Home Novel Keluarga Jangan Jauhi Aku
Jangan Jauhi Aku
nuroll shazlinda hairul
13/1/2015 14:54:52
16,996
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 2
2

Hanis membelek tubuhnya di hadapan cermin. Baju kurung tersarung cantik pada tubuhnya. Tudungnya dibetulkan. Dia meniup-niup hujung tudungnya dengan tiupan angin dari bibirnya. Dia kemudian menyapu wajahnya dengan bedak talkum Shurah. Bibirnya dioles dengan lipbalm berwarna merah. Senyuman terukir di bibirnya. Puas hati dengan penampilannya yang sederhana. Kemudian, dia berlalu ke halaman rumah. Dia melihat ibunya sedang tekun mencabut rumput di dalam pasu.

“Ibu,” sapa Hanis lembut.

Puan Hanim berpaling dan memandang ke arah anaknya. Dia melihat Hanis dengan senyuman yang mekar.

“Cantik anak ibu,” puji Puan Hanim sambil mengesat peluh.

“Anak ibu, kan?” usik Hanis manja.

“Win belum sampai lagi ni. Hanis janji dengan dia pukul berapa?” tanya Puan Hanim apabila melihat Arwina masih belum kelihatan di halaman rumahnya.

“Hmm... biasalah Win tu bu. Katanya pukul 10.30, ni dah pukul 10.35 tak muncul-muncul lagi.”

“Ooo... kejap lagi sampailah itu,” ujar Puan Hanim.

Tidak lama kemudian, sebuah kereta masuk ke halaman rumah. Puan Hanim dan Hanis memandang ke arah kereta tersebut.

“Panjang umur,” ujar Hanis dan Puan Hanim serentak.

Arwina membunyikan hon. Dia kemudian keluar dari kereta lalu mendapatkan Puan Hanim dan Hanis. Dia bersalaman dengan mereka.

“Assalamualaikum mak cik. Maaf, Win lambat sikit. Lima minit aje lambat, tak apa kan?” tanyanya sambil bersalaman dengan Puan Hanim.

“Mak cik okey aje. Takut yang tu yang tak okey,” ujar Puan Hanim sengaja mengusik Arwina.

“Itu bisa diatur mak cik,” ujar Arwina dengan kenyitan nakal.

Puan Hanim mengukir senyum.

“Kenapa kau lambat?” tanya Hanis.

“Alah, Hanis, lima minit aje pun kau dah kecoh. Lainlah kalau aku lupa jemput kau, bolehlah kau marah. Ini aku dah terpacak kat rumah kau pun masih nak bebel lagi ke?”

“Ewah, ewah... pandainya dia menjawab.”

Arwina menyengih hingga menampakkan barisan giginya yang teratur kemas.

“Wah, kau nampak comellah Hanis!” usik Arwina teruja. Sengaja dia mengubah topik perbualan.

“Hmm, nak kata aku dah semakin gemuklah tu.”

“Sikitlah,” ujar Arwina sambil mengenyitkan mata. “Ni sampai ke kalau aku nak peluk kau ni?” usik Arwina lagi.

“Melampaulah kalau kau dah tak boleh peluk aku.” Hanis menjawab dengan nada bergurau.

Mereka bertiga ketawa. Puan Hanim senang melihat keletah anaknya dan Arwina.

“Sudah-sudahlah tu berguraunya. Dah hari-hari jumpa pun, lagaknya macam tak pernah jumpa bertahun-tahun,” celah Puan Hanim.

“Mak cik cemburu ke?” usik Arwina.

“Hisy, tak kuasa mak cik nak cemburu dengan kau orang.”

“Seronoknya kau usik mak aku,” sampuk Hanis. Arwina menyengih.

“Jomlah Hanis. Dah lambat ni. Mak cik, kami minta diri dulu ya,” pinta Arwina sopan sambil menyalami tangan Puan Hanim.

“Yalah. Mak cik doakan Win akan lulus dengan cemerlang.”

“Insya-ALLAH, terima kasih mak cik.”

Arwina memeluk erat Puan Hanim lalu pipi tua itu diciumnya. Kasihnya pada Puan Hanim tidak ubah seperti kasihnya kepada ibunya sendiri, Puan Dian.

Puan Hanim dan Puan Dian dua orang sahabat yang baik, sama seperti Arwina dan Hanis. Lagipun, dengan air tangan Puan Hanim jugalah dia membesar selama ini. Mana tidaknya, waktunya lebih banyak dihabiskan di rumah ini berbanding rumahnya sendiri.

“Ibu, along pergi dulu.”

“Ibu doakan along dan Win akan mendapat keputusan yang cemerlang,” doa Puan Hanim.

“Insya-ALLAH bu.” Hanis memeluk erat ibunya. Pipi ibunya dicium.

“Amin,” ucap Arwina.

“Kami pergi dulu. Assalamualaikum,” ucap Hanis dan Arwina serentak.

Arwina memakirkan keretanya. Dia melihat rakan-rakan mereka sudah ramai yang berada di sekolah.

“Kau rasa tak apa yang aku rasa Hanis?” tanya Arwina. Mukanya jelas menampakkan riak bimbang.

“Aku rasa apa yang kau rasa. Macam tak nak keluar pun ada ni.”

“Minta-mintalah keputusan aku okey. Kalau tak, teruk aku kena marah dengan ayah dan ibu aku nanti.”

“Aku yakin kau boleh Win. Lagipun, kita dah usaha. Jomlah.”

Mereka keluar dari kereta. Mereka mendapatkan rakan-rakan yang lain. Mereka dapat melihat wajah-wajah yang gembira, tidak kurang juga yang kelihatan sayu.

“Eh, Win, Hanis,” laung Syafiqah.

Hanis dan Arwina membalas lambaian tangan Syafiqah. Mereka mendekati Syafiqah.

“Baru sampai ke?” tanya Syafiqah.

“A’ah,” jawab Hanis dan Arwina serentak.

“Kau dah ambil keputusan ke?” soal Arwina ingin tahu.

“Dah. Aku dapat 3.6 aje.”

“Alhamdulillah,” ujar Hanis gembira.

“Tapi aku kalau boleh nak dapat sekurang-kurangnya 3.8,” ujar Syafiqah dengan nada kurang puas hati.

“3.6 tu dah kira baguslah,” ujar Arwina. Dalam diam dia sedang memujuk hatinya yang dilanda debar.

“Aku doakan kau dengan Hanis berjaya.”

“Terima kasih,” ucap Arwina dan Hanis serentak.

“Aku gerak dululah,” pinta Syafiqah. Mereka saling berbalas salam dan pelukan.

“Berdebarnya!” ujar Arwina. Kedua-dua tangannya memegang dada dengan riak wajah yang cuak.

“Kau ni overlah Win.” Hanis menepuk belakang Arwina.

“Oit! Suka hati kau aje kan tepuk aku. Sakitlah! Nak berlakon sikit pun tak boleh,” rungut Arwina.

“Dah, tak payah nak berlakon. Jom kita teruskan langkah kaki kita ke dewan,” ajak Hanis lalu menarik tangan Arwina.

“Err... perlu ke kau nak guna ayat langkah kaki kita tu?” tanya Arwina.

“He! He! He!” Hanis menghadiahkan sengihan.

Geram Arwina melihat keletah Hanis. Akhirnya dia malas mahu melayan kerenah Hanis. Mereka laju mengatur langkah menuju ke dewan. Mereka mencari guru kelas mereka. Sebaik mereka melihat kelibat Cikgu Razif yang sedang duduk di satu sudut, mereka pantas menuju ke arah Cikgu Razif.

“Hanis, Arwina, apa khabar?” tanya Cikgu Razif mesra sambil mencari kertas keputusan mereka.

“Alhamdulillah, sihat,” jawab Hanis dan Arwina serentak.

“Tahniah Arwina, kamu lulus dengan cemerlang,” ujar Cikgu Razif.

Mata Arwina bercahaya.

“Betul ke cikgu?” soal Arwina mahukan kepastian lalu menyambut kertas keputusan yang diberikan oleh Cikgu Razif. Dia terkejut menilik kertas keputusan tersebut.

“Hanis! Aku lulus. Aku dapat 3.85.” Arwina memeluk erat tubuh Hanis. Air matanya mengalir tanpa dapat ditahan.

Hanis membalas pelukan Arwina. Dia mengucapkan syukur atas kejayaan Arwina.

“Hanis, tahniah awak lulus dengan cemerlang dan awak merupakan pelajar terbaik sekolah ni dan terbaik di peringkat negeri.”

Hanis terkasima. Dia bagai tidak percaya dengan apa yang didengarinya.

“Betul ke cikgu?” tanya Hanis ragu-ragu. Bimbang jika dia tersalah dengar. Almaklumlah dia ni kadang-kadang suka berimaginasi.

“Betul.” Cikgu Razif mengiakan sambil mengangguk.

Hanis menyambut huluran kertas keputusan daripada Cikgu Razif. Dengan lafaz bismillah, dia melihat keputusannya.

“Win, aku dapat four flat!” jerit Hanis tidak semena-mena. Dia bagai terlupa dia berada di mana ketika itu.

“Ehem!” Cikgu Razif berdeham. Hanis dan Arwina memandang Cikgu Razif. Mereka menyengih sambil menunjukkan isyarat peace kepada Cikgu Razif. Muka kedua-dua mereka memerah kerana menahan malu.

“Maaf, cikgu. Teruja sangat!” beritahu Arwina.

“Cikgu faham.”

“Tahniah Hanis. Aku tahu kau boleh lakukannya.”

“Ibu, ayah, Hanis dapat four flat,” bisik Hanis perlahan. Kalaulah ibu dan ayahnya ada di situ saat ini, pasti dia akan memeluk erat kedua-dua orang tuanya itu.

“Terima kasih cikgu,” ucap Hanis.

“Win, Hanis, ni hadiah untuk kamu berdua.” Cikgu Razif menghulurkan dua bungkusan yang berbalut kemas. Satu diberikan kepada Hanis dan satu lagi diberikan kepada Arwina.

“Untuk apa ni cikgu?” tanya Arwina hairan.

“Untuk kejayaan kamu berdua dan sebagai pendorong semangat untuk kamu berdua terus berusaha lebih gigih lagi. Saya doakan kamu berdua berjaya di luar sana.”

“Terima kasih cikgu,” ucap Hanis dan Arwina serentak.

“Jasa cikgu kami takkan lupakan,” ucap Hanis lembut.

“Betul kata Hanis tu cikgu. Macam mimpi aje buat saya bila dapat keputusan sebaik ni,” ujar Arwina pula.

“Dah jadi tanggungjawab saya sebagai guru untuk mendidik kamu semua. Selebihnya, terpulang pada diri sendiri, sama ada nak berusaha atau tak.”

“Betul kata cikgu tu. Hmm... betul sangat-sangat.” Arwina menyokong kata-kata Cikgu Razif.

“Kami minta diri dulu cikgu. Assalamualaikum,” pinta Hanis.

“Waalaikumussalam.”

Malas Hanis mahu berlama-lama di situ. Sebenarnya, dia sudah tidak sabar untuk pulang.

Mereka berlalu meninggalkan dewan. Cikgu Razif menghantar mereka dengan senyuman penuh bangga.

“Win, aku nak ke surau dulu. Aku nak buat sujud syukur,” pinta Hanis.

“Jomlah.”

Mereka mengatur langkah ke surau.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.