Home Novel Seram/Misteri NYAH RUBIAH
NYAH RUBIAH
Alissa Alee
23/8/2018 23:05:09
11,760
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
Bab 3

BULAN  berganti bulan.  Hari berganti hari.  Tanpa Nyah Rubiah sedari, bahawa dirinya telah mengandung.  Sedangkan selama ini, dia fikirkan Anjang seorang yang mandul.  Dan ini juga, merupakan salah-satu penyebab kenapa dia teramat membencikan  suaminya itu.

            Anjang seorang suami yang cukup penyabar.  Dalam sikapnya yang begitu, Anjang bukanlah seorang lelaki yang bodoh.  Allah itu Maha Kuasa, pada satu hari dia telah dipertunjukkan segala ulah buruk Nyah Rubiah.  Dalam senyap-senyap, Anjang pergi menemui Pawang Ali. Alhamdulillah, segala yang kotor telah pun berjaya dibuangkan.

          Namun, dek kerana tidak mahu Nyah Rubiah mengetahui akan perkara tersebut setiap masakan isterinya itu dia terpaksa berpura-pura makan.  Bukan tiada yang bercerita padanya tentang Nyah Rubiah tapi apa dayanya.

         “Ooo.. Dekat sini ya rupa-rupanya kau..  Patutlah aku panggil kau tak menyahut… Kau dah sediakan barang-barang yang aku perlukan?”  soal Nyah Rubiah namun, matanya memandang ke arah lubang kecil pada dinding berdekatan Anjang sedang tersandar itu.  

           “Ya.. Ya sudah..” jawab Anjang terangguk-angguk.  Nyah Rubiah terus tersenyum sambil jemari kanan merasa permukaan dinding.

          “Aduh!” teriak satu suara dari arah luar.  Anjang terdengar tetapi untuk pergi melihatnya,  dia tidak mampu. Manakala Nyah Rubiah pula tetap tersenyum sambil melangkah pergi.

        “Aduh bisanya!”  keluh lelaki yang berlari sambil menutup sebelah matanya itu.  Terasa basah kerana berdarah. “Ini tak boleh jadi ni.. Aku harus temui semula Pandak Basrah.  Kenapa aku gagal lagi!”

        “Hahaha..  Ingat senang nak kenakan aku dengan ilmu kau yang tak seberapa itu?  Aku tiada keinginan pada kamu semua… Hanya sekadar bahan mainan aku hahahaha!”  ujar Nyah Rubiah cukup angkuh tanpa dia sedar ada lagi yang lebih BERKUASA daripadanya.

            Tersenyum sambil memandang cermin.  Lipstik merah menyala dia sapukan selepas celak.  Tidak perlu bercucuk sanggul kerana dia lebih selesa bersanggul lintang.  Cucuk sanggul dia hanya gunakan semasa ritual  mandi.  Hari ini dia juga tidak berkebaya ketat cukuplah kebarung sahaja.  Dan selendang.

          Seperti biasa, mulutnya akan bergumam sesuatu sebelum di hembuskan pada kedua belah telapak tangannya.  Sebelum dia menyapu dari dagu membawa ke atas. Nyah Rubiah terkejut apabila seekor katak puru tiba- tiba melompat dari arah jendela.

          Mata katak itu pula tajam bersinar memandang ke arahnya.  “Kau marah kerana aku tak layan kau kan!” bentak Nyah Rubiah tanpa perasaan geli dia mengenggam katak tersebut dengan kuat.

          Ong …..

         “Pergi kau!”  teriak Nyah Rubiah terus membaling katak tersebut dari arah mejanya.  Tanpa mencuci tangannya terlebih dahulu, wanita jelita itu terus memegang talam berisi ancak.  Dia harus ke pinggir sungai belakang rumahnya.

          Setelah mengetahui dirinya ‘berteman’  selain pedampingnya yang lain, Nyah Rubiah mahu mengambil setiap kesempatan yang ada untuk kesenangan hidupnya.  

         “Aku mahu Puteri jaga anak dalam kandungan aku ini.. Aku tahu,  ada yang ‘menginginkan’ nya..” ujar Nyah Rubiah seraya membelai perut yang semakin kelihatan.

        “Anjang!”    Dia melaung lagi tatkala suaminya itu,  masih lagi tidak kelihatan. Anjang bukan  tidak dengar, tapi dirinya yang kurus itu terpaksa mengambil masa untuk menapak sambil memegang dua baldi yang penuh dengan air.  Apatah lagi, terpaksa menaiki tangga pula.

         “Kau ni betul lembaplah!  Bawa baldi pun tak larat. Semua dah periksa?  Air ni kau bawa terus ke pondok durian. Aku mahu ke sungai belakang..”  ujar Nyah Rubiah lalu menyapu kembali jarinya yang terasa kotor pada baju suaminya,  setelah jari itu menunjal dahi Anjang. Jijik pada pandangannya.

          Anjang hanya tertunduk dan membiarkan Nyah Rubiah bergerak dahulu.  Anjang mengangkat semula dua baldi yang dia letakkan seketika atas lantai.







SEBATANG POKOK PINGGIR SUNGAI,


SEGALA bahan-bahan ancak seperti semangkuk pulut kuning,  lima biji telur ayam kampung, limau kasturi, bunga melur dan ayam hitam kini memenuhi talam dihadapan Nyah Rubiah yang sedang mendepani pokok rendang yang tua tersebut.

           Desir angin yang kedengaran, membawa sekali terbangan dedaunan lalu menyapu wajah jelita Nyah Rubiah. “Bunga melur bunga Melati,  kembang mekar di taman syurgawi, Hadirlah puteri hadirlah kemari, hamba di sini tetap menanti…” ujar Nyah Rubiah berpantun.

          Kemudian, ayam hitam diangkat pula dari dalam pinggan.  Diangkat separas kepalanya sambil tertunduk. Pantun yang sama diulangi lagi.  Ketenteraman kawasan yang tenang itu kini tergugat akhirnya, apabila kabus yang hadir secara tiba-tiba dari arah permukaan sungai,  secara perlahan-lahan berubah ke bentuk tubuh beberapa orang manusia.

           Ada juga yang sedang melayang turun dari arah pokok tua dihadapan Nyah Rubiah.  Lolongan sayu sang anjing menemani. Bedok yang kedengaran tidak dipedulikan.

          “Akhirnya engkau terima aku juga…”  ujar Puteri Sari tersenyum lebar. Langkahnya yang tidak jejak bumi seakan melayang ke arah Nyah Rubiah.  Mata liar memerhati ayam hitam yang dah terkulai lehernya itu. Makin membulat apabila melihat linangan darahnya.

          “Aku seru kau bukan sekadar aku dah bersetuju untuk menerima kau.. Tapi aku juga ada syarat aku sendiri,” jawab Nyah Rubiah berbaur angkuh.  Kata-kata tersebut menerima balasan senyuman sinis Puteri Sari. Wajahnya yang jelita berubah ke buruk semula apabila Nyah Rubiah menikam jari manisnya sendiri dengan kerambit.

           Entah kenapa ketika itu,  hijabnya tertutup dan dia yang hanya melihat titisan darahnya  hampir memenuhi bekas kapur pinang tersebut, tidak menyedari beberapa mulut dari makhluk berwajah hitam dan bermata merah sedang luas ternganga menadah darah yang mengalir.  

           Tikaman kerambit itu adalah untuk ikatan perjanjian.  Seandainya Nyah Rubiah telah tiada, hanya anak perempuan sulung sahaja yang berhak ‘menjaga’.  Tidak akan berubah biarpun sudah beberapa keturunan.

          “Aku mahu anak dalam kandungan mu itu ‘menjaga’ aku bila kau tiada nanti.  Jangan kau gusar aku tahu ramai yang mahukannya. Selagi kau ada bersama aku,  anak dalam kandunganmu itu akan selamat..” ujar Puteri Sari lalu ghaib buat seketika.

           Nyah Rubiah yang tercari-cari dimanakah keberadaan Tuan Puteti ditenangkan oleh salah-seorang pemuda berbadan kekar dari lima bersahabat berpakaian pendekar hitam.  

          “Terima kasih tuan hamba?”  ucap Nyah Rubiah seraya mengangguk.  Dan lelaki yang telah memperkenalkan dirinya sebagai Panglima Hitam juga tertunduk mengiyakan.  

           Manakala disebuah pondok usang berdekatan paya kampung Seberang,  kelihatan seorang gadis berkurung putih sedang terpacak di depan pintu yang terbuka itu.

         “Aku tahu siapa dan apakah tujuan kau kemari..”  ujar wanita bergelar bidan lanjut itu tanpa memandang atas.  Gadis yang tersembunyi wajahnya dibalik selendang putih itu tersenyum dalam keadaan menyeringai.

        “Jangan ganggu perempuan itu,  dia milik aku!”

        “Hahaha… Siapa kau mahu berkata begitu pada aku hah?”

        “Dia milik aku… Janin yang kau mahu itu juga milik aku!”  ujar gadis itu yang kini bertaring. Selendang putih kain jarangnya perlahan-lahan melorot ke bawah.  Dari wajah yang menunduk, Bidan Lanjut terus mendongak melawan tikaman mata gadis yang kini menjelma semula sebagai Puteri Sari.

         “Hai segala dedemit dan lelembut bersatulah denganku… Bersatulah… Bersatulah Arghh!”  pekik Bidan Lanjut yang masih lagi mendepangkan tangannya itu.

          Puteri Sari tetap bersiaga walaupun tiada sebarang seruan.  Perlahan-lahan dia menarik keluar sesuatu yang tajam meruncing dari dalam ikatan pinggangnya.

          Sanggul nenek kebayan yang mendepani wajah tenang Puteri Sari telah pun mengerbang dan berterbangan.Tangan kedut tiada lagi terketar-ketar lalu dirapatkan pada dada.   

        “Hiyargh!”  pekik kedua-duanya.  Puteri Sari sedikit pun tiada berganjak dari tempat dia berdiri.  Dia mendongak lalu mengukirkan senyuman. Nenek kebayan itu pula yang terlekat pada dinding dengan mata yang terbeliak.  Wajahnya hangus terbakar.

          “Tap..” kata-katanya terhenti apabila Puteri Sari telah pun berada di depan mata.  Mata Nyah Rubiah terpaku pada carikkan kain batik yang ada dalam genggaman Puteri Sari.

         “Kau tak perlu khuatir lagi,” kata-kata itu melebarkan terus senyum kambing Nyah Rubiah.  Wanita jelita berkebarung itu tahu, bidan Wok atau Bidan dada lanjut telah tiada.

          Maka, segala ilmu dan pendamping yang nenek tua itu berikan terus menjadi hakmilik Nyah Rubiah tanpa sebarang gangguan lagi.

       “Tapi bukan aku..”  sahut Puteri Sari sebelum ghaib.  Nyah Rubiah menelan liurnya. Menutup muka tatkala segala dedaunan dan pasir berterbangan rakus.  

       ‘Apakah dia mengetahui niat aku?’  desisnya lagi sambil perlahan-lahan membuka pekupan telapak tangan yang sedang menutupi wajah. Mata meliar kembali dan ternyata suasana sepi dan malam semakin pekat.

         “Aku harus ke pondok durian..”



Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Alissa Alee