Daftar   |      Log Masuk   |   Lupa Kata Laluan
Home Novel Cinta Semanis Derita, Sepahit Bahagia
Semanis Derita, Sepahit Bahagia
Azlina Ismail
4/10/2018 16:51:55
5,629
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 17

Suasana di ruang tamu,dicengkam sepi. Dayanamemandang ke lantai yang dilapisi oleh papan. Seinci mukanya tak mampu diangkat. Lidah kelu mahu mengeluarkan kata-kata. Dia duduk kaku, mendengar leteran panjang pak sunya. Melihat muka merah pak su... hatinya gerun. Tebakkan sayu sudah dia rasakan, menelusuri secara perlahan-lahan ke segenap sanubari. Mahu membuka mulut untuk membela diri, tak mampu dilakukan.

“Kenapa tak tunggu pak su?”

Senyap.

“Kan pak su dah kata nak datang jemput. Berani kau balik naik bas!”

Dayana menelan air liur. Tak pernah lagi dia dimarahi oleh pak su. Besarkah kesalahan yang telah dia buat?

“Yana...” Dayana terdiam sebaik melihat jegilan di mata pak sunya.

“Kenapa buat macam ni? Risau pak su. Nasib baik tak jadi apa-apa dalam perjalanan tadi. Yana..Yana.”

Dayana semakin rapat menunduk. Tubir matanya sudah terasa hangat.

Macam manalah Encik Zakaria tak marah. Berani betul Dayana, membuat keputusan sendiri. Terkejut dia yang kebetulan berada di kampung. Cadangnya,ingin membawa Hajah Rokiah menjemput dua beradik itu di rumah kebajikan. Sebaik melihat kedua-dua gadis itu sedang berjalan masuk ke laman, berderau darahnya. Tambah membuatkan dia geram apabila mengetahui mereka berdua menaiki bas awam. Dia merengus, memandang Dayana yang sering berubah ulah kebelakangan ini hingga susah mahu menjangkakan tindak-tanduk gadis itu. Berani pada anak saudaranya itu, tak kena tempat.

“Maaf pak su. Yana bukan apa, tak nak susahkan pak su,”

“Susah apanya? Awal-awal pak su dah kata nak pergi ambil korang.”

“Ya tahu...”

“Tahu tapi kenapa degil?”

Senyap.

“Kenapa diam?”

“Pak su, salah ke Yana belajar berdikari? Lagipun, pihak asrama ada bagi duit tambang. Bukan susah sangat. Bas yang nak ke sini kebetulan lalu depan asrama.”

“Kau kalau bab menjawab, memang pandai. Bukan apa, korang tu muda lagi. Janganlah memandai-mandai. Kat luar tu, banyak benda-benda tak elok yang kita tak boleh jangka. Buatnya orang culik, tak ke susah? Lain kali jangan buat lagi. Kalau nak jadi berani sangat, tunggu bila kau dah besar!”  

“Tapi pak su...”

“Sudahlah Yana. Kalau dah pak su kata tu, ikut ajelah. Tak payah nak bertekak. Kau  jangan buat macam ni lagi. Mak su tak suka. Jangan ikut kepala kau aje. Kalau jadi apa-apa kat Liyana, macam mana?” Puan Salmah menyampuk. Dia juga bengang dengan perangai Dayana. Suka-suka membuat keputusan sendiri.

“Yana minta maaf.”

Dengan mata yang berlinang, laju dia mengatur langkah, mahu menghilangkan diri dari pandangan mereka di situ. Dia tahu, Liyana hanya akan mendiamkan diri tanpa mahu mempertahankannya. Entahlah, Dayana benar-benar sedih. Sikap tak mahu menyusahkah sesiapa, memakan dirinya sendiri.

 

 

***

 

 

Liyana membelek-belek baju dipakai yang telah siap dijahit oleh Dayana. Terletak elok pakaian itu di tubuhnya. Begitu bertungkus-lumus dia melihat Dayana menyudahkan jahitan yang memakan masa selama hampir tiga hari. Mujurlah arwah emak banyak mengajar Dayana menjahit tetapi dia... ‘Alah, Yanakan ada.’ Itulah kata-kata selalu keluar di lubuk hatinya apabila ada sahaja kerja berkaitan bidang jahitan.

“Cantiklah baju ni Yana. Aku...” tak dapat Liyana menghabiskan ayat. Dia sudah terduduk di birai katil, menangis.

Dayana pun apa lagi, tumpang sekaki. Baju emak juga sempat dijahit, elok tergantung di dinding bilik, direnung lama-lama. Kalaulah emak dapat memakai baju itu... air matanya berjuraian jatuh. Rindu terhadap emak sudah tak tertanggung.

‘Mak,’ panggilan itu hanya tersekat di kerongkong.

Sepi.

Lah, kat sini rupanya korang berdua.”

Mereka berdua tersentak, pantas berpaling.

“Nak apa?” Dayana terus menarik muka masam sebaik muka itu terpacul di muka pintu.

“Atuk panggil.”

“Kejaplah,” Dayana menjawab.

Jom...”

Dayana tersentak kerana dengan selamba Shahiman telah menarik lengan baju. Dia merentap selembut mungkin sebaik melihat riak muka Liyana jelas kelihatan tergamam dengan aksi itu.

‘Dia ni memang selalu macam ni Lia kalau kau nak tahu,’ bisik hati kecil Dayana sebaik melihat muka cemberut Liyana. Bingkas dia bangun meninggalkan Shahiman dengan Liyana. Malas mahu melayan mamat ulat bulu itu.

Melaju langkahnya ke ruangan makan dan kini atuk kian didekati.

“Mana Lia?”

“Kejap lagi dia datang tuk.”

Suasana bertukar sepi. Inilah selalu berlaku antara dia dan atuk. Jarang sekali komunikasi antara mereka berpanjangan.

“Cantiknya cucu atuk ni.” Hajah Rokiah memuji sebaik melihat Liyana menghampiri dapur. Baju dipakai oleh cucunya itu, dibelek.

‘Bagus juga hasil kerja budak Yana ni,’ pujinya dalam hati.

Hai, aku dari tadi ada kat sini tak dipuji. Yelah, Lia memangcantik. Memang patut dapat pujian.’ Dikerling sekilas baju rayanya, sedondon corak dengan Liyana. Baju dipakainya dikerling sekilas lagi. Arwah emak memilih warna merah untuk baju rayanya. Merah... alahai.

Liyana mempamerkan senyuman manis sambil melangkah ke dapur. Siapa tak ‘kembang’ apabila kena puji? Dia kelihatan begitu manis sekali, menggayakan baju kurung moden mengikut potongan badan sangat sesuai dengan bentuk badannya yang langsing. Warna kuning pilihan emak memang padan benar dengan kulit cerahnya itu.

“Tengoklah siapa jahit? Kalau macam ni punya gaya, dah boleh kahwin, kan atuk?” Shahiman mencelah.

Dayana mengecilkan mata, memandang Shahiman yang membalas dengan kenyitan pula. Dia mencebik. Malas mahu lama-lama di situ, dia juga turut menghilang ke dapur seperti Liyana.

“Buat apa nak risaukan Yana. Kau tu Iman, fikir pasal masa depan kau.”

“Sebab fikir masa depanlah Iman tanya. Atuk tak suka, Iman kahwin dengan perempuan macam Yana?”

“Habis, Lia tu, tak padan ke dengan Iman?”

Shahiman diam. Liyana... memanglah cantik tapi nak buat macam mana, hatinya sangat berkenankan Dayana.

“Dengar tak Iman?”

“Alah atuk ni, apa kurangnya Yana? Dia pun cucu atuk juga.”

Senyap.

“Jangan buat macam ni lagi. Kecil hati Lia kalau dia dengar nanti.”

Shahiman kembali mendiamkan diri. Muka tegang atuk hanya dipandang sekilas.

Hajah Rokiah berlalu ke ruang tamu. Tubuh tuanya yang agak gempal telah dihenyak lembut ke kusyen. Sedikit terpukul hatinya dengan kata-kata Shahiman. Ya, ada benar kata Shahiman. Tercari-cari jawapan mengapa dia suka meminggirkan Dayana namun masih tiada jawapan. Nafas panjang dihela lemah.

“Bila boleh kahwin?” Shahiman mengangkat kedua kening berkali-kali sebaik pandangannya bertembung dengan Dayana yang baru muncul.

‘Nak mula dah ulat bulu ni.’ Dayana serta-merta menyengetkan mulut.

“Orang muda lagilah!” Lantas dia menarik lengan Liyana kebetulan baru berdiri di sebelah.

“Atuk, kami nak ke kubur.” Terus tangan Liyana ditarik oleh Dayana.

Mereka kini melangkah, bergerak ke pusara emak, terletak tak jauh dari rumah atuk. Dayana semakin bengang! Kenapa perlu mamat sengal  ulat bulu ikut sama? Menyibuk betullah. Padahal tahun ini, sepatutnya giliran rumah Tok Said, ayah kepada mak su. Menyemak sungguh. Lemas betul dia dengan kehadiran si penempel itu. Dilayan salah, tak layan lagilah.

Air matanya kembali bergenang tatkala kawasan perkuburan dipijak. Sayu hati Dayana melihat ke arah pusara emak. Suasana raya tahun ini sangatlah suram dan hambar. Benarlah kata orang, kesan kehilangan seorang ayah taklah sehebat jika kehilangan emak. Semasa pemergian abah tak begitu terasa kerana emak masih ada bagi mengisi kesepian tetapi kehilangan emak baru-baru ni, benar-benar mengosongkan ruangan yang ada. Kubur abah, sangatlah jauh. Terletak di kampung halaman abahdi Pahang. Abah, tetap dalam ingatan.

 Mereka bertiga sudah mencangkung di sisi pusara itu. Ligat tangan masing-masing, mencabut rumput dan membersihkan kawasan sekitar pusara itu.

Dayana meniup debu-debu halus yang menutupi batu nisan emak. Batu nisan itu diusap perlahan-lahan. Lelehan air mata ke pipi semakin banyak saat melihat tulisan jawi di nisan itu. Dia membaca. Tertera di situ, nama insan yang dipuja-puja. Insan yang selalu dirintihnya saban malam dan siang. Insan yang selalu dia niatkan dalam hati, mahu bertemu lagi dengan izin Yang Maha Esa walau hanya di dalam mimpi.

‘Mak..’, kalbu Dayana merintih hiba.

Liyana sudah membentang tikar mengkuang hasil anyaman atuk setelah selesai membersihkan kuburan. Mereka bertiga sudah bersila di atas tikar itu sedang di tangan masing-masing memegang Surah Yaasin. Bergema suasana dengan alunan bacaan dari mereka bertiga sehingga selesai.

“Mak, Yana dengan Lia datang ni,” Dayana terdiam sejenak kerana sebak.

“Tengok baju kami pakai, baju yang mak beli. Kan mak nak sangat pakai baju sama tahun ni. Baju mak, Yana sangkut kat dinding.” Air matanya merembes dengan laju. Tanah di atas pusara emak, diusap lembut. Beban rindunya semakin tak mampu ditahan.

Liyana menunduk, air mata bercucuran. Banyak lagi ingin dia beritahu pada emak. Terhinggut-hinggut kedua bahunya menahan esakan tangis. Mereka kini tenggelam seketika di dalam kejerlusan kesedihan masing-masing.

Ada air jernih di kolam mata Shahiman namun dengan pantas diseka dengan jari. Dia sebak, melihat kesedihan Dayana, sangat meruntun jiwa. Begitu lambat Dayana mahu dewasa. Jika masa boleh dilaraskan dengan laju, gadis itu akan dimiliki. Sayang dan cinta terhadap Dayana kian mekar. Tak pernah sesaat pun dia melupakan gadis itu. Setiap kali selepas solat, tak putus berdoa semoga bercantum jodohnya dengan Dayana satu hari nanti. Hanya sabar perlu dia tingkatkan.

 

 

Suasana raya kali ini diselubungi kesedihan. Di mana-mana, Dayana terlihat bayangan emak. Hatinya hiba. Dalam masa sama, dia juga rasa sesak, lemas dan entah apa lagi rasa perlu dilayankan dalam hati. Shahiman...argh, sepupunya itu begitu menyeksa jiwa raga. Kalau boleh disingkirkan sang penyemak itu dari rumah atuk, sudah lama dia lakukan.

Dalam pada itu, dia sedikit hairan dengan perubahan mendadak mak long. Tiba-tiba, boleh menjadi ramah-tamah pula. Lama pula mak longnya bertandang ke rumah atuk, raya kali ini. Selalu, jangan haraplah. Duduk tak sampai sepuluh minit, sudah mahu pulang. Perangai mak long juga tak lagi ‘keras’. Janggal pula dia rasakan. Sudah mendapat hidayahkah mak longnya itu?

“Lia, Yana, tak teringin beraya kat rumah mak long?”

Dayana dan Liyana saling berpandangan.

Liyana hanya menjongketkan bahu.

Dayana semakin pelik? Demamkah mak longnya? Semacam pula dia rasakan apabila mendengar nada dan tutur lembut mak long. Boleh terpacak bulu romanya bukan kerana rasa seram tapi.. entahlah. Memang semacamlah dia rasakan.

Korang tak pernah jejak kaki kat rumah mak long. Nanti petang, mak long suruh Abang Adi jemput. Nak tak?”

Dayana lantas mengambil gelas berisi air sirap lalu membawa gelas itu ke mulut. Ketika sedang meneguk air sirap...

Semua yang berada di situ sudah terpaku. Tak lama kemudian, gamat suasana dengan bunyi gelak yang kuat, secara beramai-ramai.

“Yana, kot iya pun terkejut,janganlah melampau sangat. Tahulah mak abang tu dah jadi baik.” Zuraidi gelak hingga senak perut.

Dayana lambat-lambat sengih. Bukanlah kerana ajakkan mak long membuatkan dia bertindak begini. Sebenarnya, ketika sedang meneguk air, terasa seperti ada sesuatu sedang menggesel di kakinya. Disebabkan oleh rasa geli bercampur terkejut dengan spontan tersembur air sirap di dalam mulutnya. Sebaik melihat ke bawah meja, memang sah... kaki mamat ulat bulu itu sedang membuat onar. Dia memanggung kepala, memandang muka mangsa semburannya di depan.

‘Nasib baik bukan air panas aku minum. Kalau tak... padan muka kau!’ Dayana mengetap gigi.

“Iman, Iman. Kesian, tak pasal-pasal mandi air sirap hari ni. Nasib baik bukan kami duduk depan tu tadi. Nasib kaulah. Hahaha!” Zuraidi sambung gelak sampai berair kedua mata.

Dayana meleret lebar senyuman. Senyum puas. Puas hati dia. Bagaikan baru memenangi hadiah dalam satu pertandingan pula dia rasakan. Ish, nak gambarkan bagaimana ya? Tetapi senyumannya serta-merta terbantut tatkala melihat Shahiman boleh pula menyengih. Sudahlah tu, siap main kenyit-kenyit mata pula. Haish geramnya. Gigi diketap kuat.

Ceh, sempat lagi nak menggatal. Cucuk mata tu karang.” Mata Dayana kecil besar jadinya.

“Apalah kau ni Yana! Naya Abang Iman tau. Mari bang, Lia lapkan.”

Dayana sudah mejuihkan bibir. Nak termuntah dia, menyampah!

Liyana bergegas mengambil sehelai tuala bersih lalu dengan gaya ayu mengelap muka Shahiman. Marah betul dia dengan perangai Dayana. Selalu melayan Abang Imannya dengan kasar.

Dalam pada itu, boleh pula Shahiman mengukirkan senyuman manis kepada Dayana. Lagi bertambah lagak mengada-ngada digayakan tatkala mukanya sedang dilap oleh Liyana. Kononnya, mahu membuatkan Dayana cemburu.

Uwek! Nak termuntah aku tengok ulat bulu ni.’ Dayana menjelirkan lidah. Tahap bengangnya sudah hampir ke kemuncak. Ada juga, kena cekik sampai tinggal suku nyawa nanti.

“Habis kotor baju Abang Iman!” Liyana melanjutkan marah.

“Jangan marahkan Yana, Lia. Lagipun, Yana tak sengaja, kan sayang?”

Mata Dayana sudah membulat. Semakin geram dia apabila melihat riak gatal dicampur pula dengan sengihan nakal di muka itu.

Ha ah, orang tak sengaja. Kalau sengaja bukan setakat sembur dengan mulut tapi dengan air paip terus. Yang tu baru betul-betul sengaja, kan Abang Iman?”

“Semburlah dengan apa pun, abang rela Yana.”

Dayana menjulingkan lagi mata ke atas. Ketawa lagi kuat pula Shahiman.

‘Aku serius, dia main-main pula. Dah mereng agaknya dia ni?’

Riuh-rendah suasana dalam rumah itu dengan gelak tawa sedang Dayana pula hanya menahan geram di dalam hati. Balik-balik, dia juga yang kena.

Puan Salmah menjegilkan mata sebaik mendekati Shahiman. Bukan dia tak nampak kaki anak bertuah itu merayap di kaki Dayana. Geram sungguh dengan kerenah merenyam anak bujangnya. Sudah lama dia perhatikan kelainan layanan Shahiman terhadap Dayana. Dia memang tak berkenan dari dulu. Hanya menunggu masa sesuai untuk bertindak. Dia sudah merancang ingin menjodohkan Shahiman dengan Liyana. Nampaknya, sesuatu perlu dilakukan untuk menjauhkan Shahiman daripada Dayana.

 


Dayana dan Liyana saling berpandangan. Liar anak mata masing-masing, menjelajah ruang tamu rumah mak long yang luas dan kemas. Tak sanggup pula mengecewakan hati mak long yang beria-ia mengajak mereka ke rumah.

“Mak long nak minta maaf. Banyak salah mak long pada arwah mak korang.”

Entah bagaimana, ketika sedang duduk, mak long datang menerpa lalu memeluk mereka erat-erat dengan juraian air mata.

“Mak long tak buat salah apa pun.” Dayana memujuk.

“Mak long menyesal sebab terlalu ikutkan hati. Cemburu tak tentu pasal, sudahnya, mak korang jadi mangsa.”

“Dahlah mak long. Semua tu cerita lama.”

“Mak long menyesal sangat. Macam-macam mak long buat pada mak kau. Mak long ni jahat, zalim.” Tersedu-sedan dia menangis. Mengenang kembali semua perbuatan  jahatnya terhadap Zakiah, sangatlah menyesakkan dada. Tergamak dia menzalimi adik sendiri, darah dagingnya!

“Mak long, kami tak pernah anggap mak long macam tu.”

“Mak long janji, akan jaga korang berdua. Mak long janji, akan sayang korang macam anak mak long sendiri. Mak long harap sangat, korang maafkan mak long.” Bersungguh-sungguh Puan Zaleha melafazkan kalimah itu. 

Dayana dan Liyana saling berpandangan. Jauh di sudut hati, mereka amat bersyukur dengan perubahan emak saudara mereka.

Sejarah lama mula tersingkap,

Pada mulanya, Badri telah masuk meminang Zakiah kerana dia telah jatuh hati pandang pertama. Oleh kerana Haji Seman, ayah Zakiah, merupakan orang yang sangat mementingkan adat, maka terpaksalah Badri menikahi Zaleha. Masa itu, orang kampung mula mengata tentang Zaleha, anak dara tak laku. Mana tak, sudah berumur 22 tahun tetapi masih membujang. Apa lagi, menyiraplah darah Haji Seman. Badri telah dipujuk Haji Seman supaya menerima Zaleha.

Zakiah pula tetap tak mengendahkan lamaran Badri malah gembira kerana kakaknya bakal menemui kebahagiaan. Penantian Zaleha yang mahukan calon suami baik akan berakhir jua.

Selepas Haji Seman berjaya memujuk Badri, dengan berat hati dia terpaksa juga bersetuju. Tambahan pula, pinangannya hanya dipandang sepi oleh Zakiah. Mahu mendapat persetujuan daripada Zakiah, ibarat menanti kucing bertanduk. Dia merasa tercabar dengan reaksi Zakiah hanya buat tak tahu. Tujuan bersetuju dengan perkahwinan itu hanyalah untuk menyakiti dan ingin menerbitkan rasa cemburu di hati Zakiah pada mulanya. Sangkaannya jauh tersasar. Semakin lama, egonya tewas dan dia mulai belajar menyintai Zaleha hingga berjaya memadamkan segala perasaan cinta terhadap Zakiah.

Namun sebaliknya pula bagi Zaleha. Dia begitu mencemburui Zakiah. Baginya, selagi Zakiah tak dikahwinkan, Badri akan berpaling tadah. Zalehalah perancang utama perkahwinan pertama Zakiah. Dialah yang telah mengusulkan calon lelaki kepada ayahnya sedangkan dia tahu bagaimana perangai Herman. Bukan dia tak tahu, bagaimana terseksa Zakiah ketika hidup bersama Herman.  

Berpuluh tahun berlalu, baru sekarang Zaleha sedar khilafnya. Zaleha sudah tak sanggup lagi. Sejak akhir-akhir ini, hidupnya tak tenang. Saban malam tidurnya sering didatangi mimpi-mimpi aneh dan ngeri. Dia nampak bagaimana dirinya diazab dengan begitu teruk sekali hingga terbawa-bawa ke alam nyata. Sakitnya... begitu dirasai apabila setiap kali terjaga dari tidur. Terasa seolah-olah dia telah diazab betul-betul. Zaleha nekad, mahu menebus kembali segala dosa-dosanya terhadap Zakiah dengan menjaga anak-anak adiknya itu. Benar kata suaminya, dendam jika dibiarkan marak akan memakan diri sendiri.

 

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.