Daftar   |      Log Masuk   |   Terlupa password
Home Novel Cinta Operasi Bulan Madu
Operasi Bulan Madu
Aini Marisha Marisha
31/12/2013 20:56:48
38,488
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 17

“Kenapa kau benci sangat dengan dia?” tanya Zuha apabila Mira asyik merungut tidak habis-habis sejak balik dari pejabat. Kusyen kecil berwana merah jambu dipeluk erat dan sesekali hujung bantal kecil itu dipintal-pintal seolah-olah orang yang sedang dipintalnya itu ialah mulut celupar Faizal.

Mulut Mira hanya diam membisu tetapi hatinya tidak henti-henti menyumpah seranah lelaki itu. ‘Kalau aku tahu dia tu yang datang, memang dari dulu lagi aku dah buat surat untuk ditukarkan ke balai lain!’ bentak hati Mira panas.

“Eh Mira. Kau dengar tak apa aku cakap ni?” Kali ini Zuha menggunakan bahasa tubuh apabila kata-kata sahaja tidak cukup untuk mengembalikan Mira ke alam realiti bersamanya di rumah ini. Satu tamparan hinggap di bahu Mira.

“Hah! Ooo... mak kau!” Terlatah sekejap Mira kerana terkejut apabila diperlakukan begitu. Tetapi nyata tindakan Zuha amat berkesan. Sepantas kilat juga Mira menoleh ke arahnya.

Mengekeh Zuha ketawa apabila melihat reaksi Amira. Memang sekali sekala latah Mira akan terkeluar apabila dikejutkan sebegitu dan sebagai balasannya satu cubitan bisa akan singgah di lengannya.

Berkerut-kerut wajah Zuha kerana sakit dicubit. Tapak tangannya terus mengusap-usap tempat cubit tersebut untuk menghilangkan bisanya.

“Padan muka kau! Selalu sangatlah suka buat aku terkejut,” bebel Mira dengan wajah geram.

“Hehehe... Yalah, kau ni sebenarnya kenapa Mira? Takkan lah ASP Faizal tegur kau macam tu pun, kau dah melenting beria-ria sangat ni? Mengikut firasat akulah, sebenarnya kau dengan dia tu ada masalah lain ni.” Zuha cuba mengorek rahsia yang tersembunyi.

Tekaan Zuha memang tepat mengena seperti Robin Hood yang handal memanah. Mira serba salah. Patutkah dia menceritakannya? Tetapi itu kisah lama. Kisah yang mahu dibuangnya jauh-jauh dari ingatannya kerana dia memang tidak suka dan benci untuk mengingatinya. Aku memang bencikan dia, marah Mira lagi tapi kata-kata itu hanya bergema dalam tembok dirinya sahaja.

“Aku tak sukakan dia. Itu saja yang perlu kau tahu,” jawab Mira setelah agak lama Zuha menunggu.

“Kenapa? Setiap sesuatu tu mesti ada sebab, kan? Takkan lah tak semena-mena sahaja kau tak suka dia? Gila apa? Aku rasa kalau perempuan lain mesti dah jatuh cinta dengan dia tau. Mana taknya. Orang handsome macam tu... kalau dia nak kat aku, aku pun nak,” tanya Zuha masih tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan oleh Mira.

Mira bingkas bangun apabila mendengar kata-kata Zuha. Marahnya kepada lelaki itu semakin membara apabila Zuha pula memuji ASP Faizal. Matanya buntang memandang Zuha yang terkebil-kebil hairan melihat perubahan sikap Mira. Handsome? Piiirahh... muka macam tu handsome? Mira mengertap bibirnya. Tidak tahan rasanya menanggung perasaan marah ini lagi. Ah... aku mesti luahkan.

“Eh, Mira. Kau ni sebenarnya kenapa? Cuba kau ceritakan kat aku. Takkan dengan aku pun kau nak berahsia,” pujuk Zuha lagi.

“Aku malaslah nak ingatkan cerita-cerita lama tu Zuha,” jawab Mira dengan nada suara yang lemah. Kepalanya disandarkan ke sofa. Dia memejamkan matanya sebentar.

“Hah... kan aku dah kata. Mesti ada cerita lama ni. Alaaa... come onlah, Mira. Sportinglah sikit. Cepat aaa... aku nak tahu jugak ni.” Zuha masih mendesak. Perasaannya kuat menyatakan bahawa ada satu kisah yang telah berlaku antara Mira dan ASP Faizal.

“Isy... kau ni.” Mira mengeluh. Nafasnya rasa tersekat seketika. Dia agak lemas dengan desakan Zuha. “Kalau kau nak tahu sangat... sebenarnya aku memang kenal dia dah lama. Kami pernah bersekolah di sekolah yang sama. Tapi...kalau orang kata zaman persekolahan sesuatu yang indah, bagi aku ia berbeza. Berbeza hanya kerana lelaki bernama Faizal tu,” ujar Mira sambil mengumpul kekuatan untuk membuka semula kotak sejarah hitam yang selama ini telah dikuncinya rapat-rapat dan ditanamnya jauh di sudut hatinya.

“Ha? Kenapa?” tanya Zuha tidak sabar.

“Sebab... aku bencikan dia. Benci sangat-sangat. Dia tu memang jahat, jahat, jahat, jahat sangat. Aku bencikan dia sampai sekarang,” luah Mira dengan renungan yang jauh dan panjang.

“Biar betul ni Mira. Apa yang dia dah buat kat kau sampai banyak sangat perkataan jahat kau sebut ni? Seram sejuk pulak aku dengar,” ujar Zuha ternganga apabila mendengar permulaan cerita Mira.

Mira menongkat dagu. Pandangan matanya begitu jauh merenung seolah-olah dia kini sudah kembali ke zaman persekolahannya semula.

“Mira! Helo...” Goyangan tapak tangan Zuha di depan wajahnya menarik semula ingatan Mira ke alam realiti.

“Janganlah diam aje Mira. Aku tak sabar nak tahu ni. Umur berapa kau dengan dia satu sekolah?” tanya Zuha lagi tidak sabar.

“Kau ni Zuha.... sabarlah. Masa tu aku tingkatan lima. Aku baru aje tukar ke sekolah dia,” jawab Mira. Geram juga dengan sikap mendesak Zuha.

“Lepas tu?” tanya Zuha lagi masih tetap dengan sikapnya yang tidak sabar.

Dada Mira pula bergelora bagai laut Cina Selatan yang mengganas di musim tengkujuh apabila pertanyaan demi pertanyaan yang diutarakan oleh Zuha memaksa dia untuk kembali menggamit memori lama yang begitu pedih untuk diulang tayang.

“Zuha... kenapalah kau ni banyak sangat bertanya.” Akhirnya Mira bersuara lemah tanda mengalah.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.