Home Novel Seram/Misteri Destinasi
Destinasi
nurmazunie razif
11/7/2019 12:09:01
29,843
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 11

Hidung Nisa tercium sesuatu yang wangi iaitu sesuatu yang membuka seleranya. Dia bangun dari kerusi.

"Ah, macam bau ikan masin. Sedap ni", Nisa memegang perutnya. Dia sendiri dapat mendengar perutnya berbunyi. Tanda minta diisi.

Arah bau ikan masin goreng tersebut dituju. Nisa dapat melihat jelas di dalam cahaya kesuraman dapur tersebut empat batang tubuh sedang merenungnya. Dia kenal wajah-wajah itu kecuali seorang wanita dan seorang kanak-kanak perempuan yang tidak dikenalinya. Namun dia pasti wanita itu adalah tuan rumah ini.

"Jom makan Kak Nisa, tadi Anita panggil Kak Nisa buat tak tahu je. Jadi Anita ke dapur dulu. Jomlah makan. Anita lapar ni", senyuman nakal terlukis di wajah Anita. Dia lucu melihat gelagat Nisa yang seperti mati kutu. Cuma melihat ke sana ke mari sejak masuk ke dalam rumah kayu tersebut.

Nisa membetulkan simpuh. Janggal rasanya kerana terpaksa makan bersimpuh. Apabila terlihat sahaja makanan yang menyelerakan di hadapannya itu, perut Nisa bertambah kuat berkeroncong. Tanpa segan silu dia mengambil setiap makanan yang terhidang dan memakannya agak tergopoh-gopoh.

"Gopoh betul kau kan, macam tak makan setahun", gerutu Wani.

Gelagat Nisa diperhatinya dari tadi. Sepertinya tiada adap langsung. Tidak langsung dia meminta keizinan tuan rumah untuk menjamah makanan.

"Tidak mengapa. Biarkan sahaja dia makan. Barangkali terlalu lapar", wanita muda yang berada di situ cuma tersenyum.

"Silakan, menjamah makanan semua, jangan malu-malu", wanita muda itu menyambung kembali percakapannya.

Masing-masing ralit menjamah makanan yang terhidang. Hidangan pada malam itu betul-betul membuka selera mereka bertiga. Walaupun cuma makanan kampung berlaukkan ikan masing, sambal belacan, sayur kangkung goreng dan pucuk ubi rebus, keenakan makanan tersebut begitu membuka selera.

Seusai makan. Masing- masing membawa tubuh ke ruang anjung rumah tradisional itu. Mereka  berkumpul sambil menyandarkan tubuh masing-masing ke dinding kayu. Malam itu mereka begitu kekenyangan. Sungguh tidak disangka rezeki meraka pada malam ini dapat merasai lauk kampung yang amat sedap.

Wani melunjurkan kakinya. Terasa selesa benar apabila dapat bersantai-santai dan merehatkan diri selepas makan. Anita dan Nisa juga melakukan perkara yang sama. Sejuk sungguh malam itu. Masing-masing berpeluk tubuh bagi meredakan kesejukan yang menyelimuti diri.

"Sejuk sungguh malam ini! Kau orang rasa tak?", adu Nisa.

"Betul kata Kak Nisa tu. Mungkin sebab perkampungan ni berada di kaki bukit dan di tengah hutan kot, sebab tu sejuk semacam je", jawab Anita.

Wani dan Nisa mengangguk sebagai tanda mengiyakan.

"Tapi...", tiba-tiba terlintas sesuatu yang kurang baik di fikiran Nisa.

"Tapi apa Kak Nisa?", soal Anita kehairanan.

Dia melihat raut wajah Nisa berkerut-kerut bagaikan memikir sesuatu.

"Jangan-jangan kita sekarang ni berada di perkampungan bunian tak!", tebak Nisa dengan mata yang membulat.

"Ishh, apa yang kau merepek ni? Tak sayang mulut ke!", tengking Wani. Sempat lagi dia menunjal kepala gadis itu dengan jarinya.

"Kau dah melampau ni!", balas Nisa. Tangan Wani ditepis kasar.

"Sudah", tiba-tiba Anita bersuara. Serabut fikirannya apabila mendengar kedua-dua wanita yang sebaya umur tu bertekak.

Nisa mencebik. Manakala Wani cuba sedaya upaya mengawal rasa amarahnya terhadap Nisa. Jika diikutkan rasa sakit hatinya itu, mahu sahaja ditamparnya pipi Nisa. Biar sedar sikit yang percakapannya itu cuma tuduhan melulu. Nasib baiklah ada Anita yang sering mengendurkan pertengkaran di antara dia dan Nisa, kalau tidak mahu bergegar rumah papan ni angkara rasa ketidakpuasan hati mereka berdua.

"Aku nak keluar dari tempat ni! Esok kita kena keluar dari sini!", bentak Nisa sambil menumbuk lantai papan anjung rumah traditional itu.

"Kak Nisa, tahu ke jalan nak keluar dari kampung ni?", tanya Nisa. Matanya menjeling ke arah sudut dapur, risau jika tuan rumah itu mendengar perbualan mereka. Ye lah, nanti apa pula anggapan tuan rumah. Sepertinya mereka tidak sudi benar menumpang di rumah itu.

"Ikut je lah denai yang kita ikut masa nak ke sini tadi, senang kan", perli Nisa.

"Ye lah", akui Anita. Memang denai tersebutlah yang membawa mereka ke dalam hutan ini lantas menemui perkampungan ini.

"Eh, apa jadi pada kau orang berdua petang tadi ye. Dah la tu, tiba-tiba sahaja dah ada kat rumah papan buruk ni", Nisa bertanya. Wajah Wani dipandangnya lama. Dia memang ingin tahu apa yang terjadi kepada dua rakannya itu.

"Cerita panjang atau cerita pendek", balas Wani.

"Ish, cerita je lah!", marah Nisa.

Wani tergelak kecil. Sekali-sekala bergurau dengan musuh ketat, terasa lucu pula.

"Begini ceritanya....", Wani menceritakan apa yang terjadi kepada dia dan Anita sejak dari awal mereka berdua meninggalkan Nisa sehinggalah bagaimana mereka boleh berada di rumah papan ini sekarang.

Imbas kembali.

Wani dan Anita terkocoh-kocoh mencari suara wanita yang menjerit itu. Denai yang tidak diketahui berapa meter panjangnya dan apa yang ada di hujungnya direntasi. Mata kedua-dua mereka meliar ke kiri dan ke kanan. Masih lagi mencari-cari kelibat wanita yang meminta tolong tadi. Namun aneh, suara wanita tersebut seolah-olah membawa mereka berdua jauh ke dalam hutan. Sayup-sayup suara wanita tersebut didengari di penghujung lorong. Wani dan Anita tergesa-gesa mendapatkan suara tersebut.

"Kak Wani, Anita penatlah", Anita berhenti dari berlari-lari anak lalu menompang kedua-dua lututnya dengan kedua-dua belah tangan.

"Akak pun rasa penat juga ni Anita. Kita jalan perlahan-lahan ye. Akak rasa suara perempuan tu pun macam dah senyap," Wani meliarkan matanya memerhati sekeliling.

Di sekeliling mereka terdapat hutan tebal dan semak samun serta pokok-pokok renek yang agak tinggi. Keadaan sekeliling yang suram membuatkan suasana pada ketika itu begitu suram. Bunyi burung jampuk dan unggas hutan juga jelas kedengaran. Keadaan seperti itu betul-betul membuatkan bulu roma Anita dan Wani meremang.

"Kak Wani, Anita rasa eloklah jika kita berpatah balik. Anita takutlah. Kita ada kat tengah-tengah hutan ni. Betul juga apa yang kak Nisa cakap tadi, entah-entah suara tadi bukannya suara manusia. Entah-entah suara......", tak sanggup rasanya Anita mahu menghabiskan kata-katanya. Mana tahu wanita tadi tiba-tiba memunculkan diri dengan wajah hodoh. Anita menelan liur berkali-kali. Tidak sanggup rasanya dia menghadapi situasi genting berhadapan dengan makhluk mistik alam lagi satu.

"Akak tahu apa yang Anita fikir", wajah manis Anita dipandang lama. Rasa menyesal pula mengikut kata hatinya tadi. Kalaulah dia tidak menghiraukan suara wanita menjerit tadi, sudah tentu sekarang mereka sudah berada di mana-mana pekan terdekat.

Setelah lama berfikir, Wani menarik tangan Anita untuk berpatah balik ke kereta.  Rasanya jika mereka berlari laju sikit pasti dalam dua puluh minit mereka boleh sampai ke arah jalan keluar.

"Jom patah balik", kata Wani.

Sebaik sahaja kedua-dua mereka mahu melangkah untuk berpatah balik, seekor ular hitam bermata merah tiba-tiba sahaja muncul dari sebalik semak. Ketinggian ular tersebut begitu luar biasa. Ular tersebut memandang mereka berdua seolah-olah mahu menelan mereka berdua hidup-hidup.

"Macammana ni Kak Wani. Kita tak salah tengok kan?", soal Anita tergagap-gagap.

Wani menelan liur berkali-kali sambil mengeleng-gelengkan kepala. Dia juga melihat apa yang Anita lihat.

Mereka berdua mulai berpeluh. Tubuh kaku seketika. Entah kenapa, tubuh mereka seperti sukar digerakkan. Cuma mata sahaja yang meliar memandang kiri dan kanan. Ketakutan begitu mencengkam jiwa. Mereka seperti mahu pitam. Namun tetap kaku.

"Pergi kau dari sini! Sebelum aku sebat engkau dengan buluh ni. Pergi! Pergi!".

Sesusuk tubuh tiba-tiba sahaja muncul dari arah belakang tubuh mereka. Susuk tersebut berdiri di hadapan mereka dengan sebatang buluh yang berukir cantik di tangan. Buluh tersebut di acah-acah kepada ular di hadapan mereka.

Sebaik sahaja susuk tubuh lelaki tersebut habis berkata-kata, ular tersebut merebahkan tubuh dan menjalar pergi dari situ.

Anita dan Wani berasa lega. Tubuh yang tadinya kaku kini mampu bergerak semula. Wajah yang tadinya kelihatan pucat kini mulai berdarah semula.  Mereka tidak henti-henti melafazkan perasaan syukur kepada yang maha ESA kerana menyelamatkan mereka dari musibat dahysat yang dihadapi mereka sebentar tadi.

Susuk tubuh lelaki tersebut berpaling menghadap Wani dan Anita. Sebuah senyuman dihadiahkan buat kedua-dua mereka. Masing-masing terpana melihat wajah lelaki tersebut.

"Rosyam Nor", terkeluar nama tersebut dari bibir Wani. Matanya terbeliak besar memandang wajah tampan di hadapannya.

"Siapakah dia?", lelaki tersebut memandang Wani dengan wajah pelik. Nama yang disebut oleh Wani tidak langsung dikenalinya.

"Ish, kak Wani ni. Tu bukan Rosyam Nor lah! Muka je ada iras-iras", senggol Anita lantas sahaja dia berbisik ke telinga Wani.

Wani tersenyum. Malu rasanya apabila dia suka-suka sahaja meneka nama orang sesuka hati. Maklumlah, wajah lelaki di hadapannya itu betul-betul ada iras Rosyam Nor. Pelakon kegemarannya. Drama-drama malah filem-filem Rosyam Nor begitu diminatinya sehingga dia tidak jemu-jemu  menonton berkali-kali drama dan filem pelakon tersebut.

"Maafkan saya encik", Wani memohon maaf sambil tersengeh-sengeh.

"Kamu berdua mahu ke mana? Hari sudah mulai malam", lelaki tersebut memandang wajah Wani dan Anita silih berganti.

Kedua-dua mereka saling berpandangan. Mengikut perancangan sebentar tadi, mereka berdua mahu kembali semula ke arah kereta. Namun kedua-duanya masih bimbang jika ular tadi muncul kembali. Hari pula sudah semakin gelap.

"Ha! ha! ha! Aku faham keadaan kamu berdua. Mari ke rumah aku sahaja. Nama aku Latif", lelaki tersebut mengajak kedua-dua mereka meredah denai. 

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh nurmazunie razif