Daftar   |      Log Masuk   |   Terlupa password
Home Novel Keluarga Hakikat Sebuah Derita
Hakikat Sebuah Derita
chema
25/4/2018 12:01:36
3,348
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 7

Kehidupan baru sahaja dimulai beberapa minit yang lalu. Rutin harian kembali lagi seiring kabus yang masih kelihatan dicelah-celah dedaunan. udara masih dingin namun terasa nyaman dan menyegarkan. Ribuan larik cahaya matahari menerobos memancar dari celah-celah pepohonan bagaikan memberi sejuta harapan bahawa hari baru semakin bersinar gemilang. 

Aiman berdiri dalam keadaan resah menanti seseorang dimuka pintu pagar sekolah dengan lengkap berpakaian seorang pengawas. Dan kebetulan pula dia bertugas menutup pintu pagar sekolah bersama cikgu Bakri yang telah bersiap sedia dengan rotan ditangan. Burung-burung mula berkicau terbang ke sana ke mari seolah-olah sedang meraikan hari keramaianya memulakan hari baru dengan semangat baru. Tetapi tidak ada yang peduli akan pemandangan indah begitu. Aiman masih gelisah, selalunya sebelum loceng berbunyi kelibat Nurin akan muncul disebalik lalang-lalang namun sehingga detik ini wajah Nurin belum lagi kelihatan. Perkarangan hadapan pintu sekolah semakin lengang apabila pelajar-pelajar yang datang ke sekolah semakin berkurangan memandangkan waktu loceng berbunyi semakin hampir. 

Terteleng-teleng kepala Aiman menjengah ke jalan, sama sibuknya seperti ibu murai yang sedang berkicau didahan. Entah kenapa hatinya resah, bimbang bercampur menjadi satu rasa yang kurang menyenangkan. Figura itu masih belum kelihatan. Jam dipergelangan tangan sudah beberapa kali ditatapnya berharap agar masa terhenti sebelum pintu pagar sekolah tertutup untuk Nurin. Mata dilirikkan kearah cikgu Bakri yang sedang memerhatikannya. Tangan itu tergengam sebatang rotan sepanjang satu meter bersiap sedia menyambut pelajar yang bakal menerima ‘hadiah’ kelewatan datang ke sekolah. Sekali pandang cikgu Bakri seperti ahli sihir bersama penyapunya menunggu mangsa untuk diterkam. Cara cikgu Bakri suka menghukum daripada memberi nasihat tidak digemari oleh kebanyakan guru namun mereka tidak berani meluahkan memandangkan cikgu Bakri guru disiplin sekolah. 

Aiman tidak sanggup lagi melihat telapak tangan bersih itu terluka untuk sekian kali dan untuk itu dia berdoa didalam hati agar Nurin cepat-cepat sampai ke sekolah sebelum loceng waktu bermulanya persekolahan berbunyi. Rasyid, selaku rakan setugas yang menjaga pintu utama hanya memerhati tingkah Aiman. Melihat keadaan itu rakan itu mula bertanya dengan bahasa tubuh. Kening itu terangkat bertanyakan ‘kenapa’. Aiman hanya sekadar senyum kelat menjawab soalan yang difahami itu sebelum seluruh pemikirannya ditumpukan ke luar pintu pagar. Masa semakin suntuk. Tidak ada sakit yang paling sakit apabila terpaksa menunggu sesuatu yang belum pasti begitulah yang dirasakan Aiman dan jika diikutkan rasa hati mahu sahaja dia berlari mencari Nurin dirumahnya. 

“Aiman..” seru cikgu Bakri dengan suara tegas seakan dapat membaca apa yang ada difikiran Aiman ketika itu. Dia menunjukkan jam dipergelangan tangannya memaklumkan kepada Aiman masa untuk menutup pintu pagar semakin tiba. Aiman pasrah perlahan-lahan pintu itu ditarik namun sebaik sahaja pintu itu ingin dikuncinya terdengar suara gemersik seseorang menahannya daripada meneruskan perbuatan itu. 

“Tunggu!..” jeritan suara nyaring itu mematikan tindakan Aiman. Suara itu tidak asing dipendengarannya. Sedikit demi sedikit muncul susuk itu di sebalik lalang-lalang setinggi dada orang dewasa yang menelan seluruh tubuh itu sebentar tadi.

Sosok tubuh itu berlari pantas menghampiri pintu pagar sekolah seperti orang sedang dikejar anjing. Tudung putih yang semakin lusuh itu mengerbang mengikut rentak pergerakan empunya diri. Beg sekolah hijau lumut yang sudah lusuh itu melantun ke sana ke mari tetap setia disisi Nurin. Aiman terpinga-pinga namun sebentar kemudian perlahan-lahan senyuman mula terukir dibibirnya mengambarkan jiwa resahnya lepas bebas diawangan. 

Nurin sedang berlari menghambat masa. Pintu pagar dibuka sedikit lebar memudahkan tubuh kecil itu melepasinya. Dia tidak sanggup lagi melihat tangan kecil itu terguris cukuplah beberapa libasan semalam melekat ditelapak tangan Nurin. 

Melihat senyuman manis terukir dibibir Nurin, terasa lapang dada Aiman. Terbongkok-bongkok tubuh Nurin melepas lelah. Menyedari perubahan wajah cikgu Bakri dihujung sana, Aiman tayang jam dipergelangan tangannya. Biar cikgu Bakri tahu masih tinggal satu minit lagi sebelum waktu sebenar pintu pagar ditutup. Aiman tidak mahu cikgu Bakri mengambil kesempatan lebih-lebih lagi terhadap Nurin. Melihat cikgu Bakri mengalah dia merasa lega perlahan-lahan senyuman kemenangan terukir dibibirnya namun tidak lama bertahan apabila senyuman dibibir itu mula mengendur dan kaku sebaik sahaja terpana melihat beberapa kesan lebam pada mata dan wajah Nurin. Tiada kata yang mampu diucap Aiman, terasa kering rengkungnya ketika itu.

Nurin segera menunduk sebaik tersedar wajahnya yang lebam-lebam telah menjadi tatapan Aiman. Dia terlupa menyembunyikan wajahnya yang lebam tentu sekali menakutkan pada pandangan Aiman. Tengoklah sekarang inipun senyuman Aiman terus mati. Nurin mengatur langkah dia tidak mahu Aiman bertanyakan hal semalam, kisah duka hidupnya biarlah dia sendiri yang simpan. Dia tidak mahu meraih simpati ataupun menyusahkan sesiapa. 


“Nurin!”


Panggil cikgu Bakri apabila melihat Aiman berdiri kaku. Dia ingin tahu apa yang membuatkan Aiman terus diam terpaku sedangkan wajah itu cukup ceria melihat Nurin melepasi pintu pagar sekolah sebentar tadi. ah anak-anak sekarang sudah pandai bermain perasaan.

 Langkah Nurin terpasung. Suara itu kedengaran menakutkan. Nurin berusaha memberanikan diri menghadap cikgu Bakri. Mujur tidak ramai pelajar dikawasan itu hanya tinggal beberapa orang pengawas yang bertugas. Nurin mengangkat wajah menentang pandangan cikgu Bakri yang menjadi punca dia menerima penangan ayahnya. 

 “Ada apa cikgu” Soal Nurin setelah melihat cikgu Bakri pegun beberapa saat. Apakah dia akan didenda juga kerana kelewatannya.

Sebaik sahaja terpandang akan wajah Nurin muka cikgu Bakri terus berubah.

“Esok jangan lambat lagi.” Pesan cikgu Bakri demi menutup rasa terkejutnya langsung tidak menduga tindakan Kadir kepada Nurin sudah diluar batasnya. Rasa bersalahnya datang seketika namun rasa egonya yang menggunung membuatkan cikgu Bakri terus berlalu.

Nurin mengangguk dan mengatur langkanh tanpa menghiraukan mata-mata yang memandang simpati kepadanya terutama Aiman yang masih diam membisu.  


Nurin menekur wajahnya ke meja. Sehabis mungkin dia cuba menyembunyikan wajahnya yang lebam namun tidak berjaya apabila dia sendiri terdengar bisikan-bisikan jengkel dari rakan-rakan sekelas. Tubuhnya yang masih terasa lemah dan sakit itu tidak dihiraukan. Nurin tetap juga mahu ke sekolah walaupun sebelum berangkat pagi tadi Gayah seperti berat untuk melepaskan dia pergi. Lagipula dia tidak mahu menyusahkan emak yang terpaksa menjaga Emir dan Ammar yang juga demam. 

Terpisat-pisat Nurin cuba membuka mata. Terasa berat kelopak matanya namun dia tetap gagahi juga. Perlahan-lahan tubuhnya dikerah bangun dari pembaringan walaupun masih lagi terasa sengal dan ngilu pada bahagian yang dipukul.

“Kakak dah bangun? Kakak tak payah lah ke sekolah ya lagipun badan kakak panas ni, tak sihat. Ammar pun sama”  Ucap Gayah menyelimuti badan Ammar yang demam sejak malam tadi. Sengaja Gayah tidak mengejutkan Nurin, biarlah Nurin berehat sehari dua. Luka dibelakang Nurin pun masih belum kering lagi. Lebam-lebam pada wajahnya mula kelihatan. Hati Gayah tersentuh cuba disembunyikan airmata yang hampir menitis.

“Ammar demam mak?” perlahan suara itu bertanya.


Gayah angguk sekali.


Nurin mendekati Ammar yang terbaring lesu. Terlihat bibir kecil itu merekah merah. Panas badannya membuatkan Nurin melepas nafas kesal. Kasihan Ammar kerana mempertahakannya dari dipukul ayah, badan kecil itu pula yang menjadi mangsa.

“Mak jangan risau ya kakak tak apa-apa, kakak dah sihat.” Beritahu Nurin cuba menghilangkan kebimbangan pada orang tuanya. Dia sengaja menunjukkan kekuatan walaupun tubuhnya terasa amat lemah. Bahu emaknya dipeluk erat sebelum Nurin cepat-cepat beredar ke bilik air.

Gayah termenung. Airmatanya tumpah lagi dikesatnya dengan hujung lengan baju. Anak sulungnya tidak pernah kenal erti mengalah. Dia tahu Nurin sedang menahan sakit. Suara itu cukup untuk membuktikan segala-galanya. Hati ibu mana yang tidak risau namun apalah dayanya. Gayah sungguh kesal dengan sikap suaminya tergamak memukul dua beradik itu tanpa rasa belas kasihan.

Nurin yang telah lengkap berpakaian sekolah mendekati Gayah yang sedang termenung jauh. Nurin memahami perasaan emaknya sebab itulah dia mahu ke sekolah supaya dia tidak membebani emaknya nanti. 

Sekali lagi badan itu dirangkul dari belakang membuatkan Gayah tersentak. Senyuman bersama airmata terbit dan terzahir dalam waktu yang sama. Nurin anak yang baik, penyanyang dan bertangungjawab. Anak sulung inilah yang selalu membantu meringankan bebannya. 

“Mak tak payah risaukan kakak ya kakak dah besar, lagipun peperiksaan dah nak dekat nanti kalau kakak tak pergi sekolah takde siapa nak ajar kakak. Tentu mak nak tengok kakak naik pentas terima hadiahkan?” pujuk Nurin lalu menghadiahkan satu kucupan hangat ke pipi Gayah. Lama. Bagaikan disitulah tempat dia meluahkan rasa yang terpendam.

“Mak, kakak pergi dulu ya doakan kakak yang baik-baik. Assalamualaikum mak.” pipi emaknya dicium sekali lagi selepas itu cepat-cepat Nurin melangkah pergi. Tidak sanggup dia melihat airmata emaknya menitis lagi cukuplah yang kelmarin.

“Nurin makan dulu” Laung Gayah tergesa-gesa bangun mendapatkan Nurin yang sedang berlari meninggalkan rumah kerana sudah terlewat. 

Allah! Gayah terduduk. Susuk tubuh Nurin tenggelam dek lalang-lalang yang tumbuh menghijau. Kerana terlau asyik melayan perasaan dia tidak sedar Nurin pergi tanpa menjamah sarapan. Jatuh lagi airmatanya. Pandangannya berkabus melihat sebiji pau putih beritikan kacang itu tidak terusik didalam piring. Duit belanja juga tidak sempat diberikan kepada Nurin. Mampukah anaknya itu bertahan sehingga pulang dari sekolah. Tangisannya mula kedengaran. Dia tidak sanggup melihat anaknya berlapar namun apakan daya dia tidak mampu walaupun dia sehabis daya berusaha.

Melihat dua anak lelakinya yang masih lena itu hatinya bertambah rawan. Airmata yang tidak henti-henti mencurah itu disekanya dengan lengan baju. Gayah merasakan hidupnya semakin sukar ditambah lagi dengan sikap Kadir yang langsung tidak mahu berubah. Suaminya itu sudah hilang sikap bertanggungjawab lebih meruntun jiwa seorang ibu apabila terdengar Ammar mengigau dalam tidurnya meminta tolong supaya kakaknya tidak dipukul. 

Allah!


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.