Home Novel Komedi/Romantik Komedi Dialog Rindu
Dialog Rindu
Vimaisa Saip
24/12/2017 06:38:32
11,551
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 12

Aiman sedang enak bersantai. Cokelat Cadbury disumbat ke dalam mulut. Kelegaan bertambah. Kesakitan dia berkurangan. Apatah lagi, keempukan alas duduk itu memberi ketenangan pada bahagian punggung. Dia baru sahaja menjamah masakan ibunya. Makanan istimewa. Dimasak khas oleh ibu. Air tangan bonda! Majalah Maskulin dibelek sepintas lalu. Mana mak ni? Kelibat Husna belum muncul. Tak! Tak! Tong! Aiman kaku. Kedengaran bunyi dari belakang rumah. Tukul bertemu tiang besi. 

Husna sedang membetulkan tiang para. Tukul mengetuk-ngetuk hujung kayu. Sehingga terbenam tiga inci dalam tanah. Taklah tumbang ditiup angin kencang. Dia mencangkul batas. Herba Mukis disumbat ke dalam tanah gambut itu. “Herba ni tak ada nama sebenar kata tok nek. Diberi Mukis. Sebab Mukin dulu suka buat masalah. Bapa mertua aku nama Mukin. Hah, bila ada sama nama, sama sekali perangai empunya nama!” Husna menahan tawa. Dia geli hati. Belum terkenal lagi kut. Semangat pahlawan betul keluarga kau Endon! 

“Apa awak buat mak?” 

Huish! Budak ni. Mengejutkan aku!” Dia menoleh. Aiman sedang berdiri tegak. “Hah! Tengah buat tempat perlindungan si Mukis ni!”

“Mukis tu apa mak?” Aiman mengerut dahi. Dia pandang ke bawah para. Tumbuhan ke tu? Tak pernah dengar sebelum ni!

“Sup yang mak beri pagi tadi. Inilah dia!”

“Mak tanam kepala manusia tak?” Dia mencangkung untuk melihat sendiri tumbuhan itu.

“Kau ada nampak darah ke kat situ?” Husna bercekak pinggang.

“Ni tengok jambul dia ni. Berbunga-bunga. Dahlah namanya Mukis!”

“Ini herba. Penawar segala penyakit di muka bumi ini!” Husna melayangkan tangannya ke atas bawah.

“Wahh, ajaib!”

Alahai, budak bertuah! Dia ingat aku cakap betul pula. “Tak ada. Mak gurau tadi. Ini herba. Mak Hanifah bagi!”

Aiman angguk. Rupa-rupanya dia kena perangkap Puan Husna. Oh, herba rupanya! Tapi, kenapa namanya Mukis? Aiman menggaru kepala yang tak gatal. Pelbagai persoalan yang timbul mengisi ruangan fikiran. Hmm...


“Kenapa mak cik Husna datang tadi mak?” Hanifah memulakan bicara. Dia memotong daun kucai kecil-kecilan. Cili merah pula dibuang bijinya. Kemudian, dikerat lima bahagian.

“Oh, dia minta daun Mukis tu.” Endon menjawab seraya memetik daun kangkung.

“Pelik bunyinya. Kenapa nama sayur tu Mukis?”

“Kalaulah nenek moyang kau masih hidup. Cerita dia bermula sejak atuk kamu telah mempelajari seni bela diri.” Endon berhenti seketika.

“Lepas tu?” Hanifah teringin hendak tahu. Tak sabar!

“Dengar dulu. Kamu tahulah kan. Bila dah pandai menyilat dan menyiku pihak lawan, dia rasa dia kuat. Atuk kamu memang jaguh. Menang setiap kali perlawanan. Hah, mentang-mentang ramai yang dah kalah, apalagi sikit tak dengar cakap orang itu kena belasah!” 

Hanifah membulat mata. Gila! “Apa kena mengena dengan herba tu?”

“Nenek kau terjumpa daun tu dalam hutan. Ketika itu dia sedang mengutip ranting kayu. Terhidu bau yang harum semerbak. Kalah bunga ros! Dia tercari-cari. Semakin dekat, bau dia semakin menusuk. Akhirnya terjumpa! Rupa-rupanya terlindung di bawah akar kayu. Bukan mudah nak dapatkan tau. Sebab ada busut situ!” Endon dengan yakin bercerita. Tak salah bercerita tentang keluarga bapa mertua. Tak ubah seperti penglipur lara istana.

Hanifah melopong. Meremang bulu roma. Semut kerdil dia dah takut jangankan bersaiz ibu jari. Hebat!

“Silap langkah, boleh kena gigit. Semut besar tu. Kerengga kut. Nasib nenek, dia dapat juga daun tu. Dan… yang peliknya semut tak buat apapun! Dia cuba rebus satu. Kut boleh dimakan. Tak sangka pula bila dah masak, atuk kamu yang makan. Masa itu, dia cirit-birit dan ada kesan lebam kat bahagian lengan. Setelah beberapa hari, sembuhlah atuk kamu. Jadi nenek beri nama Mukis. Penawar kesakitan yang dibuat oleh Mukin!”

“Hmm…”

“Macam tak boleh nak percaya, kan? Seolah-olah mak ni menceritakan kisah legenda seorang pahlawan!” Endon menatap wajah anak daranya. Kelihatan Hanifah tak memberi sebarang reaksi. Dia berdehem. Segan tak dilayan. “Mak ada beritahu Husna yang awak balik hari Ahad ni!”

“Mak cik cakap apa?”

“Dia tanya. Mak jawablah!”

“Tahulah. Mak cik jawab apa, dia kata apa?” Serentak itu, dia menyedari kelibat seseorang masuk. “Ayah!”

“Alahai, boleh dengar suara awak berdua dari luar!”

Endon mencebik.

“Ayah ada beli yang Hani pesan tu?” Riak muka dia sungguh jelas mempamerkan seribu harapan. Kembang pipi dia. Tak ubah macam kanak-kanak usia tiga tahun.

“Ada. Nah, ini dia aiskrim kegemaran anak ayah!” Mukin menghulurkan bungkusan plastik itu.

Hanifah tersenyum ceria. Wahh... Lama benar dia mengidam untuk menjamah perisa beraneka itu. “Terima kasih, ayah!” Dia mencium pipi Mukin. Tak mampu hendak berkata kerana terlalu gembira. Hanifah lalu menuju ke ruang tamu.

Mukin menggeleng. Dia sekadar memerhati Hanifah yang terlompat-lompat girang keluar dari situ.

“Eh, nak ke mana tu?! Lauk ni…” Endon kelu. Dia kena masak semuanya. Nampaknya begitu.

“Biarkan dia. Bukan banyak pun ni!” Mukin tertawa.

“Itulah awak. Manjakan dia!”

“Ala, anak perempuan. Saya ni memang suka nak manjakan anak-anak. Dah hampir dewasa pun Hanifah, terasa dia masih bayi lagi!” Baginya jika apa sahaja yang boleh menggembirakan Hanifah, dia akan cuba untuk tunaikan. Lebih-lebih lagi hanya Hanifah zuriat dia dan isteri. Berbaloi usaha dan kerja keras dia selama ini. Hanifah berjaya ke menara gading. Dan bakal bekerja. Mukin sungguh bangga. Dia semakin bersemangat untuk lebih berusaha.


Afifah bersantai enak. Dia sedang membaca novel yang baru dibelinya semalam. Tiga buah novel telah habis dibaca dalam masa tiga bulan. Antara koleksi novel penulis pilihan. Dia amat gemar akan penulisan yang nyata. Watak-watak dalam setiap kisah terasa hidup dan pembaca boleh merasai segala perasaan. Ia mampu meninggalkan kesan yang mendalam. Malah tak bosan. Afifah terharu. Jalan cerita kali ini berbeza sedikit. Huhuhu... Seorang perempuan sanggup berkorban untuk membahagiakan kekasihnya. Walaupun menghidap leukimenia, dia merelakan diri melihat lelaki yang dicintai jadi milik orang. Dan… babak yang paling menyedihkan ialah semasa perempuan itu mendambakan kasih terakhir. Tak guna lelaki! Berlaku curang!

Dia mula teringat akan sesuatu. Apa ye? E-mel belum disemak setelah dua minggu berlalu. Afifah bingkas bangun. Jemari dia bermain pada setiap kotak ABC untuk membina kata laluan. Mata dia terbeliak. Inbox sepuluh tak dibalas. Azrul, I’m sorry! Dia pejam mata. Tempoh itu dia log out. Mana mungkin dia tahu. Afifah membaca kiriman pertama. Hi, Fifah! Aku sihat di sini. Apa khabar awak di sana? Maaflah sibuk kebelakangan ini. Aku ada join club. Baru first year dah sibuk. Kalau nampak I online, boleh kita sembang. Itu sahaja kali ini. Salam kat Hanifah! Jaga diri. Bye! Dan… dia membaca yang seterusnya. Afifah termenung jauh. Dia sibuk sangat ke? Dia sedaya upaya menepis segala godaan. Bisikan kata-kata yang menghasut akal fikiran. Afifah buntu. Dia mencuba untuk mengerti. Membiasakan diri dengan keadaan begitu. Memang dia rindu. Dia juga ingin berbual panjang. Akan tetapi sebagai kekasih, dia kena bertolak ansur. Hanya bulan dan bintang mendengar rintihan si gadis itu.


“Betul ke kata mak tu, abah?” Dia bukan apa. Sangsi. Keraguan yang semakin menebal. Babak tadi kurang diterima. Mirip cetak rompak.

Mukin ketawa kecil. Anak perempuannya kalau dah ingin tahu, tak boleh terbatal niatnya. Tak ada sesiapa yang boleh menghalang. Teringat masa dia lahir dulu, Mukin menyangka anak lelaki. Rupa-rupanya, anak perempuan. Syukurlah! Tak ada masalah yang timbul. Akan tetapi, sangkaan dia meleset. Sama sekali tak hilang perwatakan dari moyang lelaki. Ketika umur tiga tahun, Mukin boleh nampak persamaan ketara. Kedegilan Hanifah. Kadangkala dia pening melayan perangai enggan mengalah Hanifah. 

“Abah!”

“Hah?! Apa dia?” Mukin terkejut. Suara lunak berubah kencang. “Oh! Mak kamu cerita betul tu!” Dia tersenyum. “Masih tak percaya ke?”

Hanifah angguk. Dia memandang ayahnya. Pandangan penuh makna. Demi meminta kepastian. 

“Kalau abah bercerita, sama pula kisahnya!” Mukin tersengih. “Cerita mak awak tu betul, Hani! Takde rekaan!”

Hmmm... “Okey!” 

“Ayah rasa mengantuk ni!” Mukin menguap memanjang. “Ayah masuk tidur dulu!”

Dia senyum. “Selamat malam, ayah!”

“Jangan tidur lewat. Nyamuk kat luar!”

“Ya!” 

Sepi. Hanifah mendongak. Langit dipenuhi oleh ribuan bintang. Bulan tidak keseorangan. Kegelapan yang masih ada terang. Cahaya yang ditunggu-tunggu. Harapan yang akan bersinar. Begitu juga semua makhluk di muka bumi ini. Mereka berharap hari esok akan lebih baik. Segala kisah manis atau pahit akan terpahat di hati. Buang yang keruh, ambil yang jernih. Hanifah akui dia sukar menerima. Dia gentar. Walau bagaimanapun, dia akur. Kalau aku lahir sebagai seorang lelaki, adakah sama kejadian seperti yang berlaku? Betapa kebenaran menyakitkan. Cinta. Dan.. sebagai seorang insan. Dia merasai kesunyian memecahbelah kekosongan. Aku kecewa... 


“Kau rasa Azrul sayang aku tak?”

“Kenapa tanya macam tu?” Hanifah kehairanan. Kelihatan Afifah tak berani angkat wajah.

“Aku rasa dia tak cinta aku!” Nada dia sayu. Remuk hatinya. Hancur perasaan. Dilanda badai, terhempas berkecai!

“Fifah, dia cinta kau!” Dia menafikan. “Seorang lelaki takkan mengucap ayat-ayat cinta dengan begitu mudah tanpa hati yang ikhlas!” Hanifah menambah bagi menyokong pengakuan itu.

“Tapi, dia macam mengelak dari aku!” Afifah sedih. Dia sedang berperang dengan kerinduan yang mengetuk pintu hatinya. Afifah mencabut anak rumput yang menghijau itu. Dia melepaskan rasa marahnya di situ.

“Kau kena bertahan. Masa inilah kau harus belajar bertolak ansur dan saling memahami!” Hanifah cuba menaikkan semangat seorang teman. Dia terfikir untuk memberi galakan yang positif. Nak mengata jenis lelaki ini kurang matang, tak dapat membantu pula. Kerana risau Afifah salah faham. Hmm... 

“Hani!”

“Apa dia? Cakaplah!”

Kebiasaan dia menjadi pendengar setia. Sejak kebelakangan ini, mereka bertukar tempat. Jarang dia membicarakan hal yang mustahak dengan Hanifah. Akan tetapi, dia hilang tempat bergantung. Selok-belok percintaan, dia belum arif lagi. Kepakaran dalam membuat keputusan. Menilai yang baik dari buruknya. “Aku ragu-ragu. Perasaan aku tenggelam timbul!”

Hanifah mengerti. Dia juga pernah melalui detik itu. Mahupun susah atau senang, dia mencuba untuk mempertahankan hubungan cinta. Firasat hati menyatakan kebenaran. Ia merupakan petunjuk. Kadangkala keraguan mengaburi kesempurnaan cinta seseorang. “Fifah!” Saat ini temannya berpaling. Sinar pada wajah itu semakin pudar. Seiring dengan perasaan yang berkucar-kacir. Meskipun parah, Hanifah nampak sebuah senyuman yang mekar di bibir. Lain pula kalau dia. Senyum paksa pun tak mampu. “Azrul cinta akan kau, Fifah! Kau kena belajar menerima kekurangan dia.” 

Kekurangan?! Apa kelemahan Azrul? Apa yang dia tak mampu buat? Afifah terdiam. Keadaan sepi. Luasnya dunia ini masih ada ruang. Berbanding kesempitan fikiran kerana beban yang ditanggung. Berat dipikul. Begitu sukar untuk dia memilih cara yang betul. Aku harap kami bahagia bersama...

Fifah, maafkan aku! Bukan bermakna aku ingin meregangkan hubungan kau berdua. Aku rasa bersalah. Tiba masa nanti aku akan beritahu. Kebenaran menyakitkan, Fifah! Kau bertahanlah. Semoga kau bahagia dengan Azrul. Maafkan aku!

Petang itu mendamaikan. Sempurna. Ada angin. Serangga berkeliaran. Burung terbang pulang ke sarang. Dedaun luruh gugur ke bumi. Suasana begini tenang. Memberi teduh untuk belajar mengenali diri. Mana nak dapat kalau di bandar. Sekadar muzik, nada lagu yang tak berapa masuk dalam kepala. Ketenangan hanya bertahan berjam. Itu pun tak seratus peratus hilang. Gelodak jiwa bergelora. Setanding dengan kekejaman laut saat tsunami. Hanifah menoleh ke sisi. Afifah termenung jauh. Hanya tubuh badan wujud di situ. Fikiran melayang entah ke mana. Dia reda! 


Dentuman guruh mengegarkan seluruh kampung. Kilat sabung-menyabung. Hanifah kaku di sisi katil. Dia melunjur kaki. Gebar ditarik. Rasa ngilu di tapak kaki. Hujan semakin lebat. Dia tak dapat melelapkan mata setelah terjaga. Teringat dia akan Azrul. Lelaki yang gagal memikat hatinya. Terngiang-ngiang kata Afifah. Wajah mereka terbayang. Bersilih ganti muncul. Seolah-olah dia berdiri di hadapan mereka. Dia dapat merasai perasaan di antara mereka. Kecewa dan saling membelakangi sesama diri. Hanifah bagaikan tersepit dalam cinta tiga segi.

Bersambung.... Terima kasih atas sokongan dari anda. Teruskan membaca ya... TQ


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Vimaisa Saip