Home Novel Cinta SOULMATE TUAN PROFESOR
SOULMATE TUAN PROFESOR
Batiah Hadi
29/10/2017 00:00:20
201,003
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 29


Teringat dia bagaimana Izmir membelanja dia aiskrim semasa perjalanan pulang. Tersenyum Izzah dibuatnya. Bayangkan lelaki dingin kejung itu tiba-tiba berhenti di stesyen minyak dan bertanya, Izzah nak makan aiskrim jenis apa?. Dua tiga kali Izzah bertanya semula macam tak percaya. Bagaimana dia nak percaya? Izmir tiba-tiba baik pula ingin membelanjanya aiskrim.

“Dah kalau tak nak, tak payahlah tanya banyak kali. Macam tak percaya pulak orang nak belikan dia aiskrim,” omel Izmir tak puas hati.

“Magnum Red Velvet Prof,” ujar Izzah pantas kemudian tersenyum-senyum. Seronok ada orang belanja aiskrim. Izmir menjuihkan bibir. Mentang-mentang dia belanja terus pesan aiskrim mahal. 

“Serius Magnum? Ingatkan Mat Kool aje tadi,” perli Izmir sambil tersenyum simpul.

“Magnumlah….saya bukan budak-budak Prof nak bagi saya Mat Kool,” jelas Izzah.

“Bukan? Kenapa saya rasa macam awak ni budak umur 10 tahun je kadang-kadang?”soalnya sengaja mengenakan Izzah. Kemudain dia ketawa kecil.

“Prof kalau tak mau beli tak apa. Biar saya beli sendiri,” ujar Izzah sudahpun membuka seatbelt ingin mengikut Izmir masuk ke dalam stesyen minyak itu.

“Duduk je dalam ni….magnum pun magnum lah…” ujarnya lantas keluar dari kereta. Izzah menghela nafas lega. Dapat juga dia aiskrim kegemaran. Tak sangka Prof Izmir belanja dia aiskrim. Selepas itu mereka berdua duduk makan aiskrim itu bersama-sama dalam kereta sambil Prof Izmir meneliti telefon bimbitnya. 


“Prof, apa mimpi belanja saya aiskrim harini?’ tanya Izzah tiba-tiba.

“Beli aiskrim kena mimpi ke?” soal Izmir kembali.

“Tak lah…tak semena-mena beli aiskrim. Saya hairan,”

“Oh…birthday saya hari ni. Saya ingat nak belanja diri saya aiskrim. Tapi tak kan saya nak makan sorang kan? Kebetulan awak ada, belanjalah awak sekali,”

“Birthday Prof? Yang ke berapa? 50 ke? Happy birthday! Moga Prof lebih ceria, bahagia dan …juga lebih baik serta kurang sengal pada saya,” ucap Izzah sambil ketawa kecil. Izmir mengherotkan bibirnya geram.

“Thank you Izzah…what kind of wish is that? Saya bukan setua itulah!” ujar Izmir bosan. Izzah hanya ketawa.  


Kemudian mereka berdua senyap kerana sedang fokus menikmati aiskrim yang masih bersisa di tangan masing-masing. Sambil itu Izzah melirik pada Izmir yang berkaca mata hitam. Hensem pulak kelihatan Prof itu di mata Izzah. Tambah hensem bila belanja dia aiskrim. Ah, Izmir memang hensem. Bukan dia sahaja berpendapat begitu. 


Tadi anak-anak gadis orang kampung tersipu-sipu malu melihat Izmir. Itu yang membuatkan Izzah terperasan aura Professor muda itu. Ditambah pula dengan keramahannya berbicara dengan penduduk di kampung nelayan itu. 2 jam juga mereka di sana dan perjalanan pulang pula mengambil masa sejam setengah. Ketua kampung telah mengajak mereka makan tengahari bersama di rumah mereka. Bersimpuh Izzah makan asam pedas ikan merah yang baru dibawa naik dengan nasi putih dan ulam-ulaman. Memang berselera Izzah dan Izmir makan. Merah-merah muka Izzah dek panas dan berpeluh-peluh makan. Sesekali mata Izmir singgah di wajah gadis itu. Macam ada blusher pulak pipi dia.

“Ini isteri ke Prof,” sampai ada yang bertanya sebegitu. Izzah yang sedang menyuap terlongo lantas memandang Izmir. Izmir pun tersentak hampir tersasar suapan nasinya. Dia memandang Izzah yang mulutnya masih terbuka. Izzah terkejut sampai terlongo begitu. Terus Izmir rasa mahu ketawa tapi ditahannya. Dah elok-elok comel tadi sekarang dah buruk sungguh!

“Tak…dia pembantu saya dalam penyelidikan ni,” jawab Izmir memberikan isyarat pada Izzah supaya tutup mulut.

“Comel sangat pembantu Prof ni. Tak risau ke Prof? Isteri di rumah tak cemburu?” serkap jarang ketua kampung. Izzah tersentak lagi. Aduhai macamana nak menikmati asam pedas yang sedap itu kalau asyik terpempan sahaja. 

“Err…saya bujang lagi,” ujar Izmir hanya tersenyum.

“Hai Prof… Lagi bahaya tu. Asyik berdua ke sana ke mari dengan anak dara orang,” ujar Ketua Kampung sambil ketawa. 


“Tapi Prof sikit punya segak macam ni belum ada isteri? Kalau ada yang Prof berkenan dengan anak-anak kami bagi tahu ajelah. Pilih je. Kalau tak pun Prof, cik pembantu ni pun dah padan sangat. Elok je berdua. Bukan apa Prof, orang lelaki ni elok ada isteri. Baru sempurna dan bahagia,” nasihat Ketua Kampung sambil ketawa kecil. Padan? Izzah hampir tersedak. Izmir hanya tersenyum hormat. 


Itulah yang selalu dia harus hadapi apabila mereka tahu yang dia masih bujang. Pasti ada sahaja nasihat-nasihat begitu yang dia sudah lali bertahun-tahun. Izzah pula selepas itu hanya menundukkan kepala. Tak sanggup dia mengangkat pandangan. Malu bila Ketua Kampung berkata begitu. Lagi malu nak bertentang mata dengan Izmir. Bila Ketua Kampung berkata-kata sebegitu hati Izzah tambah huru-hara.


“Belum ada jodoh Tok. Lagipun saya ni sibuk. Tak sempat nak beristeri,” balas Izmir selamba. Memang dia selama ini sibuk. Tak sempat nak mencari pasangan hidup. 


“Kerja-kerja jugak tapi bab teman hidup ni pun penting supaya ada keturunan dan ada teman seumur hidup terutama bila nak lalui hari-hari tua,” nasihat orang tua itu lagi. Izmir mengangguk-angguk. Kemudian entah bagaimana mata mereka bertentang pula namun cepat-cepat Izzah larikan pandangannya dari Izmir. 


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.