Daftar   |      Log Masuk   |   Terlupa password
Home Novel Seram/Misteri TAJAU
TAJAU
Ruby Annas
27/2/2018 11:35:31
3,469
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
T:#9

"Mak Kiah tak tahu.  Tapi suara tu datang dari tempayan."  Mereka berpandangan sesama sendiri.

"Dari mana kau dapat tempayan tu?" Luthfi bertanya dengan tiba-tiba.  Kehilangan Suhana mungkin ada hubung kait dengan tempayan misteri tersebut.

"Kawan Suhana, Jacey yang berikan kepada kami," jawab Amri.

"Tempayan itu bukanlah tempayan biasa, Amri.  Mengikut hemat aku, tempayan berkenaan ada semangatnya yang tersendiri."  Luthfi menerangkan kepada mereka secara ringkas.

"Maksud Luthfi, tempayan tu berpuaka?" Giliran Puan Adibah pula bertanya.

"Iya, Mak Uda, bolehlah dikatakan begitu.  Kau ada usik apa-apa pada tempayan ni?" Anak mata Luthfi tepat menikam mata sepupunya itu.

Amri berfikir sejenak.  Tempayan antik di hadapannya ditenung agak lama.  Beberapa saat kemudian dia bersuara, "Ada... Suhana pernah menegur kain pua kumbu yang diikat pada penutup tempayan itu kotor dan menjejaskan kecantikan tempayan berkenaan.  Jadi, tanpa berfikir panjang aku buang kain tersebut untuk memuaskan hati Suhana."

"Kau buang di mana?" Pertanyaan Luthfi seakan mendesak. 

"Aku sayang nak buang macam tu aje.  Jadi, aku cuma simpan  di dalam stor.  Cadangnya  kain tu  akan dicuci dahulu sebelum diikat semula di penutupnya.  Tetapi, aku terlupa sehinggalah ke hari ini," jelas Amri panjang lebar.

"Di mana stor tersebut?"  Raut wajah Lutfhi kelihatan tegang.

"Kenapa Luthfi?" Encik Hamdan dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan pertanyaan Luthfi.

"Pak Uda, saya rasa saya tahu di mana Suhana berada."  Jawapan Luthfi membuatkan Amri tersentak.

"Betul ke, Luthfi?  Di mana?"  Bahu Luthfi digoncang kuat.

"Tunjukkan aku lokasi stor tersebut?  Aku akan usahakan yang selebihnya," jawab Luthfi.

"Baiklah... ikut aku," arah Amri lalu mengambil anak kunci stor yang tergantung di tempat menyimpan kunci.

Amri menghayun langkah dengan laju menuju ke belakang rumah diikuti oleh mereka berempat.  Sebuah bangunan yang dibina khas sebagai stor, terlihat di sebalik pokok-pokok rhu yang merimbun.

"Inilah stor tersebut."  Amri cuba untuk membuka kunci pintu berkenaan namun ditegah oleh Luthfi.

"Nanti dulu, Amri."

Lafaz salam diberi sebelum Amri dibenarkan untuk membuka pintu.  Ruang di dalam stor terang-benderang sebaik saja suis lampu dipetik.

"Su?  Suhana?" panggil Amri dan ibu bapanya berulang kali.  Panggilan mereka masih tidak disahut oleh Suhana. 

Luthfi menggeleng apabila terlihat beberapa buah patung antik turut tersimpan bersama beberapa barangan yang lain.  Banyak kotak pelbagai saiz tersusun di situ.

Amri beralih ke satu sudut yang agak terlindung dengan pelbagai barangan.  Satu susuk tubuh wanita ditemui sedang mengerekot dan tersandar ke dinding.

"Mak... ayah! Amri dah jumpa Suhana!" jerit Amri.

Mereka berempat termasuk Mak Kiah meluru ke arah Amri dengan tergopoh-gapah.  Puan Adibah tidak henti-henti mengucapkan syukur apabila Suhana berjaya ditemui semula.

Suhana ditemui masih dengan baju tidurnya dan kelihatan sungguh tidak bermaya.  Amri terkejut apabila melihat kain pua kumbu terlilit di leher Suhana.  Ikatan kain tersebut cuba dilonggarkan.  Tiba-tiba, lampu kalimantang berkelip-kelip dan pintu stor terhempas dengan kuat. Masing-masing terdongak apabila terdengar bunyi kerikil yang menghentam bumbung stor berkenaan.

"Cepat Amri, bawa Suhana keluar dari sini," arah Luthfi dengan tegas.

***


Tanpa membuang masa, Amri mencempung tubuh Suhana untuk keluar dari situ.  Manakala, mereka berempat mengikuti Amri dari belakang.  Luthfi menolak daun pintu stor dan mereka berjaya keluar dengan selamat.  Suhana yang masih tidak sedarkan diri itu direbahkan ke atas sofa.


"Mak Kiah, tolong bawakan saya air kosong," pinta Luthfi dengan sopan.


Mak Kiah segera ke dapur lalu menghulurkan sebotol air mineral dan gelas kepada Luthfi.  Lelaki berkumis tipis itu melaksanakan tugasnya setelah penutup botol dibuka sambil diperhatikan oleh Amri yang setia berada di sisi isterinya.  Air botol berkenaan dituang ke dalam gelas lalu dihulurkan kepada Amri. 


Luthfi merenjiskan air ruqyah berkenaan ke muka Suhana.  Dengan izin Allah, Suhana akhirnya mula membuka kelopak matanya perlahan-lahan.  Dia kelihatan bingung dengan rambutnya yang kusut-masai.  Wajah-wajah di hadapannya ditenung seorang demi seorang.


"Su dah sedar, mak... Su dah sedar!  Terima kasih, Luthfi," ucap Amri dengan gembira.


"Suruh Suhana minum air ni sehingga habis."  Baki air di dalam botol tadi disuakan kepada Amri.  Suhana menurut saja tanpa banyak soal.


"Alhamdulillah, semuanya selamat.  Tapi... apa kita nak buat dengan tempayan tu?"  Encik Hamdan bersuara.


"Seeloknya tempayan itu diserahkan semula kepada pemberinya.  Biar dia saja yang menguruskan hal yang selebihnya."  Nasihat Luthfi dipersetujui oleh Amri.


"Nanti Su telefon Jacey dan suruh dia ambil semula tempayan puaka tu," arah Amri sambil menanggalkan ikatan kain pua kumbu di leher isterinya.


Suhana hanya mengangguk.  Dia tidak sanggup untuk membiarkan tempayan tersebut berada lebih lama di rumah mereka.  Justeru, tempayan itu akan dipulangkan semula kepada Jacey secepat mungkin.


Setelah situasi kembali tenang, Luthfi bersuara kembali.  "Amri, jangan terlalu mudah untuk menerima pemberian daripada sesiapa pun tanpa usul periksa.  Boleh jadi pemberian itu akan mendatangkan mudarat kepada kita pada masa akan datang.  Barang-barang yang tidak sepatutnya disimpan dan dijadikan perhiasan  hendaklah dibuang."


"Satu perkara lagi, kita hendaklah mentaati segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan.  Itulah yang menjadi benteng daripada gangguan iblis dan syaitan.  Aku harap kau faham maksud aku.  Maafkan aku, aku cuma mengingatkan  saudara seagama, tidak berniat untuk tunjuk pandai walau sebesar zarah pun."  Sambung Luthfi lagi.


Amri dan Suhana tertunduk.  Mereka berdua sedar akan kekhilafan mereka selama ini.  Gaya hidup mereka yang kebaratan menyebabkan iman mereka rapuh lalu menyisihkan norma islamik dalam diri.


"In shaa Allah, Luthfi.  Kami akan berubah ke arah yang lebih baik.  Terima kasih kerana membantu kami sekeluarga."  Amri memeluk erat tubuh Luthfi.


"Sama-sama.  Tak perlu berterima kasih kepada aku, kita kan sepupu,"  Luthfi berkata sambil tersenyum.


***


Suhana memulangkan tempayan tersebut kepada Jacey.  Pada mulanya, Jacey agak berjauh hati kerana Suhana tidak menghargai pemberiannya.  Setelah diterangkan satu persatu oleh Suhana, barulah Jacey mengerti dan meminta maaf.  Namun, Jacey agak terkilan kerana Suhana dan Amri tidak mengendahkan larangan supaya tidak mengusik kain pua kumbu yang diikat di penutup tempayan.  Jika tidak, perkara itu tidak mungkin akan menimpa mereka.


"Aku minta maaf, Su.  Kerana aku, kau dan Amri ditimpa masalah."  Suara Jacey bergetar saat menuturkan ayat tersebut.


"Tak perlu minta maaf.  Kau tak ada kena-mengena langsung dalam hal ini.  Aku tahu niat kau baik, Jacey.  Sudahlah tu, jangan sedih lagi, okey?" pujuk Suhana sambil memeluk erat tubuh kecil Jacey.


Jacey melirik kepada tempayan misteri itu dengan perasaan yang sukar untuk ditafsirkan.  Beberapa bulan dahulu, dia juga pernah diganggu oleh tempayan berkenaan.  Jelmaan wanita yang berpakaian tradisional kaum Sarawak kerap bertandang dan menggugat keamanan hidupnya.  Tempayan warisan keluarganya itu benar-benar membuat jiwanya sengsara.


Mulut Jacey terkunci rapat.  Walhal dia sengaja menghadiahkan tempayan antik berkenaan kepada Suhana dan Amri kerana sudah tidak sanggup lagi melalui pelbagai gangguan.  Fikir Jacey, masalahnya sudah pun selesai apabila tempayan itu diberi kepada mereka.  Tetapi dia tersilap percaturan.  Dirinya kembali terjerat apabila pemberiannya ditolak oleh pasangan berkenaan.


Mak Kiah mengesyaki bahawa Jacey sememangnya sudah tahu akan sejarah tempayan itu.  Tetapi Mak Kiah tidak mahu masuk campur dalam masalah mereka bertiga.  Biarlah mereka sahaja yang menyelesaikannya.


Jacey berlalu bersama tempayan misteri tersebut dengan wajah sugul.  Ketika Jacey masuk ke dalam kereta, Mak Kiah terlihat bayangan seorang wanita berpakaian tradisional suku kaum Sarawak turut sama berada di dalam kereta Jacey.  Tanpa berlengah, Mak Kiah menutup daun pintu utama dengan irama detakan jantung yang tidak sekata.


Dua hari kemudian, berita kematian Jacey telah sampai ke telinga Suhana.  Menurut kakak Jacey, adiknya kemalangan dan mati serta-merta di tempat kejadian setelah terbabas merempuh lampu jalan.  Suhana terpempan. 


Ini bermakna, Jacey ditimpa kecelakaan pada malam terakhir mereka bertemu.  Kata kakak Jacey lagi, mereka menemui tempayan yang sudah pecah dalam kereta Jacey.  Apa yang lebih mengejutkan mereka adalah satu penemuan tengkorak manusia ditemui dalam tempayan yang pecah tersebut.


"Tengkorak manusia?" tanya Amri setelah Suhana menerangkan segala-galanya.


"Ya.  Patutlah Su rasa seram sejuk aje bila tengok tempayan tu."


"Semuanya dah terungkai.  Abang pun tak mahu kehilangan Su sekali lagi.  Barang-barang antik kita tu abang nak jual atau buangkan aje.  Abang dah serik!" 
Amri membuat aksi takut.  Suhana ketawa geli hati.  Zahirnya, Amri nampak saja seperti seorang lelaki yang berani.  Rupa-rupanya, Amri cukup takut ketika menghadapi kejadian pelik berkenaan; takut akan kehilangan isterinya yang tercinta.


Mereka berdua sepakat untuk melayari rumah tangga dengan lebih baik dan dibajai dengan keimanan yang teguh.  Cara hidup lama ditinggalkan dan meladeni hidup mereka sebagai muslim yang sebenar.  Di sebalik musibah yang terjadi, rupa-rupanya ada hikmah yang tersembunyi.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.