Daftar   |      Log Masuk   |   Lupa Kata Laluan
Home Novel Cinta Tak Ku Mampu..
Tak Ku Mampu..
hijratul
6/9/2018 12:38:32
1,363
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 4

“Arghh!..”

Miasarah mengaduh. Sakitnya terasa apabila kepala terhantuk pada stereng kereta. Dapat dihidu bau tengit geseran tayar pada jalan raya itu tengit mencucuk hidung. Tubuhnya bagaikan berada di awan awangan dengan bunyi desah nafasnya yang masih lagi kuat. Miasarah yakin dia masih belum berpindah alam. Perlahan-lahan kepala diangkat sambil berusaha membuka mata, namun saat itu rasa takut menyerang membuatkan matanya kembali tertutup rapat. Kepala disandarkan ke belakang tempat duduknya cuba mengatur nafas supaya bertenang namun sepantas kilat matanya terbuka luas apabila teringatkan penumpang disebelahnya.

“Lan…Lan” Mata itu terpejam rapat. Tubuh Razlan separuh ke depan dashboard manakala kepala terteleng ke arahnya. Jantungnya bagaikan terhenti. Terketar-ketar tangannya menjalar ke bahu Razlan. Jangan lah terjadi apa-apa yang buruk kepada Razlan waktu-waktu genting begini. Ah! dia tidak sanggup kehilangan Razlan. Airmata sudah bertakung. Rasa cemas semakin menggila apabila melihat Razlan disebelahnya masih tidak bersuara. 

“Lan..Lan..Razlan bangun” dia mengongoi. Rasa sakit akibat dari kesan hentakan dikepala tidak dihiraukan apa yang dia tahu saat ini hatinya mula merasa kehilangan yang maha dalam. Tak..tak boleh..Razlan harus diselamatkan. Dia harus kuat. Dia berusaha menarik badan Razlan supaya bersandar ke belakang. Airmata yang berjujuran itu tidak dihiraukan.

“Lan..” 

Tiada sahutan, tubuh temannya itu digoncang sekuat hati bersama tangisan.

“Aarhh!” Sergah Razlan membuatkan jantung Miasarah bagaikan mahu meletup.

Pap! 

Spontan satu tamparan kuat melekat ke bahu Razlan. Naik turun nafas Miasarah terkejut dan dalam masa yang sama menahan marah.

“Kau dah gila ke? Hal macam ni pun kau boleh buat main-main Lan!” Jerkah Miasarah tidak dapat mengawal emosi.

“Sorry..sorry Mia, aku tahu aku dah terlebih.” Razlan angkat dua belah tangannya mengaku kesilapan diri. Tidak patut pula dia mempermainkan Miasarah dalam keadaan begitu. Miasarah terdiam. Terasa bersalah meninggikan suara, namun siapa yang tidak marah kalau dalam keadaan begini dia dipermainkan. 

“Lan kau tak apa-apa” terketar-ketar dia bertanya bimbang ada tulang temulang yang patah riuk. Dalam hati berkali-kali mengucap syukur, kerana masih mampu mendengar suara temannya. 

Razlan tarik nafas, dia bukan cedera teruk mana pun cuma lakonan saja yang lebih. Rasa bersalah memakan diri. Cuba untuk tidak menambah apa-apa yang tidak perlu dalam situasi begini. Dia menggosok pipinya yang terasa sengal, rasa macam tulang pipinya telah retak seribu menyondol cermin depan Myvi. Matanya memandang ke tepi seketika sebelum dia menarik nafas panjang. Mujurlah Miasarah sempat membrek kalau tidak sudah tentu keretanya terbabas dan masuk ke dalam longkang. Lagi parah. Mujur juga cermin kereta Miasarah tidak pecah, ngeri pula membayangkan pipinya tertusuk kaca. 

Razlan membetulkan duduk, telinganya dapat menangkap ada tangisan halus yang cuba disembunyikan temannya. Razlan telan liur. Tangisan itu cukup hiba dipendengarannya mencucuk-cucuk hingga ke jantung. Segera dikerling ke arah Miasarah disebelahnya. Melihat wajah itu basah dengan airmata dia paling ke depan tidak sanggup rasanya melihat kesedihan itu. 

“Kau macam mana” soal Razlan dengan rasa bersalah. Baru sedar hendak bertanya akan keadaan Miasarah.

“Aku okay je. Kau pula macam mana.” Suara Miasarah terketar-ketar pula menyoal. Rasa mengigilnya masih belum hilang. Pipi yang lenjun dengan airmata itu disapu perlahan dengan hujung tudungnya. Razlan tersentuh dengan rasa keperihatinan itu. Miasarah masih bimbangkan dirinya walaupun pertanyaan itu sebenarnya layak untuk Miasarah. 

“Aku pun”

Mendengar suara Razlan menjawab pertanyaan itu dia cukup lega. Mata dipejam rapat. Kepala disandarkan ke tempat duduk. Rasa pening dan berdenyut dikepala tidak dihiraukan yang pasti dia cukup lega mendengar suara Razlan dalam keadaan baik.  

“kenapa dengan kita tadi.” Tanya Miasarah dalam kebingungan yang bersisa. Dia  masih tidak dapat mengenal pasti apa yang terjadi dengan keretanya sebentar tadi. Bunyi dentuman itu cukup membuatkan dia dihurung debar yang maha hebat. Bagaimana kalau nyawa Razlan melayang dalam kemalangan tadi, memikirkan itu dia jadi takut. Perasaan takut kehilangan untuk kesekian kalinya sangat ngilu untuk dikenang.

“Tayar meletup.” Ujar Razlan sebaris.

Mata Miasarah terbuka luas mencari wajah temannya. Dasyat juga penangan tayar pecah hingga mereka hamper kehilangan nyawa. Perlahan-lahan dia menarik nafas lega, kalau dia sendirian yang memandu keretanya tadi tidak dapat dibayangkan apakah nasib yang menimpa dirinya.

“Aku pergi tengok sekejap” Razlan membuka pintu kereta mahu melihat keadaan tayar Myvi yang pecah tadi dan lebih tepat lagi hatinya tidak sanggup melihat Miasarah menitiskan airmata buat pertama kalinya. Terasa jantungnya bagaikan mahu pecah. Mata dan hidung merah itu..Ahhhh! Rasa bersalah pula, dalam keadaan begitu pun dia masih mengambil kesempatan untuk bergurau. 

Melihat Razlan keluar Miasarah juga turut berbuat demikian dia ingin melihat sendiri seperti apa yang dikata Razlan. Tengit bau tayar mencucuk lubang hidung membuatkan hidungnya kembang kempis menahan bau. Beberapa orang yang menyaksikan kemalangan kecil tadi mula berkerumun. Ada yang datang dengan telefon pintar siap sedia untuk merakamnya. Maisarah mendengus. Dia tidak suka mereka mengambil kesempatan begitu sikap keperihatinan yang semakin hilang. Datang hanya semata-mata untuk merakam bukannya untuk membantu.

“Tolong ya, jangan upload di facebook atau kat mana-mana, kami tak apa-apa tayar meletop aja.” Pinta Miasarah membuatkan Razlan mahu ketawa. Pengguna jalan raya yang berhenti untuk melihat kemalangan kecil itu mula beransur pergi di tambah pula ayat power Miasarah membuatkan beberapa orang pengguna tadi yang sedang elok memegang telefon terpaksa memasukkan kembali ke dalam poket masing-masing. Orang ramai mula beredar setelah Razlan memberitahu mereka berdua tidak mengalami kecederaan yang teruk.

“Bang..kepala isteri abang berdarah..” tegur salah seorang pengguna jalan raya yang masih lagi berada disitu. 

Razlan dan Miasarah berpaling ke arah pemuda yang menegur itu sebelum Miasarah meraba dahinya yang terasa basah. Ada luka juga rupanya. Saat jari tersentuh luka itu baru terasa pedihnya. Miasarah sengih. Terketar juga tangannya melihat darah dijari, kalau dia tidak kuatkan hati pasti dia akan tumbang disitu. 

“Sikit je ni.” Miasarah membuka pintu tempat duduk belakang kereta apabila wajahnya ditenung Razlan. Tidak selesa malah hatinya tertanya-tanya teruk sangat ke lukanya sampai mata itu mencerlung tajam. Dia mengambil tisu yang sedia lalu menyandar pada badan kereta. Darah yang masih mengalir itu dikesat. Kesan luka itu membuatkan dahinya berkerut menahan pedih yang mencucuk-cucuk.

“Mia banyak darah tu..” terguran Razlan membuatkan bahunya terjungkit. 

Suara Razlan yang terasa dekat dicuping telinga membuatkan jantungnya berdegup laju. Terkejut dengan kehadiran Razlan secara tiba-tiba itu. Mata tu, haish macam nak telan aje rupanya. Apa salah dia.

Razlan semakin menghampiri Miasarah. Kasihan pula melihat dahi Miasarah merah dan bengkak. Darah pula masih lagi mengalir. Razlan menelan liur menyesal pula dia tidak memandu kereta itu tadi. Sama sekali dia tidak menyangka akan kejadian yang berlaku. Kalaulah dia tidak pulang bersama Miasarah apakah nasib yang bakal menimpa temannya. Razlan tarik nafas, dia tidak mahu membayangkan yang bukan-bukan lagipun mereka sudah selamat dari kemalangan buruk.

“Bak sini.” Tangan dihulur meminta tisu ditangan Miasarah. Muka dah pucat sangat boleh pula dia cakap takde apa-apa. Ingat darah tu senang-senang ke boleh dapat macam air paip. Macamlah darah tu ada simpan dalam peti ais kat rumah.” bebelnya bersungguh.

Miasarah gigit bibir, boleh pula Razlan memerlinya. Dia tengah sakit pun masih nak sindir-sindir. 

“Sikit je pun, apa kita nak buat dengan kereta ni.” Tidak selesa menjadi perhatian Miasarah cuba melarikan topik perbualan dan lebih tepat lagi mengelak dari wajahnya direnung tajam oleh sepasang mata redup itu. Darah yang masih keluar dari dahinya itu disapu lagi. Rasa cemas yang masih bersarang dibuang jauh-jauh.  Dia cuba mengawal suara tidak mahu Razlan mengesan kegugupannya. Nak tolong kesat, eh dia boleh buat sendiri apa. Miasarah berganjak sedikit ke belakang sengaja mahu melihat tayar yang pecah itu untuk mengelak daripada Razlan meminta tisu dari tangannya.

Menyedari Miasarah mengelak Razlan beredar ke bonet kereta. 

“Tayar tu nak kena ganti” beritahu Razlan lalu dibukakan bonet kereta untuk mengambil tayar ganti. 

“Eh! Takpe bang..abang jaga akak biar saya dengan kawan saya ni tolong abang tukarkan tayar tu.” Pemuda yang menegur tadi datang menghulurkan bantuan lalu memperkenalkan diri sebagai Bidin dan Amir, mereka memang mekanik pun. Bagaikan mengantuk disorongkan bantal Razlan menerima pertolongan pemuda itu tanpa banyak bicara. Dia sendiri juga masih menahan rasa sakit akibat terkena hentakan pada cermin kereta nasib baik juga tidak patah tulang rahangnya. Hendak bercakap banyak pun masih kurang selesa. Bila disuakan pertolongan takkan dia mahu menolak.

“Tak menyusahkan ke?” Razlan berbahasa. Lengan baju kemejanya dilipat hingga ke siku sempat pula mengerling wajah Miasarah yang nampak kepucatan. Ikatan tali lehernya dirungkai lalu disumbat ke dalam poket seluar. Satu butang atas dibuka. Dibiarkan sedikit terdedah supaya dapat hilangkan kepanasan. Nampak kacak dengan gaya begitu.

“Abang dalam kesusahan InsyaAllah kami tolong, abang pergilah teman akak kat sana tu akak nampaknya masih terkejut lagi yang ni biar kami yang setle.” Balas pemuda itu berhemah. Miasarah menghadiahkan senyum bila pandangan pemuda itu jatuh ke arahnya. Payah sekarang ini kalau mahu lihat pemuda yang baik seperti yang ada didepannya ini. Perlahan Razlan berjalan menghampiri Miasarah. 

“Sini aku tengok.” Arah Razlan lalu merampas kotak tisu itu daripada tangan Miasarah secara tiba-tiba. Pandangannya mula jatuh pada tangan kanan Miasarah. Sudah ada tiga gumpalan tisu yang telah bertukar warna ditangannya. Dia menelan liur, besar sangat ke luka di dahi tu sampai semua tisu ditangan bertukar warna. Razlan cuak, takkan lah sikit je luka tu.

Terkejut dengan kehadiran Razlan. Tidak sempat dia mahu menyembunyikan gumpalan tisu berwarna merah ditangannya.

“Tak payah..sikit je ni kau pergilah tolong budak tu” Miasarah mengundur kebelakang setapak apabila melihat Razlan maju ke depan. Cakap nak tengok tapi kalau dah gaya merampas tisu macam merampas pistol takde maknanya nak tengok. Parah kalau Razlan nampak luka tu nanti, tak pasal-pasal kena seret ke klinik. Dia tak nak kena jahit. Baru bayangkan pun sudah rasa ngeri dan ngilu inikan pula betul-betul kena jahit. Sorotan mata Razlan dia buat tak endah.

“Degil betul…Sini!” 

Suara Razlan sudah naik satu oktaf. Miasarah pula tayang muka tembok tidak hiraukan arahan lelaki itu.

Razlan cuba untuk tidak berlembut dengan Miasarah. Bibir diketap, tak padan dengan sakit sengaja mahu tunjuk kuat bebelnya dalam hati. Lengan Miasarah dipegang kuat bimbang temannya itu akan mengelak lagi. Dia bukan lelaki yang suka mengambil kesempatan dalam keadaan begitu kalau tidak kerana darah yang cuba disembunyikan Miasarah tidak ada maknanya dia mahu pegang tangan Miasarah. Luka di dahi itu, kalau tidak dilihat dengan mata kepala sendiri memang kata-kata Miasarah tidak boleh dipercayai.

“Malu lah orang tengok.” Jelas Miasarah bila perlakuan Razlan itu membuatkan ada mata yang memandang ke arah mereka. Dia tidak selesa. Jantungnya bagai nak pecah. Rasa malu dan segan bersatu dalam satu rasa yang sukar dia ungkapkan.

“Kau dalam darurat sekarang ni ya, bukan aku nak ambil kesempatan. Sini!”  Razlan ketap bibir geram dengan sikap degil Miasarah.

“Dalam keadaan begini pun masih nak bertekak lagi. Tak tengok tempat langsung.” Sela Razlan terus mendiamkan Miasarah. Razlan senyum senget bila merasakan satu kemenangan melihat Miasarah tidak bergerak dan terus kaku. Hanya mata itu yang terkelip-kelip menatapnya. Dia telan liur. Kalau boleh dia mahu menyentuh bulu mata yang panjang melentik itu. Tangan diangkat.

“Lan” suara merayu Miasarah membuatkan dada Razlan bagai dipanah. Tertusuk dalam. Nasib baik dia dapat mengawal getaran yang mula bertandang. 

Larangan Miasarah tidak memberi bekas padanya. Bukannya dia tidak kenal siapa Miasarah kalau tidak bertegas mana dia mahu dengar cakap orang. Tudung dibahagian dahi Miasarah dilipat sedikit, diambilnya tisu bersih lalu dielus perlahan pada tempat luka. Sesekali ditiupnya supaya Miasarah tidak merasa pedih ketika disapu. Dengan jelas dahi tu berkerut, boleh pulak cakap takde apa-apa.


Miasarah menunduk. Tiba-tiba mukanya terasa panas dan berbahang. Haruman yang dipakai Razlan menusuk masuk ke rongga hidungnya. Bergetar seluruh tubuhnya seketika, kalau boleh saat itu juga dia mahu menepis tangan yang masih menyapu lembut ke dahinya. Miasarah pejam mata serapat-rapatnya, mengatur degup agar tenang seperti selalu. Seharian lelaki itu bekerja namun haruman itu masih lagi melekat pada tubuh Razlan. Dia cuba menoleh kiri dan kanan tidak selesa berada dekat begitu.

“Duduk diam-diam la.” Arahan keras Razlan membuatkan Miasarah terus kaku. Dibiarkan sahaja tangan Razlan menyapu luka didahi walaupun dalam hati sudah diserbu rasa malu yang menggunung. Tubuhnya terasa seram sejuk bagaikan mahu demam. Kalau lama-lama dia duduk berdua macam begitu silap haribulan tekanan darahnya melambung tinggi. Lebih parah lagi kalau terkena ‘heart attack’ kat situ juga dia boleh tumbang.

Razlan meneliti luka didahi Miasarah yang mula kelihatan setelah darahnya semakin berkurangan. Agak besar juga lukanya patutlah hampir habis sekotak tisu. Apa yang sikitnya kalau dihantar ke klinik memang kena jahitlah jawabnya. Belum diapa-apakan sudah berkerut dahi Miasarah menahan hingga mata itu tertutup rapat. Satu rekahan senyuman terbit dari bibir Razlan. Sempat dia menilik wajah itu dari dekat.  Kesempatan yang tidak mungkin dia lepaskan, memang dasar lelaki kan. Miasarah memang sempurna kejadiannya dengan alis mata yang lentik, keningnya yang hitam lebat dan memiliki hidung yang sedikit mancung. Pandangan matanya terus terpaku pada hidung merah jambu itu kesan daripada menangis sebentar tadi menaikkan lagi seri wajah itu. Comel. Ada rasa halus yang tidak dikenal pasti membuatkan jantungnya tidak seirama namun sedetik itu juga bayangan Erina muncul dalam kepala. Razlan tarik nafas. Haish boleh mati dia kalau lama-lama mereka duduk macam ni. Dia tidak mahu terlajak jauh hatinya sudah dimiliki. Muktamad.

“Besar juga luka ni Mia..” kata-kata itu membuatkan Miasarah memanggung kepalanya dengan secara tidak sengaja mata mereka berlaga. Masing-masing bagaikan terpaku bagaikan jantung tidak lagi berdegup. Memerhati tanpa kata, merasai dengan jiwa menatap dengan rasa. Miasarah merasakan tubuhnya mula menggigil bukan kerana luka itu besar seperti apa yang dikatakan Razlan tadi, tapi dek kerana wajah itu terlau hampir dengannya. Apa yang harus dia lakukan perlukah dia menolak Razlan jauh darinya atau terus membiarkan mereka berkeadaan begitu.

“Bang dah siap!..” 

Bagaikan baru tersedar Miasarah dan Razlan dari lena mereka cepat-cepat menjauh sedikit canggung nampaknya. Pemuda itu saling tersenyum melihat gelagat mereka, boleh pula bercinta didepan khalayak. Masing-masing menarik nafas, bagaikan baru dapat menghirup udara. Miasarah tunduk memandang tanah, segan pula mahu mengangkat kepala memandang kepada dua orang pemuda yang menolong mereka. Malu haish, boleh pulak jadi macam tu. Boleh pinjam beg ajaib Doremon tak nak menyorok seketika.

“Dah siap..” Razlan menghampiri pemuda itu, bagaikan tidak ada apa-apa berlaku. Sumpah! dia malu kena tegur macam tu. Berapa lama agaknya dia bikin drama tadi ya. Dia mengeluarkan dompet dan mengambil sekeping not 50 untuk diberikan kepada pemuda yang telah menolongnya, seketika pula matanya menoleh pada tayar yang sudah berganti itu. Cepat juga kerja-kerja mereka lakukan.

“Eh takpe bang, kami ikhlas tolong bang….” Balas Bidin bersungguh menolak huluran Razlan tadi manakala Amir mengangguk kecil tanda bersetuju dengan tindakan temannya.

“Takpe ambillah buat minum kopi..” ditangan masih terhulur not hijau itu. Orang berbudi dia berbahasa apalah salahnya dia hulurkan sebagai tanda terima kasih.

“Tak payah bang..terima kasih aja. Kami pergi dulu ya.” Ujar Bidin lelaki tinggi lampai itu sambil membonceng motor. Nampaknya mereka memang ikhlas menolong bukan mahu upah pun.

“Betul tak nak ni..” Razlan bertanya lagi. Bidin menggeleng sebagai bahasa penolakannya. 

“Kalau macam tu terima kasih banyak-banyak sebab bantu kami.” Tangan dihulur sebagai salam perpisahan.

“No hal lah bang jangan lupa nanti bawak akak ke klinik, saya tengok muka akak pucat agaknya banyak darah yang keluar.” Amir pula membalas sempat dia mengerling wajah Miasarah yang nampak benar pucatnya.

Senyum Razlan sedikit kaku, kata-kata itu bagai ditujukan kepadanya sahaja. Dia tahu Miasarah pucat bukan sepenuhnya kerana kehilangan darah tapi pucat kerana kedudukan mereka tadi. Agaknya dia pun sama macam Miasarah pucat mukanya bukan kerana tak berdarah tapi kerana mula tak berarah. 

Miasarah senyum kelat terasa wajahnya tebal berinci-inci menahan malu. Sungguh itu pertama kali dia duduk sedekat itu dengan Razlan tidak sangka pula secara tidak sengaja mereka diperhatikan. Wajah Razlan direnung seketika. Geram. Kalau tak kerana gatal si Razlan takdenya dia rasa dimalukan nak tunjuk gentelman pun tak bertempat.

 “Dah jom..” ajak Razlan setelah dia mengangkat tangan kepada pemuda itu sebagai isyarat perpisahan.

Miasarah ke tempat pemandu. Lututnya terasa bergetar ketika membuka pintu bahagian pemandu. Berani ke dia nak bawak kereta dalam keadaan dia macam ni. Lambat-lambat dia membuka pintu kereta. Ditarik nafasnya dalam-dalam, cuba menpositifkan fikiran yang sudah mula dirasuk ketakutan. Belum pun sempat dia membuka pintunya Razlan menahan.

“Tak payah biar aku yang bawak” Razlan berdiri disebelah menghalang niat Miasarah. Kasihan pula temannya itu tidak pasal-pasal dahinya berbalut tisu. Memang kejamlah kalau dia sanggup biarkan Miasarah memandu juga sedangkan dia yang harus menjaga keselamatan Miasarah. Tengok muka curiga macam tu nampak sangatlah sebelum ini dia tidak pernah mengambil kisah tentang Miasarah. 

Miasarah akur, dia tidak mampu untuk memandu ketika ini walaupun dia masih ragu-ragu dengan apa yang didengar. Matanya mengamati wajah Razlan mengintai riak nakal pada wajah itu. Kut lah dia tersalah dengar dalam keadaan dirinya yang masih tak stabil.

“Tengok apa lagi..aku hensem sangat ke hari ni, sampai mata tu tak berkelip.” Teguran Razlan membuatkan Miasarah mencebik. Hari-hari tengok tak tahu tang mana lagi tinggal kacaknya. Dia cuma beranggapan takut-takut pelawaan itu hanya dalam mimpi sahaja. Dia kenal siapa Razlan, ini bukan kali pertama keretanya ditumpang. 

“Jangan perasanlah” bidas Miasarah membuatkan Razlan ketawa lucu. 

“Kunci..” Pinta Razlan lalu Miasarah memberikan kunci keretanya kepada Razlan dan lelaki itu  menghadiahkannya kenyitan mata membuatkan Miasarah tergelak kecil.

“Alhamdulillah kau selamat.” Ada keikhlasan pada suara itu menusuk hingga ke pangkal hatinya.

“Kenapa, kalau tak selamat kau sedih..kau rasa kehilangan..” sengaja dia menyoal membuatkan gadis itu serba salah. Dia suka melihat wajah yang mengambarkan hati itu mula tidak keruan.

“Aku lagi suka ” balas Miasarah tidak mahu mengalah walhal dalam hati dia dirasuk perasaan berdosa. Berdosa kerana tidak melakukan tangungjawabnya sebagai seorang isteri sempurna biarpun perkahwinan mereka cumalah sekadar menutupi keinginan masing-masing.

“Mia..” tegas suara Razlan mahu mendengar jawapan yang jujur. Mata sengaja tidak dialihkan dari memandang wajah Miasarah. Dia mahu lihat sejauh manakah Miasarah maksudkan dari kata-katanya tadi.

Miasarah menarik nafas sebentar dia memandang teman disebelahnya sebelum matanya ditalakan ke hadapan semula. Panggilan dari Razlan itu membuatkan dadanya sedikit sebak.

“Aku takut..takut jadi apa-apa pada kau atau dalam erti kata lain jika nyawa kita diambil Tuhan dalam keadaan kita begini. Kau rasa kat mana tempat kita” Jawab Miasarah menunduk. Dia tidak mahu Razlan berkecil hati dengan kata-katanya tapi itulah yang sering difikirnya saban hari bila  merasakan mereka sepatutnya menamatkan segera kisah rumahtangga yang tidak pernah berkesudahan begini. 

Razlan terus diam. Terkunci segala kata mendengar ayat keramat Miasarah.


Alunan lagu Sesal Separuh Nyawa nyanyian Alyah menemani perjalan mereka. Razlan melirik pandang kepada temannya itu apabila masing-masing terus menyepikan diri.

“Aku bawa kau ke klinik dulu.” Razlan bersuara bila beberapa kali dia melihat dari ekor matanya muka Miasarah berkerut bagaikan menahan sakit. 

“Buat apa..” polos pertayaan itu menyapa telinga Razlan. Dia gigit bibir.

Miasarah senyum kecil. Ditahannya rasa sakit itu dari terpamer. Liur ditelan sebanyak mungkin. Dadanya sudah berdebar-debar. Dibuatnya Razlan melakukan kerja gila memakirkan kereka dihadapan klinik tidak ke haru biru jadinya. Dia memang tidak suka ke klinik. Ngeri membayangkan dahinya berjahit. 

“Saje, kat sana kan ramai misi yang cantik-cantik, doktor yang hensem-hensem..” Balas Razlan geram. 

Miasarah menjeling sekilas, ayat yang ditutur Razlan memang membakar jiwanya. Dahinya dijamah, agak panas mungkin kerana rasa terkejut yang dialaminya tadi.

“Tak payah la Lan luka ni kecil je balik nanti aku sapu ubat” Dia perlu mengelak dan sebolehnya dia tidak mahu ke klinik walau dengan apa caranya sekalipun. 

“Degil” Suara Razlan berdecit. Geram dengan kedegilan Miasarah menolak untuk dibawakan ke klinik. Dalam keadaan begitupun masih mahu memenangkan diri. Entah apa yang ditakutkan sangat dengan klinik bukan kena cucuk dengan meriam pun. Razlan geleng kepala. Rasa bimbang mula menyelinap  melihat muka selenga Miasarah rasanya ada juga orang menangis kena tarik masuk klinik.

Miasarah jungkit bahu. Dibiarkan Razlan mencuka, memang dia takut dengan klinik nak buat macam mana.

 “Ke klinik jom” pujuk Razlan sekali lagi. Hati mana yang tidak bimbang melihat wajah pucat yang masih belum hilang. Takkanlah dia mahu biarkan Miasarah berada dalam keadaan begitu, nanti lain pula jadinya.

Rimas akan soalan yang diterimanya berulang kali Miasarah pejam mata. Sekalipun diseret dia tidak akan berganjak dari keputusannya. Razlan tidak ada hak untuk memaksanya.

“Betul ni tak nak ke klinik”soal Razlan lagi untuk kesekian kali bagi mendapatkan kepastian daripada Miasarah apabila dirasakan didepan sana ada sebuah poliklinik. Manalah tahu ngam-ngam Miasarah buka mulut bersetuju dia boleh terus pacak kereta didepan Poliklinik tak perlu nak patah balik.

“Betul.. aku tak nak ke klinik Lan aku nak balik.. yang kau risau sangat ni kenapa. Aku cakap aku takde apa-apa, takde apa-apalah” Miasarah memuncung. Suara sudah mula mahu meninggi. Dia tidak mahu mengulang katanya untuk sekian kali. Adakalanya dia harus bersikap degil dengan Razlan dan ada ketikanya dia harus bijak mengalah. 


Bunyi dari iphonenya menandakan WhatsApp masuk dibiarkan sahaja. Tidak mahu melanggar etika pemanduan sementara orang disebelahnya nampak seperti trauma.

“Ada luka kat mana-mana lagi tak..” soal Razlan bila melihat Miasarah hanya diam membisu sejak dari tadi. Takut pula kalau-kalau Miasarah sengaja menyembunyikan kesakitannya maklum sajalah fobia sangat dengan hospital.

“Takde lah kut, kat dahi ni ajalah” Balas Miasarah sambil tangannya meraba dahi. Darah sudah kering bersama tisu, satu hal pula hendak menarik tisu nanti. Bibir diketap apabila fikiran mula membayangkan kepedihannya nanti. Ngilu. Nasib baiklah lukanya berada atas sikit pada dahi takdelah nampak parut atau lebih menyenangkan tidak perlulah bersoal jawab apabila balik ke rumah kak Salmi. Kepoh pula kakaknya nanti bila dapat tahu ada luka tidak sampai 1cm didahi. Kalau hendak bercerita dengan kak Salmi kena mula dari awal tidak boleh sekerat-sekerat nanti kena ulang banyak kali. Itulah satu-satunya kakak yang dia ada pun. Miasarah merenung Razlan seketika sebelum bertanya.

“Pipi kau macam mana?” ada kesan merah membulat dipipi Razlan nasib baik tidak ada luka.

“Sikit aja..” balas Razlan sambil tangan kanan meraba pipi. Rasa sengal juga bila dia cuba mengerakkan mulutnya.

“Macam pakai blusher je aku tengok ” Seloroh Miasarah sambil gelak perlahan. Razlan gelak juga akhirnya dalam masa yang sama terpaksa pula menahan sakit.






Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.