Home Novel Cinta Sempurnakan Rindu Ini
Sempurnakan Rindu Ini
Ruby Annas
6/9/2019 11:39:25
6,585
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 15

FAIRUZ hampir terduduk setelah meneliti jumlah baki simpanannya di dalam bank.  Hendak dikeluarkan pun tidak boleh kerana dia perlu mengekalkan jumlah minimum. Air mata mengalir deras di pipi.  Fairuz menapak longlai ke tempat kerjanya semula. Tidak dipeduli pandangan pelik dari orang ramai. Tiba-tiba bahunya dirempuh seseorang.

"Maaf, saya tak sengaja!"

"Fairuz?"  Fairuz mengangkat muka setelah namanya diseru.  Entah kenapa dia berasa amat malu dan cuba mempercepatkan langkah.

"Tunggu!" panggil suara gadis yang pernah dihinanya suatu ketika dahulu.

"Saya belanja awak minum.  Tenangkan hati awak tu dulu." 

Fairuz menyeka air mata yang tiba-tiba mengalir tanpa dipinta.  Dia menurut saja tatkala lengannya ditarik lembut. Setelah memesan minuman pandangan mereka bertembung agak lama.  Mata Fairuz berkaca. Seksa yang ditanggung terpancar jelas di raut wajahnya yang tidak berseri.

"Lap air mata awak."  Sehelai tisu dihulur dan bersambut.

"Kenapa awak nak jumpa saya?" soal Fairuz selepas menyedut minumannya urusan untuk dibincangkan," tutur Tia senafas.

Pipi Fairuz terasa berbahang. Kata-kata Tia begitu tajam menghunus ke lubuk hatinya. Dan bagi Tia pula, dia terserempak dengan Fairuz secara tidak sengaja ketika melewati pusat membeli-belah itu seorang diri. 

Apa yang pernah terjadi antara mereka telah Tia padamkan dari lipatan memorinya.   Semua yang terjadi pasti ada hikmahnya tersendiri. Dia juga reda dengan ketentuan Illahi.  Sebagai orang Islam, dia wajib mempercayai qada' dan qadar Allah. Dia bersyukur kerana hidupnya kini leboh tenteram tanpa gangguan Syamil.

"Kalau begitu, baiklah.  Terima kasih sebab belanja minum.  Saya gerak dulu."

Laju Tia menahan pergerakan Fairuz.  Gadis itu terlongo. Matanya yang sembab dan basah menggamit perhatian Tia.

"Awak ada masalah?  Masalah kewangan? Syamil buat hal lagi, kan?"  Tia menebak bertalu-talu.

Fairuz melabuh punggung di kerusinya semula.  Tia begitu faham akan masalahnya saat itu. Entah mengapa mudah saja Fairuz berasa selesa dengan Tia.  Satu per satu masalahnya bersama Syamil diceritakan, kecuali hal dalam kain mereka.

"Saya dah agak.  Syamil memang tak akan pernah berubah."  Jari-jemari Fairuz digenggam erat. Anak mata mereka saling berlaga.

"Awak dah fikir masak-masak untuk hidup dengan Syamil?  Awak sanggup hadapi semua tu selepas kau orang bernikah nanti?"

Pantas tangan Tia ditepis.  Fairuz berasa kepercayaannya dikhianati.   Sekejap Tia menjadi gadis baik, sekelip mata pula berubah menjadi monster.

"Saya bukannya nak menghasut awak supaya tinggalkan dia.  Semasa saya dengan Syamil, saya cuba untuk mengubah cara hidup dia.  Tapi saya gagal. Mungkin saya sendiri tak cukup baik." Tia melepas keluhan.

"Kenapa awak tinggalkan Syamil?"  Fairuz cuba mencungkil isi hati Tia.

"Sebab saya bosan hadapi masalah yang sama sehari-hari.  Dulu, keadaan saya lagi teruk dari awak sekarang ni. Jadi, saya fikir, untuk apa saya bertahan jika racun yang diberi Syamil memusnahkan hidup saya sedikit demi sedikit?  Racun itu pasti akan membinasakan keseluruhan hidup saya suatu hari nanti."

Fairuz terdiam.  Kini, 'racun' yang dimaksudkan Tia memamah dirinya kian hari, membusuk dan bernanah sehingga dia hampir rebah.  Adakah dia juga perlu angkat kaki dari hidup Syamil? 

"Abaikan pertanyaan saya tadi.  Sabarlah, Fairuz. Cuba bawa Syamil ke jalan yang benar.  Saya tak berdaya untuk mempengaruhi dia selama beberapa tahun ni.  Mungkin Allah akan bukakan pintu hati dia melalui awak?"

Fairuz mengeluh perlahan.  Dia sendiri leka dan hanyut dalam nikmat dunia yang sementara.  Masakan pula dia boleh mempengaruhi Syamil ke arah kebaikan. Hidupnya bertongkat langit dan dirajai nafsu, mampukah dia membimbing Syamil kelak?

Tia melihat jam di tangan.  Dia sudah lewat untuk pulang ke rumah.  Tubuhnya selalu berasa lemah dan seram-sejuk selepas waktu Asar dan Maghrib.  Jantung berdegup kencang. Dia lelah seperti baru lepas berlari ratusan meter.  Justeru dia meminta diri untuk beredar. Ketika bersalaman, dua helai wang kertas RM50 diselit ke dalam genggaman Fairuz.

Puas ditolak pemberian itu, namun Tia berkeras inginkan Fairuz menerimanya.  Niatnya hanya untuk bersedekah dan membantu sesama saudara yang dalam kesusahan.  Sementelah, tubuh badan Fairuz agak susut dan wajahnya semakin cengkung.

"Terima kasih, Tia.  Saya telah salah faham tentang awak.  Maafkan saya tentang kesilapan saya yang lalu.  Saya…"

"Tak perlu ungkit lagi cerita lalu.   Saya tak pernah ambil hati. Awak jaga diri baik-baik.  Jangan terlalu lemah dengan pujuk rayu. Jadilah wanita yang kuat dan berpendirian teguh.   Saya minta diri dulu."

Fairuz menghantar pemergian Tia dengan pandangan sayu.  Waktu kerjanya bakal tamat setengah jam lagi. Beberapa pesanan WhatsApp yang dihantar kepada Syamil tidak mendapat balasan.  Hanya blue tick yang ditinggalkan tanpa rasa bersalah.

'Sanggupkah aku hidup dengan dia sepanjang hayat?'  Soalan itu bermain di minda Fairuz sejak balik dari kerja.  

°°••°°


MASUK saja ke dalam rumah, hidung Fairuz tercium bau asap rokok yang kuat. Puntung rokok berselerakan di depan TV.  Kepala digeleng beberapa kali bila kakinya dibawa pula ke dapur. Singki juga dipenuhi pinggan mangkuk yang kotor.

Nafas berat dilepas.  Dadanya sesak. Sudahlah penat belajar dan bekerja, terpaksa pula menghadap pemandangan yang menyakitkan mata.  Plastik berisi beberapa jenis barangan dapur diletakkan di atas meja. Lengan baju disinsing bersedia untuk mencuci bekas-bekas makanan yang kotor.  

Usai melakukan semua itu, Fairuz menyediakan bahan-bahan untuk menggoreng mi.  Wang pemberian Tia tidak perlu dibazirkan untuk makanan mewah. Cukuplah sekadar mengalas perut yang kosong.  Mi yang siap digoreng diletakkan ke dalam bekas makanan yang bertutup. Tiba masanya dia membersihkan diri setelah sehari suntuk bekerja.

"Sedapnya sayang masak!" 

Entah bila Syamil pulang ke rumah.  Mulut Syamil berminyak kesan mi goreng yang dinikmati.  Fairuz melewati ruang tamu tanpa kata. Hatinya sakit. Dia tiada mood untuk berbicara.  Selepas menukar baju tidur dia mencedok mi goreng ke dalam pinggan. Perutnya sudah berbunyi-bunyi minta diisi.

Dia duduk bersila di lantai sama seperti Syamil.  Rumah bujang itu belum dipenuhi perabot yang lain.  Kebanyakan wang gaji dihabiskan Syamil untuk berjoli.

"Kenapa sayang diam?  Sayang demam?"

Syamil bersikap prihatin dengan cuba menjamah dahi Fairuz.  Tindakan spontan Fairuz dengan mengelak membuatkan Syamil panas hati.

"Salah ke kalau aku ambil berat pasal kau?  Kau tu tunang aku! Tanggungjawab aku!"

"Baru tunang aje, kan?  Sedangkan orang yang dah berkahwin pun boleh bercerai-berai.  Inikan pulak kita yang baru bertunang," cebik Fairuz bersahaja.

Prang!

Berderai pinggan di tangan Fairuz disepak Syamil.  Sudu dan garpu terpelanting entah ke mana. Lantai berjubin putih itu menjadi kotor dalam sekelip mata.  Terbeliak mata Fairuz menyaksikan semua itu.

"Allah!  Kenapa dengan awak ni?  Itukan rezeki!" marah Fairuz geram.

"Kenapa dengan aku?  Sepatutnya aku yang tanya kau apa dah jadi dengan kau?  Bila aku cakap baik-baik langsung kau endahkan. Nak kena aku cakap kasar dulu ke baru nak dengar?"

Fairuz sengaja beradu pandang dengan Syamil.  Kebenciannnya kini mengatasi rasa takut yang selalunya membelenggu.  Sepasang mata milik Syamil ditenung tidak berganjak.

"Saya dah bosan dengan awak, Syamil.  Saya nak putuskan pertunangan kita!"

Telinga Fairuz berdesing apabila mukanya disepak dengam kuat.  Tubuhnya terjelepok ke lantai. Dia menyapu darah yang mengalir keluar dari rongga hidung.  Diraba pula bahagian bibirnya yang terasa pedih. Hujung bibirnya pecah. Jubin putih yang berkilat itu dihiasi dengan titis-titis darah yang semakin banyak mengalir.

"Itu habuan untuk kau sebab suka melawan.  Sedap tak?" Syamil bertanya seraya merapatkan wajahnya dengan wajah Fairuz.  Wajahnya bengis dan penuh benci.

Fairuz menahan air matanya dari jatuh.  Dia perlu kuat. Dia tidak mahu menyerah seperti selalu.  Akan tetapi, kepala dan sebahagian mukanya terasa kebas. Terlalu hebat penangan Syamil kali ini.  Terketar-ketar Fairuz menggagahkan dirinya untuk bangun dan bersembunyi di dalam bilik.

Syamil belum puas mendera Fairuz.  Gadis itu belum cukup menderita. Darah dan lebam di badan Fairuz umpama corak abstrak yang memukau matanya.  Dia ketawa terbahak-bahak melihat percubaan Fairuz untuk bangkit. Gadis itu seringkali terjatuh seperti tidak mempunyai lutut untuk berdiri.

"Kau nak pergi mana, betina?"

Sengaja Syamil menyepak kaki Fairuz hingga tersadung.  Gadis itu kembali mencium lantai. Mukanya juga terhentak sama.  Semakin parah kecederaan yang dia alami. Rengekan halus kedengaran dari ulas bibirnya yang pedih.

Syamil duduk mencangkung.  Sebatang rokok dinyalakan dan disedut dalam-dalam.  Kepulan asap rokok dihembus ke muka Fairuz yang dibasahi keringat.  Gadis malang itu terbatuk-batuk kecil. Perbuatan yang berulang-ulang dalam masa singkat itu membuat Fairuz sesak nafas.  Dia kecungapan mencari udara bersih.

"Fairuz, Fairuz.  Belajar tinggi-tinggi sampai dapat master, tapi tengok kat mana kau berada sekarang ni?  Kat bawah tapak kaki aku!"  

Muka Fairuz dipijak-pijak demgan rambut yang kusut-masai.  Dalam kelelahan Fairuz memegang pergelangan kaki Syamil agar menjauhi mukanya.  Syamil ketawa geli-hati. Tiada sekelumitpun belas dalam diri melihat kesakitan yang ditanggung Fairuz.

"Sakit, ya, sayang?  Aku lepaskan, ya? Aku main-main sikit pun tak boleh.  Manja!"

Fairuz menarik nafas lega setelah kaki Syamil dialihkan.  Baru saja dia cuba menggagahkan diri untuk bangkit, belakang badannya dipijak Syamil sehingga dia tidak sedarkan diri.

"Mampuslah kau!  Hidup tak pernah nak menyenangkan hati aku.  Betina sundal! Betina tak guna!" herdik Syamil di depan jasad Fairuz yang terbongkang di ruang tamu.

Syamil masuk ke dalam bilik sekadar untuk menyalin baju.  Sebelum keluar dari rumah, dia menyelongkar beg tangan Fairuz yang ternganga.

"Banyak duit kau ni, tapi kedekut!  Selalu cakap tak ada duit. Heh!"

Bunyi alarm kereta secara tiba-tiba menyedarkan Fairuz dari pengsan.  Memori digali ke momen terakhir antara dia dan Syamil. Air matanya deras mengalir bercampur dengan darah yang hampir kering.  Perlahan-lahan dia bangkit. Dia duduk di lantai dingin yang menyebabkan urat-uratnya terasa sengal. 

Belakang badannya teramat sakit.  Sukar untuk dia menegakkan badan.   Dia terhidu bau hancing di sekitarnya.  Seluar yang dipakainya basah oleh air kencingnya sendiri. Dia mengongoi mengenang nasib malang yang datang bertimpa-timpa. Tidak hairanlah kenapa Tia sanggup memutuskan hubungannya dengan Syamil.  Gadis itu nampak saja lemah, tetapi semangatnya kuat dan punya pendirian yang teguh.


°°••°°








Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Ruby Annas