Home Novel Cinta Pertemuan Yang Terindah
Bab 66

ARMELL toleh ke sebelah memandang suaminya yang sedang sibuk bersama Playstation four sambil duduk berlunjur di atas sofa menghadap skrin televisyen bersaiz 46 inchi. Dengan kain pelikatnya, dengan tak pakai bajunya. Kepala digeleng sendiri. Suka betul tayang badan seksa dia tu.

Di luar, Hayy Mikael seorang yang cukup berkarisma. Pemakaian yang rapi dan sangat kemas. Pendek kata, tidak ada sedikit kedutan pun pada baju kemejanya. Tetapi sungguh berbeza apabila di rumah. Seolah-olah mempunyai dua Hayy Mikael yang berbeza. Pernah Armell lihat suaminya jemur kain. Selamba saja bawa bakul keluar rumah. Kadang sampai tergelak sendiri dibuatnya. Tak percaya itu Hayy Mikael.

"Abang,"

Hayy Mikael toleh sekilas sebelum fokus diberi semula ke arah skrin televisyen.

"Malam ni papa dengan mama ajak kita makan malam dekat rumah." Ujar Armell. Suaranya sedikit terselit seperti orang susah hati gamaknya.

"Okay, kita pergi lah," jawab Hayy Mikael ringkas.

Armell diam. Direnungnya Hayy Mikael yang masih seronok dengan playstation miliknya.

Menyedari isterinya diam tidak bersuara, Hayy Mikael toleh memandang Armell. Kening diangkat. Pelik melihat wanita itu mencerlungnya seperti itu. Aduh... silap dekat mana pulak dah? Dia ada salah cakap ke?

"Kenapa?"

Armell akhirnya hela nafas panjang. Tak guna tahan geram dengan lelaki yang namanya Hayy Mikael. Muka selamba macam orang tak bersalah! Grrr!

Bertambah kerutan di dahi Hayy Mikael. Playstation four miliknya diletak ke tepi. Badan dipusing menghadap Armell dan fokus diberi sepenuhnya kepada Sang Isteri. Sekali lagi soalan sama diaju. "Kenapa ni?"

"Malam ni kita nak pergi rumah mama," bicara Armell datar. Masih terselit nada tidak puas hati. Seakan ingin lelaki itu memahami apa yang sedang dimaksudkannya.

"Ya, kita pergi lah. Kenapa?" Hayy Mikael masih tidak menangkap maksud tersirat isterinya.

"Look what you've done." Armell toleh sedikit ke kiri bagi memperlihatkan Hayy Mikael kesan merah di lehernya.

"Abang susahkan Mell," ujarnya lagi. Seperti ada nada rajuk di situ. Masih tidak puas hati hal malam semalam.

Hayy Mikael tersenyum lucu. Geli hati tiba-tiba.

"Abang jangan nak sengih-sengih eh." Panas pula hati tengok senyum mengejek Hayy Mikael itu.

"Sekarang ni macam mana? Kalau mama nampak kesan merah ni macam mana?"

Hayy Mikael ketawa kecil. "Kenapa pulak? Mell kan isteri abang, diorang takkan cakap apa-apa pun lah."

"Abang senang lah cakap macam tu sebab abang yang buat. Mell ni, nak letak muka kat mana? Malu lah kalau diorang nampak. Orang lain pun kahwin jugak, tapi tak ada lah sampai nak tayang dekat semua orang. Ni nanti dah start kerja, nak masuk office pun fikir seratus kali tahu?" Bebelnya geram.

Hayy Mikael sengetkan kepala. Mata mengecil merenung wajah comel Armell. Dan bibir mula melorek senyum manis.

"Abang teringin nak tengok isteri abang pakai tudung."

Mendengarkan itu, Armell terdiam. Terkunci mulutnya untuk beberapa saat. Baru saja mulut ingin berkata sesuatu, lekas-lekas niat itu dibatalkan.

"Abang tau Armell masih belum bersedia lagi untuk semua tu. Tapi tak salah kalau belajar dari sekarang. Mana tau dengan bertudung nanti, boleh elakkan daripada berlaku perkara yang tak diingini pada Mell? Isteri abang ni cantik. Abang risau. Mell ada tudung?"

Perlahan-lahan Armell mengangguk. Tiba-tiba pula hatinya rasa terusik dengan teguran lembut suaminya. Tudung tu ada. Tapi tak banyak. Setakat sehelai dua dia ada lah.

"Malam ni pergi rumah mama, pakai tudung tau?" Hidung isterinya dicuit manja.

Armell tergelak kecil. "Mesti nanti mama terkejutkan?"

Hayy Mikael hanya tersenyum.



"SAYANG !" Hayy Mikael sudah bercekak pinggang. Jam tangan dikerling sekilas.

"Dah pukul 9 dah ni. Buat apa lagi dalam bilik tu lama-lama?" Laungnya yang sudah berdiri di muka pintu. Bersedia melangkah keluar.

Mendengar suara Hayy Mikael bergema, kelam-kabut Armell mencapai beg tangannya dan berjalan keluar dari bilik. Kelihatan suaminya sudah tercegat di depan pintu utama menunggunya.

"Eh abang ni malam-malam buta jangan lah jerit kuat-kuat macam tu! Teringin sangat nak jadi tarzan ke? Malu lah nanti jiran-jiran dengar. Apa lah dia ni." Kasut tumit tinggi berjenama Valentino yang tersusun di atas rak dicapai dan disarung ke kaki. Sambil-sambil itu pun, mulutnya tidak lepas dari membebel.

"Wow! Armell saya ke ni?" Tidak berkelip mata Hayy Mikael melihat wajah ayu Armell yang bertudung itu.

Armell kerut dahi. "Iye lah, Armell awak lah ni. Takkan Armell isteri jiran sebelah pula."

Hayy Mikael sengih sumbing. Kening yang tidak gatal digaru. "Dah pandai bergurau ya sekarang?"

Armell sengih nampak gigi. "Ingat abang sorang aje yang pandai bergurau? Cantik tak?" Bibir melorek senyum manis menampakkan kedua-dua lesung pipit di kiri dan kanan wajah. Tudung shawl yang melilit di kepalanya sungguh kena dengan wajah comelnya.

"You look stunning! I like!" Ujar lelaki itu teruja.

Sekali lagi Armell kerutkan dahi. Hormon apa pulak dah terkena dekat Hayy Mikael ni? Gedik semacam aje.

"Gedik sangat lah Hayy. Hayy Mikael yang Mell kenal dulu tak gedik macam ni tau? Ini siapa ni? Bukan suami Mell ni. Eeee tak kenal, tak kenal!" Selorohnya. Dada bidang milik Hayy Mikael ditunjal perlahan. Kaki mengorak langkah mendahului suaminya menuju ke kereta.

Sewaktu kakinya melangkah masuk ke dalam perut kereta, terdengar suara jantan Hayy Mikael tergelak besar di luar sebelum lelaki itu berlari masuk ke dalam perut kereta. Kepala menggeleng sendiri. Suami siapa lah ni.



"PAPA," Hayy Mikael tunduk bersalaman dengan bapa mentuanya.

"Datang pun, ingat tak datang dah tadi." Ujar Tan Sri Hazahar.

Hayy Mikael tergelak kecil. "Anak kesayangan papa tu lah, bersiap lama sangat. Itu yang lambat." Selorohnya lalu mengerling sekilas ke arah Armell.

"Mesti lah. Abang juga yang suka Mell pakai tudung. Kena lah sabar menunggu sikit. Mama, cantik tak?" Armell berpusing menghadap Puan Sri Nora.

Tiada kata-kata yang mampu terucap dari mulut wanita tua itu. Terasa panas tubir matanya ketika ini. Ternyata Hayy Mikael adalah lelaki yang sangat tepat buat Armell. Lelaki itu mampu membimbing anak gadisnya yang liar itu ke arah jalan yang lebih baik. Lantas tubuh Armell dirangkul erat.

Terkedu Armell seketika. Namun dibalas juga pelukan itu. Belakang badan mamanya digosok perlahan sebelum Puan Sri Nora merungkai pelukan itu. Satu senyuman bahagia terpamer diwajah wanita tua itu.

"Anak mama."

Armell mengangguk. Hati mula disapa rasa sebak.

Sekali lagi mereka berpelukan.

Tan Sri Hazahar juga turut bangga melihat penghijrahan anak gadisnya itu. Bahu menantunya ditepuk lembut.

"Kamu memang layak untuk Armell. You got all my respect. Kamu lelaki pertama yang berjaya buatkan Mell pakai tudung. Tak kira apa cara sekali pun yang membuatkan dia bertudung, tapi papa tahu, semuanya berpunca daripada seorang Hayy Mikael, lelaki yang papa tolak mentah-mentah dulu. Papa betul-betul kesal, papa minta maaf."

Mendengarkan itu, Hayy Mikael tersenyum kecil seraya menggeleng. "Jangan minta maaf dengan saya sampai macam tu papa. Terasa bersalah pula saya. Saya tak pernah simpan apa-apa dendam pun pada papa dengan mama. Saya reda dengan takdir. Diterima dalam keluarga ni pun dah cukup baik buat saya. Saya bersyukur." Tuturnya sopan.

Puan Sri Nora seka air mata. "Mell dengar cakap suami ya nak? Taat pada suami. Hayy lelaki yang baik. Jangan sia-siakan lelaki sebaik Hayy."

Makin menebal rasa sebak di hati Armell. Bibir dikemam menahan sebak. Kepala mengangguk laju. Dia akui tentang itu. Hayy Mikael sangat sempurna. Dia betul-betul cintakan lelaki itu dan tidak akan sesekali mempersiakan lelaki sebaik Hayy Mikael.

Hayy Mikael hanya diam tidak bersuara. Mungkin segan nak menyampuk.

"Dah jom, makan. Jom, Hayy." Ujar Tan Sri Hazahar.

Armell lap air mata dengan tapak tangan. Mata bergerak memandang suaminya yang sedang memerhatikannya. Tanpa sedar bibirnya terukir senyuman kecil. Begitu juga dengan Hayy Mikael. Melihat senyuman yang terukir di bibir isterinya itu, tidak semena dia juga tersenyum.

"Hayy makan pedas tak?" Soal Puan Sri Nora sebaik sahaja semua sudah berada di meja makan.

Hayy Mikael senyum kekok. Tak tahu nak angguk atau geleng. "Makan. Tapi tak makan."

Armell di sebelah sudah tercantum keningnya. Ditoleh suaminya. "Mana satu yang betul ni?" Soalnya bersama ketawa lucu di hujung ayat.

"Makan, tapi tak boleh makan pedas. Saya gastrik." Ujar Hayy Mikael menjawab soalan Puan Sri Nora tadi.

Mulut Armell sudah berbetuk 'o'. Tak tahu lah pula yang Hayy Mikael tak boleh makan pedas.

"Lah abang tak boleh makan pedas?!"

"Aik Mell, takkan tak tahu suami makan apa?" Sampuk Tan Sri Hazahar.

Tanpa segan Armell menggeleng. Hayy yang tak pernah cakap, mana dia nak tahu?

"Kenapa abang tak pernah bagitahu?"

"Sebab abang suka makan pedas. Nanti Mell larang pula abang nak makan."

"Okay, mulai harini abang jangan makan pedas lagi." Tegas Armell.

Puan Sri Nora sudah tersenyum. "Kalau memang tak boleh makan pedas, jangan makan. Bahaya. Lagi-lagi kalau dah memang ada gastrik. Makin teruk nanti." Nasihat wanita tua itu.

"Dengar tu, bahaya tau?" Armell siku lengan suaminya. Nasi dicedok ke dalam pinggan dan dihulurkan kepada Hayy Mikael.

Lelaki itu tersenyum kecil lalu kepala digeleng perlahan. Pinggan nasi yang dihulur isterinya diambil. "Thanks."

"Mell, papa ni dah tua." Bicara Tan Sri Hazahar tiba-tiba.

Armell segera angkat kepala. Terhenti kunyahannya. "Siapa cakap papa muda?"

Tidak semena lengan Armell ditepuk Hayy Mikael. Armell tarik sengih sumbing.

"Ya papa, kenapa?"

"Papa teringin nak ada cucu macam kawan-kawan papa." Lagi suara garau itu bersuara.

Uhuk! Uhuk!

Tersedak Armell dibuatnya.

"Sayang, are you okay?" Lekas-lekas gelas air kosong dihulurkan kepada Armell. Belakang badan isterinya digosok perlahan.

"Makan pelan-pelan lah. Jangan gelojoh."

"Haih... Sebut pasal cucu sikit pun dah tersedak?" Tegur Puan Sri Nora.

Armell berdeham. "Papa, mama... Awal sangat lagi lah..."

"Apa yang awalnya? Takde awal-awal lah. Umur Mell pun dah berapa? Bukannya muda lagi. Dah layak jadi ibu dah pun."

"Mama, kami baru kahwin kan. Bagi lah Mell rehat dulu. Bagi lah Mell nak sweet-sweet dulu dengan suami Mell. Nanti dah ada anak, dah tak rasa semua tu."

"Itu alasan. Siapa cakap bila dah ada anak nanti dah tak boleh sweet-sweet? Itu alasan semata-mata."

Armell tunduk merenung butir-butir nasi. Dikuis-kuis dengan sudu. Bila dah tiada jawapan, macam tu lah.

"Mama dengan papa jangan risau. Kami akan usahakan secepat mungkin. Saya pun teringin nak ada anak. Umur saya pun dah dua puluh sembilan. Dah tua dah."

"Tau pun dah tua." Gumam Armell. Geram bila dengar jawapan selamba penuh yakin Hayy Mikael itu. Rasa nak hempuk guna sudu!

Hayy Mikael kerling isterinya. Dia dengar apa yang Armell cakap tadi.

"Bagus lah. Lega sikit papa dengar. Kita ni jangan sibuk merancang sangat. Kalau dah ada tu kira rezeki lah."

Armell senyum canggung.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Farisya