Home Novel Cinta YUMEJIMA
Bab 53

Teaser Buku II: Yoru-no-kaze


Teaser ini adalah bab khas dari Kaisenjyo Buku II: Yoru-no-kaze yang sedang aku siapkan. Ia berkenaan satu watak bernama Yamato Nadeshiko dan juga sedikit berkenaan Amaguri. Aku mulakan teaser ini dengan petikan dari buku ramalan Amaguri iaitu unsur plot yang juga akan diperincikan lagi dalam buku Yoru-no-kaze nanti.


Amaran: Teaser ini panjangnya enam ribu tujuh ratus sembilan puluh empat patah perkataan! Aku selalunya akan ceraikan tulisanku seribu patah perkataan satu bab. Maka teaser ini sepatutnya akan ada sekitar tujuh bab namun aku muatkan semuanya di sini agar boleh dibaca sekali harung.


**


Di bumi nan julung dipanah suria

 

Andai Yamato masih membuas

Darah ditumpah akan dibalas

 

Dua suria bakal digugur

Di belahan suria terbenam

Di belahan Yamato mula berdiam

 

Zaman gemerlap akan berkubur

Zaman baharu akan mengunjur

Bumi Yamato aman makmur


*


“Siapa engkau?”

 

“Apa kaubuat di sini berseorangan?”

 

“Mengapa pakaianmu koyak-koyak? Mengapa wajahmu berparut dan berdarah? Mengapa kakimu luka-luka?”

 

Begitulah soalan-soalan wanita tua itu yang aku dengari sewaktu mencangkung di dalam lubang sebatang pokok yang besar dan tubuhku menggigil kesejukan, kelaparan dan kesakitan. Hutan di utara Honshu ini amatlah sejuknya, kerana angin dari Laut Jepun bertiup tidak henti-henti bila musim luruh kunjung tiba. Daun-daun pun sudah perang dan kirmizi. Siang semakin pendek. Langit selalu sahaja putih dan suram.

 

Aku tidak tahu dan tidak larat menyahut soalan-soalan itu. Namun aku tahu, nadanya ikhlas. Wajah wanita tua itu menatapku penuh kasihan. Dia menghulur tangan yang berkedut. Aku sambut tangannya dan keluar dari lubang pokok. Dia membawaku ke rumahnya, memandikanku dan merawat lukaku. Dia memasak bubur nasi dan ikan namazu bakar, bersama sup rumpai laut. Aku makan dengan lahapnya.

 

Kemudian dia membentangkan futon yang tebal dan selimut yang tebal dihampar ke atas tubuhku. Aku tidur nyenyak malam itu bertemankan cahaya rembulan.

 

Tiba-tiba pintu bilikku diketuk. Lenaku termati, aku membuka mata menongkah kelam malam yang hanya diterangi rembulan dari jendela. Datanglah seorang lelaki lengkap berbaju zirah dan bertopi tanduk, dengan pedang samurai dihunus padaku di perbaringan dan berdiri di muka pintu. Aku lihat wanita tua itu sudah terbaring di lantai luar, berlumuran darah.

 

Lelaki ini menarikku dari perbaringan, dan mengikatku. Kemudian aku diangkut ke dalam sebuah kereta kuda. Kereta kuda meluncur laju merentas hutan utara dan kabus dinihari.

 

Kereta kuda berhenti selepas fajar mula menyingsing. Aku cuba melepaskan ikatan yang membelenggu. Simpulan berjaya kuleraikan. Aku melompat keluar dari kereta kuda dan menyusup ke dalam belukar. Namun lelaki bertopi tanduk yang sedang kencing pada sebatang pokok ternampakkan aku. Aku berlari meranduk belukar tebal hutan utara dan pokok-pokok yang tumbuh jarang-jarang. Lelaki itu mengejarku sambil menjerit-jerit.

 

Aku bersembunyi dalam lubang sebatang pokok. Aku tidak boleh membiarkan diriku ditangkap. Aku tidak mahu lagi kembali ke situ, di mana aku menjadi mainan para tentera Yamato yang sedang memerangi Emishi di sini. Aku salah seorang dari gundik yang dibawa ke sini oleh angkatan perang diraja. Aku tidak mahu melalui detik-detik hitam diperlakukan mereka. Aku lebih rela mati dari menghadapi mereka lagi.

 

Aku mengintai dari lubang kecil pada kulit dalam batang pokok itu. Lelaki itu masih berkeliaran di luar sambil melibas-libas pedang samurainya. Aku menunggu dengan badan terketar-ketar, jari aku gigit demi menahan diri dari menjerit. Aku tahan esak agar tidak didengari.

 

Mujur, lelaki itu dipanggil rakannya. Dia akhirnya meninggalkanku berseorangan. Aku hembus nafas lega. Aku tidak berani keluar dari batang pokok sehingga malam.

 

Namun kala aku ingin keluar membuang air, wanita tua itu muncul pada muka lubang. Aku terkejut melihatkan wajah tuanya yang menakutkan berlatarbelakangkan hutan senja. Dia menarik tanganku, aku menyambutnya dalam teragak-agak.

 

Aku membuka mata, menyedari semua itu mimpi, dan mendapati wanita tua itu sedang memegang tanganku sambil memandangku.

 

“Aku dengar engkau menangis dalam tidurmu.” Kata wanita tua itu.

 

Aku memeluk wanita tua itu seolah dia ibuku yang telah lama tidak aku tatapi wajahnya. Aku tidak tahu dari mana asal-usulku. Sejak usia kanak-kanak lagi aku dibesarkan di rumah pelayan istana di Kyoto.

 

Obaa-chan benarkan aku tinggal di sini. Benarkan aku tinggal di sini! Aku tiada tempat kembali!”

 

“Usah kau bimbang. Tinggallah selama mana yang kau mahu di sini.” Balas obaa-chan dengan penuh lemah lembut. Tangannya menepuk kepalaku.

 

Aku lega dan terharu mendengarkan wanita tua itu menerimaku. Air mataku mengalir deras membasahi pakaiannya. Tangannya menepuk lembut kepalaku.

 

“Siapa namamu nak?”

 

“Nadeshiko. Yamato Nadeshiko.”

 

“Nadeshiko? Indah bunyinya. Apakah engkau dari kerabat diraja?” Soalnya mendengarkan nama keluargaku Yamato.

 

“Ya.”

 

“Dari jalur yang mana? Fujiwara?”

 

“Aku tidak tahu. Maharaja punya banyak isteri dan gundik, aku anaknya yang keseratus sembilan puluh.” Maklumku, sedang aku sendiri meragui pernyataan yang diwariskan penjagaku itu. Sesungguhnya aku tidak tahu siapa ibu dan bapaku, dan nama ini diberikan penjagaku. Mengapa dia memilih Yamato sebagai nama keluargaku juga tidaklah aku ketahui alasannya.

 

Beberapa hari pertama di rumah wanita tua itu aku hanya bergerak di dalam rumah sahaja. Aku bimbang andai aku keluar, tentera Yamato akan menemuiku lagi. Aku tidak mahu lagi bertemu mereka. Mereka pastinya sedang berada berdekatan sini kerana masih berperang dengan orang Emishi.

 

Rumah ini dibina dengan menebuk sebuah busut yang besar, di atas busut itu hanya lumut-lumut hutan dan akar pokok yang sudah mati. Pintunya kecil, dan wanita tua itu menundukkan badan untuk memasukinya, tetapi tidak aku kerana tubuhku yang kecil dan pendek. Pabila wanita tua itu menutup pintu, dia menarik sejenis tali dan jatuhlah langsir melitupi bahagian hadapan pintu sekaligus menyembunyikan rumah ini dari penceroboh.

 

Bahagian dalam rumah ini tidak seperti rumah biasa yang kulihat di Kyoto. Bahagian dalamnya sungguh aneh. Dindingnya dilapik keping kayu-kayu yang dipotong sempurna. Ada dua bilik, dan satu dapur yang tidak punya banyak makanan kecuali ikan kering, dan rumpai laut kering bergantungan. Ada beras yang ditutup dengan jerami dalam tempayan tanah liat di bawah dapur. Kayu-kayu api berlonggokan di tepi dapur untuk memasak dan memanaskan rumah.

 

Obaa-chan...”

 

“Panggil aku nee-chan.”

 

Nee-chan?”

 

“Aku ingin berasa muda, Nadeshiko. Panggillah aku nee-chan.” Ujar nenek dengan senyuman meleret menambah kedut pada wajah dan menampakkan gigi yang rongak dan kekuningan. Namun wajah nee-chan yang senyum itu seolah bersinar di depanku, seolah ada bahagia yang menarik hati dan rasa selamat yang sudah lama tidak aku rasai. Namun wajah nee-chan agak berlainan dari wanita lain di Kyoto, tempat aku berdiam dahulu.

 

“Baiklah, nee-chanNee-chan, dari mana engkau berasal?”

 

“Aku dari puak Emishi juga.”

 

Aku tergamam.

 

“Jadi, mengapa nee-chan menyelamatkanku? Aku dari puak Yamato yang memerangi dan menjajah tanah air kalian?”

 

“Bukankah engkau sedang ketakutan dan kelaparan di dalam pokok itu?” Balas nenek itu. Tambahnya lagi, “Bukankah engkau sedang dikejar mereka?”

 

“Bagaimana nee-chan tahu aku dikejar mereka?”

 

“Dari igauanmu tempoh hari. Engkau meronta-ronta minta dilepaskan dari entah apa. Katamu ‘Aku tidak mahu kembali ke Kyoto.’ Ia benar bukan? Mimpi itu sama dengan apa yang telah engkau lalui bukan?”

 

Nadeshiko mendiamkan diri sejenak sebelum menjawab perlahan.

 

“Benar. Aku dikejar mereka.”

 

“Apa yang telah mereka lakukan terhadapmu?”

 

“Aku dijadikan barang mainan mereka.”

 

Sou desuka... hidoi ne... (benarkah begitu, teruknya).” Ujar wanita tua itu perlahan. “Nadeshiko, usah engkau keluar sehingga mereka beredar. Hanya tetap tinggal di sini, ne?”

 

“Benarkah begitu nee-chan?”

 

“Benar. Usah bimbang, engkau pasti selamat di sini.”

 

“Aku tidak akan menyusahkanmu?”

 

“Tidak, Nadeshiko. Aku senang denganmu sekarang, dan aku senang denganmu sampai bila-bila.”

 

Nadeshiko tidak dapat menahan sebak seraya menangis dan memeluk wanita tua itu.

 

“Nadeshiko, kami tidak pernah menyerang bangsa lain. Segala yang ada di hutan ini cukup buat hidup kami dan kami tidak berkeinginan menakluk dan memerangi sesiapapun. Jika kaum lain datang dan menceroboh tanah kami, maka kami akan melawan. Jika kami bertemu mereka yang dianiaya, maka kami akan selamatkan. Kami berpegang dengan nilai ini.” Kata nee-chan sedang masih memelukku.

 

Nadeshiko terpesona mendengarkan kata-kata dari wanita tua itu. Dia mulai mengaguminya. Dia pernah mendengar Emishi bangsa yang baik, dan menjadi mangsa kerakusan Yamato dan kerana sifat mereka yang tidak melawan dan mundur dari segi ketenteraan. Dalam banyak pertempuran, Emishi hanya melarikan diri dan mundur semakin dalam ke pedalaman. Namun jika mereka nekad memilih untuk bertempur, mereka tidak akan mengalah sekali-kali. Sekali mereka memutus, mereka akan lakukan sehabis baik. Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Emishi bangsa yang nekad namun mundur dari segi senjata.

 

Disebabkan pengunduran mereka, ramai yang lari merentas Selat Tsugaru sehingga ke Pulau Ezo di utara, menyebabkan banyak hutan di utara Honshu ini diduduki orang Yamato akhirnya. Penebangan dan pembakaran hutan berleluasa, haiwan di hutan ini hilang tempat tinggal. Semangat-semangat hutan kepercayaan Emishi atau kamui hilang tempat berdiam dan ketenangan, lantas datanglah malapetaka demi malapetaka. Kamui memberontak, kamui membalas dendam. Hilang tenang datanglah kalut hati. Indah buana hilang gundah gulana datang. Di mana hidup dapat menikmati tenang andai hutan ditebang dan sungai dikotori. Bila kamui amarah, maka alam bergoncang, lahar dimuntahkan. Itu tanda Tuhan tidak merestui kerakusan mereka.

 

Aku berasakan aku terlupa sesuatu lantas bertanyakan kepadanya, “Apa namamu nee-chan?”

 

“Amaguri.”

 

“Namamu nama bangsa Yamato.”

 

“Bapaku memberikan nama ini dan mengajarkan bahasa kalian agar tidak disyaki Emishi dan dibunuh.” Terang wanita tua itu lagi. “Hanya aku dari puakku yang faham bahasa kalian.”

 

Sejak saat itu aku terus melalui hari-hari dengan Amaguri nee-chan di dalam rumah dalam bukit yang ditebuk itu. Apa yang dia masak, itulah yang aku masak. Apa yang dia makan, itulah yang aku makan. Tidak banyak bezanya makanan nee-chan dengan makanan Jepun yang lain yang kumakan di Kyoto sejak kecil. Nasi, ikan dan rumpai laut kering dan supnya adalah makanan biasa. Cuma nee-chan memakan daging haiwan kecil seperti arnab, yang mana aku tidak biasa memakannya. Nee-chan menggunakan pisau yang rendah kualiti dan kerap perlu diasah, tidak seperti pisau kami yang amat tajam dan tidak perlu selalu diasah. Teknologi memproses besi mereka ternyata jauh lebih mundur. Atau mungkin, bijih besi di sini di utara Honshu ini rendah kualiti dan banyak mengandungi bendasing yang menyebabkan pengaratan. Itu yang pernah kudengari dari tentera Yamato yang berbual sesama mereka.

 

Aku mendapati nee-chan kerap mengacau sesuatu di dalam tempayan besar di satu sudut semacam bilik kecil, di bawah tempayan itu ada unggun api. Di dalam bilik itu ada banyak kendi dan bejana tanah liat bertutup dengan gabus dan disusun di atas para.

 

“Apa yang nee-chan sedang lakukan?” Soalku.

 

“Aku sedang mencipta sesuatu.”

 

“Sesuatu?”

 

“Aku ingin lindungi bangsaku. Aku perlu cipta ini sebelum aku terlambat.”

 

Aku mengesan patah “sebelum aku terlambat” di hujung ayat nee-chan namun aku memandang enteng dan tidak mahu menyoal lebih.

 

“Apakah ia?”

 

“Kita tunggu semua kandungan tempayan ini habis mendidih dahulu. Kita lihat apa serpihan yang menunggu di dasarnya. Ayuh, bantuku mengacaunya.”

 

Melihatkan aku yang pendek, nee-chan meletakkan bangku kecil dan meminta aku berdiri di atasnya. Aku diberikan senduk yang panjang. Aku mengacau cecair entah apa di dalam tempayan bersama-sama nee-chan. Selepas lama mengacau, cecair itu kian berkurang dan akhirnya, ia mengering sepenuhnya dan kedengaran bunyi merekah dari dasar tempayan. Aku melihat serpihan-serpihan besar seperti kaca di dasar tempayan. Nee-chan memadamkan unggun di bawah tempayan. Kemudian dia mengikat tali pada keliling mulut tempayan, dan menariknya sehingga ia menyendeng. Kemudian dia mengambil penyodok dan mengeluarkan serpihan-serpihan seperti hablur atau kaca dari dasar tempayan, dan mengumpulkannya di atas sehelai kain.

 

Nee-chan melonggokkan semua serpihan itu ke dalam satu belanga batu dan memanaskannya, sehingga serpihan itu mencair dan bertukar warna jingga. Aku melihat penuh kagum. Nee-chan banyak melakukan aktiviti aneh di sini, tidak seperti Kyoto yang membosankannya dan hanya berkisar tentang upacara teh dan melukis kaligrafi dan berpuisi sehari-hari. Nee-chan amat berbeza, pakaiannya juga berbeza tidak seperti wanita lain di Kyoto. Aku teruja dan aku ingin tahu lebih berkenaan nee-chan. Aku tidak bosan tinggal di sini, aku mahu tinggal dengan nee-chan selama-lamanya.

 

Serpihan yang melebur dalam belanga batu dibiarkan sejuk semalaman. Esoknya, aku melihat nee-chan mengeluarkan serpihan itu yang kini berubah kepada seketul batu berwarna putih. Dia mengambil kapak baru yang tidak pernah kulihat dia menggunakannya, dari dalam sebuah peti di bawah lantai. Kapak itu dibalut kain. Dia mengeluarkannya, dan dapat kulihat wajahku pada permukaan kapak yang berkilat, yang aku yakini besinya bukan dari mereka namun dibeli dari Yamato atau  mungkin dicuri dari tentera Yamato. Nee-chan mengamati batu putih itu dengan memutar-mutarkannya, seolah sedang menghafal seluruh permukaannya.

 

Nee-chan mengapak batu putih itu kepada tiga bahagian. Batu itu tidak menyerpih dan hanya bercerai pada bahagian yang dikenakan mata kapak sahaja.

 

“Mengapa ia tidak menyerpih nee-chan?” Soalku.

 

“Batu ini hanya bercerai pada bahagian tertentu. Aku menghentak pada bahagian itu selepas benar-benar pasti lokasinya.”

 

“Batu apakah ini? Bagaimana ia boleh melindungi bangsamu, nee-chan?”

 

“Inilah tama-no-iwa. Yang engkau kacau di dalam tempayan itu adalah tulang-temulang dan daging burung hayabusa yang banyak di utara ini.”

 

Aku menahan muntah. Rupanya aku mengacau adunan bangkai burung! Namun anehnya, tiada bau busuk langsung, kerana mungkin nee-chan sudah mencampurkan sesuatu ke dalam adunan itu.

 

Tama-no-iwa?” Aku menyoal sambil menekup mulut menahan loya.

 

“Ya. Batu ini akan digunakan untuk menyeru hayabusa-no-kami. Dari situ lembah rahsia tercipta dan kaum kami dapat bersembunyi di dalamnya tanpa dikesan tentera Yamato. Sesuailah dengan kami yang tidak tahu bertarung ini. Dan dengan itu, tentera Yamato boleh menceroboh sepuas-puasnya hutan sini tanpa mengganggu hidup kami lagi.”

 

Mataku mencerlang seolah harapan baru terbit dari ufuk pagi bersama mentari. Aku mula terfikir, alangkah bagusnya jika aku punya batu begini. Aku dapat bersembunyi dari tentera Yamato dan mereka pasti tidak akan menemuiku! Aku tidak tahu bertarung, dan aku amat memerlukannya. Aku amat memerlukannya. Aku tahu nee-chan sentiasa menyimpan dalam buntil kain dan dibawa ke mana-mana sahaja dia pergi. Aku faham, dia tidak mahu batu itu dicuri. Aku faham, dia masih belum mempercayaiku sepenuhnya.

 

Suatu hari, tentera Yamato sampai ke sekitar kawasan rumah kami. Mereka mengesan pintu masuk ke rumah kami. Mereka menendang-nendang dan menghentak pintu itu menggunakan pedang-pedang mereka dari besi berkualiti, sehingga tercabut dan pecah-pecah pintu itu. Amaguri nee-chan dan aku tergamam, kami sedang bersembunyi di dalam sebuah bilik.

 

Amaguri nee-chan membawaku ke sebuah terowong rahsia. Di situ kami menelusur sehingga ke lubang di lantai hutan hinoki.

 

Tentera Yamato sedang berada di belakang kami, di dalam terowong itu. Nee-chan menolak aku agar berlari cepat. Dia mengeluarkan tama-no-iwa dan memberikan kepadaku agar menerangi hadapan terowong. Cahaya itu mengalih perhatian tentera Yamato yang menjerit meminta kami berhenti.

 

“Lari cepat Nadeshiko.”

 

Aku lihat nee-chan termengah-mengah. Aku sedar nee-chan sudah tua. Aku tidak sampai hati meninggalkannya di situ, aku papah dan tarik tangannya jua meskipun dia nampak sungguh tidak berdaya melarikan diri, nafasnya tersekat-sekat, dadanya berombak, mata kembang kecut, tubuhnya berat dan kakinya tersekat-sekat. Tentera Yamato semakin mendekat.

 

“Lepaskan tanganku Nadeshiko, lari cepat. Guna batu itu, lindungi bangsaku dari kekejaman Yamato. Lari!” Tegasnya lagi.

 

“Bagaimana mungkin... tanpa nee-chan!”

 

“Engkau pasti mampu lakukannya sendiri! Beranilah sedikit, Nadeshiko!”

 

Nee-chan, gunakan batu itu. Bukankah ia boleh melindungi bak katamu?”

 

“Tidak.... Aku tidak boleh menggunakannya kerana aku penciptanya. Ia syarat dari hayabusa-no-kami.”

 

Tiba-tiba mata Amaguri terbeliak. Ada mata panah terkeluar dari dada. Darah membasahi pakaiannya. Dia rebah.

 

Dalam rebah Amaguri nee-chan masih menahan sakit luka dan menegaskan pesannya, “Lari Nadeshiko, selesaikan misiku. Lari!” Amaguri menolak tubuhku dalam lemah.

 

Tentera Yamato menghala panah ke arahku. Aku tidak mampu berbuat apa-apa selain berulang kali mulut mengucapkan ampun dan maaf kepada nee-chan. Aku lari jua, sedang panah mula dilepaskan berterbangan ke arahku, mujur satu pun tidak mengena kerana batu tama-no-iwa bercahaya telah aku alihkan dari pandangan mereka. Usai aku tiba di lantai hutan hinoki, aku pecut ke luar hutan.

 

Di mana kaum Emishi? Di mana mereka?

 

Tidak. Bukankah batu ini di tanganku kini? Bukankah aku mahu mencipta ruang yang terhindar dari tentera Yamato?

 

Hatiku berbolak-balik. Apakah aku harus mengabaikan pesan nee-chan dan mementingkan diri saat ini, atau mempedulikannya dan menyelamatkan bangsanya yang sedang teraniaya?

 

Aku mencangkung di tepi sungai dan membasuh wajahku. Aku memandang citra sendiri pada air yang tenang mengalir. Aku tidak pasti. Aku tidak layak langsung. Aku hanyalah seorang budak perempuan. Mana mungkin orang-orang Emishi akan mempercayaiku, lagi pula aku orang Yamato.

 

Namun kudengar mereka bangsa yang baik. Mereka bangsa yang nekad. Aku tahu rahsia kekuatan tentera Yamato. Bahkan aku tahu siapa ketua mereka. Namun apakah Emishi akan mempercayai kata-kata seorang budak perempuan sepertiku?

 

Dan aku mesti membalas budi nee-chanNee-chan telah sudi menerimaku selama ini. Aku tidak sampai hati mengkhianatinya.

 

Tiba-tiba berlari seorang budak lelaki berpakaian aneh meranduk belukar tebal di belakangku yang menyempadani hutan hinoki. Dia nampak seperti sedang dikejar sesuatu. Aku mendengar jeritan yang amat biasa di telinga di kejauhan, seperti jeritan... ya, tentera Yamato. Aku dapat lihat topi tanduk mereka di kejauhan, mengejar dengan pedang terhunus. Mereka di arah yang sama budak lelaki itu berlari.

 

Apakah aku harus mencampuri urusan mereka? Apakah budak itu budak Emishi?

 

Aku tidak tahu. Namun aku tahu, budak itu sedang dianiaya. Tentera Yamato di sini hanyalah penjahat, dan penjajah. Dari pakaiannya aku yakin budak itu orang asli di sini dan dia sedang dikejar Yamato yang menceroboh. Dia mungkin sedang dalam perjalanan memberitahu orang kampungnya dan disedari tentera Yamato.

 

Aku mengekori budak itu, dengan penuh hati-hati. Aku tunggu sehingga tentera Yamato habis melalui kawasan ini, dan aku mengekor dari belakang. Ada tentera Yamato itu tercicirkan busur dan panah, dan aku pungut ia. Aku tidak pernah menggunakannya. Aku tidak tahu menggunakannya. Namun aku pernah melihat ia digunakan. Aku harus mencuba.

 

Aku memanjat sebatang pokok hinoki usai mereka semua beredar ke hadapan. Aku panah mereka satu persatu sehingga panahanku habis. Semua panahanku mengena. Aneh kurasa, kerana panahanku mengena dan aku seolah diatur sesuatu pada urat dan otak.

 

Mereka mula beralih arah dari mengejar budak itu. Budak itu perasan wajahku, matanya seolah mengucapkan terima kasih sebelum berlari ke arah hutan hinoki dan hilang ditelan bayang hutan. Sekarang semua tentera Yamato beralih ke arahku dan menunggu aku turun ke bawah.

 

“Turun jalang turun!” Tengking mereka sambil menghentak-hentak pedang ke batang pokok. Suara itu datang dari tentera Yamato yang pernah mengejarku dahulu, maka dia mengenali dan memanggilku jalang kerana dia tahu aku barang mainan mereka sekian lama. Aku seriau dan bimbang amat.

 

“Mengapa engkau lari dari kami ha?” Soal mereka lagi sambil menetak-netak batang pokok hinoki. Aku dilambung ombak sesalan kerana menuruti kata hati membantu budak itu, namun jauh di sudut hati aku lega kerana budak itu berjaya kuselamatkan.

 

Apakah aku harus terus-terusan menyesalinya? Apakah jika aku mati dibunuh tentera Yamato, matiku itu berbaloi kerana telah menyelamatkan seorang budak yang langsung tidak kukenali dari disembelih mereka? Apakah berbaloi pengorbanan ini? Apakah jika nee-chan hidup lagi sekarang, dia akan memuji dan mengalu-alukan perbuatanku ini?

 

Pokok makin kuat bergegar. Ia makin huyung-hayang dan aku akan jatuh bila-bila masa sahaja. Aku akan mati. Aku akan mati!

 

Pokok akhirnya jatuh dan menghempap beberapa orang tentera Yamato. Aku terlalu sakit kerana impak jatuhnya mengesani dadaku yang berpaut pada batang pokok itu. Namun sakit itu ansur menghilang seolah diresap ke udara. Tentera Yamato yang berbaki mendekati dan mencapai pakaianku. Aku dibelasah mereka. Namun anehnya, sekali lagi kesakitanku ansur berkurang.

 

Aku bangkit sedang mereka masih memukulku. Pabila mereka melihat aku bangkit, mereka cuba melanggar dan menindihku, namun mereka pula yang terjatuh, dan ia berlaku tiba-tiba. Semua tentera di situ berasa aneh. Ramai antara mereka terduduk dan mengaduh kesakitan, dan kepingaan memandangku. Aku masih berdiri. Ada antara mereka bersedia mahu membunuhku dengan pedang. Aku bersedia melarikan diri. Kala kaki diangkat, aku menyedari seorang demi seorang tentera Yamato dipanah dari jauh.

 

Aku perhati di kejauhan, ada sepasukan orang asli, berpakaian seperti budak tadi, sambil berlari, memanah ke arah tentera Yamato. Dalam huru-hara itu, aku sempat lari bersembunyi dalam belukar. Aku dapat melihat budak tadi berada di tengah-tengah pasukan pemanah orang asli itu. Ramai tentera Yamato tumbang dan berdarah-darah di lantai hutan. Ada yang berundur kembali. Namun yang pastinya, tentera Yamato tidak lagi berupaya menangkis serangan yang ganas dan mengejut dari orang asli itu.

 

Arigatou, nee-chan.” Budak lelaki itu datang mendekatiku seraya berterima kasih. “Nee-chan mari ikut kami.”

 

Aku menurutinya tanpa berfikir panjang. Nee-chan sudah mati dibunuh tentera Yamato dan aku sudah tiada tempat kembali. Aku fikir mungkin budak ini dan para tenteranya inilah puak Emishi yang pernah dikhabarkan nee-chan, puaknya yang dikatakan ingin dilindunginya itu.

 

Kami sampai di sebuah perkampungan terpencil yang hanya ditumbuhi rumput. Rumah-rumah di sini aneh-aneh belaka. Ia diperbuat daripada kayu, kulit binatang dan rumput ogi dan bumbungnya dari rumput lalang ogi yang dikeringkan dan dianyam dan disusun dan diikat sehingga tebal-tebal. Pakaian mereka diperbuat daripada kulit binatang dan rumput kering. Wajah mereka sungguh berlainan dari Yamato; yang lelaki menyimpan jambang dan misai yang tebal, rambut mereka panjang seperti perempuan dan diikat, dada mereka berbulu lebat terdedah jika mereka tidak mengatup atas bajunya, dan hidung mereka kembang-kembang, mata mereka tidak sepet, kulit mereka kehitaman dan mereka lebih pendek dari orang Yamato. Aku tidak pernah melihat rupa aneh seperti ini di Kyoto.

 

“Tunduk semua. Kalian, inilah penyelamat kita yang pernah diramalkan Amaguri.” Kata salah seorang tentera mereka. Budak yang pernah kuselamatkan itu mula tunduk kepadaku, diikuti orang-orang kampung dan para tentera. Aku berasakan seolah diriku raja di sini.

 

Sebentar, Amaguri? Apakah mereka memaksudkan nee-chan? Dan penyelamat? Aku penyelamat yang diramalkan Amaguri?

 

Aku dijulang dan kemudian didudukkan di atas sebuah kerusi yang diperbuat daripada jerami kering yang diikat kemas-kemas di tengah-tengah kawasan lapang di tengah-tengah rumah-rumah mereka. Kemudian mereka duduk mengelilingi kerusiku. Mereka kemudian menyanyi dalam bahasa Jepun yang mana senikatanya memuji-muji seorang wanita ramalan yang aku fikir mereka sangkakan akulah wanita itu, dan mereka, lelaki dan perempuan dan kanak-kanak, bergerak mengelilingi kerusiku. Aku tidak pasti apakah rasa yang sesuai di saat ini, apakah aku patut bergembira atau gementar, apakah mereka sedang meraikan diriku? Bagaimana mereka mengetahui tentang Amaguri, tidak, apakah Amaguri yang mereka maksudkan itu ialah nee-chan? Yang anehnya, bagaimana mereka boleh bertutur dalam bahasa Jepun? Atau mereka orang asli di sini sememangnya bertutur dalam bahasa Jepun bahasa puak Yamato?

 

Aku kian keliru. Hingar suasana di situ semakin menenggelamkan diriku sehingga aku terlupa akan perkara demi perkara yang mengelirukan dalam sehari ini dan yang tertinggal hanyalah kisah sedih nee-chan yang dibunuh tentera Yamato. Dalam hingar itu aku seolah dirasuk ke dalam mimpi, mimpi yang berkitar akan hari-hari singkat yang aku lalui bersama nee-chan, dan tanpa kusedari air jernih mengalir menuruni pipi. Nee-chan maafkan aku. Nee-chan ampunkan aku.

 

“Engkau menangis? Mengapa, engkau takut dengan kami?” Soal seorang wanita tua yang bertindik pada hidungnya.

 

“Tidak. Aku kehilangan seseorang hari ini.” Tanpa kusedari aku meluahkan apa yang terbuku.

 

“Siapa?”

 

Nee-chan.”

 

Nee-chan?”

 

“Amaguri... nee-chan.”

 

“Amaguri?”

 

Mereka semua melopong mendengarkan nama itu. Aku sudah menjangkakannya.

 

“Bukan... bukan Amaguri itu.”

 

“Wanita ramalan itu akan ditemui Amaguri. Benarlah engkau wanita yang diramalkan itu. Dan hanya seorang Amaguri dari kalangan kami iaitu wanita tua itu.”

 

Maka Amaguri yang mereka maksudkan itu benarlah nee-chan? Dan mereka semua inilah Emishi yang dimaksudkan nee-chan?

 

“Apa telah berlaku pada Amaguri, Nadeshiko-chan?” Soal mereka.

 

“Dia telah mati dipanah Yamato sewaktu kami melarikan diri.” Jawabku.

 

“Benarlah. Ramalan itu benar. Amaguri sering menegaskan dia akan dibunuh Yamato.” Terang salah seorang dari mereka.

 

Ano... bagaimana nee-chan terpisah dari kalian?”

 

“Dia yang meminta kami berhimpun di sini. Dia akan menjaga di luar hutan dan akan menghantar seseorang kepada kami. Engkaulah insan yang dihantarnya itu. Engkau sudah memunculkan diri, Nadeshiko.”

 

Sejak hari itu aku dilayan seperti raja. Aku disediakan tempat tinggal yang selesa dan makanan yang banyak. Aku tidak menjangkakan semua ini, seolah-olah Tuhan telah memberkati hidupku dan mengurniakan kemewahan dari langit yang tidak pernah aku jangkakan. Tahun-tahun derita aku di Kyoto dan sewaktu dipaksa menyertai kempen Yamato ke utara kian kabur dan tenggelam kala aku asyik diulit sanjungan dan kemewahan di tengah-tengah belantara utara ini.

 

Aku tidak pernah melepaskan batu pemberian Amaguri nee-chan, malah aku mengikatnya dan menyorokkan dalam pakaianku. Ini kerana aku mula menyedari, bahawa jika batu itu direnggangkan dari tubuhku, aku akan mendengar bahasa pertuturan mereka berubah sekelip mata. Selepas beberapa percubaan, aku yakin pertuturan mereka diterjemah ke telingaku oleh batu ini dengan saktinya. Selagimana aku memegang batu ini, aku akan memahami mereka. Arigatou nee-chan!

 

Nee-chan pernah mengatakan batu ini boleh mencipta ruang tersembunyi sesuai untuk kami semua bersembunyi dari Yamato, namun bagaimana? Nee-chan tidak sempat memberitahuku. Sudah bermalam-malam aku berdoa sebelum tidur agar bertemu nee-chan barang sekejap cuma demi mendapatkan kaedahnya, namun dia tidak muncul-muncul.

 

Tidak lama selepas itu, tentera Yamato berjaya mengesan lokasi perkampungan ini.

 

“Bagaimana mereka boleh mengesan tempat ini?” Komori, seorang pawang wanita pertengahan umur, gumam di telingaku.

 

“Apa maksudmu?” Aku bertanya sedang mata menatap penuh gerun tentera Yamato yang tiba dengan kuda mereka di pinggir kampung kami.

 

“Kawasan ini dilindungi batu itu.” Komori menuding ke arah sebiji batu putih yang lonjong dipacak di tengah-tengah di atas bumbung sebuah khemah yang paling tinggi di sini dan terletak di tengah-tengah kampung ini.

 

“Mungkin kerana nee-chan sudah tiada, maka sihirnya tidak lagi berkesan di sini.” Aku meneka, namun aku fikir itu tekaan yang paling wajar. Ada sihir kekal selepas kematian penciptanya, namun ada juga sihir yang lupus selepas kematian penciptanya.

 

“Maka harinya sudah tiba. Benarlah Amaguri. Nadeshiko, jalankan perananmu.” Komori berkata dengan suara mendesak.

 

“Nadeshiko, laksanakan perananmu.” Desak salah seorang pemuda di sini.

 

“Nadeshiko, laksanakan perananmu.” Tambah satu lagi dari seorang gadis.

 

Suara-suara itu makin bertambah, dan berulang dan bergema. Bahkan mereka mengulang-ulangnya seperti bernyanyi lagu-lagu keraian mereka pula, ada keseragaman dalam nada dan kekuatan. Aku menjadi pusat tumpuan. Aku menjadi bahu sandaran dengan tidak semena-mena. Aku rasa beban di kedua-dua belah bahu semakin berat, menekan dan cuba menghempapku dan memaksa aku mencium bumi.

 

Aku tidak pernah rasa begini ditekan. Aku semakin sedar akan hakikat, bahawa kesenangan yang aku kecapi di sini datang dengan tanggungjawab. Kesenangan dan sanjungan mereka menuntut sebuah bayaran. Aku tiada tempat kembali dan aku harus mempertahankan sokongan dan kuasa yang mereka pertaruhkan ke atasku, demi kesenangan mereka dan kesenanganku jua.

 

Amaguri nee-chan tidak akan menyerahkan batu ini kepadaku tanpa sebab, dia pastinya punya sebab yang munasabah. Nee-chan tahu aku pasti boleh melakukannya demi melindungi mereka ini. Nee-chan meyakini diriku sejak saat itu lagi, sejak saat kami melarikan diri di dalam terowong itu. Aku silap dengan menyangkakan nee-chan tidak mempercayaiku, bahkan nee-chan sendiri menyerahkan batu itu kepadaku. Nee-chan sesungguhnya mempercayaiku.

 

“Peranan apa yang kalian maksudkan?” Soalku.

 

“Sungguh engkau masih tidak mengetahuinya?” Soal Komori.

 

“Ya.”

 

“Nadeshiko, hanya engkau yang mampu menukarkan batu di atas khemah itu dengan batu dalam pemilikanmu.”

 

“Menukarkan... apa? Aku tidak faham.”

 

“Kami dilindungi batu di atas khemah tinggi itu. Engkau ada pengganti batu itu bukan?”

 

“Batu? Batu apa?” Aku berpura-pura tidak tahu. Aku tidak pernah mendedahkan batu yang diberikan nee-chan kepada mereka. Mereka tidak tahu. Lantas aku bebas berbohong.

 

“Sungguh engkau tidak memilikinya, Nadeshiko?” Soal Komori. “Amaguri memberitahu wanita ramalan itu akan membawa batu itu. Dan dia memahami bahasa kami juga kerana batu itu.” Dedah Komori.

 

Aku terperangkap. Aku tidak boleh menipu mereka nampaknya.

 

“Kami tahu engkau dari bangsa Yamato, Nadeshiko. Bahkan rupamu sudah terang-terang rupa Yamato.” Ujar pemuda yang tadi meminta cadanganku. “Namun kami mendiamkan diri sahaja kerana ramalan itu. Apakah engkau sama sahaja dengan bangsamu yang menyerang kami, para tentera penjajah itu? Atau engkau, memang insan yang baik yang melindungi insan teraniaya tanpa mengira apa bangsa mereka?”

 

“Kami tahu engkau dianiaya mereka juga, Nadeshiko. Maka bukankah engkau membenci mereka juga? Jika begitu, engkau di sebelah kami Nadeshiko. Asalkan engkau ada pemikiran itu, engkau di sebelah kami, persetankan darahmu.”

 

“Buktikan yang engkau pemimpin kami, Nadeshiko.” Gesa gadis tadi pula.

 

Nyawa-nyawa mereka semua berada di tanganku. Makanan dan tempat tinggal yang selesa dan kesetiaan para penduduk kampung itu datang dengan suatu bayaran, dan mereka sedang menuntut bayaran itu. Di sebelah mana aku harus berpihak, aku harus memutus sekarang. Apakah aku memang membenci para tentera sedarah denganku itu?

 

Ya. Aku membenci mereka! Mereka syaitan yang menjadikan aku barang mainan. Mereka syaitan yang menjarah tanah orang asli di sini dan menghuruharakan hidup mereka yang asalnya tenang di dalam belantara utara ini.

 

Aku memutus untuk memilih orang-orang asli ini, akhirnya. Satu, kerana mereka dianiaya. Kedua, kerana aku yakin dengan kelangsungan sihir Amaguri nee-chan selepas aku menukarkan batu itu. Dan ketiga, aku akan menjadi raja mereka di sini. Namun andai sihir nee-chan tidak berkekalan selepas aku menukarkan batu itu, apa akan jadi dengan kami? Adakah kami akan disembelih seorang demi seorang oleh tentera Yamato?

 

“Hanya menukarkan batu itu?” Soalku.

 

“Ya.”

 

“Jika begitu ia tidak sesukar mana. Jika ia berjaya, kita semua akan selamat. Namun bagaimana jika ia tidak membuahkan hasil? Bagaimana dengan kalian?”

 

“Kami akan mengangkat senjata, kami semua, lelaki, wanita dan kanak-kanak di sini akan merempuh tentera Yamato!”

 

Sorakan bergema sebaik lelaki tadi menghabiskan kata-kata.

 

“Jadi, apakah engkau akan menyertai kami sekiranya kami terpaksa merempuh mereka?”

 

Aku terdiam. Aku sebenarnya tidak mahu mati, jauh di sudut hatiku bersuara. Namun mati atau hidup tiada bezanya. Aku tidak akan kembali lagi ke Kyoto. Aku juga tidak akan pulang ke pangkuan tentera Yamato. Di sinilah tempat tinggalku, di sinilah keluargaku. Aku tidak punya keluarga lagi di Kyoto. Kehidupanku di sini, tanah airku di sini dan dengan keringat dan darah aku akan pertahankan.

 

“Aku akan memimpin kalian!”

 

Bertambah kuat sorakan orang-orang asli di situ. Tentera Yamato yang masih tercegat di atas kuda masing-masing, kebingungan mendengarkan sorakan orang-orang asli di situ.

 

“Nadeshiko, pulang sekarang!” Laung ketua tentera Yamato yang sedang berada di atas kuda, di tengah-tengah bahagian hadapan barisan tentera Yamato.

 

“Nadeshiko, jika engkau menyerah diri, kami tidak akan mengapa-apakanmu. Engkau mahu pulang ke Kyoto? Kami akan menghantarmu pulang jika engkau menyerah diri dan tidak bersekongkol dengan mereka.” Tambah ketua itu lagi.

 

“Aku tidak akan pulang!” Balasku dengan tegas. “Aku tidak percaya dengan kalian!”

 

“Jika begitu, kami akan menghapuskanmu bersama orang-orang Emishi ini. Para pemanahku, bersedia!”

 

Tentera Yamato berkuda di belakang ketua itu menyarungkan panah, dan melepaskannya. Panah-panah itu menghasilkan api pada muncungnya kala dilepaskan dan mengenai beberapa orang penduduk kampung itu. Ia turut menyasar ke arahku, namun aku berjaya mengelaknya. Aku sendiri tidak memahaminya bagaimana aku boleh mengelak, dan aku merasakan seolah-olah tulang dan sendinya bergerak sendiri ketika itu. Sejak batu itu dalam pemilikanku pelbagai perkara aneh telah berlaku.

 

“Nadeshiko, cepat! Jika kaulambat lagi ramai yang akan terkorban.” Tegas Komori kepadaku.

 

Para pemanah Emishi melancarkan panah mereka dari atas pokok-pokok hinoki yang mengelilingi perkampungan itu, ke arah tentera Yamato. Aku melihat ini sebagai peluang untuk aku membeli sedikit masa memanjat khemah tinggi dan menukarkan batu itu secepat mungkin. Banyak panah Emishi yang mengenai tentera Yamato, mereka tumbang dari kuda masing-masing.

 

“Berikan aku tangga.” Aku meminta tangga kerana khemah itu agak tinggi dan tubuhku yang kecil.

 

“Tidak, engkau perlu memanjat khemah itu sendiri dan menukarkan batu itu. Kami tidak boleh menawarkan apa-apa bantuan.” Maklum Komori.

 

Hah?

 

Tentera Yamato bersiap menyarung panah seterusnya dan cuba memanah ke arahku.

 

“Bagaimana kalian meletakkan batu itu sebelum ini?” Soalku.

 

“Amaguri yang meletakkannya. Dia terbang menggunakan sayapnya.”

 

“Bagaimana bisa aku mendapatkan sayap itu?” Soalku.

 

“Kami tidak tahu.” Balas Komori.

 

“Kalian mesti membantuku jika kalian mahu dibantu!” Gertakku penuh geram.

 

“Nadeshiko, kami sungguh tidak tahu. Kami menjangkakan engkau boleh melakukan semua perkara sendiri kerana itulah yang diperkatakan Amaguri kepada kami.”

 

Arghh! Aku tertekan. Tuhan, bantu aku!

 

Panah berbalas-balas di antara tentera Yamato dan orang Emishi. Aku masih mampu mengelak dari panahan Yamato seperti sebelumnya, meskipun kadangkala aku diselubung kelekaan dengan misiku memanjat menara. Aku fikir aku benar-benar dibantu kuasa itu. Tanpa kuasa itu, mana mungkin aku masih mampu mengelak panah meski terleka. Sendi-sendiri dan tulangku seolah digerakkan sendiri.

 

Aku berjaya sampai di khemah itu selepas meredah hujan panah. Kebakaran dan asap mula menyelubung kampung ini. Aku disengat haba pembakaran, kulitku hangat. Tentera Yamato sudah tidak kelihatan dan mereka juga tidak dapat melihat kami dalam asap tebal dan hitam. Para pemanah Emishi yang bertahan di hutan yang mengelilingi kampung ini terus-terusan melancarkan hujan panah ke arah tentera Yamato.

 

Aku menekap tangan pada dinding khemah yang seperti menara ini. Baru kusedar, dinding khemah ini keras dan diperbuat daripada tanah liat yang dibalut rumput ogi (Amur silvergrass) kering dan kemudian dibalut dengan kain dari kulit binatang, menampakkan seolah-olah ia seperti khemah-khemah lain di sini. Aku tidak pernah menemui khemah dengan dinding keras di sini, barangkali ia satu-satunya dinding khemah di sini yang diperbuat daripada tanah liat, mungkin demi mengukuhkannya selaku binaan terpenting yang menempatkan batu sakti itu.

 

Aku lega, kerana aku tahu bagaimana memanjatnya jika ia dari tanah liat. Aku mengambil pisau dan merobek kulit khemah dan jerami ogi, dan kemudian aku takik satu demi satu tangga sehingga ke atas. Di belakang aku mendengar sayup-sayup jeritan dan raungan dan tangisan penduduk yang mungkin sudah tercedera akibat panah atau terbakar tubuh mereka.

 

Rumput ogi itu licin, berduri dan miang. Habis luka-luka jemariku. Dan menara ini terlalu tinggi seperti dua kali tinggi khemah-khemah lain di sini dan ia tiada tangga, akulah yang perlu menakiknya sendiri. Kala aku tergelincir pada separuh ketinggiannya, aku cepat-cepat berpaut pada rumput ogi yang melapisinya. Mujur tubuhku ringan, ia tidak putus. Namun rumput kering itu yang kasar miang berduri melukakan tanganku. Aku menahan sakit pada jemari dan tangan di kala raungan dan jeritan orang-orang kampung di belakang makin kuat dan merengsakan jiwa, dan kala itu juga darah membasahi tangan. Aku bergayut pada rumput itu dan memijak mana-mana dinding tanah liat yang terdedah, sehingga berjaya sampai ke puncak menara.

 

Di sana, aku menemui batu lonjong yang diletakkan dalam sebuah belanga tanah liat berisi jerami kering. Batu lonjong itu berwarna putih dan ditegakkan oleh jerami itu, di tengah-tengah belanga. Ia berkilau disinar mentari. Aku ambil batu itu dan aku letak batu pemberian Amaguri di tempatnya. Batu lonjong putih itu aku simpan ke dalam saku. Sebaik selesai penukaran itu, aku memandang suasana di bawah. Dari puncak menara ini dapat kulihat keseluruhan kampung, termasuk pokok hinoki yang mengelilinginya di mana para pemanah Emishi bertahan.

 

Namun di mana tentera Yamato? Aku terkesima. Aku langsung tidak dapat melihat mereka dari sini. Aku yakin mereka berada di situ bersama kuda-kuda dan para infantri. Namun di mana mereka sekarang? Yang tinggal di tempat mereka hanyalah hutan hinoki. Hujan panah mereka juga sudah berhenti.

 

Tiba-tiba hujan lebat turun membasahi kampung ini. Api-api yang membakar marak khemah-khemah kami terpadam beransur-ansur. Usai hujan, yang tinggal kini hanya sisa asap putih keluar merunut dari khemah-khemah yang terbakar. Ada sepuluh mayat rentung, ada dua puluh mangsa masih hidup namun tubuh mereka melecur, ada yang pengsan kerana kelemasan asap.

 

“Hidup Nadeshiko! Hidup Nadeshiko! Hidup Nadeshiko!” Aku mendengar suara seorang lelaki melaung-laungkan namaku. Aku memandang ke bawah, mendapati seorang lelaki dengan tangannya digawang memandang ke arahku. Suaranya ditiru oleh penduduk lain, kian ramai dan bergema, mereka keluar seorang demi seorang dari khemah-khemah yang terselamat dari kebakaran. Aku berdiri dan dapat merasakan bahangnya, aku dikelilingi lautan manusia yang menjulang namaku sebagai ketua mereka. Para pemanah yang bertahan di atas pokok-pokok hinoki turun menyertai dan bersorak sama.

 

“Nadeshiko, lagakan dua batu itu, engkau akan dapat turun.” Laung Komori dari bawah.

 

Aneh bunyinya, namun aku menurut sahaja. Aku melagakan batu dari sakuku dengan batu pemberian Amaguri yang sudah di dalam belanga. Tiba-tiba angin datang bertiup entah dari mana dan menerbangkanku, membawaku ke bawah. Aku dijulang oleh para penduduk kampung.

 

Lelaki yang melaungkan namaku itu memperkenalkan dirinya sebagai ketua kampung ini. Aku tidak pernah melihatnya semenjak aku tiba di sini dan semua komunikasi dengannya diperantarakan oleh Komori. Katanya dia bersembunyi di satu kawasan yang dirahsiakan dan hanya akan keluar pabila wanita ramalan Amaguri itu memunculkan diri, merujuk kepadaku.

 

Sebaik aku diturunkan ke tanah oleh angin aneh itu, lelaki itu memegang kedua-dua belah tanganku, seraya berkata dalam bahasa Emishi.

 

Aku tidak memahaminya. Aku menyeluk saku dan menyedari aku sudah tidak lagi bersama batu dari Amaguri, dan yang ada hanyalah batu putih dari menara itu.

 

“Apa yang engkau katakan?” Soalku dalam bahasa Jepun.

 

Komori membisik sesuatu kepada ketua mereka itu. Ketua mereka mengangguk-angguk kepala, seraya membawaku ke sebuah khemah diikuti Komori. Sejak hari ini aku mempelajari bahasa mereka dan tidak lama kemudian, aku dapat bertutur dalam bahasa mereka seperti seolah-olah aku memakai batu dari Amaguri itu. Bahasa mereka tidak banyak beza dari bahasa Jepun kecuali beberapa sebutan yang aku perlu biasakan menyebutnya.

 

“Nak, mulai hari ini engkau adalah ketua kampung ini.” Maklum ketua mereka yang bernama Abashiri itu.

 

Hah?

 

“Abashiri-san, aku... aku hanyalah seorang budak.”

 

“Engkau telah menyelamatkan kami, dan mempertaruhkan nyawa demi kami bukan? Engkau layak mengetuai kami, Nadeshiko. Dengan pengorbanan besar itu, apakah engkau masih seorang budak di mata kami? Tidak, Nadeshiko.”

 

Aku berbelah bahagi. Berat bagiku menolak tawaran itu. Aku tahu beratnya hakikat kuasa. Aku tahu bila-bila masa aku akan menjadi yang pertama mempertaruhkan nyawa jika kami diserang lagi. Aku menjadi sandaran mereka dalam membuat keputusan. Raungan mereka yang terkorban dalam serangan Yamato dahulu masih terngiang-ngiang di benakku. Meskipun aku berjaya menamatkan serangan Yamato itu, tidak kurang dari kami yang terkorban dan aku masih rasa bersalah.

 

“Abashiri-san, aku... aku tidak sanggup melihat orang-orang di sini mati kerana kegagalanku memimpin.”

 

“Jika engkau tidak menyelamatkan kami pada hari itu, atau jika engkau tidak menyelamatkan budak kami itu, sudah pasti lebih ramai yang mati.”

 

Aku terdiam mendengarkan penjelasan Abashiri.

 

Ia memakan masa sehari juga sebelum aku memutus mengetuai mereka. Abashiri tidak punya anak dan saudara maka tiada sesiapa yang menentang keputusannya menjadikan aku, orang Yamato, ketua mereka. Mungkin juga kerana ramalan Amaguri itu yang mereka taati seperti mentaati agama atau dikri Maharaja, menyelamatkanku dari menjadi tentangan mereka yang tidak berpuas hati – jika ada – dan juga membuatkan mereka sebulat suara menyokong keputusan Abashiri. Aku menjadi raja mereka secara rasmi selepas Abashiri meninggal dunia akibat sakit tua. Aku menyedari tanpa batu pemberian nee-chan itu, sudah pasti aku tidak akan bertahan di sini, sudah pasti aku masih di dalam pelarian. Sungguh engkau berjasa padaku, nee-chan.

 

Tahun demi tahun, aku membesar menjadi wanita dewasa sedang masih mengetuai mereka. Aku dipandu oleh Komori dalam selok-belok pentadbiran, dan Komorilah yang banyak membentuk jiwa pemimpinku selepas itu, sebagaimana dia pernah menasihati Abashiri. Kemudian Komori pergi selama-lamanya dan aku dibiarkan bersendirian mengemudi mereka. Aku tidak dikahwini kerana mereka menganggapku Tuhan. Bahkan mereka menyembahku. Mereka fikirkan aku jelmaan semangat raya hutan mereka yang mereka panggil Kamui itu.

 

Aku lewat menyedari akan hakikat kuasa kerana aku hanyalah seorang remaja bawah umur ketikamana tampuk ini disuguh kepadaku. Tetapi pabila mereka mula menyembahku, aku fikir tiada risiko untuk aku melakukan sedikit kekerasan. Mula aku memberanikan diri menjatuhkan hukuman mati ke atas kesalahan membocorkan rahsia kami kepada pengintip Yamato. Pembelot itu dipanah di hadapanku, dengan panah beracun, sebelum ia mati mulutnya mengeluarkan buih putih. Aku menahan trauma di jiwa melihatkan kematian di hadapanku, namun lama-kelamaan aku jadi terbiasa, jiwaku mengeras seperti lahar di kaki Gunung Iwate. Dari setia, mereka jadi takut denganku. Kata-kata dari mulutku adalah undang-undang segera. Namun aku tahu, pabila aku mula mengesan bibit-bibit pemberontakan, aku hapuskan bibit-bibit itu dan aku ringankan hukuman-hukumanku agar mereka tidak marah dan kekal setia dan kekal TAKUT.

 

Dengan momokan bahawa akulah Kamui Besar, akulah raja, dan akulah yang patut ditakuti, memimpin mereka menjadi mudah. Aku mengekalkan keamanan dan mereka membiak dan bertambah bilangan. Aku latih mereka menjadi tentera sepertimana Yamato. Mereka sudah memiliki teknologi seperti penjinakan kuda dan pemanahan, namun aku tambahbaik senjata mereka dengan besi berkualiti dengan ilmu penempaan besi yang aku raih dari tawanan Yamato kami. Kami menjadi kelompok penakluk, aku mengembangkan empayar kami lebih dari kampung itu. Sempadan aku buka, dan batu nee-chan di atas menara itu aku ambil kembali agar aku dapat melindungi diriku kelak. Kami telah kuat, tiada sesiapa mampu menumpaskan kami dan mereka tidak perlu lagi batu nee-chan itu, maka kampung kami telah kembali terbuka seperti dahulu. Sehinggalah ke satu tahap, di mana keseluruhan utara Honshu ini berada di bawah telapak kakiku dan Maharaja Yamato di Kyoto hanyalah tinggal satu sahaja figura tunggal yang harus aku tumpaskan sebelum seluruh Jepun jatuh ke tanganku.

 

“Mengapa engkau mengambil kembali batuku itu?” Soal nee-chan kepadaku dalam satu mimpi.

 

“Ini pemberianmu kepadaku. Aku mahukan ia kembali.”

 

“Bagaimana dengan kampungmu itu nanti? Bagaimana jika tentera Yamato menyerang mereka?”

 

“Mereka sudah kuat, mereka tidak akan dapat dikalahkan. Nee-chan, aku mahu menakluk seluruh Jepun.”

 

“Apakah engkau membunuh orang-orang awam Yamato demi mencapainya?”

 

“Ya. Itu tidak dapat dielakkan.”

 

“Nadeshiko! Aku tidak pernah mengajarmu membunuh mereka yang tidak bersalah!”

 

Nee-chan, aku hanya membalas dendam. Bukankah dahulu mereka membunuh orang awam Emishi di kampungmu?”

 

“Engkau Nadeshiko. Apakah kerana darahmu... kerana engkau memang lahir dari bangsa itu...”

 

Nee-chan...”

 

“Nadeshiko, aku mengambilmu dahulu dengan harapan aku dapat mengubahnya, mengubah tanggapanku. Namun sayang, engkau sama sahaja dengan bangsamu. Bangsa penghisap darah, bangsa pembunuh! Dan engkau membawa dan mendidik tabiat pembunuh itu ke dalam bangsaku!”

 

Nee-chan, sungguh aku tidak berniat... Nee-chan...”

 

“Mulai hari ini, roh engkau akan dicampakkan ke sebuah pulau sebagai gadis perang laut (Kaisenjyo). Jasadmu pula akan kekal terbaring di dalam khemahmu, kekal dalam lenamu sekarang sehingga ia mereput sendiri. Engkau akan diberi peluang menempati jasad seorang wanita yang akan datang ke pulau itu. Dan engkau akan sentiasa menghalang mana-mana penceroboh pulau itu dari mendekatinya. Itu tugasmu selaku Kaisenjyo.”

 

Nee-chan!!!!!” Aku meraung.

 

“Dan aku bersumpah, bangsa Yamato akan dihukum dengan ‘dua matahari’ yang akan gugur di tempat asal tamadun mereka dilahirkan, sekiranya mereka kekal dengan kekejaman mereka. Sayonara!”

 

Kata-kata Amaguri yang terakhir itu bergema, paling tajam dan menikam-nikam telinga dan hatiku. Ia sebuah sumpahan yang menggerunkan. Apa yang nee-chan maksudkan dengan ‘dua matahari’? Dua matahari yang akan digugurkan? Apa maksudmu, nee-chan?

 

Nee-chan.... nee-chan!”

 

Aku melihat batu itu tiba-tiba berada di dalam tanganku, ada cahaya keluar darinya dan memecahkannya kepada tiga bahagian. Ketiga-tiga belah batu itu berhamburan ke udara dan menghilang, tercampak entah ke mana.

 

Kemudian segalanya jadi gelap. Sedar dari mimpi, aku tiba di sebuah pulau terbaring di atas pasir pantai yang memutih sejauh mana memandang. Angin laut bertiup menghantar bau masin dan hanyir laut.

 

Aku memegang diriku. Namun hampa, aku tidak berjasad. Tanganku menyentuh pasir pantai yang melapik. Segalanya boleh ditembusi. Aku bahkan boleh terapung dan terbang seperti bulu burung. Aku terapung dan menerawang bahagian atas pulau itu. Ia bergunung-ganang dan ada yang mengeluarkan asap.

 

Aku tidak lagi maklum akan apa yang berlaku di kampung Emishi itu. Mungkin jasadku di sana masih dalam tidur dalam khemah? Aku tidak tahu. Mungkin jasadku sudah tidak bernyawa, berbau dan akhirnya dikebumikan? Aku tidak tahu. Mungkin bangsa Emishi di sana sudah ditewaskan Yamato? Aku tidak tahu. Segalanya berlaku terlalu pantas, sedang aku di kemuncak kuasa mengembangkan empayar Emishi.

 

Aku terkurung dan terpenjara di sini. Aku tidak lapar dan tidak makan. Aku hanya terapung dan menunggu sehingga wanita yang dijanjikan nee-chan itu sampai dan aku dapat menakluk tubuhnya. Hanya dengan itu aku akan dapat kembali ke Jepun dan meneruskan agendaku menaklukinya. Hanya dengan berjasad sahaja mereka para pengikutku akan dapat melihatku seperti biasa dan menanggap kewujudanku, dan merasa gerun denganku.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov