Home Novel Komedi/Romantik Komedi AKN2: Aku Keliru!
Bab 30: The Awesome Taman D

Kami sampai ke Alor Gajah 45 minit kemudian, dan Roul terus memasuki Taman Dimensi di mana Zara menyewa bersama teman-teman universitinya yang lain. Zara sudah pun menunggu di depan rumah sewanya, melambai dengan gembira apabila ternampak kereta kelisa biru abangnya memasuki kawasan perumahan.

Aku ingat lagi, ketika Zara mengumumkan yang dia telah ditawarkan menyambung pengajian d UiTM Alor Gajah. Roul agak berat hati untuk melepaskan adiknya pergi malah sanggup membuat tawaran untuk membiayai pengajian adiknya itu di kolej swasta berdekatan. Aku yang mengingatkan dia bahawa dia tidak mampu untuk menghantar Zara ke kolej mahal. Dia sudah pun menanggung terlalu banyak tanggungjawab kewangan untuk diuruskan, biaya pengajian Zara di kolej swasta hanya akan menambah bebannya.

Aku yakinkan dia bahawa Zara sudah cukup dewasa dan sudah banyak belajar melalui pengalaman. Dia bukan lagi gadis berusia 15 tahun yang bermasalah, yang suatu masa dahulu hampir memusnahkan dirinya dengan pil tidur. Dahulu dia kesepian. Tapi kini dia sudah mendapat kebahagiaan yang dia inginkan dan dia sudah mendapatkan perhatian Roul, satu-satunya abang yang dia miliki. Gadis itu tidak akan melakukan kesalahan yang sama lagi,

Selepas memikirkan buruk baiknya, Roul membuat keputusan untuk melepaskan Zara pergi. Alhamdulillah, sampai ke saat ini Zara tidak mengalami sebarang masalah dan mudah mengadaptasi ke persekitaran baru. Malah lebih baik berbanding orang lain.

Sebaik sahaja kami nampak Zara, secara automatik aku dan Roul tersenyum gembira, seolah-olah kami tidak punya sebarang konflik, tidak kira sekecil mana pun. Kami berdua seperti pasangan Wisteria Lane, yang secara luarannya tidak pernah ada masalah dan semuanya indah dan membahagiakan.

“Abang, sorry!” ujar Zara sebaik sahaja Roul keluar. Dia terus menyambut tangan abangnya dan mencium tangan Roul.

“Zara exam dapat berapa markah? Kalau macam ni punya nyanyuk, abang rasa mesti selalu tak lulus,” ujar Roul, mengusik Zara kerana tertinggal komputer ribanya.

“Ala, Zara tak sengajalah,” dia ketawa besar. Kemudian dia memandang aku dan tersengih.

“Yay, abang bawak kakak kita!” dia terus memelukku dengan gembira.

Seperti Roul, aku juga punya adik kandung bernama Diana dan Sohail. Pernah mereka peluk aku dengan gembira bila nampak aku? Haram. Paling hebat pun mereka akan kata “Oi” bila nampak aku. Adik-adik kandung aku sangat derhaka. Aku sanggup buat sistem barter dan tukar Zara dengan dua makhluk bertuah itu.

“Welcome to the awesome Taman D. Kak Safi sihat?” tanya Zara.

“Alhamdulillah,” jawabku.

“Abang ada buli Kak Safi ke?” tanya Zara, berniat untuk mengusik.

“Dia yang buli abang,” balas Roul. Zara ketawa. Mungkin jenaka pada gadis itu, tetapi satu perlian kepadaku. Roul mengerling ke arahku dan aku hanya buat muka.

“Cepat ambil barang Zara tu,” arah Roul.

“Ala, relax la. Abang kan baru sampai. Jom kita pergi makan dulu. Kelas Zara pukul 2 karang, banyak masa lagi ni,” dia terus memasuki kereta dan duduk di belakang tanpa menunggu jawapan kami.

Roul dan aku saling berpandangan. Kemudian kami membuat keputusan untuk ikutkan sahaja apa yang Zara mahukan.

Zara kata dia mahu bawa kami ke tempat makan paling sedap di seantero dunia.

Lalu dia menunjukkan jalannya dan kami sampai ke gerai makan berhadapan dengan perhentian bas Alor Gajah, sebuah tempat makan yang dipanggil Nasi Ayam Nadia. Gerai biasa, tetapi begitu ramai pelanggannya.

“Nasi ayam Nadia ni sedap gila. Tapi Nadia tu bukan nama tukang masaknya. Nadia tu nama anak bongsu owner gerai ni. Kak Safi kena rasa. Tak sah datang sini kalau tak rasa nasi ayam ni,” ujar Zara.

Aku iyakan saja.

Kami bergurau senda seperti biasa. Aku tahu amat penting untuk aku dan Roul berhenti bersikap seperti anak kecil, kerana gadis di depan kami ini suka memerhatikan kami. Brad Pitt dan Angelina Jolie mungkin ada peminat mereka sendiri yang sentiasa ingin melihat mereka bahagia. Vanidah Imran dan Rashidi Ishak mungkin ada peminat mereka yang akan mengamuk jika ada insan lain cuba memisahkan mereka. Aku dan Roul juga punya peminat sedemikian.

Namanya Zara!

Zara menceritakan pengalamannya tinggal di rumah sewa bersama rakan-rakan baru, tentang kuliahnya dan tentang seorang pemuda yang mahu berkenalan dengannya.

“Hari-hari dia hantar surat kat Zara atau hantar coklat. Kawan Zara kata budak tu anak Dato’ yang terkenal kat Melaka ni. Tapi Zara tak layan pun, abang jangan risau,” ujar Zara, tersengih pada Roul. Aku tahu dia sengaja buat si abang risau.

Roul menggenggam penumbuk sepanjang kisah peminat Zara itu. Aku tahu betapa dia sangat risau tentang Zara dari sudut itu. Pengalaman cinta Zara ketika dia masih di sekolah menengah yang hampir memusnahkan diri gadis itu pasti sedang bermain di fikiran Roul, bagaikan rakaman yang tidak akan dapat dia lupakan seumur hidupnya.

Namun pengalaman buruk Zara jugalah yang menyebabkan dia mula mengenali novel-novelku dan mula membina semangatnya kembali. Hanya selepas melihat Zara mengubati laranya dengan tulisan aku, Roul membuat keputusan ingin mengenaliku. Persahabatannya dengan Helmi memudahkan proses tersebut.

“Belajar je,” ujar Roul pendek. Zara ketawa besar.

“Ai ai, kapten,” ujar gadis itu dengan serius, sebelum dia mengerling ke arahku dengan ekspresi lucu, tanda dia sengaja mengusik abangnya.

Usai pertemuan kami, aku dan Roul menghantar Zara pulang ke rumah sewanya. Bila ditanya sama ada dia mahu kami menghantarnya terus ke kampus, dia kata tidak perlu. Zara nampak lebih ceria dan lebih gembira sejak memulakan pengajiannya di sini. Malah tubuhnya yang agak kurus kering ketika masih di sekolah menengah sudah mula berisi.

Kami meneruskan perjalanan kembali ke Kuala Lumpur. Perjalanan itu tidak ada bezanya dengan situasi ketika kami menuju ke Alor Gajah. Sebaik sahaja kami nampak Zara masuk ke dalam rumah, senyuman yang tertampal di bibir kami terus pudar. Aku dan Roul kembali seperti sebelumnya, dua insan degil yang punya banyak perkara yang ingin dikatakan, tetapi tidak mengatakan apa-apa.

Setibanya kami di rumahku, jam sudah menunjukkan pukul dua petang. Ini rekod terbaru kami tidak bercakap sepanjang perjalanan.

“Gua tak boleh accept,” ujar Roul tiba-tiba.

Aku baru nak tanggalkan tali pinggang keledar!

Kembali ke posisi selesa.

“Roul tak boleh terima apa?” tanyaku.

“Gua tak senang fikir pasal Zara. Gua tak suka mamat tu pikat adik gua.”

“Roul, Zara dah besar. Aku tak rasa dia akan buat benda yang bukan-bukan. And you don’t even know his name,” ujarku.

“Gua bukan maksudkan lelaki tu. Gua tak boleh terima sesiapa pun. Zara tu manja dan tak semua orang faham perangai dia,” ujar Roul, wajahnya tampak keras dan tertekan.

“Roul, Zara bergurau je. Jangan ambil serius,” balasku.

Dia terangguk-angguk sendiri sambil menarik nafas panjang. Wajahnya kembali tenang.

Ku tanggalkan tali pinggang keledarku.

“Bukan itu je yang gua tak boleh terima,” Roul bersuara secara tiba-tiba.

Aku menoleh ke arahnya.

Dia mengerling ke arahku.

“Gua tak suka Lulu tolong lelaki yang Lulu cerita tadi.”

“Kenapa pulak?” ada nada geram dalam suaraku. Nafasku tertahan.

“Masa Lulu cakap tadi, he sounds like someone yang akan rampas girlfriend orang lain dengan mudah. Gua tak boleh terima,” ujar Roul.

Aku menghela nafas panjang.

“Roul, jangan mengarut. Itu sama macam Roul kata Roul tak percayakan aku,” balasku.

Dia memandang aku sambil mengurut tengkuknya. Aku balas renungannya. Aku tidak peduli. Aku bukan si gadis yang takut dengan renungannya.

“Samalah macam Lulu tak percayakan gua bila gua kata gua dah tak ada apa-apa dengan Noor,” ujar Roul.

Aku rasa darahku meresap naik ke muka.

Oh jadi dia nak buka cerita ini, ya?

“Itu lain, Roul. Roul tak pernah beritahu aku pasal si Noor tu. Tak beritahu tu satu hal, boleh pulak Roul masih tak putuskan hubungan dengan dia,” aku membentak.

Berani dia mempersoalkan aku sedangkan semuanya salah dia sendiri.

Dia tersenyum sendiri. Aku tidak suka senyuman tersebut.

“Macam mana gua nak putuskan kalau girlfriend gua sendiri tak nak bawak gua jumpa parents dia,” ujar Roul.

Hal ini lagi!
“Okay, Kalau Roul nak jumpa sangat parents aku, aku call sekarang,” ujarku, melawan pandangannya. Sakit betul hati aku.

Fine. Kalau Lulu buat sekarang, gua akan lupakan hal ni dan tak akan sebut pasal lelaki yang Lulu nak tolong sangat tu,” balas Roul pula.

Aku hanya memandangnya dengan rasa sangat sakit hati sebelum mengambil telefon bimbitku yang berada di dalam beg tangan. Aku terus mendail nombor telefon rumah. Selepas lima kali deringan, emak yang menjawabnya.

“Helo, assalamualaikum,” aku boleh dengar bunyi mengunyah. Emak sedang makan nampaknya.

“Waalaikumussalam. Mak, ni Ayong ni.”

“Ya, ada apa?” tanya emak, seolah-olah kecewa kerana aku yang menghubunginya dan bukan mana-mana syarikat elektronik yang mengatakan bahawa dia telah memenangi mesin hampagas atau peti sejuk. Impian emak sejak dulu.

“Mak, Ayong nak bawak kawan jumpa mak dengan abah. Bila mak dengan abah ada masa?” tanyaku.

Ibuku berhenti mengunyah.

“Kawan lelaki ke perempuan?”

“Kalau kawan perempuan, buat apa Ayong nak tanya bila mak dengan abah free,” jawabku.

“Ha, jangan datang hari ni sudah. Abah tak ada. Dia pergi jemput Sohail kat airport,” ujar emak.

“Sohail balik?” setahu aku semua universiti belum cuti lagi.

“Sohail balik sekejap. Kawan baik dia kahwin,” jelas emak.

Budak Sohail ni suka hati saja nak balik. Dia sangka belanja tiket kapal terbang pergi balik Sarawak – Semenanjung tu murah?

“Kalau macam tu...” aku pandang Roul.

“Sabtu,” ujar Roul.

Aku tutup bahagian bawah telefonku dengan tangan dan berbisik padanya.

“Sabtu aku ada hal, kan?” aku mengingatkan.

“Ahad then,” jawab Roul mudah. Aku tahu dia tidak akan berundur dari hal ini.

Aku kembali ke telefon.

“Hari Ahadlah kalau macam tu, mak. Mungkin tengah hari macam tu,” aku putuskan akhirnya.

“Ha yelah. Nanti mak bagitau abah Yong,” ujar emak.

Selepas meminta izinnya, aku mematikan panggilan.

Ku pandang Roul dan ada rasa puas hati terpamer dengan jelas di wajahnya.

“Jumpa Ahad,” ujarku.

Dia memberikan tabik pengakap kepadaku, ada senyuman pendek di pinggir bibirnya, seolah-olah dia telah memenangi pertandingan tak bernama antara kami.

Sebaik sahaja aku keluar, Roul terus memecut pergi.

Apa nak jadi dengan lelaki ini...

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.