Home Novel Cinta RINDU YANG TERTINGGAL
RINDU YANG TERTINGGAL
Dea Zoraya
4/10/2018 10:24:33
16,711
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 15

Follow FB : Novelis Dea Zoraya dan Instagram : deazoraya89. Boleh kita berkenal-kenalan dan berbual-bual. Salam sayang dan salam perkenalan dari saya :)


AKU tersenyum melihat ke arah beberapa orang kanak-kanak yang sedang ketawa riang sambil berlari-larian di satu sudut yang menempatkan taman mini permainan yang terletak di bahagian lobi hospital. Keriangan mereka mengkhayalkan sehingga aku berangan-angan jika anakku masih hidup, pasti dia akan membesar seperti kanak-kanak ini. Ketika itu, aku akan menemaninya bermain-main seperti ini.

Aku kemudian duduk di sebuah bangku yang menghadap ke arah luar. Cahaya matahari pagi yang menerobosi cermin besar itu sedikit menyilaukan mataku. Namun, pancarannya itu begitu menyegarkan tubuhku sementelah dua minggu tubuhku tidak tapat menikmati kebaikan semulajadi daripadanya. 

Sebenarnya, doktor tidak membenarkan aku terlalu banyak bergerak, namun aku berasa bosan berada seorang diri di dalam wad. Emak pula akan datang melawatku pada sebelah petang nanti dan menurut doktor pada esok hari aku sudah boleh pulang ke rumah.

Kelekaanku dibawa oleh satu kelibat yang entah sejak bila berdiri di sebelahku. Aku mendongak dan sebuah senyuman manis aku hadiahkan kepada Hadi yang di tangannya sedang memegang sejambak bunga seperti hari-hari yang sebelumnya. 

Hadi menyerahkan jambangan bungan itu kepadaku sebelum dia melabuhkan punggungnya di sebelahku.

“Terima kasih, Hadi. Buat susahkan awak aje. Hari-hari awak hadiahkan saya bunga,” ucapku.

“Tak susah pun, Hana. Saya gembira bila lihat awak gembira. Awak kan suka bunga. Oh ya… esok awak dah  discharged, kan?”

Aku mengangguk. 

“Insya-ALLAH… kalau tak ada apa-apa, esok saya dah boleh balik.” 

“Err… Hana, betul ke keputusan awak untuk pergi dari sini?” soal Hadi tiba-tiba.

Aku termenung seketika. 

“Hadi… kat sini terlalu banyak luka untuk saya tanggung. Saya tak pasti saya boleh hadapi kehidupan di sini lagi ataupun tak. Tapi, saya tak ada pilihan lain selain terus bertahan.”

“Awak nak ke mana? Katakan saja pada saya,” balas Hadi.

Aku memandangnya seketika. 

“Apa yang saya katakan dulu tu lahir daripada rasa hati yang sedih dan saya tak maksudkannya pun. Awak jangan risau, Insya-ALLAH saya akan baik-baik saja di sini.”

Hadi menghulurkan satu sampul surat berwarna coklat kepadaku. Aku memandang sekilas wajahnya sebelum sampul surat itu aku sambut perlahan.

“Apa ni?” soalku.

“Bukaklah.” Hadi tersenyum lebar.

Aku membuka sampul surat yang bergam itu lalu beberapa helaian kertas aku keluarkan.

 “Hadi… errr… surat ni dari Royal College of Surgeons Ireland,” kataku teruja lalu helaian muka surat seterusnya aku selak.

Aku menekup mulut. 

“Ya ALLAH… saya berjaya diterima untuk melanjutkan pelajaran di sana.” Aku tidak percaya dengan apa yang sedang berlaku. 

“Betul ke ni, Hadi?” soalku.

Hadi mengangguk teruja. 

“Qaireen kan pernah daftarkan nama awak untuk kursus perubatan di kolej ni? Hana… kau orang berdua berjaya sambung belajar di sana. Surat ni Qaireen yang serahkan kepada saya semalam.”

“Ya ALLAH… Alhamdulillah,” ucapku dalam kesyukuran. 

“Tahniah Hana,” ucap Hadi pula.

Namun, senyumanku hilang daripada terus memekar di bibir tatkala aku terfikirkan sesuatu.

“Err… nak belajar di sana perlukan banyak duit. Saya tak mampu dan saya tak nak bebankan emak lagi.”

“Awak kan ada mesin ATM bergerak. Tak perlu risau.”

Kata-kata Hadi mengelirukanku.

Hadi tergelak melihat reaksi blur aku. 

“Anggaplah saya ATM bergerak awak tu,” sambungnya.

Dalam senyuman, aku sempat menjuihkan bibirku.

“Saya tak nak susahkan awak lagi. Sepanjang saya terlantar di hospital ni, dah banyak duit awak gunakan untuk saya. Tak perlulah awak tolong saya lagi.”

“Macam ni, Hana… awak pakai duit saya dulu. Alah… kat sana pun nanti setiap hari kita boleh berjumpa. Saya boleh temankan awak makan dan temankan awak berjalan-jalan,” tambah Hadi.

Pantas aku menoleh ke arah Hadi.

“Kita boleh jumpa kat sana setiap hari? Maksud awak… err… awak akan ikut saya ke Dublin?” soalku di dalam rasa tidak percaya dengan apa yang baru sahaja aku dengari itu.

Hadi mengangguk penuh kepastian. 

“Siapa kata awak dengan Qaireen aje yang nak sambung belajar kat sana, saya pun nak turut serta.” 

“Tapi, awak kan dah ada kerja yang bagus? Nak sambung belajar lagi?” soalku pula.

“Saya nak sambung PHD dalam bidang Pengurusan Perniagaan dan selepas tu, saya nak bekerja di sana,” sambung Hadi.

“Habis tu, syarikat awak kat sini?”

Hadi ketawa. 

“Syarikat tu ayah saya punya. Bukan milik saya.” 

Aku tersenyum. Berita gembira yang baru aku terima ini bagaikan sebuah mimpi indah yang tidak pernah aku jangka akan singgah dalam hidupku. Melanjutkan pelajaran di dalam bidang perubatan di Ireland telah menjadi impianku sejak kecil lagi dan kini bakal menjadi satu kenyataan.

“Hadi, awak tau tak… masa saya sedar minggu lepas, benda pertama yang saya lihat imej ladang lavender. Lukisan yang tergantung di dalam bilik wad saya tu. Sebenarnya sejak saya kecil lagi saya teringin nak ke sana. Saya nak rasa macam mana suasana hidup di sana, mahu  berjalan di ladang lavender yang luas dan mahu meneroka setiap pelosok negara tu. Paling penting, saya ingin menjejaki ayah kandung saya,” kataku bersama genangan air mata.

“Ayah awak orang Irish?” soal Hadi.

Aku mengangguk. 

“Dah lebih sepuluh tahun saya tak berjumpa dengan ayah saya. Lepas orang tua saya bercerai, saya bersama emak pulang ke kampung. Emak saya cakap, daddy saya pulang ke Ireland dan sejak tu dia langsung tak menjenguk saya. Kata emak lagi, daddy dah berkahwin dengan orang lain.”

Hadi tekun mendengar ceritaku dan aku lihat dia mengangguk beberapa kali. 

“Kenapa awak mengangguk-angguk?” soalku bingung.

“Patutlah awak cantik macam miss world. Anak kacukan rupanya. Patutlah mata saya ni tak boleh berhenti daripada terus memandang awak.” 

Usikan Hadi itu membuatkan aku tertawa. Lama Hadi memerhatikanku. 

“Dah lama saya tak nampak awak ketawa macam ni. Sejujurnya Hana… awak nampak cantik bila tersenyum dan ketawa. Awak janji dengan saya ya… lepas ni saya nak tengok awak selalu tersenyum dan bukannya menangis.”

“Berkenaan tawaran melanjutkan pelajaran ni, saya perlu berbincang dengan emak saya dulu,” tambahku.

“Hana, sebenarnya ada sesuatu yang penting saya ingin sampaikan kepada awak.”  

Aku sedikit cuak melihat raut wajah Hadi yang tiba-tiba berubah serius itu.

“Apa yang penting sangat tu? Serius betul muka awak.” 

“Ini berkenaan kemalangan awak. Maksud saya kes langgar lari pada malam tu,” kata Hadi. 

Jantungku tiba-tiba rasa berdebar sementelah sepanjang aku sedar daripada koma, aku tidak pernah menyuarakan atau bertanya tentang kemalangan yang telah menimpaku.

“Apa yang dah jadi sebenarnya?” soalku benar-benar ingin tahu. Aku menelan liur memandang Hadi yang jelas terpancar kegelisahan di wajahnya.

“Awak ada nampak siapa-siapa tak sebelum kemalangan tu berlaku?” soal Hadi pula.

Spontan di ruangan mataku terbayang wajah Amar dan sejurus itu juga terbit kebencian membuak-buak di dalam hatiku terhadapnya.

“Amar ke yang langgar saya? Sebab selepas saya dilanggar… sebelum saya tak sedarkan diri, saya nampak dia berdiri sebelah kereta tanpa sedikit pun nak tolong saya.” 

Hadi menggeleng. 

“Zaharah yang langgar awak.” 

Aku benar-benar terkejut mendengar kenyataan itu.

“Zaharah…” Aku mengulangi nama itu dalam rasa tidak percaya.

Anggukan Hadi membuatkan bulu romaku terasa meremang. Sungguh aku tidak sangka Zaharah adalah orang yang melanggarku dan telah membuatkan aku kehilangan anak buat selama-lamanya. Tanpa sedar, ada air mata yang menitis. Kenyataan ini benar-benar tidak masuk akal.

“Kenapa Zaharah langgar saya? Bukan ke malam tu majlis resepsi sebelah keluarga Amar?” soalku.

“Sebenarnya majlis resepsi malam tu dibatalkan sebab Amar dan Zaharah bertengkar. Menurut Kak Yati, sebelum majlis berlangsung Amar membuat pengakuan di hadapan Zaharah bahawa anak dalam kandungan awak tu adalah anak dia. Tapi, saya tak sangka pulak yang Zaharah berani bertindak macam tu.” 

Cerita Hadi itu membuatkan air mataku semakin laju mengalir.

“Tapi, kenapa Amar ada kat sana masa tu? Mungkin dia bersubahat untuk membunuh saya?” sahutku.

“Err… saya tak pasti tentang tu. Namun, ada satu lagi berita yang pasti akan mengejutkan awak.” Hadi melepaskan sebuah keluhan.

“Selepas kejadian langgar lari tu, Amar mengejar kereta yang dipandu Zaharah. Namun entah macam mana, kedua-dua kereta yang dipandu oleh mereka berdua terlanggar sebuah lori kontena di satu persimpangan jalan. Zaharah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan Amar pulak… err dia lumpuh bahagian bawah badannya,” jelas Hadi dalam rasa hiba.

Aku menerkup mulut kerana terlalu terkejut mendengar berita yang disampaikan oleh Hadi. Tragedi yang menimpa kami telah mengorbankan dua buah jiwa. Tiba-tiba aku terfikir mengapa Amar perlu membongkarkan kebenaran tentang aku kepada Zaharah pada saat mereka sedang menikmati hari bahagia. Apakah tujuannya? Sungguh, aku benar-benar takut mendengar kebenaran yang baru terungkap ini. 

Walaupun aku berasa sedih dengan tragedi yang telah berlaku, namun aku tetap salahkan Amar punca semua ini terjadi. Aku tidak ingin tahu apa yang telah terjadi kepadanya dan aku percaya dugaan yang telah menimpanya itu merupakan karma di atas perbuatan kejamnya terhadapku.

Semoga dengan keadaannya sekarang dapat memberi keinsafan dan penyesalan kepada dirinya sendiri agar tidak lagi hidup di dalam keegoan. 

Semenjak lelaki itu tidak mengendahkan aku yang sedang terbaring kesakitan dan pergi meninggalkan diriku yang merayu pertolongan daripadanya, aku nekad tidak mahu memandang wajahnya lagi. Disebabkan Amar juga, aku sebulat hati membuat keputusan muktamad untuk pergi jauh dari sini.

“Hana? Awak okey?” 

Soalan Hadi memecah lamunanku. Aku mengesat sisa air mata yang mengalir di pipi sambil mengeluh. 

“Semua ini sungguh menakutkan, Hadi. Kita kena cepat pergi dari sini,” kataku akhirnya.


Follow FB : Novelis Dea Zoraya dan Instagram : deazoraya89. Boleh kita berkenal-kenalan dan berbual-bual. Salam sayang dan salam perkenalan dari saya :)

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.