Home Novel Komedi/Romantik Komedi BICARA CINTA TERTANGGUH
Bab 24

BANTAL diambil dan dia menekup mukanya. Malu. Malu sangat. Apa yang sebenarnya ada di dalam hati dan akalnya, Suriya sendiri tidak tahu. Di antara dia dengan Luqman tiada apa-apa hubungan. Mereka bukan bersaudara. Mereka bukan bercinta. Tetapi kenapa kuih talam itu boleh menjadi mangsa saat dia mendengar bicara manis Luqman dengan mak cik-mak cik yang sebaya Mak Jah. Aduhai, malunya.

Dan menambah malunya ke tahap langit yang ketujuh adalah sepanjang petang dan malam itu, Luqman langsung tidak menegur dia. Sepatah ayat pun tidak. Sampainya hati. Tingkah laku Luqman itu menyebabkan dia tidak ada selera makan. Sudahnya dia tidak makan pun di masjid tadi. Kini perutnya bersamba menyanyi lagu lapar. Contoh terbaik yang dia dengan sengaja menyeksa diri sendiri. Luqman juga yang kenyang dan pastinya bersenang lenang.

Ketukan di pintu menyebabkan Suriya bangun dan membuka pintu bilik. Irma tersengih di situ.

“Nak apa? Dah nak tidur ni.”

Irma mengunjukkan mangkuk berisi nasi dan lauk dari masjid tadi.

“Untuk siapa?”

“Hisy, untuk akaklah. Mak Jah suruh makan. Dia kata nanti jangan sampai gastrik datang.” Irma membalas.

“Tak nak makanlah lauk ni.”

“Habis tu nak goreng telur dengan kicap?” Irma bertanya.

Suriya senyum dan mengangguk.

“Jangan nak berangan. Ni rezeki yang ALLAH bagi untuk akak. Tak ada salahnya gulai daging ni pada akak.” Irma membebel.

“Apasal kejam sangat ni?”

“Ada sambal goreng tepi tu. Makan habiskan.” Irma mengeluarkan arahan.

“Kena makan ke? Irmalah makan. Nanti Mak Jah tanya, katalah yang akak dah makan. Amacam, ada berani?” Suriya memberikan idea. Ya, perut memang lapar tetapi dia lebih rela makan biskut.

“Dosa kak tipu orang yang lebih tua dari kita. Yang susah-susah bungkus lauk untuk akak sebab takut akak lapar.” Irma membalas.

Mangkuk itu pun diambil Suriya. Susahnya bercakap dengan budak yang pandai berdebat. Semua soalan pun dia ada jawapan. Dahlah cita-cita mahu menjadi peguam. Pasti pengsan pihak lawan yang mahu berhujah dengan Irma. Perlahan-lahan dia menyuapkan nasi itu ke dalam mulut. Makan sedikit sahaja. Peringatan kepada diri sendiri. Namun sebaik sahaja suapan yang pertama, Suriya memandang Irma dan menggeleng.

“Kenapa kak?” tanya Irma yang sedang membelek majalah.

“Gulai ni sedap ya.”

Dan Irma pun ketawa.

“Memang satu dunia tahu gulai Pak Ali masak memang sedap. Tapi rasanya yang menambah sedap tu sebab abang Luq yang tolong masak.” Irma memberitahu.

“Banyaklah.”

“Ya kak, dia sambil mengacau tu, cuba akak tengok mulut dia terkumat kamit.”

Suriya meletakkan mangkuk itu. Sambil mengunyah dia berfikir. Kumat kamitkan apa? Baca doa apa? Atau...

“Dia zikirlah kak. Sebab tu makanan jadi sedap. Orang yang hati keras pun jadi lembut.” Irma ketawa terkekeh-kekeh. Seronok dapat mengenakan kakak yang manis ini. Merajuk dengan Luqman sampai tidak mahu makan. Itu kata Mak Jah.

“Pandailah kamu.”

“Ala kak, cuba cerita...akak gaduh apa dengan abang Luq?”

“Mana ada gaduh.”

“Yang potong talam sampai jadi cincau tu?”

Aduh! Agaknya satu dunia sudah tahu tentang dirinya yang tidak waras di masjid petang tadi. Malunya. Ok, Luqman. Mahu sangat bermain api bukan? Mari kita bermain api. Bukan guna mancis ya. Ini pakai unggun api dari kayu jati yang tahan lama maraknya.

MEREKA pulang ketika jam sudah menghampiri sepuluh malam. Setelah semua barangan dikemas dan disimpan dengan elok di dalam bilik stor di tepi masjid itu.

“Tak baik bos.” Hairul tiba-tiba bersuara. Memecahkan keheningan suasana.

“Apa dia?”

“Bos buat tak tahu kat Kak Suri.”

“Kau budak kecik, mana kau tahu.” Luqman membalas.

“Tahu tak dia asyik toleh tengok kat bos?” Hairul memberitahu dengan bersungguh-sungguh.

“Pandailah kau. Kau sokong dia ya? Berpaling tadah nampak.” Luqman menyindir. Belum apa-apa, Hairul sudah berubah hati. Ini berita yang tidak baik.

“Saya dah besarlah bos. Mak saya kata hati perempuan ni kena jaga. Kita ni lelaki. Lebih kuat dari mereka dari segala segi. Jadi, kitalah yang kena banyak mengalah.” Hairul memberikan tazkirah.

“Kau tengok Ustaz Kazem ya?” tanya Luqman.

“Kalau Dah Jodoh..tak ke mana, bos.”

Jawapan Hairul itu terasa seperti mukanya baru ditampar. Memang dia mengaku, dia tidak menangani situasi dengan Suriya ini melalui cara yang bijak. Bagaimana kalau Suriya betul-betul mengambil pisau yang dia serahkan dan membenamkannya tepat ke jantung? Sah, dia akan mati sebelum sempat menikah. Rugi, satu kerugian yang besar.

“Bos, marah ke?” Hairul bertanya kerana terasa lama pula bosnya itu sepi. Mulutnya ini memang cabul. Jika kereta diberhentikan dan dia dihalau keluar dari kereta, alamatnya pasti haus kaki kerana perlu menapak balik ke rumah.

“Taklah.”

“Kak Suri tu nampak cantik malam ni pakai selendang macam tu.”

“Apa kau kata?” Naik satu oktaf, nada suara Luqman. Ini sudah melampau. Carilah gadis yang seusianya. Tapi kalau difikirkan dengan waras, umur Suriya dengan Hairul beza dua tahun sahaja. Nabi Muhammad SAW kita pun beza jauh umur dengan Saidatina Khadijah AS dan mereka hidup bahagia. Hairul ini menguji atau memang ada hati dengan Suriya?

Hairul ketawa.

“Ala bos ni...tak ada niat nak menguratlah.”

“Kau jangan main-main.” Luqman memberikan amaran/

“Cemburu jugak ya.”

“Kau diam. Kita dah sampai ni. Pergi balik rumah kau. Esok jangan lambat pergi kerja.” Luqman memberikan amaran. Banyak cakap pulak Hairul hari ini. Sengaja mahu menyusahkan hati dia dan membuatkan dia mempersoalkan strateginya. Haru betul.

Setelah Hairul melambainya dan dia masuk ke dalam rumah, Luqman merebahkan badannya di sofa. Terasa letih juga namun puas hati dengan majlis kenduri malam ini. Dapat menolong serba sedikit walaupun tidak banyak. Bayangan wajah Suriya melintas di hadapan mata. Memang benar kata Hairul, Suriya sangat cantik apabila berselendang begitu. Semoga ALLAH bukakan hati Suriya untuk benar-benar menutup aurat sepenuhnya suatu hari nanti. Kalau jadi isterinya, senanglah dia memberikan nasihat.

Mahu hantar SMSkah kepada Suriya. Dia melihat jam di dinding. 10.30 malam. Jangan, Luqman. Biar Suriya rasa bersalah. Kalau dia rasa...kalau tidak? Aduhai. Tetapkan hati Luqman. Untuk hari ini, sepikan diri. Mungkin ruang itu diperlukan oleh mereka berdua. Bukan gaduh hal besar pun cuma dirinya ini yang tidak sabar di dalam usaha mahu memenangi hati Suriya.

Telefonnya berbunyi. Ada mesej diterima. Luqman mencapai telefon.

Assalamualaikum

Argh dari Suriya. Besarnya rahmat dari ALLAH. Luqman bibirnya menguntum senyuman. Oh, mahu apa ya Suriya. Menghantar mesej lewat malam begini. Tersalah hantar mesej? Mahu menghantarnya kepada orang lain? Atau Suriya memang dikejar rasa bersalah? Luqman mengambil bantal kecil dan memeluknya erat. Sekarang barulah dia boleh tidur dengan lena. Pasti dihiasi mimpi indah sepanjang lena ke pagi nanti.

Waalaikumusalam Suriya. Luqman menjawab namun hanya di dalam hati. Dia membaca ayat Kursi dan doa sebelum tidur. Semoga lena ya ALLAH. Amin.

SUDAH lebih dari sepuluh kali dia mengambil telefon itu, melihat skrin dan kemudiannya meletakkan semula.Sudah jam 11.30 malam. Luqman sudah tidur? Sebab itukah SMSnya tidak dibalas? Atau ini adalah sebahagian dari strategi Luqman untuk membalas dendam? Tidak baik berprasangka buruk Suriya. Akal mengingatkan diri tetapi rasa ikhlas itu sangat susah mahu dilakukan pada ketika ini.

Kalau bukan kerana panggilan telefon ayah jam sepuluh malam tadi, elok selepas dia makan, memang dia tidak akan menghubungi Luqman. Panggilan penuh tragedi. Ayah kata, hujung minggu depan, tidak dapat tidak, mesti balik ke rumah ayahnya. Ayah ada jamuan minum petang. Ayah kata, ayah mahu dia ada di sana juga. Ketika ditanya, jamuan apa? Kata ayah, jamuan untuk berkenal-kenalan.

Rasa nak pecah jantung ini. Dia segera menelefon Aida. Dan Aida dengan mudah memberikan satu jawapan. Luqman. Dapatkan bantuan Luqman. Hisy, kejam betul. Setelah berfikir dengan tenang, dia menghantar SMS memberikan salam itu kepada Luqman. Dengan harapan Luqman akan membalas dan mereka boleh berbaik semula. Tapi hampa. Terngiang-ngiang suara ayah di telinga.

“Anak ayah semuanya dah besar. Tanggungjawab ayah untuk carikan jodoh yang baik.”

Memang ketika itu dia sudah terasa mahu meraung. Dahulu, ayah tidak pernah pun pedulikan tentang dirinya. Kenapa sekarang? Kata Mak Jah, Haji Firdaus itu sampai bila-bila pun akan tetap menjadi ayahnya. Sampai ke liang lahad dan kata Mak Jah lagi, berilah peluang kepada ayahnya untuk menjadi ayah yang sebenar kepada Suriya. Selagi ada masa.

“Suriya tak nak sambung belajar lagikan? Jadinya eloklah kalau ada kawan. Tunang dan terus nikah. Perkara yang baik, jangan dilewatkan.”

Apabila ayahnya menyambung sebegitu, hatinya jadi berderai. Kata-kata Mak Jah itu ada benarnya. Kata-kata ayah pun ada benarnya juga. Cuma suara sampingan yang menjadi latar perbualannya dengan ayah saja mencalarkan hati. Kata Hajah Nani, duduk jauh tu entah apa yang dibuatnya. Kalau dia mahu duduk dengan ayah, Hajah Nani juga yang akan pengsan dan pitam setiap hari.

Suriya menarik nafas dan melepaskannya perlahan-lahan. ALLAH, pinjamkan aku kekuatan. Berikan aku jalan untuk menempuh semua dugaan ini. Telefon dicapai lagi. Masih juga tiada mesej yang masuk. Luqman kejam! Suriya mengambil bantal dan menekup mukanya. Ya, Luqman memang kejam.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Lynn Dayana