Home Novel Cinta REEV
REEV
Kay Zaaraa
4/8/2019 07:58:49
5,331
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 29

29

Pada sebelah petang majlis makin rancak berlangsung. Acara yang dinantikan tentulah karaoke sebelum majlis penutup iaitu acara penyampaian hadiah pula. Bagi acara karaoke, hanya sepuluh orang perserta sahaja yang layak bertanding. Daripada seratus orang yang berminat untuk bertanding tinggallah barisan perserta akhir yang kini sabar menanti giliran masing-masing untuk membuat persembahan. Sepanjang minggu lalu, peringkat saringan telah diadakan. Team yang bertanggungjawab telah mencuri waktu ketika waktu rehat untuk menjalankan sesi saringan tersebut. Rata-rata yang terpilih ke peringkat akhir merupakan perserta yang terbaik diantara yang terbaik. Aku berada disisi Shakira ketika ini. Sama-sama bertepuk tangan setelah diminta oleh perserta diatas pentas. Mungkin begitulah caranya beraksi. Mungkin juga mahukan sokongan daripada penonton buat meredakan kegugupan. Shakira memandang kearahku sambil tersengih. Aku turut tersengih. Malah lebar dari biasa. Tak sangka. Sekian lama aku berasa terasing, hari ini aku seperti rapat pula dengan mereka semua. Ada yang menegurku meskipun cuma bertanyakan jadual acara ataupun mahukan penerangan tentang acara yang diadakan. Dimeja bulat ini, aku dan Shakira duduk bersama-sama dengan pekerja operator. Adakalanya kami ketawa apabila salah seorang dari mereka membuat jenaka. Aku tidak lagi mampu nafikan betapa gembiranya perasaanku pada hari ini. Usai acara karaoke, kami beralih pula ke majlis penyampaian hadiah. Memang riuh betul suasana ketika itu tatkala nama-nama pemenang disetiap acara diseru. Gegak gempita suara sorakan memenuhi segenap ruang. Apabila pengumuman pekerja terbaik di sektor produksi dan pengurusan diumumkan keadaan bertambah gamat. Belum sempat aku meraikan rasa riang yang mempelopori diri, tiba-tiba hadirin diminta diam. Majlis kejutan buat Kak Mar telah disediakan buat menghargai jasa dan khidmat Kak Mar selama beliau bertugas di kilang ini. Automatik, entah kenapa hatiku dirundum perasaan sebak dan sayu. Bukankah wanita itu pernah mengkhianatiku sebelum ini? Aku sendiri tak faham kenapa tindakanku terhadap Kak Mar bertentangan dengan adat. Semenjak ditegur oleh Kak Mar tengah hari tadi hatiku mudah sahaja berlembut dengannya. Padahal aku belum sempat menyampaikan permintaan terakhirku agar namaku dibersihkan. Aku melihat sekeliling. Ada beberapa operator dan staf wanita sedang menyapu air mata. Teman rapat Kak Mar tentulah bersedih hati. Salah satu sikap Kak Mar yang terkenal ialah dia sering menjadi tempat sesiapa sahaja meluahkan perasaan. Di kalangan operator dan staf yang masih muda, Kak Mar digelar sebagai ibu. Begitu tinggi sanjungan yang mereka berikan kepada Kak Mar. Aku mendengar suara Encik Faiz meminta Kak Mar untuk naik ke pentas dan memberi ucapan. Kehadirannya diatas pentas mendapat tepukan yang gemuruh. Aku mendengar. Begitu juga para pekerja yang lain. Senyap sahaja suasana ketika ini. Mereka betul-betul menghormati figura bernama Kak Mar. 

"Walaupun Kak Mar dah tak ada dikilang ni, kita masih dapat lagi berhubung. Jangan segan-segan hubungi Kak Mar kalau ada apa-apa, ye." pesan Kak Mar membuatkan esakan halus yang aku dengari sejak tadi makin meninggi. Kehadiran Kak Mar dalam kehidupan mereka ini benar-benar memberi satu kesan yang sungguh mendalam. 

"Rosy, mari sini." Hah! Aku terpana. Kenapa aku dengar nama aku disebut oleh Kak Mar? Shakira mencuit pinggangku beberapa kali. Aku menoleh kearahnya. Dia mengangguk dan menyuruh aku naik ke pentas. Tebal pipiku ketika ini disaat aku mula bangun dan berjalan menuju ke sebuah anak tangga yang membawa ke atas pentas. Ombak di dada usah cakaplah. Seperti tsunami yang sedang mengamuk. Tinggi menjulang dan berhempas kuat. Aku dilanda rasa gemuruh. Pandanganku hanya terarah ke lantai. Aku mengangkat sebentar kelopak mata. Ngeri melihat kesemua hadirin sedang menatapku ketika ini. 

"Hari ni Kak Mar nak berterus-terang. Kak Mar akan ceritakan kisah yang sebenar-benarnya tentang kes yang menimpa Rosy hampir dua tahun yang lalu." Aku mengangkat wajah. Buntang mataku melihat wajah Kak Mar yang tenang berbicara. Mulutku melopong mendengar setiap akuan yang keluar dari mulutnya. Benarkah ini realiti? Aku tidak bermimpi? Telingaku tidak salah mendengar, kan? Setiap inci cerita itu dikisahkan oleh Kak Mar tepat sekali. Bagaimana aku dan Yana yang berjanji untuk mengenakan pakaian yang sedondon pada hari Sabtu itu ketika pergi berkerja. Yana pada waktu itu bertugas sebagai Line Leader. Disebalik wajah cerianya itu dia menyimpan satu rahsia yang hanya diketahui oleh aku dan Kak Mar. Yana sedang asyik dilamun cinta dengan Encik Badrul, penolong pengurus kilang ketika itu. Tetapi sayang, Encik Badrul sudah beristeri. Hubungan terlarang itu diketahui oleh aku tanpa sengaja apabila aku memasuki bilik pejabat lelaki itu dan melihat aksi Yana sedang duduk diatas peha lelaki itu. Yana merayu. Meminta aku rahsiakan perkara itu dari pengetahuan sesiapa pun. Aku bersetuju. Namun, sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua. Hubungan itu dapat dihidu oleh Kak Mar pula. Kemudian, isteri Encik Badrul. Aku tidak tahu sejauh mana hubungan itu. Tetapi, Yana ada memberitahu betapa payahnya dia mahu memutuskan hubungan tersebut setelah berkali-kali diugut oleh Encik Badrul. Hinggalah tiba pada hari bersejarah itu. Aku diminta oleh Kak Mar untuk ke bilik stor. Katanya Encik Faiz mahu bertemu. Sebaik tiba disana, pintu bilik dan lampu dipadamkan. Aku dipeluk dari belakang. Aku menjerit dan meronta sekuat hati. Secara tiba-tiba Yana membukakan pintu. Saat itu aku berasa telah diselamatkan. Tetapi tidak. Kehadiran Yana diiringi oleh Encik Faiz, Saiful dan Encik Azizi. Aku terus sahaja dituduh sebagai perempuan tidak bermaruah. Sanggup berzina di dalam bilik stor. Kata mereka aku kekasih gelap Encik Badrul dengan tujuan mencari jalan mudah dapat dinaikkan pangkat.  Pada hari gelap itu, Encik Badrul hanya mendiamkan diri. Tidak menafikan langsung penglibatan aku yang telah difitnah. Begitu juga Encik Faiz yang jelas terkejut dengan keadaan itu. Hanya Encik Azizi seorang yang kelihatan seperti singa lapar. Bukan main lantang dan marahnya lelaki itu kepada aku dan Encik Badrul. 

"Kak Mar nak minta ampun dari Oci. Kak Mar yang salah... Kak Mar tak patut biarkan Rosy menanggung fitnah tu. Sedangkan yang merancang adalah perempuan tu. Dan... Kak Mar pula jadi pembantumya. Maafkan Kak Mar, Oci." ujar Kak Mar sambil tersedu-sedan lantas melutut dikakiku. Aku tidak pasti bila masa aku menangis. Tetapi, air mata aku memang laju tanpa dapat ditahan lagi. Aku memujuk Kak Mar. Encik Faiz pula segera mendekati dan mengambil microphone yang dipegang oleh Kak Mar. Suasana haru menyelubungi seisi ruang. Masing-masing berbisik sesama sendiri. Aku memujuk Kak Mar. Menenangkan wanita itu yang aku anggap sebagai ibu dalam diam sejak dari mula berkerja lagi. Tubuh kurus itu aku peluk. Aku maafkan Kak Mar. Walaupun Kak Mar tidak bongkarkan perkara itu sebentar tadi, aku tetap ingin maafkan Kak Mar. Itulah pendirian sebenar aku sejak akhir-akhir ini. 

"Kenapa Oci bagi Kak Mar duit banyak tu?" soal Kak Mar dalam esakkannya. Aku terpinga sesaat sebelum menyedari perbuatanku yang mengeluarkan duit simpanan sebanyak tiga ribu untuk diberikan kepada Kak Mar. Siapa yang memberitahu Kak Mar? Bukankah aku sudah meminta mereka berjanji untuk menyimpan rahsia ini. Aku mengangat wajah. Mencari raut Shakira yang duduk dimeja paling hadapan. Dia menggeleng seakan tahu apa yang tersirat di dalam kepalaku. Aku mendongak kearah Encik Faiz pula. Dia menganggukkan kepala. Aku mengeluh. Namun, bercampur rasa syukur. 

"Kak Mar. Takpe. Oci hadiahkan pada Abang Chik." kataku juga di dalam esakan yang bertalu-talu. Anak ketiga Kak Mar yang berusia sembilan tahun memang sejak kecil menghidap penyakit jantung berlubang. Kak Mar menggogoi kuat. Beberapa orang staf datang mengelilingi kami. Barangkali tak molek dipandang orang jika adegan itu berterusan begini. Belum sempat aku membuka mulut untuk meminta mereka memapah Kak Mar ke ruang yang agak privasi aku merasakan lenganku dicapai oleh seseorang. Terdorong aku bangun dan diheret keluar jauh dari hiruk-pikuk yang melanda. Aku mengumpul kembali semangat yang melayang akibat diterjah begitu. Dalam samaran penglihatan yang kabur digenangi air mata, aku lihat sekujur tubuh tinggi lampai berkaca mata hitam dan berkasut putih yang pernah aku temui beberapa minggu yang lepas. 

"Kau...?" 


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Kay Zaaraa