku ni,” keluh Dato’ Rushdi sambil jari telunjuknya menunjal-nunjal kuat kepala Isabella.

“Mama dengan adik belum mati lagi!” jerkah Isabella secara tiba-tiba. Matanya membuntang tajam menatap wajah Dato’ Rushdi dalam keadaa ndapur yang gelap tanpa disinari sebarang cahaya.

“Belum mati? Oh, maksud kau mereka masih hidup lagi, ya. Kalau macam tu, jom aku bawa kau melawat mama dengan Shahrul kesayangan kau tu,” ujar Dato’ Rushdi dengan nada suara yang begitu keras sekali.

Tanpa sebarang perasaan belas kasihan, tubuh Isabella terus diheret dari dapur sehingga ke tingkat atas. Meraung-raung gadis itu menahan kesakitan yang tidak terperi apabila rambutnya yang panjang telah ditarik kasar oleh ayahnya sendiri. Pintu bilik Datin Alia ditolak kasar lalu tubuh kecil Isabella terus ditolak ke atas katil.

“Disebabkan kaulah aku dah buat kerja gila. Tataplah puas-puas wajah mama kau tu sebelum aku humban dia ke dalam liang lahad!”

Serentak itu, pintu bilik tersebut ditutup semula dengan kasar oleh Dato’ Rushdi. Isabella yang masih lagi menangis perlahan-lahan berpaling kearah Datin Alia yang kelihatan sedang ‘lena’ di tempat perbaringannya. Sekujur tubuh yang masih lagi berbalut dengan kain kapan ditenungnya dengan pandangan yang hiba.

“Ma,” panggilnya perlahan.

“Jangan menangis. Aku kan ada,” bisik satu suara halus.

“Jangan tinggalkan aku,” rayu Isabella sambil menangis teresak-esak.

“Tak akan aku tinggalkan kau selagi dendam aku belum terlunas!” Suara itu mula bertukar garau. Suara seorang lelaki!

Isabella mula menggigil ketakutan. Kepalanya diusap lembut oleh satu tangan sejuk.

“Jangan pernah lupa siapa diri kau yang sebenarnya… Zulaikha…”

Secara tiba-tiba Isabella tertawa penuh sinis. Perlahan-lahan wajahnya diangkat ke atas, memandang ke hadapan. Cermin alat solek yang terletak elok di sebelah katil dipandang penuh kebencian.

Ya,ada bayangan hitam seorang perempuan di belakangnya. Wajah hitam yang begitu mirip dengan wajahnya.

“Kau dan aku telah bersatu menjadi satu, Isabella. Itu bermakna, segala kesakitan yang kau rasai. Aku juga turut merasainya.” Tangan hitam itu mengusap lembut kepala Isabella.

“Pulangkan aku ke tempat asal aku semula, Zulaikha,” rayu Isabella separuh merintih.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh #mystrill