Bab 44


“WAH... Aiman sekarang makin handsome.”


Aiman pandang tubuhnya. Masih gemuk tapi beratnya kuranglah sikit dari dulu. Tak nampak pun. Camelia aje puji lebih-lebih.

“Tapi jangan tunggu lama-lama Man. Nanti Miza dikebas orang.”

“Janganlah cakap macam tu. Aku susah-susah nak kurus semata-mata nak bagi duduk sama padan, berdiri sama tinggi dengan Miza, kau cakap pasal kebas-kebas pulak.”

“Salah kaulah. Aku nampak Miza tu mau-mau aje dengan kau seadanya kau. Kau jual mahal tu kenapa?”

“Tu kata kau. Belum tentu Miza nakkan aku. Tengok-tengok dia anggap aku kawan dia aje. Aku gigih nak kurus secepatnya, baru yakin nak pikat Miza.”

“Usaha Man. Semangat! Aku suka bila kau nak kurus. Biar sihat. Lagi pun budak baik macam Miza berbaloi diperjuangkan.”

“Kau ingat ni medan perang ke Mel? Hish!" Mood Aiman masih tak baik sebab Camelia bangkitkan pasal Amiza kena kebas.

“Halah, marah.” Camelia ketawa geli hati.

Aiman menjeling tajam tapi sesaat kemudian turut ketawa. Ketawa Camelia bahaya. Nak marah pun tak jadi. Cantik sangat tengok pun jadi sejuk hati.

“Man, terima kasih belanja.”

“Tak payah nak berterima kasih sangatlah. Aku tak ikhlas pun. Kau yang paksa.”

“Siapa suruh kau tak datang tengok aku kat hospital.”

“Kan aku dah cakap Abang Adam dah warning jangan kacau kau sebab takut abang wrestler mengamuk. Tak sangka eh sekali lagi Abang Qi selamatkan kau.”

“Aku kenyang… aku kenyang…” Camelia menggosok-gosok perut. Ubah topik. Malas dia nak cakap pasal Rizqi. Buat dia sakit hati.

“Mel, janganlah gosok-gosok perut depan orang ramai ni. Kalau bakal mak-mak mertua kau tengok minta ampunlah tak ada siapa nak buat menantu. Sopan sikit! Kalau mak Abang Qi tengok nyaya kau. Tak dapatlah kau nak kahwin dengan anak handsomenya tu.”

Kata-kata Aiman buat Camelia terus senyap. Mak Rizqi tak adanya nak pilih dia untuk dibuat menantu. Orang miskin sepertinya ini cuma layak dipermainkan aje.

Meluat dia baca mesej ayat cinta si anak orang kaya tu. Kalau pergi dating, cakaplah pergi dating. Pergi ofis konon. Gila apa pergi ofis malam-malam. Menipu tak hengat. Macamlah dia bodoh sangat. Libas macam hari tu baru tahu.

Jujur, dia mengaku dia cemburu. Kalau dia tak simpan perasaan pada Rizqi, mesti dia tak rasa marah sampai begini sekali. Nak buat macam mana dah terlanjur suka. Bak kata Rossa… aku terlanjur cinta kepadamu. Dan kuberikan seluruh cintaku.

Entah macam manalah Rizqi boleh pecah masuk ke hati dia? Tup-tup tengok-tengok dah ada.

Hailah… sabarlah duhai hati. Susah jatuh suka pada orang yang dah berpunya. Kalau ikut hatinya yang suka, ada jugak dia melayan saja kehendak Rizqi yang nak buat dia jadi girlfriend.

Tapi kalau ikut hatinya yang waras, dia tak mahu jadi perampas. Dia tak boleh masuk dalam permainan cinta tiga segi ini.

Lagipun dia dah Rizqi tak setaraf. Dia perlu sedar itu. Tengok-tengok perempuan tu adalah calon isteri pilihan keluarga Rizqi. Yalah orang kaya kan selalu macam tu.

Jadi mulai saat ini, detik ini, dia dah nekad!

Cinta mana pun Rizqi kepadanya dia takkan layan.

Cintalah sangat!!!

Terus meledak kata-kata itu dalam kepala bila matanya menangkap kelibat sepasang pasangan kekasih di dalam kedai emas. Lebar betul senyuman Rizqi. Perempuan tu pula kelihatan teruja melihat sesuatu di tangan Rizqi.

Penipu besar! Jantan miang tak guna!

Arghh, sakitnya hati!!!

Nak aje dia menjerit sekuat hati. Tak sangka Rizqi tengah bermain cinta dengan cik belanga. Habis tu yang duk mesej dia ayat manis berbunga-bunga, merayu-rayu tu apa? Bahkan baru lima minit tadi Rizqi mesej I Love U!

Itu namanya kau dah dipermainkan. Ada suara dalam hatinya tolong menjawab.

Oh tidak! Macam manalah dia boleh percaya yang Rizqi betul-betul sukakan dia?

Itu namanya kau bodoh. Jawab suara hatinya lagi.

Oh tidak! Dia tak sengaja jatuh suka. Sikit aje pun. Tak banyak.

Itu namanya kau menipu.

Camelia mengangguk-angguk derita setuju dengan suara hatinya.

Oh tidak! Rasanya dia bukan suka tapi cinta. Bukan sikit tapi banyak.

Oh… oh…. oh… oh…

Tiba-tiba macam dengar Kak Aisyah nyanyi lagu janji manismu tepi telinga...

Hati membeku mengingatkan kata janji manismu. Ku dilamun angan-angan belaian kasih sayangmu ooohhhh kejamnya!!!  Lidah tidak bertulang, ucapan cinta menghiris kalbu. Ku kan pergi, membawa diri. Cinta di hati terkubur lagi...

“Kenapa ni Mel? Tiba-tiba senyap. Aku salah cakap ke?”

“Taklah. Aku cuma kenyang sangat. Tak larat.”  

“Dah tu kau sumbat banyak sangat tadi. Memanglah tak larat.”

“Mengantuknya aku Aiman.” Camelia mengenyeh-genyeh mata. Tipu sebenarnya. Genyeh mata sebab nak sapu air mata dari jatuh.

Toilet manaaa? Nak nangis niiii.

“Mel, kau nak ke mana tu?” Terkejut Aiman bila tiba-tiba saja Camelia melangkah laju.

“Toilet!” jawab Camelia jelas tak jelas sebab menahan tangisannya dari meledak.

“Nak muntah la tu. Makan macam orang tak makan setahun. Kebulur ke apa.” Aiman mengekori langkah Camelia yang sudah jauh. Laju betul!

Hampir 30 minit berlalu...

Aiman jeling Camelia yang senyap sejak keluar dari toilet. Macam jalan dengan orang bisu pun ada. Dahlah tadi lama bebonar duk bertapa di toilet sampaikan dia ingat nak pecah masuk takut Camelia pengsan.

“Kau dah okey ke? Nak muntah lagi?”

Camelia senyum tawar. Aiman baik sungguh terhadapnya. Buat sedih dia sedikit hilang. Tak apalah, ada Aiman pun dah cukup. Dia tak perlu nak emosi sangat.

“Aku okey.”

“Jadi ke nak tengok wayang ni?”

“Jadilah. Kan dah sampai ni.”

“Aku takut kau penat. Kalau kau rasa tak sihat baik kita balik.”

“Aku okey. Kan dah cakap okey, okeylah.” Camelia dah memuncung.

“Okey-okey. Tak payah marah okey. Okey, aku dah percaya kau dah okey. Aku tanya tadi sebab kau nampak tak okey. Takpelah kalau kau dah okey. Aku pun rasa okey tengok kau dah okey.”

“Aiman mengarut.” Camelia akhirnya ketawa.

Bila Camelia ketawa. Aiman rasa lega. Ni baru betul-betul okey.

“Kita nak tengok cerita apa ni? Cerita hantu nak? Orang kata best.” Aiman dah teruja.

“Tak nak! Aku boleh semua jenis cerita. Tapi bukan cerita hantu. Bukan cerita bunuh-membunuh.” Cukuplah malam-malamnya tak berhenti-henti diserang mimpi ngeri. Tengok cerita horror dan thriller buat semangat dia makin lemah.

“Kau tak payah nak takut sangatlah. Kalau hantu tengok kau mengamuk, hantu pun boleh surrender.”

“Aku nak baliklah.” Camelia merajuk, putar tubuh dan matanya bertembung dengan mata tajam milik tuan punya tubuh yang nampak tergesa-gesa menuju ke arahnya.

“Aiman jom balik!” Tak sudi Camelia nak pandang muka makhluk biadap yang suka-suka hati mempermainkan hatinya. Ingat dia perempuan murahan ke?!

Mungkin bagi Rizqi dia memang murahan, sebab tu Rizqi main-mainkan perasaannya. Fikirkan itu buat Camelia makin sedih dan hatinya makin mendidih.

“Err...” Aiman yang perasan kehadiran Rizqi tiba-tiba menggigil seluruh badan. Muka Rizqi terlalu bengis mampu buat orang yang ada riwayat jantung sihat mendadak kena serangan jantung.

Rizqi menghalang dengan berdiri di depan Camelia. Bila Camelia ke kiri dia ikut. Camelia ke kanan pun dia ikut. Beberapa kali duk macam tu akhirnya Camelia berhenti,  memandangnya penuh benci dan berteriak.

“Kau nak apa hah?! Berambus! Jangan kacau aku!”

Rizqi hembus nafas, lelah dan sakit hati dengan perangai Camelia. Berapa rendah lagi dia nak kena menurunkan ego demi Camelia yang langsung tak menghargainya.

“Nak pergi mana?”

“Balik!”

Rizqi raup wajah. Tanya baik-baik pun kena jerkah.

“Kalau nak balik, balik dengan aku.” Rizqi masih tahan diri dari membentak.

“Tak payah! Aku bawak kereta sendiri!” Dalam hati sambung, tak nak aku duduk dalam kereta yang kau duk kilik cik belanga kau tu.

“Tak boleh! Kau kena balik dengan aku!” Rizqi dah naik gila.

“Aku tak nak! Kau tak faham ke?! Tak nak!”

“Masalahnya kenapa?! Aku buat salah apa kau nak marah-marah sampai macam ni?!”

Terus Camelia terbayang senyuman bahagia Rizqi dengan cik belanga tadi. Siap beli cincin segala. Cincin tunang? Ke cincin kahwin?!

Rizqi akan jadi suami orang lain. Dan kenyataan itu membuatkan hati Camelia patah sepatah patahnya.

Kenapa Rizqi tunjuk cemburu kalau dah orang lain. Kenapa cakap I love you kalau kat hati Rizqi ada orang lain.

Rizqi hanya nak mainkan perasaannya. Agaknya Rizqi nak buat dia stok pakai buang. Fikirkan itu sakit hati Camelia makin berleluasa dan Camelia salurkan semuanya dengan kemarahan yang makin menggila.

Dia takkan tunjuk yang dia lemah. Kalau Rizqi buat hati dia terluka dia pun boleh buat benda yang sama dekat Rizqi.

“Sebab kau jantan miang tak guna! Aku benci kau! Benci!!!” Naik turun dada Camelia menghambur sejuta rasa marah dan sakit hati. Air matanya yang ditahan dari tadi mula gugur.

Rizqi terkejut dengan jeritan penuh amarah dari Camelia. Mulanya hatinya dijentik marah tetapi melihat keadaan Camelia, Rizqi jadi kelu.

Camelia marah tapi kenapa kelihatan begitu menyedihkan? Kenapa dengan cik bunganya? Rizqi mendekati, reflek menghulurkan tangan. Ingin menyapu air mata Camelia.

“Jangan sentuh aku!” Camelia menepis kasar tangan Rizqi. Suka-suka hati nak sentuh-sentuh orang. Agaknya dengan bakal isterinya tu dah lebih dari sentuh. Bayangkan itu Camelia dah gelap mata. Dia hanya fikir untuk membalas sakit hatinya.

"Ni sebab mak bapak kau tak reti nak ajar kau lah sampai kau jadi manusia keji macam ni!”

Lahir saja ayat itu dari bibir Camelia, luka di hati Rizqi meledak tiba-tiba. Peristiwa menyedihkan yang terjadi semasa dia masih kecil mula menujah satu per satu ke dalam fikiran. Sakit dan perih hanya Allah saja yang tahu.

“Kau ni memang melampau!” Perlahan tapi begitu tajam nada suara Rizqi buat Camelia telan air liur.

“Perempuan jenis apa kau ni? Mulut berbisa. Kau ingat sebab aku sayangkan kau, kau layan aku ikut suka hati kau aje. Kau boleh kata macam-macam kat aku. Tapi kau jangan sentuh pasal arwah papa dan arwah mama aku!”

Arwah papa dan arwah mama? Maksudnya? Tubuh Camelia mula menggigil. Mata Rizqi begitu tajam bagai mahu membunuhnya. Tapi bukan itu yang buat tubuhnya menggigil.

Keceluparan mulutnya yang menyentuh perihal yang tak patut menyebabkan tulangnya seperti patah riuk dihempap dengan cerita yang dibuka Rizqi.

Kalau dia tahu ibu bapa Rizqi dah tak ada, dia takkan menyakiti Rizqi dengan cara macam tu sebab dia sendiri tahu betapa sedihnya kehilangan mak dan ayah.

Tapi kalau ibu bapa dia masih hidup apa hak kau nak hina mak bapak orang? Bisikan dari suara hatinya membuatkan Camelia bagai ditampar kesedaran.

Kau dah melampau Mel. Melampau!!!

Camelia mendekat. “Qi, aku minta maaf.”  

Dengan pantas Rizqi menjauh. Sungguh dia takut kalau dia akan hilang kawalan. Seluruh tubuhnya bergementaran mendesak untuk diluahkan segala amarahnya.

“Aku betul-betul minta maaf,” pinta Camelia dengan esakan hiba. Hatinya pedih luar biasa bila Rizqi tak sudi dia dekati. Baru dia faham perasaan Rizqi bila dia selalu menolak Rizqi dan memarahi lelaki itu sesuka hatinya.

“Tak payah! Buat apa kau nak minta maaf dengan orang jahat macam aku ni! Kau kan orang mulia. Sempurna serba serbi!" Sinis Rizqi menyindir sebelum melangkah pergi meninggalkan Camelia.

“Qi… maafkan aku! Jangan pergi Qi! Maaf...." seru Camelia hiba. Tubuhnya jatuh ke lantai melihat langkah Rizqi kian jauh.

“Mel…” Aiman yang sekadar menjadi pemerhati dari tadi kini meluru mendapatkan Camelia.

“Aiman… apa aku dah buat ni? Aku tak sengaja…” adunya dengan esakan pilu penuh penyesalan.

Apa yang Aiman mampu lakukan hanyalah mengeluh panjang. Dia faham Camelia kalau dah marah cakap ikut sedap mulut aje.

Tapi nak ke Rizqi faham? Rasanya tak. Akhirnya tamat sudah percintaan yang baru nak berputik dengan pengakhiran yang sadis.



Pesanan tanpa suara:

Akhirnya update jugak cerita ni setelah sekian lama terbiar layu di tasik madu. Hahaha.

Okey ke tak okey? Harapnya pembaca masih nak baca cerita ni.

Bye bye.... Selamat membaca semua.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh