HARI Sabtu tiba juga. Rose Adelia tidak perlu ke rumah Datin Yusra lagi. Kiranya off-day la. Lepas sahaja bersarapan, Rose Adelia menolong mamanya memasak di dapur. Melihat bahan masakan yang tersusun, berkerut dahinya. Banyaknya? Ikan patin sampai empat ekor. Selalunya dua ekor aje.
Dia berkira-kira, mahu atau tidak dia bertanya? Egonya kata tidak perlu gara-gara hal semalam namun akal warasnya menyuruh dia ringankan mulut juga untuk bertanya.
"Mama nak masak apa ni? Banyaknya?" sampuk Balqis. Rose Adelia hela nafas lega. Tak adalah dia berperang dengan hatinya sendiri.
"Cikgu Ainnur nak datang. Dia tak bagi tahu Bal semalam?" Balqis menggeleng kepalanya. Cikgu Ainnur itu guru kelasnya tapi ketika dalam kelas, dia tetap pelajar dan Cikgu Ainnur tetap guru. Tiada istilah, anak kawan baik jadi Balqis harus dianak emaskan.
"Rajin Cikgu Ainnur jenguk kitakan, ma?" Rose Adelia hanya setia mendengar dari muka pintu dapur.
"Iyalah, dia aje kawan baik yang mama ada. Lagipun kami sama-sama ibu tunggal. Apa salahnya, kunjung-mengunjung? Nanti kita pulak datang rumah dia orang."
"Ya tak ya jugak." balas Balqis.
"Lagipun mama tengok abang Fayyadh tu macam suka dekat kakak Bal tu." tersedak Rose Adelia yang berada di muka pintu dapur. Terus sahaja Puan Wardah dan Balqis menoleh.
"Ermmm, mama... Nak Rose tolong apa-apa?"
"Kopek bawang tu." arah Puan Wardah. Masih terkejut, tak perasan anaknya ada di belakang.
PINGGAN yang telah dicedok nasi itu diletakkan di hadapan Fayyadh. Kekok, itu yang dapat digambarkan tika ini. Kemudian Rose Adelia mengambil tempat duduk di sebelah adiknya.
Selepaskan mengaminkan doa makan, Fayyadh mula mencedok kuah masak lemak ikan patin yang masih berasap itu. Baru sesuap sahaja nasi berlauk ikan patin itu ke dalam mulut, sedap betul!
"Wah, sedapnya! Siapa masak ni? Rose ke mama?" soal Cikgu Ainnur.
"Semestinya anak dara aku ni la, Ainnur. Diakan rajin memasak." Fayyadh terkedu. Patutlah sedap sahaja, tengoklah siapa tukang masaknya.
Rose Adelia menunduk malu. Dia hanya menumis sahaja. Kira masaklah jugak tu, kan?
"Wah, dah bolehlah ni jadi isteri orang." pipinya mula mula terasa panas. Kenapalah Cikgu Ainnur suka mengusiknya akan perkara-perkara begini sejak sekolah lagi? Kalau tak pandai masak sekalipun, boleh aje kahwin, lepas kahwin belajarlah perlahan-lahan.
"Itulah, calonnya pun masih belum ada." balas Puan Wardah bagi pihak anaknya. Rose Adelia tidak keruan duduk lagi. Mama pun sama juga, pipinya yang panas rasa nak terbakar bila melihat Fayyadh mengusyarnya. Mamat ni pun satu! Depan keluarga pun tak reti nak control perasaan!
"Fayyadh kata Rose dah kerja?" Cikgu Ainnur menukar topik. Rose Adelia menahan geram dalam hati. Fayyadh ni, semua benda pun nak cerita!
"Dah."
"Rose kerja dekat mana?"
"Dekat PJ aje." Fayyadh terus mendongak.
"Iya? Lah, samalah dengan Fayyadh. Rose kerja kat bangunan mana? Kalau tak, bolehlah balik dengan Fayyadh." tidak ditanya apakah pekerjaan gadis itu, terus ditanya perihal lain.
Hampir tersedak, cepat-cepat Rose Adelia mencapai gelas ais kosongnya.
Puan Wardah mengerling ke arah anaknya. Tahulah dia, Rose Adelia sedang mereka jawapan.
"Tak adalah, kalau dekat dengan Fayyadh... Boleh lah kau orang pergi dan balik sama-sama." sambung Cikgu Ainnur.
"Ha'ah." sampuk Fayyadh. Rose Adelia hanya membalas dengan senyuman sumbing.
"Cikgu, percubaan SPM bila?" kini, semua mata tertumpu pada Balqis.
"Lah, lagi dua minggu aje Bal, oi! Dah study belum?" Balqis menyengih.
"Haruslah, cikgu! Kalau tak study... Mahu tercabut telinga Bal ni kena piat dengan mama." jawapan Balqis disambut dengan gelak tawa.
Rose Adelia senyum nipis. Terima kasih, Bal. Sememangnya Balqis banyak membantu hari ini.
ADAM ZAYAN menyuap masuk nasi goreng ke dalam mulut. Wajahnya tampak muram sahaja daripada semalam. Padahal nasi goreng yang diminta telah pun dihidangkan, dah masuk perut pun tetapi wajahnya tak ubah macam buah kedondong!
"Lah, Adam ni kenapa? Diam aje..." soal Datin Yusra. Kalau dah anaknya bermuram durja, dia pun tak senang duduklah.
"Adam bosanlah, mummy."
"Bosan pasal apa? Selalunya duduk dalam bilik tu dengan game. Ni, tiba-tiba bosan? Kalau bosan, pergilah buat aktiviti berfaedah. Mandi kolam ke... Atau lebih baik kemas sikit bilik tu. Dah macam tongkang pecah abang tengok." bebel Wafiq.
"Abang ni macam perempuanlah membebel! Mummy... Boleh tak hari ni kita shopping? Adam nak cari baju sikitlah. H&M ada buat deals." Datin Yusra mencebik. Ingatkan pasal apalah tadi.
"Iyalah, lepas makan ni pergi siap." Datin Yusra pun mengerti yang anaknya itu sudah lama tidak keluar rumah. Hampir sebulan juga. Kasihan, bukan niat mahu mengurung tetapi dia dan Wafiq sendiri pun sibuk dengan jadual kerja masing-masing. Tambahan itu, tahap kesihatan Adam Zayan juga sukar dikawal jika dia berada di luar.
Bulan lepas, dia mengamuk di tengah-tengah sebuah kedai baju. Entah sebab apa, habis menjadi bahan bualan pengunjung di situ. Belum termasuk dengan video yang tular dalam media sosial. Habis adiknya dikecam tanpa mereka tahu perkara sebenar. Mujur Wafiq ada rakan yang mahir dalam bab-bab memadam video ini, sudi menolongnya tanpa bayaran.
Itulah masyarakat sekarang, video tanpa ulasan pun mereka kecam. Walhal perkara sebenar tidak tahu-menahu pun. Sakit hati bila Wafiq ingat kembali. Sudahlah waktu itu dia puas memujuk Adam Zayan yang dah macam singa kelaparan itu, orang lain boleh gelak ketawa sambil merakam video.
Bukan salah adiknya. Kerana itu dia dan Datin Yusra serba-salah untuk bawa Adam Zayan keluar bersiar-siar. Dalam dunia yang kejam ini, Adam Zayan yang tidak bersalah pastinya akan selalu menjadi mangsa.