Home Novel Fantasi NERAKA DUNIA
NERAKA DUNIA
MahzuzWafa
17/4/2017 18:55:34
7,314
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Senarai Bab
Bab 6
BAB 6

MENEMPUH kehidupan yang tiada penghujung, masih terdapat dua pasangan yang saling setia walaupun beratus-ratus tahun telah lama berlalu.Pasangan pertama adalah Raja Mahdi yang tidak lagi berkahwin selepas kematian isterinya, Hanna. Dan, pasangan kedua adalah Adam dan isterinya Hawa. Adam dan Hawa diberi keistimewaan dengan memiliki 'photographic memory'. Maknanya apa sahaja yang telah dipelajari, ilmu tersebut akan terus kekal dalam ingatan mereka. Ketika Ulama Idris telah berhijrah keluar dari Pulau Segitiga Bermuda, Adam dan Hawa dilantik menjadi penasihat Raja Mahdi dan tinggal di dalam istana. Merekalah yang akan memastikan ajaran Islam yang dibawa oleh Ulama Idris tidak dilupakan dan akan terus diamalkan.

Setelah doa mereka untuk hidup kekal abadi tercapai, Adam dan Hawa mengembara ke seluruh pelusuk dunia untuk menimba ilmu. Namun bala bencana akibat Bumi dilanda tahi bintang menyebabkan banyak buku-buku dan kitab-kitab agama yang telah rosak dibinasakan. Tetapi rupa-rupanya masih terdapat 4 buah kitab iaitu Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran masih terpelihara oleh sebuah kerajaan yang tinggal di kawasan Kutub Utara. Jadi Adam dan Hawa mengembara ke sana. Sampainya mereka, Adam dan Hawa terkejut kerana penduduk di situ menjadikan api sebagai bahan pemujaan. Semua ini disebabkan mereka tidak memahami bacaan Al-Quran iaitu bahasa Arab. Namun Adam dan Hawa tidak dapat melakukan apa-apa kerana kehidupan pada zaman ini tidak lagi terikat dengan dosa mahupun pahala. Jadi amalan sesat itu dibiarkan berlalu kerana tujuan asal mereka hanyalah mahu mengkaji keempat-empat kitab tersebut.

Kedatangan Adam dan Hawa disambut meriah memandangkan mereka adalah golongan dari Generasi A yang sudah hidup lebih dari 900 tahun. Namun begitu penduduk Kerajaan Kutub Utara mahukan bukti sebelum keinginan mereka untuk membaca 4 buah kitab tersebut mendapat keizinan dari Raja mereka. Jadi, Hawa memerhati dari tepi ketika Adam melangkah masuk ke dalam unggun api yang dijadikan sebagai bahan pemujaan itu tanpa rasa takut mahupun gentar. Mereka semua terpegun tatkala api membakar seluruh tubuh Adam. Selalunya akibat rasa sakit yang melampau, mereka yang kesakitan akan jatuh pengsan. Tetapi Adam masih mampu berdiri tegak walaupun kulit dan dagingnya sudah habis rentung akibat nyalaan api yang begitu marak membakar tubuh sehingga menampakkan seluruh rangkanya yang berkilat seperti besi keluli. Bahkan Adam sedikit pun tidak meronta-ronta apatah lagi meraung mahupun menjerit. Seolah-olah dia kebal dari segala kesakitan. Mungkin inilah kelebihan mereka yang telah hidup terlalu lama.

Selepas seketika rangka Adam berjalan menjauhi unggun api yang masih menyala dan menghampiri Raja mereka yang masih tergamam memerhati dari singahsana. Dalam sekelip mata seluruh isi daging dan kulitnya menumbuh dengan pantas sekali. Berbeza dengan mereka yang lahir selepas dari Generasi A yang memerlukan tempoh masa yang lama seperti mana luka pada jari pun memerlukan beberapa minggu untuk pulih semula. Ternyata Adam sangat istimewa namun Sang Raja masih belum berpuas hati. Terpaksalah Adam menggunakan kekerasan.

Leher Raja Kerajaan Kutub Utara dicekak kasar dan tubuh Sang Raja yang gemuk gedempol diangkat tinggi dengan menggunakan sebelah tangannya sahaja. Adam tersenyum sumbing takala melihat raja tersebut meronta-ronta akibat kelemasan. Selepas sedetik berlalu, tubuh Sang Raja tersebut terkulai. Kemudian ketika raja itu kembali tersedar, dia meronta-ronta lagi akibat lehernya yang masih dicekak oleh Adam. Penyeksaan itu dilakukan berulang-ulang kali sehingga Sang Raja sudah terkencing dan terberak akibat kesakitan yang teramat sangat. Itulah rasa sakit sakaratul maut. Melihat raja mereka yang terseksa, rakyat Kerajaan Kutub Utara mahu memberi bantuan namun mereka semua hanya mampu berdiri terpaku akibat terlalu takut dengan kekuatan Adam yang luar biasa. Makanya Hawa terpaksa masuk campur dan memujuk Adam sehingga leher Sang Raja dilepaskan. Namun begitu, Raja Kerajaan Kutub Utara masih angkuh dan tetap berdegil. Raja mahukan pertukaran yang setimpal tetapi apakah yang Adam dan Hawa mampu tawarkan pada Sang Raja yang sudah memiliki segala kekayaan dunia. Terpaksalah mereka membuka rahsia yang telah lama dipendamkan. Kisah tentang kewujudan Pulau Segitiga Bermuda yang menjadi tanah jajahan Raja Mahdi. Dari situ penduduk dan Raja Kerajaan Kutub Utara mengetahui akan perihal asal usul kejadian mereka yang boleh hidup kekal abadi untuk selama-lamanya.

Kitab suci Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran disimpan di dalam sebuah gua kristal yang sejuk beku. Memandangkan Adam dan Hawa kebal dari sebarang cuaca mahupun suhu, kitab-kitab suci tersebut mula dikaji. Tanpa sedar, Julia iaitu cicit kepada Raja Kerajaan Kutub Utara sedang memendam perasaan terhadap Adam yang masih setia dengan Hawa. Dia mendapatkan Hawa untuk bantuan dan ternyata Hawa mahu merealisasikan impian tersebut. Adam menjadi begitu marah dengan saranan Hawa yang mahu mengahwinkan dirinya dengan Julia. Hawa lakukan bersebab. Selama dia bersama Adam, mereka tidak dikurniakan sebarang cahaya mata. Jadi Hawa mahu memastikan adakah dirinya yang mandul atau sebaliknya. Setelah didesak, Adam terpaksa mengalah kerana Hawa mengugut akan meninggalkannya nanti. Perkahwinan Adam dan Julia diadakan secara besar-besarnya.

Satu khabar berita gembira tiba ketika tidak sampai 3 bulan usia perkahwinan Adam dan Julia. Ternyata Hawa yang bermasalah selama ini kerana Julia sudah disahkan mengandung. Adam begitu gembira namun Hawa berduka lara. Setelah sekian lama mereka kebal dari sebarang perasaan, Hawa menitiskan air matanya dan menangis dalam diam. Betapa hatinya sedang terluka. Adam berasa serba salah dan pergi memujuk Hawa semula. Sewaktu itulah Julia mendapat tahu bahawa Hawa adalah isteri Adam yang sebenar kerana sebelum ini Hawa membohonginya dengan menyatakan bahawa hubungan dia dengan Adam hanyalah adik beradik. Julia tidak sampai hati melihat pasangan yang saling menyintai terus bersedih. Julia melepaskan Adam semula kepada Hawa tetapi Adam pula tidak mengizinkannya. Keinginan untuk menjadi seorang ayah telah terlalu menebal dalam diri. Kini penantiannya telah pun berakhir. Hawa tiada pilihan dan terpaksa menerima akan kehadiran Julia yang sudah menjadi sebahagian dari Adam. Namun begitu Adam lebih menyayangi Hawa menyebabkan Julia cemburu.

Pada suatu malam, Julia menikam jantung Adam mengunakan pisau belati. Julia menjadi terkejut saat Adam terjaga dari tidur dengan wajah yang tenang sedangkan darahnya sedang memancut keluar dari dada. Adam berterus terang. Sebenarnya bukan setakat rasa sakit yang tidak lagi dirasai tetapi semua deria rasanya telah lama lenyap. Mereka juga tidak tidur. Hanya mata sahaja yang terpejam. Alam mimpi tidak lagi menjelma. Bahkan mereka juga tidak lapar. Mereka makan hanya untuk memastikan badan mempunyai zat agar tubuh dapat bergerak. Ini kerana manusia berevolusi. Mungkin sebab itu Hawa tidak begitu cemburu kerana Hawa tahu kehangatan tubuh Julia tidak akan dirasai oleh Adam. Apa yang berlaku hanyalah satu tindakan refleks dari mata yang masih mampu melihat. Adam dapat merasakan suatu hari nanti, deria penglihatan dan pendengaran ini juga akan turut diambil semula kerana alam dunia tidak akan bersifat kekal selamanya. Apa yang telah dijanjikan dalam kitab-kitab pasti bakal berlaku. Itulah hari pembinasaan dimana Bumi dan seluruh alam semesta bakal hancur musnah. Sebab itu Adam mengkaji kitab-kitab tersebut untuk mencari jalan penyelesaian. 

Ternyata ada jawapan dari setiap persoalan. Adam dan Hawa terpaksa kembali semula ke Pulau Segitiga Bermuda untuk bertemu Raja Mahdi. Hanya dia, Sang Raja berdaulat yang telah berdoa untuk kehidupan kekal abadi mampu menarik balik sumpahan tersebut. Tetapi Adam tidak terus ke sana memandangkan Julia bakal melahirkan anaknya yang pertama tidak lama lagi. Adam teruja untuk mengetahui jantinanya namun satu bala berlaku. Bumi dilanda gempa yang maha dahsyat. Untuk sekian lama mereka tidak merasai apa-apa lagi, Adam dan Hawa merasai getaran yang bergegar bagaikan Bumi hampir hancur. Mereka berdua cuba lari keluar dari istana namun langkah mereka terhenti akibat terasa satu tekanan kuat sedang menghempap mereka dari atas. Seolah-olah Bumi sedang mengalami satu tarikan graviti yang sangat tinggi sehingga mereka hampir terduduk. Rupa-rupanya hanya mereka yang lahir pada Generasi A sahaja masih mampu bertahan dengan tekanan gelombang yang cukup kuat itu.Generasi-generasi yang lain telah lama pengsan dan tubuh mereka kelihatan hancur berkecai sehingga menampakkan rangkanya sahaja. Julia turut juga tidak terkecuali. Hasrat Adam ingin menjadi seorang ayah,terkubur. Kandungan isterinya telah gugur. Dari saat itu Adam bertekad untuk tidak mahu terus menunggu. Adam akan kembali bertemu dengan Raja Mahdi kerana sesuatu malapetaka yang paling buruk bakal terjadi tidak lama lagi.


KERAJAAN Raja Ramses yang terletak di Mesir turut tidak terkecuali mengalami gempa yang serupa. Ketika itu rakyatnya sedang melakukan tarian yang menghairahkan demi menyambut kelahiran Ramses yang entah keberapa ratus kali. Oleh kerana dia juga dari golongan Generasi A, segala derianya telah lama hilang seperti mana yang terjadi pada Adam dan Hawa. Jadi untuk memenuhi kemahuan nafsu yang tidak kenal erti penghujung, Ramses menjamu matanya dengan memaksa rakyatnya untuk melakukan tarian bogel. Ketika saat dia sedang berseronok, tubuh badan rakyatnya menggeletar akibat satu tekanan gelombang yang muncul secara tiba-tiba. Selepas itu jasad seorang demi seorang mula berkecai bagaikan tubuh badan mereka sedang diletupkan dengan bom dari dalam. Darah memercik membanjiri halaman perkarangan istana berbentuk piramid. Hanya terdapat seorang pemuda yang tidak dikenalinya sedang berdiri tegak dengan kedua belah tangan dimasukkan ke dalam kocek seluar.

Pemuda itu berwajah hairan memandangkan Ramses masih mempunyai jasad yang sempurna sedangkan rakyatnya sudah pun hancur binasa lalu satu tekanan gelombang yang lebih kuat muncul lagi secara tiba-tiba. Ramses cuba bertahan namun semakin kuat dia bergelut, semakin kuat jugalah tarikan graviti yang terjadi sehingga Ramses tersungkur. Ketika itu barulah Ramses dapat meneka bahawa tarikan graviti tinggi yang sedang berlaku ketika ini terhasil dari pemuda tersebut tetapi siapakah dia? Mengapa dia mempunyai kebolehan yang mampu mengawal graviti sebegini? Dan apakah tujuannya?

Dia adalah manusia yang lahir pada generasi terakhir sebelum melangkah ke abad baru iaitu Generasi Z. Mereka yang wujud dari generasi ini baru hidup tidak lebih dari 38 tahun. Dia ada pelbagai nama. Kewujudannya telah pun diceritakan di dalam al-kitab. Tujuannya hanya satu. Dia dijadikan untuk memusnahkan apa sahaja yang telah diciptakan. Dan kedatangannya sebagai tanda-tanda besar akan ketibaan hari Kiamat kerana dialah si makhluk pemusnah, Dajjal Laknatullah.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh MahzuzWafa