Daftar   |      Log Masuk   |   Lupa Kata Laluan
Home Novel Keluarga MERINDU (1942)
MERINDU (1942)
Ruby Annas
25/7/2018 13:41:04
1,373
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Senarai Bab
Bab:#2

SUDAH tiga hari tanah Kampung Kemasik disimbahi hujan.  Hari ini, sang suria mula menebarkan cahayanya di sebalik gumpalan awan.Senyuman yang dihiasi garis-garis halus menguntum di bibir Mak Uteh.   Langkah dihayun ke bahagian belakang dapur; tempat dia bergelumang dengan bau ikan demi sumber rezekinya.

Mak Uteh ligat menyiang sebesen besar ikan pelbagai jenis yang dibawa pulang oleh Ngah.  Isi perut ikan yang siap disiang, dibuang berhampiran semak sebagai santapan untuk kucing-kucing kampung di situ. Si bulus terus menerkam dan saling berebut habuan percuma tersebut sehingga bercakaran sesama sendiri. 

Setelah semua ikan itu dibersihkan, proses seterusnya adalah merendam ikan-ikan tersebut dengan air garam ke dalam bekas khas selama seminggu.  Itu adalah proses wajib  yang perlu dilakukan bagi membuat ikan kering.

Mak Uteh beralih pula ke bekas khas berisi ikan yang sudah sebati dengan air garam.  Penutupnya dibuka, lalu ikan-ikan tersebut dimasukkan ke dalam bakul rotan dan juga nyiru.  Ikan masin Mak Uteh cukup tersohor di Kampung Kemasik, memandangkan tidak ramai yang rajin membuatnya lantaran prosesnya agak rumit. 

Ikan-ikan yang direndam boleh menjadi busuk dan berulat seterusnya dibuang begitu sahaja jika tersilap langkah penyediaannya.  Maka, aspek kebersihan menjadi keutamaan Mak Uteh bagi menjamin ikan kering buatannya tahan lebih lama dan sedap.

Dawai besi dicucuk ke mata ikan lalu digantung ke palang kayu bertingkat yang dipaku.  Dalam masa setengah jam, ikan-ikan tersebut habis digantung di bawah terik cahaya matahari.   Mak Uteh bercadang untuk melakukan rutin hariannya yang lain pula.  Namun langkahnya terbantut tatkala mendengar suara orang memberi salam. 

“Assalamualaikum….” 

“Waalaikumussalam.”

“Ngah ada di rumah tak, Mak Uteh?” 

Suara Musa ditangkap oleh gegendang telinga Mak Uteh.  Si teruna yang setahun lebih tua daripada anaknya itu, sama-sama membesar di depan matanya.  Tiada rasa kekok lagi antara mereka bahkan sudah dianggap seperti anak sendiri.

“Ngah dan Pak Uteh ke hutan cari kayu getah.  Kamu tak ke kebun hari ni, Musa?” soal Mak Uteh kehairanan.  Selalunya pada masa-masa begini Musa sedang membanting tulang di kebun ayahnya.  Hari ini, dia kelihatan bersenang-lenang sahaja.

“Tak, Mak Uteh.  Boleh patah pinggang saya kalau asyik bekerja setiap hari.”  Musa mengekek ketawa. 

“Ke situ pula kamu.  Mentang-mentanglah kebun tu bapak kamu yang punya, kamu boleh buat sesuka hatilah, ya?”  Bisa sungguh sindiran Mak Uteh sehingga Musa mati akal untuk menjawab.  Sudahnya, Musa hanya tersengih seperti kerang busuk sambil menggaru pipi.

Nyiru disandarkan ke dinding pangkin.  Mak Uteh melabuhkan punggungnya di atas salah satu takah tangga untuk melepaskan lelah.

“Musa… parah benar Mak Uteh tengok si Ngah tu.  Termenung sana, termenung sini.  Kerjanya asyik mengelamun saja.  Betul ke apa yang kamu beritahu Mak Uteh tempoh hari?” soal Mak Uteh. 

Musa tersengih.  Terpamer gigi putihnya yang tersusun cantik.  Hatinya berbolak-balik untuk berkata-kata.  Dia tersepit antara teman rapat dan juga Mak Uteh yang sudah dianggap seperti saudaranya sendiri.

“Eh… kita tanya betul-betul dia boleh senyum pula.  Betul ke tak, Musa?”  Pertanyaan mak Uteh berbaur desakan.  Musa menggaru kepala sambil berfikir.

“Apa kata Mak Uteh tanya Ngah sendiri?”  Musa menjawab soalan Mak Uteh dengan soalan juga.

“Bertuah punya budak.  Dia tanya kita balik. Berbuih mulut aku bertanya si Ngah tu.  Kamu bukan tak tahu anak aku tu macam mana?” 

Peluh yang berjuntaian di dahi dilap dengan kain batik yang menutupi kepalanya.  Hujung kain itu dilibas-libas di depan muka seperti kipas untuk menyejukkan badan.  Hangat terasa angkara cahaya jingga yang megah menerjah ke bumi.

“Saya bukannya apa, Mak Uteh.  Nak ditelan mati mak, diluah mati bapa.  Tapi.... memandangkan saya dah anggap Mak Uteh ni macam mak saya sendiri, terpaksalah saya mungkir janji.”  Mak Uteh menunggu dengan sabar ayat Musa yang seterusnya. 

“Sebenarnya… hati Ngah sudah terpaut pada Siti Zubaidah,” kata Musa perlahan.  Matanya melingas ke sekeliling.  Lega terasa apabila tiada kelibat Ngah di situ.

“Aku dah agak!  Ngah tu tak pernah berkelakuan begitu sebelum ni.  Diam-diam ubi berisi rupa-rupanya.”  Sengihan Mak Uteh sudah melebar ke telinga. 

“Mak Uteh janganlah cakap saya yang beritahu.  Mati saya dikerjakan Ngah nanti.”  Musa membuat mimik muka simpati. 

Musa sudah masak benar dengan perangai Ngah.  Sahabatnya itu kalau merajuk, pasti rajuknya itu berpanjangan.  Dia langsung tidak bertegur sapa mahupun bergurau senda sehingga berhari-hari lamanya.   Pernah sekali dia terlepas cakap kepada Mak Uteh, Ngah mencuri buah rambutan di kebun Pak Awang semasa dalam perjalanan untuk mengaji.  Buah rambutan yang masak ranum dan dahannya yang hampir melayut ke tanah, seperti menggamit mereka berdua untuk menjamah isinya yang pejal dan manis.  Dia masih ingat kenangan lalunya bersama Ngah.



NGAH, kau nampak tak tu?” tanya Musa sambil mengerling ke arah yang dimaksudkan.

“Nampak apa?”

“Ala… yang tu?”

Bola mata Ngah ligat melingas ke sana-sini.  Senyumannya merekah tatkala melihat sebatang pokok rambutan yang rendang  milik Pak Awang.  Musa menjongket kening berkali-kali ke arah Ngah.  Sengihannya nakal sekali. Buah rambutan yang masak ranum benar-benar menggoda jiwa muda mereka untuk merasainya.  Musa sudah berkira-kira untuk melangkah.  Namun, Ngah masih kelihatan ragu-ragu.

“Kenapa?”  Musa bertanya apabila Ngah langsung tidak berganjak dari tempatnya.

“Aku tak mahulah, Musa.  Mak aku cakap, tak baik mencuri nanti berdosa dan masuk neraka.  Api neraka tu panas, tahu?” tutur Ngah sambil tertunduk.

“Kita rasa sikit aje.  Lepas tu kita pergilah mengaji.”

Ngah menggeleng.  Tekadnya dibulatkan kemas. 

“Kalau kau tak mahu, tak mengapa.  Aku nak rasa sebiji buat hilang kempunan.”  Musa berlari-lari kecil ke arah pokok rambutan yang megah berdiri.  Dicapainya sebiji rambutan yang berada paling dekat dengannya.  Semut-semut hitam ditepis lalu kulitnya dibuka.  Isi rambutan yang berwarna putih dimasukkan ke dalam mulut.  Semuanya dilakukan dalam gerak perlahan.Sengaja dia berbuat demikian untuk memancing perhatian Ngah. 

Ngah menelan liur.  Akalnya menghalang rasa bolak-balik yang bertandang, namun hatinya menidakkan.  Dia melangkah setapak, kemudian berundur.  Dia maju setapak lagi dan lagi.  Akhirnya kakinya sudah menyentuh dahan pokok rambutan dan duduk di atasnya.  Kulit-kulit rambutan dibuang begitu sahaja ke tanah.  Sudahlah mencuri, dibuang pula segala sisa tanpa rasa bersalah.  Buah rambutan ditarik dari tangkai sebiji demi sebiji.  Bukan main seronok mereka menikmati saat itu sambil bergelak-ketawa. 

“Aku nak ambil sikit untuk bekal semasa berjalan balik,” kata Musa dengan mulut yang penuh.

Ngah turun dari dahan pokok rambutan.  Musa berdiri sambil berpaut pada dahan pokok di bahagian atas.  Dahan itu digoyang-goyang dengan tenaga mudanya dengan sekuat hati.

Buk!  Buk!

Buah rambutan gugur ke tanah dengan banyak.  Musa melompat dari dahan yang dipijak olehnya.  Dia dan Ngah duduk mencangkung sambil mengutip rambutan.   Baju melayu yang dipakai oleh mereka dijadikan sebagai karung kecil untuk menyimpan rambutan yang dicuri.  Tidak dihiraukan lagi semut-semut hitam yang merayap ke badan.  Baju melayu mereka juga sudah dicemari kesan tanah dan getah rambutan.  Ngah begitu seronok mengutip buah tersebut sehinggalah matanya tertancap kepada sepasang kaki bercapal. 

Kepalanya di dongak.  Sukar untuk dia mengecam empunya badan kerana jaluran matahari yang menyelinap di sebalik daun-daun pokok rambutan menghalang penglihatannya.  Telapak tangan kanan menutup jaluran cahaya tersebut lalu hatinya berasa kecut secara tiba-tiba.

“Mu… Musa!” panggil Ngah terketar-ketar.

“Ah… kutip ajelah buah tu.  Kita nak balik cepat ni.”  Terasa geram pula dengan Ngah yang mengganggu perbuatannya ketika itu.

“Kamu mencuri, ya?”

Suara itu membuatkan Musa tersentak. 

“Pak Awang!” 

Dia bingkas bangun dan bertempiaran lari menyelamatkan diri.  Buah rambutan yang dikumpul jatuh tergolek-golek ke tanah semula.

“Hei… tunggulah!”  Ngah juga ingin buka langkah seribu. 

Zap!

Nasib Ngah malang apabila satu libasan kuat mengenai tepat belakang badannya.  Di tangan Pak Awang, tergenggam kemas sebatang ranting pokok yang utuh.  Padanlah begitu bisa rasa sakitnya.  Hasrat Pak Awang untuk mencekak kolar baju Ngah terbantut.  Ngah bertindak lebih pantas apabila dia berjaya mengelak dan terus bertempiaran lari.   Tercungap-cungap Pak Awang mengejar mereka dengan ranting pokok rambutan yang masih di tangan sehingga terlucut kain sarung yang dipakainya. 

Lantaran peristiwa itu, Musa seperti tidak wujud lagi dalam hidup Ngah.  Dia dianggap seperti orang asing.  Musa nanar.   Puas dia memujuk dan merayu untuk dimaafkan.  Ngah buat pekak badak saja.  Salah dia juga, sebab mulut becok dialah Ngah dipukul dan dikurung di dalam reban ayam.  Habis tubuh Ngah yang separuh bogel terpalit dengan najis ayam.  Padahal dia juga yang beria-ia mengajak. Ngah seorang saja yang menerima hukuman.  Sedangkan dia langsung tidak didenda kerana perilaku buruknya.

“Kenapa kamu tersenyum?” Segala momen silam berkecai tatkala suara Mak Uteh memecah suasana.

“Tak ada apa-apa.  Saya tumpang gembira Ngah dah ada buah hati.”  Musa sengaja membuat helah.  Walhal hatinya digeletek rasa lucu.

“Ada-ada saja kamu ni.”  Mak Uteh menggeleng.  

Mak Uteh mengangkat punggung.  Daun-daun kering yang bertaburan di halaman rumahnya mencacatkan pemandangan mata.  Penyapu lidi diambil dan daun-daun kering dilonggokkan ke tempat pembakaran sampah. 

“Sebelum saya terlupa, tadi mak saya minta sampaikan pesan pada Mak Uteh.  Dia nak tempah ketupat daun palas dalam seratus biji.  Boleh lagi tak?”

“Untuk Zaleha aku memang dah ada dalam senarai.  Cakap kat dia, tak payah nak tempah bagai.  Dia tu dah macam kakak aku.  Malam raya nanti, kau datang sini ambil.” 

“Hehehehe.  Murah rezeki Mak Uteh hendaknya.  Terima kasih daun keladi, tahun depan berilah lagi.”  Mak Uteh sengaja mengacah Musa dengan penyapu lidi.  Musa memang kuat menyakat.  Tersengih-sengih Mak Uteh seorang diri.  Musa pula pura-pura mengelak.

“Biar saya buatkan.  Mak Uteh pergi duduk sana rehat.” 

Musa cuba menghidupkan api dengan mancis untuk membakar daun-daun dan ranting kering yang sedia terlonggok.  Berkepul-kepul asapnya naik ke udara.

“Saya minta diri dululah.  Tolong sampaikan pesan saya kepada Ngah yang saya datang cari dia.”

“Baiklah.  Hati-hati balik tu.”

Musa mengangguk.  Baru beberapa langkah dia berjalan, kelibat Ngah dan Pak Uteh menyusup keluar melalui hutan yang berhampiran sambil memikul kayu api.

“Hah, panjang umur si Ngah.  Baru aje disebut-sebut,” kata Mak Uteh.

Timbunan kayu yang dipikul oleh Ngah di atas bahunya,  dijatuhkan ke tanah. Pak Uteh turut melakukan hal yang sama. Sebelum dijadikan sebagai bahan bakar, kayu-kayu getah tersebut perlu dibelah kepada potongan-potongan kecil agar senang digunakan oleh ibunya nanti.

“Ada apa kau cari aku, Musa?”

Ngah menggosok pipinya yang digigit nyamuk dan agas ketika mencari kayu api di dalam hutan berhampiran.  Timbul beberapa kesan gigitan yang mula memerah di permukaan kulitnya.

“Kau mesti dah lupa apa yang kita bincangkan tempoh hari?”

Kencungapannya masih belum mereda.  Ngah duduk di atas tunggul pokok kelapa yang telah tumbang untuk berehat sebentar. Peluh yang merenik di dahi dikesat dengan belakang tapak tangan.   Kerja yang biasa dilakukan pada bulan puasa begini terasa berganda lelahnya berbanding hari-hari biasa.

“Hal itu… aku terlupa.”  Ngah tersengih.  Musa pula menepuk dahi.

“Kau ni belum tua lagi dah nyanyuk.  Habis tu, macam mana dengan rancangan kita?  Tiap-tiap tahun kita tak pernah gagal melakukannya.”  Nada suara Musa kedengaran sedikit kesal.

“Aku tahu.  Kau janganlah risau.  Sebenarnya aku dah potong siap-siap buluh tu tadi.  Sengaja aku sorokkan dalam belukar sana.  Sekejap lagi kita pergi ambil.” 

“Ngah, kamu nak main mercun buluh, ya?”  Mak Uteh berdiri sambil mencekak pinggangnya yang berisi.

“Hahahaha.  Tak adalah, mak.  Kami nak buat pelita sempena malam tujuh likur.” 

“Entahlah, maknya.  Kasihan mereka dituduh yang bukan-bukan pula.”  Pak Uteh  menyampuk.

Wajah Mak Uteh yang tegang kembali kendur.  Satu jelingan tajam dihadiahkan buat suaminya yang sudah terbaring di pangkin.

“Betul ke ni?  Tadi kau cakap kau terlupa?”  tanya Musa tidak puas hati.

“Aku takkan pernah lupa.  Itu kan tradisi kita sejak dulu.” 

“Lekaslah, kita ambil buluh-buluh tu dan bawa ke mari.”  Teruja benar nampaknya Musa kali ini.

“Sabarlah… penat pun masih belum hilang,”  jawab Ngah.  Keringatnya masih belum kering.  Matahari semakin tegak memanah ubun-ubun.

“Mak dengan ayah masuk dulu.  Jangan merayap jauh sangat di hutan.”  Mak Uteh menitipkan pesan kepada kedua-duanya.

Takah anak tangga pertama dipijak.  Sebelum masuk ke dalam rumah, Mak Uteh mencedok air dari dalam tempayan yang terletak di atas pangkin.   Batok dihala ke kakinya.  Terdengar curahan air yang dingin membasuh kakinya yang berdebu. Titis-titis air menitik-nitik melalui celahan lantai yang diperbuat daripada  papan itu.



DUA sahabat begitu tekun membuat pelita daripada buluh yang sudah ditebuk beberapa lubang.  Apabila tiba masanya nanti, batang buluh tersebut akan dimasukkan dengan minyak tanah dan sumbu. 

“Dah siap, Ngah, Musa?”  Mak Uteh menyoal melalui tingkap yang terbuka luas. Menderu-deru angin pantai menerobos masuk melaluinya.

“Dah, mak.  Lepas Maghrib nanti bolehlah kami pasang pelita ni.” 

“Iyalah.  Kamu pergilah mandi dulu.  Dah nak masuk waktu berbuka puasa dah ni.  Musa, kamu berbuka ajelah di sini.  Tak elok kamu jalan seorang diri pada waktu-waktu senja begini.”

Ajakan Mak Uteh membuatkan hati Musa melonjak gembira.  “Rezeki jangan ditolak…,” kata Musa sambil mengenyitkan sebelah matanya kepada Mak Uteh.

“Nakal kamu, ya….”  Mak Uteh masuk ke dalam rumahnya semula untuk menyambung tugasnya yang tergendala.

Ngah membaluti tubuhnya dengan kain pelikat dan tuala usai mandi di perigi.  Musa menyalakan dua buah lampu minyak tanah.  Sebuah lampu, diletakkan si ruang tamu.  Sebuah lagi dibawa ke dapur berdekatan ruang makan. 

Musa yang ringan tulang itu, menghamparkan tikar mengkuang di lantai dapur.  Pelita minyak tanah diletakkan di tengah-tengah tikar mengkuang.  Cahaya berwarna jingga samar-samar menerangi ruang dapur Mak Uteh.

Waktu berbuka puasa telah tiba. Mereka mencicip teh panas dan menjamah kuih terlebih dahulu sebelum menunaikan solat Maghrib berjemaah bersama-sama.

“Ayuh, kita pasang pelita,” ajak Ngah sambil mengemaskan simpulan kain pelikat yang dipakainya.

Ngah memacakkan tiang kayu ke tanah untuk menyokong kedudukan batang buluh agar lebih utuh.  Kemudian, buluh tadi diletakkan secara melintang.  Giliran Musa pula memasukkan minyak tanah ke dalam batang buluh menggunakan corong agar tidak tumpah. 

Sumbu pelita disumbat ke dalam lubang yang sudah ditebuk khas.  Anak-anak kecil bersebelahan rumah Mak Uteh, masing-masing meluru ke halaman rumahnya untuk menyaksikan detik-detik gembira tersebut.

Ngah mengeluarkan batang mancis dari kotaknya.  Kepala mancis terus menyala sebaik sahaja digeselkan ke kotak dan pelita buluh buatan tangan anak-anak muda itu menerangi halaman rumah Mak Uteh.

Anak-anak kecil tadi bersorak kegembiraan sambil bertepuk tangan.Suasana malam ini lebih meriah dengan cahaya terang dari lampu pelita berkenaan.

“Dah siap kerja kita, Ngah.”  Musa mengoyak senyum.  Hatinya puas apabila dapat memeriahkan malam tujuh likur seperti tahun-tahun sebelumnya.

“Seronok tu seronok juga.  Lebih baik kita beransur untuk ke surau sekarang.”  Ngah mengambil songkok di dalam biliknya dan menyalin baju yang lebih bersih.

Rembulan cerah menyerak cahaya perak di angkasa.  Saat langkah kaki dihayun dan semakin mendekati rumah Siti, hati Ngah tidak tentu arah.  Jantungnya bergendang dengan irama yang tidak sekata.  Sungguh, dia berdoa agar diberi kesempatan untuk menatap wajah kesayangannya sekali lagi. 

Krek!

Tiba-tiba, pintu rumah Siti dikuak dari dalam.  Beberapa orang kanak-kanak keluar dengan memeluk Muqaddam di dada.  Susuk seorang gadis berkerudung berdiri di tepi tangga sambil memegang pelita di tangan.

“Jalan baik-baik, jangan melencong ke tempat lain.”  Pesan gadis itu.

“Baik, kakak,” sahut mereka serentak.

Kanak-kanak tadi menyarung selipar masing-masing.  Salah seorang daripada mereka mengambil jamung yang dipacakkan di tanah lalu beredar setelah memberi salam.

“Siti!” terpacul nama Siti dari bibir Ngah tanpa sengaja.  Pantas mulutnya ditekup dengan tangan.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.