Home Novel Islamik 7 Masjid Eropah
7 Masjid Eropah
fiona izy
10/6/2018 13:28:13
7,542
Kategori: Novel
Genre: Islamik
Senarai Bab
Bab 4

“Pagi ini kelas Umar jam berapa, nak?” soal ibu.

Umar menoleh ke arah jam yang terletak di dinding ruang makan.

“Jam 10 pagi nanti. Kenapa, bu?” soal Umar. Mungkin ibunya mahu meminta bantuannya. Selalunya soalannya seperti itu.

“Ibu nak ke sekolah hari ini, ada kelas tambahan untuk anak-anak ibu. Boleh bantu ibu belikan barang untuk ibu masak buat spagheti esok?” tanya ibu. Walaupun ibu tahu jawapan Umar pasti tidak akan mengecewakannya tetapi ibu khuatir jika Umar tiada masa untuk membantunya.

Umar mengangguk. Dia hanya melihat ibu mencedukkan nasi goreng daging ke dalam pinggannya. “Kita ada tetamu esok?” Bola mata Umar bulat.

“Esok anak-anak ibu akan datang ke sini. Ada seorang anak ibu mahu berpindah. Jadi ibu buat makan-makan sikit.”

Umar mengangguk tanpa banyak bicara. Dia menikmati nasi goreng daging kegemarannya.

“Erm, untuk 24 orang makan, kan ibu?” tanya Umar. Anak-anak yang dimaksudkan oleh ibunya ialah anak-anak didiknya di tingkatan lima. Umar selalu mengetahui ragam anak-anak ibu di sekolah. Ada saja ibu mengadu itu ini perihal anak-anak didiknya itu. Selalunya hal-hal gembira sahaja ibu ceritakan.

Apa yang penting, Umar tahu ibunya tidak sunyi kerana anak-anak didiknya sudah dianggap seperti anak-anak kandung sendiri. Umar juga mengenali sebahagian daripada mereka.

Setelah menyelesaikan sarapannya pagi itu, Umar mendekati ibu yang duduk di hadapannya. “Ibu, Umar gerak dahulu ya. Kelas Umar habis petang ini. Assalamualaikum ibu.”

“Walaikumsalam.” Ibu lantas berdiri sebelum menyambut tangan anaknya. Dia mencium pipi Umar saat anaknya mahu pergi ke kelas lukisan.

 

 

Sejak setahun yang lalu Umar sudah mengikuti kelas kaligrafi ini di bawah bimbingan Encik Musa. Sejujurnya, Umar senang apabila berada di bawah bimbingan Encik Musa. Bermula dari tiada penetahuan dan kemahiran berkenaan lukisan, kini Umar mampu melukis pelabagai jenis karya kufi.

“Lukisan kamu sudah siap, Umar?” tanya Encik Musa ketika lelaki itu berada di hadapan ketika selesai melihat hasil karya kufi pelajar di barisan hadapan.

Umar memandang Encik Musa. Lelaki itu seperti tidak sabar mahu melihat karya yang sudah dihasilkan oleh Umar. Guru lukisannya walaupun tidak sempurna seperti orang lain, tetapi tidak menjadikan kekurangannya sebagai penghalang untuk mencari rezeki. Lelaki berkerusi roda itu meraih pendapatannya dari jualan lukisan kufi di jalanan.

“Sudah, Encik Musa.” Dia tersenyum.

Umar lalu menunjukkan satu lukisan berukuran dua kaki lebar dan dua kaki panjang yang dibuat sepanjang kelas hari ini. Seperti biasa, guru lukisannya akan melihat lukisan itu penuh kosentrasi sambil mengangguk-angguk.

Encik Musa tersenyum dengan senyuman khasnya.

Umar hanya melihat sahaja reaksi Encik Musa. Dia menyenangi Encik Musa sejak mula lelaki itu menjadi tenaga pengajar dalam kelas kaligrafi ini.

Dia sabar, ramah dan tidak mudah emosi. Itu pendapat Umar tentang guru lukisannya.

“Surah al-Ikhlas. Syabas Umar. Kamu dapat melukisnya dengan baik.” Guru lukisannya memuji hasil karya anak didiknya. Dahulu, ketika Umar baru sahaja mengikuti kelas lukisannya, Umar jarang mendapat pujian.

Ketika awal penyertaan Umar dalam kelas itu, hasil karyanya langsung tidak menepati cita rasa Encik Musa sebagai tenaga pengajar. Tetapi, setelah berjuang selama setahun, Umar mampu menghasilkan lukisan kufi dengan baik dan bermutu tinggi pada pandangan Encik Musa.

“Bagus Umar, ini semua hasil usaha kamu kerana kamu juga tidak pernah meninggalkan kelas ini.” puji Encik Musa lagi. Umar rajin menghadiri kelas. Masakan tidak, anak muda ini tidak pernah gagal hadir ke kelas yang diadakan dua hari seminggu sepanjang setahun yang lalu.

“Encik Musa, saya fikir mahu mula menjual hasil karya saya ini jika Encik Musa rasa lukisan ini bagus.” kata Umar. Umar mahu menjadi pelukis. Justeru itu, kelas lukisan kufi yang diikutinya membawa cita-cita Umar seperti yang pernah diimpikan.

“Tentu boleh. Karya yang kamu hasilkan cantik dan menarik. Aku juga sukakannya.” jelas Encik Musa. Matanya menatap karya yang ada di hadapannya ini.

“Kan bagus jika ramai anak muda seperti kamu mendalami seni Islam ini. Sayangnya, anak muda hari ini suka membuang masa dengan kegiatan tidak berfaedah. Aku suka jika anak muda terlibat dengan kegiatan seni kufi ini. Kau tahu Umar, ketika Cordoba berada di puncak kemajuan, terdapat 170 wanita yang mahir menulis kitab suci al-Quran dengan huruf kufi yang indah.” cerita Encik Musa. Dia menghela nafas panjang.

Umar yang mendengar fakta sejarah itu hanya mengangguk.

“Insya-Allah Encik Musa, mungkin kelas lukisan ini sebagai permulaan Encik Musa memperjuangkan kembali karya kufi ini.”

“Bukan aku Umar, tetapi kamu. Kamu yang aku pertanggungjawabkan untuk menyebarkan keindahan lukisan kufi ini. Aku mahu melihat karya kufi ini berada di mana-mana pelosok dunia suatu hari nanti.”

“Insya-Allah Encik Musa. Mudah-mudahaan makbul harapan Encik Musa. Doakan saya tidak jemu dalam usaha ini, manalah tahu, jika dalam masa yang sama lukisan ini mampu menarik perhatian yang bukan Islam untuk mendekati Islam.”

Encik Musa mengangguk kemudian mengaminkan kata-kata Umar yang berupa harapan itu. Lelaki itu melangkah pula melihat karya kufi pelajar yang lain.

Umar mula menambahkan beberapa warna untuk mengindahkan khat kufi yang baru sahaja dilukis. Ingatannya mula kembali kepada minggu-minggu pertama ketika kelas Encik Musa ini diadakan. Sepanjang pengajian tersebut dia mula mempelajari 7 kaligrafi seperti Khat Kufi, Khat Thulus, Khat Farisi, Khat Riq’ah, Khat Diwani, Khat Diwani Jali dan Khat Raihani.

Tetapi Umar lebih suka memilih Kaligrafi Khat Kufi sepanjang menghasilkan karya di bawah bimbingan Encik Musa. Hal ini kerana, Umar menyukai sejarah yang ada dalam perkembangan khat kufi.

Bentuk awal khat ini telah sedia ada sebelum Islam, dengan bentuknya yang bersegi dan murabba. Pada zaman Khalifah Ali bin Abi Talib, ibu kota pemerintah dipindahkan dari Madinah ke Kufah. Pada masa itulah para ahli khat di kota tersebut menggunakan khat ini secara rasmi dengan meluas, di samping menyempurnakan dan memperkembangkannya sehingga khat tersebut terkenal dengan nama khat Kufi sempena nama bandar Kufah itu.

Tulisan gaya ini digunakan sebagai perhiasan pada zaman pemerintahan Abbasiyah pada masjid, gedung-gedung pemerintahan, kubah atau menara azan dan ditulis dalam bentuk ukiran timbul.

Lalu, Umar mula memasang angan-angan. Bukankah indah jika dia sendiri mampu menyebarkan luaskan khat Kufi ini ke seluruh dunia?

Encik Musa pula sentiasa berdoa agar Tuhan makbulkan impiannya melihat anak muda ini berjaya. Dia mahu Umar menjadi orang berguna dan anak yang baik. 

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh fiona izy