Home Novel Cinta Tangisan Bidadari Pertama
Tangisan Bidadari Pertama
Pena Putera
16/11/2021 20:04:53
7,176
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 3

TASNIM sedang sibuk memasak di dapur. Malam ini dia cuma menggoreng ayam. Sekadar menambah hidangan lauk. Lauk sambal sotongnya yang dimasak tengah hari tadi tidak cukup untuk menjamu keluarganya makan malam.

Dia melihat anak sulungnya masuk ke dalam ruang dapur.

"Asyraf nak makan, ke?" tanya Tasnim.

Asyraf hanya menggeleng. Dia mengambil gelas lalu mula membancuh air milo. Dia tiada selera untuk makan. Matanya benar-benar mengantuk. Mahu tertutup sudah. Biarlah hanya secawan air milo mengalas perutnya.

Belakangan ini memang dia selalu tidur awal. Berbanding tidur di kamarnya, dia lebih memilih untuk lena di ruang tamu kerana lebih dingin berbanding kamarnya. Selesa untuk dia berehat selepas seharian bekerja.

Tasnim memandang anaknya.

"Karang, tengah malam nanti baru nak makan. Jangan amal sangat makan tengah malam. Asyraf itu dahlah lepas makan, baring aje. Perut itu dah buncit ibu tengok," leter Tasnim, menegur anak sulungnya.

Namun tiada balasan yang diberi. Asyraf terlalu penat mahu melayan leteran ibunya. Dia hanya membawa gelasnya ke meja makan, meninggalkan ibunya sendirian di dapur.

Tasnim hanya mampu memandang. Dia menghela nafas kecil. Cuba bersabar.

Usai selesai memasak, dia mula mengemas dapur. Berpeluh badannya selepas memasak dan mengemas dapur. Tasnim membuat keputusan untuk mandi bagi menghilangkan rasa berlengas di badannya.

Baru sahaja dia keluar dari dapur, kelihatan Aswad menuruni anak tangga dan kakinya menuju ke pintu rumah.

"Abang nak pergi mana?" tanya Tasnim.

"Keluar jumpa Ikmal kejap."

Aswad terus keluar dari rumah dan menghampiri pagar rumah. Tasnim yang perasan ada sebuah kereta di hadapan itu, cuba untuk mengintai. Dia mengintai di sebalik langsir.

Ternyata memang Ikmal, salah seorang staff suaminya di dalam kereta. Aswad kelihatan memasuki kereta tersebut sebelum kereta itu meninggalkan kawasan perkarangan rumahnya. Tasnim tidak lagi mengambil endah bila melihat depan matanya sendiri.

Ketika dia mahu naik ke biliknya di atas, dia melihat Asyraf sudah tidur lena di sofa. Lalu, pandangannya terkalih pada gelas berisi air Milo dibuat anaknya tadi di atas meja. Masih tersisa banyak.

Penat benar anaknya sampai tidur dulu sebelum sempat habiskan airnya.


USAI mandi, Tasnim duduk di hadapan meja soleknya. Mengesat rambutnya yang kebasahan. Dia menyidaikan tuala di penyidai setelah selesai. Pada masa itu, matanya menangkap sebuah telefon milik suaminya di atas chest drawer

Naik hairan dibuatnya. Bagaimana suaminya boleh tertinggal telefonnya ketika keluar?

Tiba-tiba, hati Tasnim tergerak untuk membuat penyiasatan pada telefon suaminya lagi. Tapi, kali ini entah mengapa... Dia merasakan seperti berat hati untuk melakukannya.

Apakah perlu dia lakukannya sekali lagi? Lagipun, entahlah... Tasnim bercelaru sendiri dengan keputusannya.

Tapi, tidak salahkan kalau seorang isteri mahu tahu? Memang telefon itu adalah privasi suaminya, tetapi selama ini dia juga tidak pernah peduli berkongsi privasinya kepada Aswad. Maka, Tasnim berpendapat tidak salah untuk dia tahu juga.

Dan, jika memang benar suaminya benar-benar melakukan kesalahan di belakangnya, Allah pasti akan tunjukkan kebenarannya. Cuma cepat atau lambat aje.

Akhirnya, dia mengumpulkan semua keberaniannya untuk melakukannya sekali lagi. Telefon itu diambil lalu dibuka. Tidak ada kata laluan. Seperti kebiasaannya.

Tasnim mula menyemak sekali lagi log panggilan. Tiada yang kelihatan meragukan dalam sejarah panggilan masuk dan keluar pada telefon suaminya. Semuanya nama yang hampir dikenalinya. Dia kemudian membuka aplikasi media sosial suaminya.

Melihat satu demi satu. Termasuklah mesej peribadi di media sosial suaminya. Juga tiada tanda-tanda yang mencurigakan. Lalu, dia cuba untuk menyiasat dengan siapa suaminya berhubung di WhatsApp. Semuanya sama. Tiada nama yang menimbulkan rasa curiga padanya.

Ya Allah, mungkin apa yang terjadi sebelum ini cuma mainan perasaan. Mungkin aku juga yang terlalu buruk sangka terhadap suamiku sendiri.

Tasnim bermonolog di dalam hati. Mungkin saja ini mainan syaitan untuk cuba membuatkan dia bersangka buruk terhadap suaminya sendiri. Cepat-cepat dia beristighfar. Jika memang benar ini hanyalah sangkaan buruknya sahaja, bermakna dia telah berdosa terhadap suaminya.

Tapi, Tasnim tidak menolak sebarang kemungkinan. Setiap hari dia berdoa kepada Allah, jika memang benar suaminya berlaku curang, biarlah Dia tunjukkan padanya semua bukti-bukti itu.

Sama ada memang tiada langsung buktinya kerana kemungkinan, suaminya itu tidak pernah menduakan dia atau... mungkin belum sampai masanya?

'Ya Allah, jika memang suamiku tidak menduakanku, Kau hilangkanlah segala perasaan sangka buruk ini kerana aku tidak mahu berdosa kepada suamiku. Dan jika memang benar dia menduakanku, Kau tunjukkanlah kepadaku kebenarannya,' doa Tasnim dalam hati. Seperti terdesak, tapi itulah yang paling dia inginkan.

Biarlah hatinya tenang jika memang suaminya benar-benar tidak bersalah. Dia sudah tertekan dengan kegelisahan yang menyelebungi dirinya belakangan ini.

Dalam dia melayan fikiran, Tasnim secara spontan membaca mesej-mesej suaminya di dalam WhatsApp tersebut. Tiada yang aneh. Kebanyakannya berkaitan dengan hal kerja. Sebelum ini dia memang jarang  memeriksa mesej-mesej suaminya kerana terlalu sibuk dengan kerjanya sendiri menguruskan bisnes kecilnya.

Kadang-kala, dia sekadar membaca sepintas lalu. Itu pun dia membacanya sendiri di depan Aswad. Aswad sendiri bersama dengannya ketika dia menyemak WhatsApp suaminya sendiri. Maka, tidaklah dia berasa curiga kerana Aswad kelihatan tidak menyembunyikan apa-apa.

Sehinggalah, ketika dia membuka mesej suaminya dengan kenalan bernama Fiy... Dia terkedu sendiri.

Mesej yang terakhir kali dipenuhi dengan hal kerja, namun semakin dia jauh membaca mesej-mesej lama, jantung Tasnim seperti mahu berhenti berdetak.

'Tak apalah, nanti abang pergi hantar.'

'Thank you, abang.'

'Abang nak pergi ambil kereta company. Nak ikut tak?'

'Nak ikut, bang.'

Tasnim membaca lagi mesej-mesej yang kelihatan masih dua tiga minggu lepas pula.

'Dah tidur, ke?'

'Belum lagi.'

'OK. Abang call.'

'Call tiga pagi macam ini? Wife abang tak marah ke?'

'Dia tengah tidur. Abang tak boleh tidur.'

'Okay.'

Dada Tasnim semakin sebak. Dia menyambung lagi membaca.

'Abang, laptop Sofiya rosak. Susah nak buat kerja abang bagi.'

'Tak apa, nanti abang bagi duit, Sofiya beli yang baru.'

'Laptop ini cuba baiki dululah. Bazir duit nak beli baru.'

'Ikutlah.'

Mata Tasnim semakin berair.

'Sofiya, nanti abang bagi bonus raya... Sofiya belilah baju untuk raya.'

'Wah, terima kasih abang!'

Air mata Tasnim turun perlahan. Dia cuba menyeka air matanya itu. Namun, apa yang dibaca selepas itu, benar-benar membuatkan hatinya berkecai derai.

'Sofiya tahu tak siapa-siapa yang boleh buatkan suprise untuk anniversary?'

'Sofiya boleh carikan.'

'Ini abang, Sofiya dah jumpa.'

'Abang tak tahu nak tulis apa untuk wife abang.'

'Kejap Sofiya bagi contoh.'

'Selamat ulang tahun yang ke-21. Semoga perkahwinanan kita berpanjangan hingga ke hujung nyawa. Terima kasih, sayang.'

'Romantik betul abang bagi suprise dekat wife abang.'

Ayat itu... Dia sangkakan adalah datang ikhlas daripada hati suaminya sendiri. Tetapi, ternyata daripada wanita lain. Hatinya semakin pedih menahan amarah.

Dia sudah tidak mampu menahan diri untuk membaca mesej-mesej itu. Hatinya berasa sangat sakit. Kemesraan yang ditunjukkan suaminya kepada wanita lain, membuat perasaannya benar-benar cemburu. Kemesraan itu melebihi kemesraan yang pernah ditunjukkan oleh Aswad kepadanya.

Dan hakikat suaminya dipanggil abang oleh wanita itu... Cemburunya semakin membuak-buak. 

Tidak disangkakan, salah seorang staf suaminya sendiri yang akan membuatkan dia berasa sungguh sakit pada malam ini.

Mengapa ini masih menyakitkan walau bukan kali pertama dilaluinya?

Mengapa air matanya perlu jatuh lagi dan lagi?

Mengapa di saat aku sangkakan kami akhirnya mencapai kesenangan, tapi aku diuji lagi?

Tasnim terus menangis.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.