Home Novel Cinta Designer Abang Cengeh?
Bab Akhir

BONDA Abiyah melihat anak sulungnya meniarap di atas sofa, dengan jeans dan kemeja yang masih belum ditanggalkan semenjak pulang dari Vietnam petang tadi. Dia mendekati ruang tamu lalu duduk bertentangan dengan anaknya. Ada satu hal yang hendak dibincangkan dengan Syed Badiuzzaman.

“Syed Badi.” Syarifah Abiyah cuba memanggil.

Tiada suara menyahut.

“Syed Badi...bonda ada hal nak bincang dengan anakanda.”

“Bonda... Badi penat, bonda. Malam sikit boleh?”

“Bonda dah pilih calon isteri untuk Syed Badi. Marilah tengok gambarnya.” Umpan Syarifah Abiyah. Dek kerana lama menanti Syed Badiuzzaman membawa calon isteri sendiri, Syarifah Abiyah membuat keputusan untuk memilih sendiri calon isteri anaknya. Di tangannya sudah ada sekeping gambar, buat tatapan Syed Badiuzzaman walaupun Syed Badiuzzaman pernah berkenalan dengan Syarifah Adelia sewaktu berkunjung ke rumah keluarga Sheikh Amin Al Basit tempoh hari.

“Bonda cakap apa?” Akhirnya Syed Badiuzzaman memberi respon. Dia bangun dan duduk bersandar menghadap Bonda Syarifah Abiyah.

“Bonda dah pilih calon isteri untuk anakanda Syed Badi.”

“Siapa?”

“Ni!” Syarifah Abiyah menghulur sekeping gambar kepada satu-satunya anak lelaki yang dia ada.

“Syarifah Adelia?”

“Doktor Syarifah Adelia tu, Syed Badi!”

“Orangnya lawa tapi togel tak bertudung. Badi tak minat, bonda. Banyak pulak dosa Badi nak tanggung nanti.” Bidas Syed Badiuzzaman selamba.

Gambar itu diletakkan kembali di hadapan Bonda Syarifah Abiyah, di atas meja kopi. Kemudian, Syed Badiuzzaman menyambung baring. Bonda Syarifah Abiyah bertindak lebih pantas dari yang Syed Badiuzzaman duga. Patutlah hari tu bonda Syarifah Abiyah beriya-iya benar hendak dia mengikut ke majlis makan malam di rumah Sheikh Amin Al Basit, ada udang di sebalik batu rupanya.

“Alah, hal bertudung tu Syed Badi boleh uruslah! Dah jadi isteri sendiri, takkan tak ikut kata suami pulak.”

“Doktor ni orang cerdik, bonda. Kadang-kadang lebih cerdik dari pasangannya. Kalau cerdiknya berguna, tak apa bonda. Takut bila cerdik sangat, cakap suami pun dilawan.”

“Pendek kata, bonda jangan padankan Syed Badi dengan siapa-siapa. Hal pasangan ni sama macam hal pakaian, Badi cerewet!” Syed Badiuzzaman memberi amaran. Dia bingkas bangun, meninggalkan Syarifah Abiyah tanpa sebarang kata.


MASING-masing menyepi di dalam galeri itu. Baik Syed Badiuzzaman, mahupun Ainul Mardhiah. Tiada bicara walaupun lama tidak bersua selepas insiden tempoh hari. Ainul Mardhiah, tekun seperti selalu, mempelbagaikan koleksi pakaian Syed Badiuzzaman. Tetapi anehnya perasaan ini, terasa hendak melirik pula majikannya. Bolehkah aku melirik dan mengintai apa yang sedang dibuat Syed Badiuzzaman?

Bagi Syed Badiuzzaman, dia kehabisan modal untuk memulakan bicara selepas apa yang berlaku tempoh hari. Lalu, dia mengambil sebuah buku nota kecil, milik Ainul Mardhiah barangkali, sebelum meluruskan kakinya ke atas meja. Helaian awal diselaknya, ada beberapa rekaan kemeja pada helaian tersebut. Syed Badiuzzaman mengoyak satu helaian. Dia tulis sesuatu pada helaian tersebut dan melipatnya sehingga menjadi kapal terbang kertas. Dia melontar kapal terbang kertas itu tepat kepada Ainul Mardhiah. Ia berpusing-pusing di atas sebelum mengenai tangan wanita itu. Syed Badiuzzaman sengih tak berbunyi. Bila Ainul Mardhiah mengangkat muka, dia pura-pura membelek buku nota itu kembali.

Design ni tak lawa. Tambah renda di bahagian saku.” Ainul Mardhiah membaca tulisan cacing di bahagian sayap kapal terbang itu. Syed Badiuzzaman ni gila ke apa? Orang lelaki nak renda di bahagian saku? Aku buat betul karang, mengamuk pulak!

Tertangkap lagi telinganya bunyi kertas dikoyak. Habislah buku nota aku dikerjakan Syed Badiuzzaman. Bisik hatinya penuh geram. Tapi Ainul Mardhiah malas melayan. Dia terus menggunting kain hingga terasa kepalanya dilanggar sesuatu yang kecil. Ada sebuah lagi kapal terbang kertas jatuh di depannya.

“Seluar Ali Baba dan 40 Penyamun lagi cantik kot dari design seluar ni.Tukar!” baca Ainul Mardhiah perlahan. Kapal terbang yang kedua itu disusun di hujung meja. Tidak lama kemudian, sampai lagi kapal terbang yang ketiga. Kali ini kapal terbang kertas itu jatuh di belakang Ainul Mardhiah. Deras Ainul Mardhiah mengangkat mukanya, menikam wajah majikannya. Pandangan mereka terikat lama, namun tiada senyuman dari bibir masing-masing.

Ainul Mardhiah menggeleng sebelum tunduk mengambil kapal terbang ketiga itu.

Design zaman lapan puluhan ke ni?”

Arghhhhh! Ainul Mardhiah geram dan rasa hendak menjerit sahaja. Sudah tiga rekaan dikoyak Syed Badiuzzaman dari bukunya. Lama-lama, aku boleh gila! Ain rasa hendak menjerit sahaja.

Ketika dia bangun, sebuah lagi kapal terbang kertas dilancar ke arahnya. Nasib baik Ainul Mardhiah sempat menangkap kapal terbang yang terbang lurus ke arahnya itu. Kalau tidak, mungkin dahinya menjadi sasaran mendarat. Jahatnya Syed Badiuzzaman ni!

“Muka masam macam kelapa basi.” Nota keempat itu dibaca Ainul Mardhiah dengan sekuat-kuat suara. Terdengar tawa Syed Badiuzzaman di depan sana. Mulalah Ainul Mardhiah malu sendiri.

“Kau dendam dengan aku, kan? Tengok, siapa yang malu?” Sakat Syed Badiuzzaman sebelum bangun. Dia berjalan ke arah pintu cermin dan keluar dari galeri itu. Ainul Mardhiah terpinga-pinga. Sudah balikkah dia? Begitu saja? Datang menyakat aku dan pergi?

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.