Daftar   |      Log Masuk   |   Lupa Kata Laluan
Home Novel Seram/Misteri KALA SENJA DIA DATANG - Marina
KALA SENJA DIA DATANG - Marina
Saidee Nor Azam
20/2/2014 11:00:01
4,032
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
BAB 1 (Sedutan)

KILAT memancar membawa cahaya kepada kegelapan malam. Dan sejenak selepas itu datang guruh berdentum-dentam memecah keheningan malam, menanda hujan bakal turun mencurah-curah di langit malam. Sesekali tiba angin menderu kencang, menerbangkan dedauan di perkarangan sebuah bangunan yang bertingkat lima itu. Dia… duduk termanggu di hujung bangunan di aras lima. Bangunan yang terletak sedikit terpencil dari mana-mana bangunan fakulti yang lain. Bangunan pada pandangan hadapannya kelihatan seperti sudah berusia, lama dan… sunyi. Terutama sekali pada lewat malam-malam sebegini.

Esak tangisan kedengaran sayu dan mendayu-dayu. Dia duduk di atas lantai simen yang dingin sambil memeluk kedua-dua belah lututnya, rambutnya yang panjang mengurai mencecah ke bahu dibiarkan bergerak-gerak tatkala angin datang menderu. Dia membenamkan mukanya seraya menangis teresak-esak. Kedengaran panjang dan sayu.

Waktu sudah menjengah lewat malam, tiada seorang pelajar pun yang masih ada di bangunan setinggi lima tingkat itu. Hendak-hendak lagi kala kilat dan guruh sabung-menyabung membangkitkan rasa gentar di hati. Hanya dia! Ya, hanya dia sahaja yang seorang diri meratap mengenangkan nasib dirinya.

“Aku juga ada perasaan, aku juga ada hati… kenapa dunia ini tak adil? Kenapa?!” dia bermonolog sendirian, air matanya terus merembes keluar.

Rambut dia kusut-masai langsung tidak terurus. Angin malam mula bertiup dingin, dia mengangkat mukanya perlahan-lahan. Esakkan yang menderu sebentar tadi mula kedengaran berkurangan. Tetapi air matanya masih melimpah dari kolam matanya. Kilat memancar lagi, memberikan satu cahaya yang terang-benderang menyinari kegelapan malam dan wajah murung gadis itu terlihat seketika walaupun samar-samar.

“Aku juga ada hati, aku bukan binatang… aku ada maruah!” bentak gadis itu keras. Bebelannya itu tiada siapa yang mendengarnya.

Bergaung-gaung suaranya di atas bangunan berkenaan. Dia langsung tidak bimbang sekiranya ada pengawal keselamatan datang memarahinya. Kerana waktu-waktu begini adalah waktu yang menjadi larangan buat sesiapa sahaja yang menceroboh masuk ke dalam bangunan tersebut. Hujan lebat mulai turun dari langit malam, bunyi air hujan yang jatuh kedengaran kasar. Rasa dingin mulai mencengkam tatkala angin malam turut serta hadir.

“Hanya kamu peneman kala aku sunyi…” ucap gadis itu seraya mengusap gelang kaki yang berkilauan setiap kali cahaya kilat memancar di langit malam.

Gelang kaki emas itu dibelai-belai dan diusap dengan penuh rasa kasih. Entah kenapa dia berbicara dengan benda yang tidak bernyawa itu. Mungkin hanya gelang yang sentiasa bergemerincing itu sahaja yang menjadi peneman hidupnya. Dia benar-benar seorang gadis yang tiada berteman, sehingga menganggap gelang emas di kakinya itu sebagai sahabat.

Dia bangun dengan perlahan-lahan, pakaiannya kelihatan comot. Berbaju T putih dan hanya berseluar sukan. Dia tidak mengenakan sepatu, hanya berkaki ayam. Wajahnya tidak jelas kelihatan kerana terlindung dek rambutnya yang panjang dan tidak terurus. Dia berjalan sedikit membongkok dan sesekali dia mengongoi tersedu-sedan dan kadang kala bergumam sendirian. Entah apakah yang dicakapkannya pun tidak kedengaran dengan jelas.

Dia kini berjalan melewati sebuah bilik yang kelihatan seperti sebuah dewan kuliah. Bunyi bergemerincing kedengaran setiap kali dia mengatur langkah kakinya. Dia berjalan perlahan-lahan, dia berjalan seperti tidak bermaya sehingga badannya terbongkok-bongkok. Lemah dan longlai, sesekali terdengar sedu sedan tangisannya yang masih tersisa.

Gadis itu kini sudah berada di hujung koridor, hanya tembok setinggi hampir mencecah lebih tiga kaki menjadi penghalang untuknya meneruskan langkahan kakinya. Di sebalik tembok itu tiada apa-apa lagi yang ada, kecuali tanah dan pepohon yang merendang di bawah sana. Di situ dia berdiri kaku bersama tangisan yang masih belum lagi berhenti. Dia mendongak perlahan-lahan melihat langit malam untuk seketika. Memandang langit malam yang kelam bersama dengan simbahan air hujan.

“Aku tak layak hidup di dunia ini lagi… semua orang benci aku… aku hodoh… aku aneh… aku tak layak…!”

Gadis itu seolah-olah mengadu pada air hujan yang mencurah-curah ke bumi. Omelan suaranya berselang-seli dengan dentuman guruh di langit. Kuat memekakkan telinga. Dia kemudiannya menundukkan kepalanya seraya mengeluh. Kedengaran begitu hampa. Dia memanjat tembok tinggi yang menghampiri tiga kaki itu dengan perlahan-lahan. Kini dia sudah berdiri di atas tembok itu dengan tanpa ada rasa gentar atau bimbang tergelincir jatuh. Walaupun ketinggian bangunan berkenaan hanyalah lima tingkat, tetapi risiko untuk cedera amatlah tinggi. Silap langkah kematian yang akan menjengah.

“Hoi! Siapa tu? Buat apa malam-malam buta kat sini?” sergah serorang lelaki dengan kasar mengejutkan gadis itu.

Gadis itu berpaling perlahan-lahan ke arah suara yang menegurnya tadi. Suara seorang pengawal keselamatan datang dari belakangnya. Lelaki yang berpakaian uniform biru gelap itu menyuluh lampu picitnya ke arah gadis yang sudah pun berdiri di atas tembok di hujung koridor bangunan berkenaan.

“Buat apa ni? turun-turun! Tak takut mati ke apa?!” pengawal itu terus menekan suaranya, kedengaran seperti memberi arahan secara paksa agar gadis itu turun dari tembok di koridor itu.

“Semua orang tak suka aku, semua orang marah aku… aku memang perempuan yang malang! Tiada siapa yang mahu berkawan dengan aku!” dia menangis lagi.

Dia kembali memandang ke arah langit malam, langsung tidak mengendahkan arahan pengawal keselamatan itu. Sesekali angin menderu, rambutnya akan beralun berterbangan bagaikan menari-nari. Tempias air hujan membasahi sedikit batang tubuhnya, namun dia langsung tidak mengendahkan suasana persekitarannya sekarang ini.

“Apa yang kau mengarut ni? Jangan nak berdrama la kat sini. Sudah, turun dan ikut saya jumpa Warden!”

Arah pengawal itu lagi. Pengawal itu bagaikan tidak termakan dengan kata-kata dari si dia. Gadis itu terus setia berdiri di atas tembok. Pengawal tersebut berasakan si gadis itu hanya mengugut sahaja, sedangkan dia tidak tahu akan bagaimana berkocaknya perasaan dan jiwa si gadis berkulit sederhana cerah itu. Gadis itu berpaling semula pada pengawal yang berkasar dengannya. Bukan hendak memujuknya, tetapi pengawal itu siap menyindir dirinya lagi. Hatinya yang terguris makin dihiris rasa sakit yang tidak pernah henti-henti meramas perasaannya.

“Terima kasih…”

Ucap gadis itu perlahan. Satu ukiran nipis terukir di bibirnya sebelum dia mencondongkan tubuhnya ke hadapan, dan batang tubuh yang tidak bermaya itu terjunam jatuh dari atas tembok penghadang tempat dia berdiri. Bunyi gelang kaki kedengaran bergemerincing lagi seiring dengan pergerakkan kaki dan tubuhnya yang melayang jatuh ke bawah.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.